Berdoalah dengan intensif agar sentiasa mendapat keredhoan Tuhan
Isu Deepak nampaknya menjadi isu
hangat juga. Kehangatannya agak lebih dari kehangatan isu Musa Hassan dengan
kenyataan tentang gangguan politik ke atas urusan Polis. Semuanya melibatkan
pimpinan besar kerajaan dan parti pemerintah. Tidak pernah lagi keadaan ini
berlaku sebelum ini, maksud saya sebelum pentadbiran Dr Mahathir. Saya pernah
berkata keadaan yang tidak menentu hari ini adalah sumbangan besar Dr Mahathir
kerana perkara seperti ini hanya mula berlaku semasa pentadbiran beliau.
Kalau kita kaji lebih kurang
sahaja, kita boleh mengambil sikap ‘conclusive’ yang sesuatu perundingan dan
persetujuan di antara dua pihak untuk melakukan perkara yang tidak baik dan
kotor akhirnya akan terbongkar juga, walaupun sesulit mana pun rundingan itu di
buat. Bermuafakat untuk kerja yang tidak baik akhirnya pasti akan terbongkar.
Di dalam hal Deepak ini,
masyarakat yakin yang akuan bersumpah Bala Subramaniam yang kedua itu merupakan
tindakan yang sengaja di buat kerana tekanan. Masyarakat ramai tidak mungkin
percaya yang Bala Subramaniam akan menukar akuan bersumpahnya yang pertama itu kalau
tidak ada pihak yang membuat tekanan terhadapnya..
Apabila Deepak membongkarkan
rahsia sebenarnya, maka ia memudahkan rakyat ramai untuk membuat penilaian
yang ‘conclusive’ bahawa penglibatan pimpinan besar dan isteri atau keluarga
dalam kerja-kerja jenayah seperti ini adalah mendukacitakan kita semua. Itulah
sebabnya para cerdik pandai yang jujur dan ada sedikit keikhlasan selalu
berkata yang negara kita ini dipimpin oleh manusia yang tidak sepatutnya berada
di sana.
Negara telah memberikan mandat
kepada pihak yang tidak selayaknya berada dipesada kepimpinan negara yang
rakyatnya inginkan ketulinan nilai kumpulan yang memerintah. Rakyat tidak
putus-putus berdoa semasa sembahyang jumaat dan di mana-mana dan setiap masa
untuk mendapatkan rahmat Allah dan syufaat Junjungan Besar Muhammad saw untuk
negara kita berada di dalam keadaan aman dan mempunyai pentadbiran yang cekap
dan bersih.
Bagi diri saya secara peribadinya
saya amat bersyukur kerana doa kita selama ini untuk duduk dalam sebuah negara
yang aman dan tenteram secara fisikal dan pemikiran beransur-ansur telah di
makbulkan Tuhan. Segala yang kotor dan noda kepimpinan secara beransur-ansur
tetapi pasti sedang terbongkar dan rakyat boleh membuat apa yang sepatutnya
untuk negara apabila kita sudah mendapat sedikit sebanyak petunjuk untuk kita
bertindak dan menentukan haluan rakyat dan negara.
Sebagai seorang Islam adalah elok
dan molek kalau kita teruskan doa dan bermunajat agar negara kita dijauhi dari
kepimpinan yang terