Saturday, August 30, 2014

Maafkan Kami Ya Palestina!!

     Oleh: Drs. Dedi Irwan - 06/08/14 | 19:46 | 10


dakwatuna.com

Ketika Idul Fitri menjelang tiba
Senandung takbir bergema di angkasa raya
Menyambut satu syawal dengan suka cita
Sebagai tanda kembali pada fitrah yang indah


Namun suasana berbeda terjadi di Palestina
Gaza kembali merana dan berduka
Tidak ada gema takbir yang membahana
Yang ada gempuran rudal zionis laknatullah

Maafkan kami ya Palestina
Di saat kami masih bisa ke lapangan bersama-sama
Guna sholat Ied dengan tenang dan penuh suka cita
Namun rakyatmu melaksanakan shalat di masjid yang sudah porak poranda

Dalam suasana yang mencekam dan menyesakkan dada.
Maafkan kami wahai Palestina
Kami masih bisa menyantap hidangan lebaran dengan lahap
Namun kami tidak tahu apakah saudara kami di Palestina masih ada yang akan disantap

Kami masih bisa tidur dengan nyenyak dengan kerabat
Apakah saudara kami di Palestina masih bisa memejamkan mata walau hanya sekejap

Maafkan kami ya Palestina
Bukannya kami berdiam diri
Bukannya kami tidak beraksi
Melihat tindakan keji

Luburan darah dari bangsa Yahudi
Namun kami tidak bisa menghentikan gempuran rudal zionis
Menghapus air mata saudara kami yang menangis
Yang kami bisa hanya berteriak dengan lantang pada dunia

Atau berbisik dalam hati agar kebiadaban ini berakhir sudah
Maafkan kami ya Palestina
Di saat pasukan Al-Qasammu mengangkat senjata
Menghadapi kezhaliman yang nyata

Kami hanya sangup mengangkat tangan
Berdoa pada yang Maha Kuasa agar Palestina tetap Berjaya
Maafkan kami wahai Palestina
Ketika rakyatmu berjuang dengan jiwa dan raga

Menghadapi tentara Yahudi laknatullah
Kami hanya sangup berjuang dengan sedikit harta
Untuk dapat meringankan beban saudara di sana.
Maafkan kami wahai Palestina

Ketika rakyatmu berlari mengejar kematian menjadi syuhada
Menyuburkan tanah Gaza dengan linangan darah
Sementara kami masih takut dan lari dari kematian yang jelas ada
Karena kesalahan dan dosa yang mengisi dada.

Maafkan kami wahai Palestina
Ketika orang tua Palestina menangis gembira
Melepas kepergian anaknya sebagai syuhada menuju surga
Maka kami hanya bisa menyaksikan melalui layar kaca

Dengan mata yang berkaca-kaca menyaksikan suasana yang mempesona
Ya Allah, bantulah perjuangan saudara kami di Palestina
Menghancurkan pasukan zionis Israel yang telah menumpahkan darah
Berilah kemenangan yang nyata pada mereka

Sebagaimana Engkau telah memberikan kemenangan sebelumnya
Agar Palestina tetap berjaya sebagai negeri yang penuh berkah.

Manusia yang benar-benar merdeka

IBRAHIM ABDULLAH
Sinar Harian 29 Ogos 2014

MALAYSIA mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 yang bererti sudah 57 tahun kita merdeka.

Rakyat yang terdiri daripada para perajurit, wira negara, pemimpin, ulama, wartawan, sasterawan, penulis, petani, bahkan pengayuh beca (abang beca) dan lain-lainnya telah berjuang ratusan tahun untuk menuntut kemerdekaan dari belenggu penjajahan asing.

Justeru penjajahan sebagai musuh utama kepada kemerdekaan mental dan fizikal.

Sesungguhnya setiap orang, setiap saat bertempur dengan penjajah. Pertempuran tidak akan berhenti sehingga manusia menghembuskan nafasnya yang terakhir di dunia. Musuh itu adalah syaitan dan hawa nafsu. Manusia diserang dari segala penjuru dan arah.

Manusia yang “merdeka” adalah yang dapat melepaskan dirinya dari belenggu hawa nafsu dan penjajahan syaitan atas dirinya. Dia tidak lagi menjadi “hamba” syaitan dan hawa nafsunya. Dia tidak lagi dijajah.

Itulah kemerdekaan yang sebenar dan hakiki, kemerdekaan jiwa dari belenggu hawa nafsu, kemerdekaan hati dan akal fikiran dari pengaruh syaitan. Untuk menjadi manusia merdeka bukanlah perkara mudah.

Ia perlu perjuangan yang panjang dan belum selesai serta terus-menerus. Perlu banyak hal yang dikorbankan. Ia menuntut adanya semangat yang terus hidup dan tidak pernah padam.

Mari kita muhasabah diri selama ini, adakah kita telah menjadi manusia merdeka dari belenggu hawa nafsu dan bisikan syaitan?

Ataukah memang memilih menjadi manusia terjajah? Kita lebih memilih tertawan oleh pujuk rayu syaitan dan hawa nafsu? Kita menjadi manusia yang tidak konsisten dan istiqamah?

Sebenarnya kita diciptakan hanya untuk mengabdi kepada ALLAH SWT. Untuk menjadi hamba ALLAH. Maka membebaskan diri dari jajahan syaitan dan pengaruh hawa nafsu adalah suatu cita-cita yang harus kita perjuangkan.

Tanpa itu, kita belum boleh menjadi seorang hamba dalam pengabdian kepada Pencipta kita iaitu ALLAH SWT.

Kenapa kita harus merdeka dari belenggu nafsu dan syaitan? Kerana syaitan dan hawa nafsu tidak pernah punya maksud yang baik kepada manusia.

Hawa nafsu dan syaitan selalu menyuruh jajahannya untuk melakukan perbuatan jahat dan keji. Tidak ada kebaikan sedikit pun ketika jiwa dan diri kita dijajah oleh hawa nafsu dan syaitan.

Orang-orang yang terjajah akan gelap mata melihat cahaya terang kebenaran, amat sukar untuk membezakan antara yang benar dan salah. Ia akan selalu diarahkan pada segala hal yang akan mengsengsarakan dan membahayakan dirinya di dunia dan akhirat.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Bukankah Aku telah memerintahkan kepadamu wahai anak cucu Adam agar kamu tidak menyembah syaitan? Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu.

Dan hendaklah kamu menyembah-Ku. Inilah jalan yang lurus. Dan sesungguhnya ia (syaitan itu) telah menyesatkan sebahagian besar di antara kamu. Maka adakah kamu tidak mengerti?” (Yaasin: 60-62).

ALLAH SWT telah menjanjikan syurga bagi hamba-Nya yang menolak keinginan nafsunya, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Dan adapun orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari (keinginan) hawa nafsunya, maka sesungguhnya syurgalah tempat tinggalnya.” (An-Nazi’at : 40-41).

Syeikh Muhammad Ali ash- Shobuni dalam kitab tafsirnya (Sofwat at-Tafasir), menjelaskan maksud ayat di atas, “Sesungguhnya menang dan beruntunglah orang yang mensucikan dirinya dengan ketaatan kepada ALLAH, dan membersihkannya dari kekotoran maksiat dan dosa.

Dan sungguh rugi orang yang telah menghinakan dirinya dengan kekufuran dan kemaksiatan, memasukkannya ke lembah kebinasaan, kerana barang siapa yang mematuhi kehendak hawa nafsunya, bermaksiat kepada Tuhannya, maka ia telah keluar dari golongan orang-orang yang berakal, dan masuk kepada golongan orang-orang bodoh.”

Menjadi manusia sebenar merdeka dari belenggu hawa nafsu dan syaitan memerlukan pertolongan ALLAH. Kerana musuh yang kita hadapi tidak boleh kita lihat. Ia bersembunyi dari dalam diri kita. Ia lebih kuat.

Namun sangat lemah dan tidak berdaya di hadapan orang-orang yang beriman, di hadapan orang-orang yang telah menjadikan ALLAH sebagai pelindungnya.



Titik beratkan hukum-hakam ketika solat

SYAHIDATUL AKMAL DUNYA
Sinar Harian 29 Ogos 2014



MALAYSIA adalah negara majmuk terdiri daripada pelbagai bangsa, agama dan budaya.  Masyarakat Melayu  beragama Islam mempunyai komposisi bilangan penduduk yang tinggi berbanding bangsa-bangsa lain di Malaysia.

Sudah pasti segala perilaku, tindakan, pakaian dan pelbagai lagi tertakluk kepada hukum-hukum Islam yang begitu unik dan bersifat universal.

Boleh @ tidak

Pendakwah, Dr Mohd Faisol Ibrahim berkata, dalam soal  pakaian sebagai contoh, kita lihat ramai masyarakat Islam khususnya remaja dan dewasa mahupun golongan sedang meningkat tua memakai pakaian yang berasaskan fesyen yang diminati.

Ada yang memakai pakaian yang mempunyai gambar tumbuhan, kereta lumba, wanita, tengkorak,  kartun, logo dan nama pasukan kelab bola sepak dan pelbagai lagi.

Pakaian yang mereka pakai kadang-kadang digunakan mendirikan  solat sama ada di masjid, surau dan sebagainya.

"Secara umumnya pakaian yang haram digunakan untuk solat dapat dibahagikan kepada dua.

Pertama pakaian bernajis dan pakaian yang dirampas. Kedua, pakaian lelaki yang diperbuat daripada sutera, pakaian bersulam emas, dipakai Islam.

Ini adalah bersandarkan kepada sabda Nabi Muhammad SAW bermaksud: "Diharamkan pakaian sutera dan emas bagi kaum lelaki umatku tetapi tidak diharamkan  untuk kaum wanitanya."

"Walaupun begitu dalam soal pemakaian baju atau seluar dan seumpamanya yang mempunyai lakaran tertentu ketika menunaikan solat, ia dikategorikan kepada tiga:-

Pertama; memakai pakaian yang mempunyai gambar makhluk tidak bernyawa seperti kereta F1, motosikal berkuasa besar, kapal terbang, rumah, pokok, laut, bunga, dan sebagainya lagi adalah harus dan tidak menjadi satu kesalahan.

Kedua; memakai pakaian yang mempunyai gambar makhluk yang bernyawa seperti singa, harimau, burung, kartun, tengkorak, kumpulan rock heavy mental, gambar ahli politik dan sebagainya lagi.

Ketiga; memakai pakaian yang mempunyai gambar dilarang Islam seperti wanita tidak menutup aurat, berunsur seks, bogel, gambar yang mengajak manusia ke arah suka kepada hiburan dunia semata-mata dan sebagainya lagi," katanya kepada Rehal.

Peduli dengan gambar

Justeru itu dalam soal berpakaian dalam solat ini perlu diberi perhatian memandangkan ramai yang tidak peduli perihal gambar yang ada di baju atau pakaian mereka dengan alasan yang penting adalah mendirikan solat.

Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) ini juga menjelaskan, sebenarnya solat ini perlu dilaksanakan secara berkualiti dan penuh dengan kekhusyukan kepada ALLAH.

Cuba elakkan perkara yang boleh menjejaskan kualiti solat kita kepadaNya. Abu Talhah  meriwayatkan bahawa  mendengar Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Malaikat tidak akan memasuki rumah yang terdapat di dalamnya anjing dan gambar".

"Begitu juga dengan peristiwa di zaman Rasulullah SAW di mana Aisyah mempunyai sehelai tabir nipis yang digunakan untuk menutupi satu penjuru di rumahnya.

Rasulullah SAW mengarahkan Aisyah agar buangkan tabir tersebut kerana gambarnya sering terbayang (mengganggu) dalam solat Rasulullah SAW.

"Ini memberi penjelasan sesuatu yang bertentangan dengan ajaran Islam khususnya berkaitan dengan proses solat maka janganlah kita sewenang-wenang membeli dan pakai ketika solat.

Selain itu pakaian yang mempunyai gambar-gambar yang boleh mengganggu kekhusyukan dan perhatian orang lain ketika solat juga perlu dielakkan," katanya.

Menurutnya, pakaian yang paling sesuai ketika solat ialah pakaian yang menutup aurat sama ada lelaki atau perempuan.

Firman ALLAH yang bermaksud: "...pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada setiap kali kamu ke tempat ibadah (atau mengerjakan solat)..." (Surah al-A’raf: 31)

Tutup aurat

Bagi masyarakat Islam di Malaysia kebanyakan mereka memakai baju Melayu. Ini tidak menjadi kesalahan asalkan ia menutup aurat. Begitu juga jika seseorang itu memakai pakaian berbunga ketika solat maka ia diharuskan dan tidak menjadi kesalahan.

Dalam erti kata lain seseorang boleh menunaikan solat dengan memakai pakaian yang sangat cantik setiap kali hendak menghadap ALLAH dalam solat.

Janganlah kita hanya mengamalkan memakai pakaian yang cantik dan mahal ketika ke tempat kerja, kenduri dan hari raya sahaja tetapi ketika kita sedang menghadap ALLAH yang menciptakan kita dalam solat lima waktu sehari semalam, kita hanya memakai pakaian yang murah, berbaju singlet, berkain pelekat sahaja tanpa baju dan sebagainya lagi. Janganlah kita mempunyai sifat bakhil
dalam perkara yang berkaitan dengan solat.

Aurat bagi seorang lelaki ialah di bawah pusat hingga di bawah lutut. Semua imam mazhab  mensyaratkan menutup aurat supaya solat menjadi sah.

Dalam erti kata lain seseorang lelaki yang memakai pakaian yang menutupi anggota badannya bermula di bawah pusat hingga di bawah lutut maka ia dibolehkan untuk bersolat.

Solat dengan hanya memakai seluar (di bawah pusat hingga di bawah lutut) tanpa baju tetapi masih lagi dalam batas aurat bagi seseorang lelaki, maka ia dibolehkan jika seseorang itu melakukannya kerana ingin menunjukkan rasa rendah diri dan menambahkan kekhusyukan ibadah kepada ALLAH.

Namun perkara ini akan menjadi makruh sekiranya seseorang lelaki yang mampu mempunyai pakaian atau pun ada pakaian yang mampu menutupi bahagian atas badan tetapi tidak digunakan untuk bersolat sebaliknya hanya memakai seluar atau kain pelekat sahaja maka ia dikira makruh.

Aurat seseorang Islam wajib dipelihara sama ada di dalam solat mahupun di luar solat. Aurat bagi seseorang wanita Islam yang ingin mengerjakan solat semestinya anggota badannya ditutupi dengan sesuatu yang tidak menampakkan warna kulit seperti kain yang tebal.

Sekiranya pakaian yang menutupi anggota badannya masih boleh menampakkan warna kulit dan pelbagai lagi seperti memakai telekung yang jarang serta nipis,  maka hukumnya tidak harus memakai telekung tersebut kerana hakikat penutupan yang sebenarnya tidak terlaksana dengan cara pakaian tersebut.

Maka telekung yang nipis itu perlu dia gantikan dengan kain telekung tebal yang mampu melindungi anggota badan dari ternampak.

Ini kerana salah satu syarat penutup aurat  ialah wajib menutup aurat dengan kain yang tebal atau kulit atau kertas yang boleh menyembunyikan warna kulit dan yang tidak menjelaskan sifatnya.

Jika kain nipis atau jarang boleh menampakkan apa yang di bawahnya atau membayangkan warna kulitnya seperti cerah atau kemerah-merahan, maka tidak sah solat dengannya kerana tidak mencapai tujuan menutup aurat.

Kesimpulannya, walaupun kain telekung yang diperbuat daripada kain tebal atau kain licin, kain telekung berwarna hitam putih dan berwarna-warni serta berbunga-bunga boleh digunakan untuk bersolat, elakkan sifat riak dan takabbur dengan kain telekung yang kita miliki kerana kadang-kadang dengan sifat riak dan takabbur yang kita miliki ini akan menjejaskan kualiti ibadah solat kita kepada ALLAH.

Wednesday, August 13, 2014

Mencari Keberkatan Masa

Minda Dr.Maza

Menjelang tahun baru, ramai yang menyambutnya. Sama ada hari pertama Januari ataupun Muharam, Islam tidak pernah menetapkan sambutan khusus buat tahun baru. Tiada ibadat khas sempena tahun baru seperti solat tahun baru, atau puasa tahun baru.

Ya, tidak menjadi masalah jika manusia ingin menyiapkan diri mereka menghadapi tahun baru. Mungkin mereka ingin menetapkan sasaran, perancangan dan idaman. Jika perancangan itu untuk kebaikan, seseorang akan memperolehi pahala. Begitulah sebaliknya. Jika tahun baru tidak datang pun, waktu dan hari tetap terus berputar dan tiada bezanya antara tahun lepas dan tahun ini. Ia terus berjalan seperti biasa sehingga sampai detik ia berhenti. Umur setiap kita akan terus bertambah, sama ada menjelang tahun baru ataupun tidak. Jika tidak bertambah tahun, ia bertambah bulan. Jika tidak bertambah bulan, ia bertambah hari. Jika tidak bertambah hari, ia bertambah jam dan minit dan akan terus meningkat ke hari, bulan dan tahun.

Sementara perhentian iaitu kematian, tidak pula kita tahu waktunya yang tepat. Namun yang pasti apabila ia sampai, tidak dilewatkan walaupun sesaat jua. Kita hamba Tuhan di persada masa.

Ya, hari dan waktu akan terus datang dan pergi. Jika jam, matahari dan bulan berhenti, masa tetap berjalan. Tiada makhluk yang dapat menghalang kedatangan waktu dan hari. Demikian tiada siapa pun yang dapat menahan ia pergi. Sama ada manusia menunggu untuk menyambut kedatangannya atau tidak mempedulikannya, ia tetap menjelang.

Demikian juga, waktu dan hari akan terus pergi sekalipun kita menyayanginya dan mengharapkan ia terus tunggu. Entah berapa banyak diari yang dicatatkan, entah berapa banyak sanjungan yang diberikan, entah berapa banyak kejian yang dilontarkan, dengan berlalunya waktu, ia menjadi sejarah dan kenangan.

Maka, entah berapa ramai manusia yang dipuji semalamnya, dilupai pada hari ini. Entah berapa ramai yang diperlekehkan semalam, disanjung pula pada hari ini. Berapa ramai mereka yang bongkak dan sombong semalam, hari ini berbicara bagaikan pengemis yang merintih simpati.

Demikian juga, entah berapa ramai yang diketepikan semalam, mungkin berkuasa atau diangkat pada hari ini. Wajah-wajah yang dahulunya comel dan cantik boleh berubah menjadi sughul dan masam. Tempat yang hening dan indah juga boleh bertukar menjadi sungul dan usang. Pemuda yang gagah akan bertukar menjadi orang tua yang mengah. Gadis yang cantik akan bertukar menjadi nenek. Perjalanan waktu dan masa adalah keajaiban ciptaan Tuhan.

Ramai orang lupa bahawa masa itu adalah makhluk Allah. Kita diciptakan dan diletakkan dalam perjalanan makhluk masa ini. Masa itu tiada siapa yang dapat menongkah pusingannya. Ia merubah segala-gala. Dari yang tiada kepada ada. Dari yang ada kepada tiada. Tiada siapa yang mampu menghalangnya melainkan Tuhan yang menciptakannya. 

Masa mengubah kita.
Mengubah anggapan manusia sesama mereka. Ia mengubah perasaan dan rasa. Ia mengubah benci dan cinta. Ia mengubah gembira dan duka. Namun waktu tidak boleh mengubah hakikat sesuatu di sisi Allah. Di sisi Allah, insan yang mulia tetap mulia walaupun manusia menghinanya.

harta

Insan yang keji tetap keji, walaupun manusia memberikannya kuasa dan harta. Seorang raja atau sultan yang meraikan hari jadi setiap kali menjelang musimnya dengan menganugerahkan darjat dan pangkat kepada orang lain, belum tentu dia sendiri mendapat darjat dan pangkat yang tinggi di sisi Allah.

Mungkin belanja hari jadinya itu akan menjadi beban kepadanya pada hari akhirat kelak; dari mana wang itu datang dan bagaimana ia digunakan? Seorang miskin di ceruk yang terpencil, mungkin tiada siapa yang mengambil tahu hari lahirnya dan tiada pula anugerah atau hadiah yang diperolehi. Namun, itu bukan tanda kehinaan buatnya. Bahkan jika dia hamba Allah yang baik, umurnya dan waktunya dilimpahi pahala dan keberkatan.

Ya, waktu dan masa akan terus menjelang, mengejar sang raja, juga mengejar si miskin yang tiada apa-apa. Mengejar kita semua untuk sampai ke perhentian masing-masing. Apabila sampai ke detik penghabisan, kita bertemu Tuhan. Ketika itu yang dinilai adalah hakikat yang sebenar, antara insan yang beruntung dan insan yang rugi.
Untuk itu Allah bersumpah dengan masa dan mengingatkan kita, siapa yang untung dan siapa yang rugi.

Firman Allah dalam Surah al-'Asr: (maksudnya) Demi masa! Sesungguhnya insan itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, serta mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. (Surah al-'Asr 1-3).
Demikian Tuhan Pencipta masa memutuskan bahawa insan yang hidup dalam sistem masa ini akan kerugian. Apa yang dapat menyelamatkan mereka adalah apabila mereka penuhi ciri-ciri yang disebutkan; iman, amal soleh dan berpesan-pesan kepada kebenaran dan kesabaran.

Ertinya, hidup bukan sekadar beriman dan beramal, tetapi hendaklah memperjuangkan tuntutan iman dan amal dengan melakukan peringatan, dakwah, seruan kepada kebenaran dan kesabaran. Kebenaran yang diajar oleh Allah dan rasul-Nya dan sabar dalam membahterai perjuangan kebenaran itu.

Jika sebahagian pengkaji cuba memahami dan membuktikan apa yang disebut oleh Albert Einstein dan Isaac Newton tentang teori kerelatifan masa (relativity of time), Islam pula telah lama memperkatakan tentang keberkatan umur dan waktu. Mereka yang meterialis barangkali tidak dapat berfikir bagaimana mungkin masa seseorang insan dengan seorang yang lain berbeza.

Bagaimana mungkin sejam si A lebih panjang daripada sejam si B?. Mereka kehairanan dan pemikiran materialistik memang tidak dapat menerima hal ini.

Dalam Islam ada istilah berkat atau barakah. Al-Quran berulang-ulang menyebut tentang keberkatan. Antaranya firman: (maksudnya) Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka keberkatan-keberkatan dari langit dan bumi. (Surah al-A'raf, 96). Allah perintahkan Nabi Nuh: (maksudnya) Dan berdoalah: Wahai Tuhanku, Turunkanlah daku di tempat turun yang berkat, dan Engkau adalah sebaik-baik pemberi tempat. (Surah al-Mukminun 29). Kata Nabi Isa: (maksudnya) Allah menjadikan aku ini diberkati di mana sahaja aku berada... (Surah Maryam, 31).

Apakah itu berkat atau barakah dalam bahasa Arab? Asal perkataan barakah ialah bertambah atau berkembang. Juga boleh bermaksud berkekalan. Al-Asfahani (meninggal 425H) menyatakan ia bermaksud kelangsungan kebaikan ilahi kepada sesuatu. (Al-Asfahani, Mufradat Alfaz al-Quran m.s 119, Damsyik: Dar al-Qalam).

Maka barakah adalah penambahan atau kelangsung kebaikan atau kurniaan Allah kepada sesuatu. Jika Allah berkati masa kita bererti berlaku penambahan dan kebaikan. Maka sejam yang diberkati tentu berbeza dengan sejam yang tidak diberkati. Setahun yang diberkati tentu berbeza dengan setahun yang tidak diberkati. Insan-insan yang berkhidmat untuk kemaslahatan manusia, Allah berkati umur mereka. Hasil yang dikeluarkan dan jasa ditaburkan kadang-kala tidak dapat dilakukan oleh orang lain walaupun jika berikan masa yang berganda.

Kita tidak boleh mengubah masa, tetapi kita boleh menjadi masa itu berkat dengan doa dan usaha-usaha yang ikhlas dan baik. Untuk merentasi kehidupan dan belantara masa banyak perkara kita tidak dapat duga. Kita mungkin merancang dengan perancangan yang hebat, tapi siapa yang dapat menjamin ia akan terjadi seperti yang dirancangkan.

rancangan
Berapa banyak rancangan buruk orang kepada kita, Allah tukar ia menjadi keuntungan dan kebaikan. Betapa banyak rancangan yang hebat, Allah tukar ia menjadi kerdil. Dunia ini bukan kita sahaja yang hidup. Berbagai rupa dugaan dan kerenah manusia yang lain.
Saya yang daif ini sejak sekian lamanya amat tersentuh dengan doa Nabi SAW Ya Haiyyum, Ya Qayyum, dengan rahmat-Mu daku memohon pertolongan. Baikilah seluruh urusanku, dan janganlah Engkau serahkan diriku ini kepadaku walaupun sekelip mata (Riwayat al-Nasai, dinilai sahih oleh al-Albani). Telah saya kongsi ia dengan pembaca dulu. Doa ini sering menjadi teman di sepanjang waktu.
Di setiap kesempatan yang mulia, saya lafazkannya. Saya kira saudara pembaca juga demikian. Menjelang tahu baru, moga Allah memberkati umur kita dan membantu segala urusan kita. Kita tidak boleh menongkah masa. Kita tidak boleh menghalang putaran masa. Kita tidak boleh menghentikan masa. Kita tidak boleh keluar dari sistem masa. Kita tidak boleh mengembalikan masa. Namun kita boleh memohon kepada Allah agar masa kita diberkati


Separuh Ramadhan & Puasa Yang Tercabar

Oleh Dr. Zaharuddin Abd Rahman
 "Tolong saya ustaz, apa formula dan caranya lagi untuk saya boleh berubah, tolong saya ustaz, saya benar-benar ingin berubah dan insaf, walau di bulan Ramadhan ini saya masih melakukan dosa itu"

Demikian luahan hati yang ikhlas beberapa orang pemuda dan pemudi kepada saya melalui medium internet. Pelbagai bentuk lafaznya, namun itulah juga inti maksudnya.
Kesnya apa? ada yang berzina, onani, tonton video lucah, bercerai suami isteri, bergaduh, mengumpat, menipu, mencuri, minum arak, tidak solat dan macam-macam lagi. Berlalu sudah 15 hari Ramadhan, ia masih berlaku dan terus berlaku di kalangan umat Islam kita.
Setelah hampir 15 hari kita berada di bulan mulia Ramadhan, kesan tarbiyahnya makin terasa bagi sesetengah pihak, manakala sebahagian yang lain semakin makin larut dan menjauh dari Allah swt. Sekumpulan lagi pula masih turun naik prestasinya, seperti nilai matawang yang kerapfluctuate.

Beribu-ribu ahli agama dan pendakwah mengingatkan diri dan orang ramai agar mempergandakan ibadah di bulan mulia ini. Di samping menjauhi diri dari perkara yang pasti akan merosakkannya.

SYAHWAT SEKSUAL DI BULAN RAMADHAN

Di samping senarai panjang itu, tidak dilupakan juga bulan ini seharusnya menjadi penguji dan pendidik kepada nafsu syahwat yang asyik ingin membara. Nafsu syahwat yang menjurus kepada syahwat seksual sentiasa cuba melepaskan diri dari kekangan Ramadhan.
Bagi yang sudah berumahtangga, apa yang Allah swt minta untuk diusahakan hanyalah jangan ‘bersama' di siang  hari Ramadhan. Ia kelihatan mudah, tapi jangan pelik dan hairan, amat ramai yang gagal. Web dan email saya juga dibanjiri dengan soalan berkaitan hal ini, masing-masing bertanya cara dan kaedah membayar kaffarah dan sebagainya. Memang benar, Allah swt maha mengetahui ramai manusia akan gagal dalam ujian tahan syahwat seks ini, justeru disediakan untuk manusia kaffarah bagi mereka menebus dosa, kesalahan dan kegagalan mereka.

Bagi yang belum berumahtangga, sepatutnya isu berpuasa syahwat seks di siang Ramadhan tidak menjadi hal, kerana mereka belum berumahtangga dan belum merasa nikmat ‘bersama'. Namun, amat ramai si bujang Muslim dan Muslimah yang jatuh tewas, seburuk-buruk ketewasan itu adalah apabila mereka berzina di siang hari Ramadhan. Innalillahi wa inna ilayhi raji'un. Amat buruklah apa yang mereka kerjakan.

Yang lain pula tewas dalam ‘ringan-ringan' syahwat bersama pasangan ‘kekasih', atau juga melalui medium komunikasi elektronik dan internet. Sekumpulan lagi tewas dengan penangan ‘tangan' sendiri. Semuanya buruk, namun menjadi lebih buruk apabila dilakukan di bulan Ramadhan, di siang harinya pula. Kes seperti ini juga tidak kering dari menjengah kotak email dan web saya, memberikan satu gambaran sebenar umat Islam di tanahair tercinta.

Pada bulan yang nafsu syahwat patut dididik dan dipukul kerana degil, malangnya ia berterusan menguasai sang diri. Amat dibimbangi, jika itu berlaku, itu adalah tanda diri akan terus menjadi hamba si nafsu syahwat di bulan-bulan lain yang mana nafsu akan diperkukuh kedudukannya oleh Syaitan yang berlegar.
Allah menyebut melalui hadis qudsi :
Ertinya : Dia meninggalkan makanannya, minumannya dan syahwatnya kerana aku (ALLAH), maka puasa khas untukKU, dan aku akan memberikan ganjaran untuknya.. ( Riwayat Al-Bukhari, no 1795, 2/670 )
Bagaimana mengubati syahwat luar kawalan ini? Tiada jalan mudah wahai anak Adam! Nafsu ini perlu ditekan dan dipaksa untuk tidak dituruti. Siapa yang diharap dapat membantu?

Jawapannya adalah diri sendiri, utuhkan keazaman dalam diri, seperti ketika dirimu ingin sesuatu lalu akan kamu redah dan bijak mencari aqal demi mencapainya.
Namun pelik, mengapa ‘diri' masih ingin kepada yang ditegah dan diharamkan. Lalu timbullah rintihan ‘saya lemah', ‘saya tidak cukup kuat', mereka ingin beritahu saya, bahawa mereka insaf tapi mereka mengaku lemah untuk melawan kehendak nafsu.
Justeru JANGAN SESEKALI mengaku diri lemah terhadap godaan nafsu, sebaliknya nyatakan kepada diri, "Hanya kali ini sahaja aku tewas, tidak di waktu yang lain!."
Akhirnya bertubi-tubi ruangan komen web saya dan email dibanjiri puluhan soalan berkenaannya. :
"Bagaimana ingin jadi kuat dan kalahkan nafsu ini?"
Jawapannya boleh jadi berjela-jela panjangnya, atau pendek mewakili seribu ayat. Biar saya pilih yang pendek, sesudah puas menghuraikan dengan panjang berjela di dalam pelbagai artikel.
"Yakinilah Allah swt dan hari akhirat"
Itulah kunci yang boleh membuka pintu yang diingini.


SYAHWAT LISAN
Berbekalkan hadis qudsi dan sebuah lagi hadis yang cukup popular di bulan ini, dapat kita ketahui syahwat yang mesti dikekang juga adalah syahwat lidah atau lisan.
Nabi bersabda :
Ertinya : Sesiapa yang tidak meninggalkan kata-kata buruk, dan perbuatan buruk, maka tiadalah bagi Allah hajat kepada penahanan makanan dan minuman (seseorang yang berpuasa itu)" ( Riwayat Al-Bukhari)
Ibn Al-`Arabi dan al-Qaradawi masing-masing mengulas bahawa pahala puasa akan hancur dengar kesalahan-kesahalahan ini, puasa tidak batal tapi pahalanya batal, hingga jadilah puasanya kosong, lagi gagal menghasilkan taqwa yang menjadi sasaran.
Umar ibn Al-Khattab berkata :
"Puasa bukan hanya menahan diri dari makan dan minum, tetapi juga dari bercakap bohong, tipu dan cakap kosong"
MARAH DAN KEMARAHAN
Lisan yang suka memaki hamun apabila marah, mengeji apabila benci, mengumpat apabila dengki, mengadu domba apabila busuk hati, berbohong untuk menyelamat diri dan mendapati yang dihajati.
Bercerita tentang keaiban orang dan keburukannya mungkin ada suatu kesedapan dan kelazatannya yang tersendiri. Ya, lazat yang diulami oleh nafsu ke dalam diri. Agar manusia tunduk menjadi hamba kepadanya.
Lalu di bulan ini, Nabi mendesak kita untuk mengawalnya, mengekangnya dari terus bermaharajalela dalam diri.
Nabi mengingatkan :-
الصيام جنة فلا يرفث ولا يجهل وإن امرؤ قاتله أو شاتمه فليقل إني صائم مرتين 
Ertinya : Puasa itu benteng, justeru jangan seseorang berkata buruk dan melakukan perbuatan orang jahil lagi bodoh, dan sekiranya ada yang mencari gaduh, mencercanya, lalu jawablah : Aku berpuasa, sebanyak dua kali. ( Riwayat Al-Bukhari)

Tahanlah marahmu..

Manusia bila dikuasai marah, kerap berkata keras, memaki lagi menghina.  Maka kawal ia sehabis mungkin. Elakkan dari berkata-kata buruk kerananya, ambillah wudhu dan bergeraklah dari tempat kemarahan ke tempat atau perbuatlah urusan lain. Jika kamu sedang berdiri, duduklah, dan seterusnya. Dari Abu Hurayrah r.a:-
Ertinya : Sekiranya ada seorang mencercamu, maka katakanlah : Aku berpuasa, dan jika kamu sedang berdiri, duduklah. ( Riwayat Ibn Khuzaymah, Fath Al-Bari, hlm 126)

Ya, ubah posisimu, agar aqal yang tidak waras kerana marah dapat dibendung dari memudaratkan diri dan orang lain yang berdekatan.
Ada yang marah sehingga membunuh, kemudian menyesal dan tidak menyangka itu perbuatannya. Ya ia seperti arak yang memabukkan, menghilangkan pertimbangan waras aqal dan iman.

Ada yang marah lalu tercerai isterinya, tercedera anaknya, dihina suaminya, tuntutan cerai kedengaran setiap minggu, mendera jiwa suami yang cuba bersabar.  Semua itu diinginikah ?
Semua itu mencederakan, bukan hanya di fizikal tetapi lebih jauh dan sakitnya di hati dan minda. Yang marah dan berkata keras itu pula dapat apa?.

Hanya dapat melepaskan marah dan memberitahu diri sedang marah.  Itu saja, tapi kesannya amat dalam dan jauh lebih buruk, sukar ditaksirkan. Kesannya buruk bagi yang marah dan yang dimarahi.

Justeru Allah mengarahkan kita menjadi kuat dan mampu mengawal marah, sesuai dengan sabda baginda Nabi s.a.w.  Namun ada kemarahan yang dituntut, iaitu dalam menyelamat maruah Islam yang dicabar, maruah diri dan keluarga yang cuba dicarik. Namun itu tidak boleh dilaksana secara semberono. Ia punyai kaedah dan peraturan.

Lihat bagaimana Nabi melarang seorang hakim memutuskan keputusan dalam keadaan marah, kerana marah menghilangkan kewarasan pertimbangan aqal. Ia cenderung mendorong ke arah melakukan kezaliman. Justeru Ramadhan bulan untuk mengikat dan mengawal kemarahan.

Malang pula, kelihatan di bulan berpuasa ini, jumlah yang marah semakin ramai berbanding di bulan lain, alasannya kerana perut kosong, emosi jadi lebih nipis.

Justeru adakah di bulan lain, emosi kita dikawal oleh perut yang kenyang? Janganlah percaya dengan alasan itu.  Ia hanya mainan Syaitan. Perut kenyang sama sekali bukan merupakan sumber ‘kawalan diri' yang akan berkekalan, yang patut menjadi sumber kawalan marah adalah iman dan taqwa, yang ditawarkan secara habis-habisan di bulan Ramadhan ini. Bertindak cepatlah mengambilnya dan jangan lagi perut dijadikan alasan.

DOSA DALAM DIRI

Namun walau dicuba sedaya upaya untuk tidak terjebak dengan dosa, sebagai manusia kita akan gagal juga. Ada dosa yang berpunca dari kita sendiri, ada juga yang didorong oleh faktor luaran. 'Zero dosa ' bukanlah target kita, ia di luar kemampuan. Target kita adalah ‘minima dosa kecil, zero dosa besar'. Kerana kita manusia dan bukan Malaikat.
Akan tetapi jangan jadikan sifat ‘kemanusiaan' kita sebagai excuse untuk berterusan melakukan dosa, atau selesa dalam dosa. Kelak nanti kita akan hilang kemanusiaan kerana dosa itu, hingga bertukar kepada ‘sifat kebinatangan' atau lebih teruk dari binatang lagi.
Nabi menyebut :
Ertinya : Demi nyawaku di tanganNya, sekiranya kamu tiada dosa, maka Allah akan hapuskan kamu dan didatangkan satu kaum yang berdosa, lalu mereka meminta keampunan Allah, dan mereka diampun oleh Allah ( Riwayat Muslim)

Hadis di atas memberi maklum, kita tidak akan mampu mencapai ‘zero dosa', dan yang diinginkan oleh Allah bagi merkea yang berdosa, sama ada kecil atau besar,  adalah taubat.Sama ada dosanya dari syahwat seksual dan lisan yang tidak terkawal atau lainnya. Pintu peluang untuk bertaubat masih terbuka, pintalah keampunan Allah, gandakan amal soleh agar ia dapat memadam kekotoran yang ditinggalkan oleh dosa.

Saya teringat kes pendakwah dan artis nasyid terkenal, Sdr Ust Akhil Hayy. Kita bersimpati dengan apa yang menimpa rumah tangga lamanya namun kekeruhan dari isu tersebut menjadikan dirinya dicaci dan dihina sebegitu teruk. Lihat saja koleksi ceramah dan nasyidnya di youtube, hampir tidak lekang dari kutukan dan cercaan.Demikian juga cercaan di pelbagai forum-forum di internet.

Semua cercaan ini adalah salah sama sekali, tanpa mengira siapa yang menjadi penyebab awal kepada penceraian itu, menjaja isu ini serta menafikan keseluruhan usaha baik yang telah, pernah dan masih disumbangkan untuk kebaikan Islam, adalah tidak wajar sama sekali.

Dengan terbinanya rumah tangga beliau yang baru, secara peribadi berdoa dan berharap agar tiada lagi aksi kurang sihat dan kurang wajar dilakonkan oleh seorang muslimah bertudung yang berimej Islam , dipertontonkan kepada umum, aksi yang kerap dilihat wujud di dalam filem-filem lucu dan lawak beberapa tahun lalu.  Saya doakan beliau mampu mengubahnya dan perolehi keluarga dan rumahtangga yang diberkati Allah.

Bagi pihak yang terselamat dari ujian sedemikian rupa atau dari sebarang dosa besar khususnya, janganlah meremehkan sesiapa yang pernah jatuh ke dalamnya.  Hulurkanlah bantuan, bukan cercaan. Galakkan mereka terus mempergandakan amalan soleh, bukan membantutkan mereka dari menyakini rahmat Allah.
"orang macam kamu ini memang hina dan tak layak dimaaf oleh Allah lagi"
"tak payahlah lagi kamu ajar orang lain buat baik, kamu tu sendiri pun teruk"

Janganlah sesekali dilontarkan kata sedemikian, ia hanya menjauhkan dia dari keinginan bertaubat dan penyesalan. Kelak nanti yang mengeji mendapat saham dosa juga kerana menghina

Semoga diri ini sentiasa ingat..Yakini Allah dan hari Akhirat, ayat yang sentiasa diulang kerap di dalam kitab Al-Quran.

Moga-moga kita semua beroleh taqwa sempena Ramadhan ini yang mampu membantu kita untuk meraih redha Allah swt, diganjari SyurgaNya dan segala nikmatnya.
Sekian

Sumber : Dr. Zaharuddin Abd Rahman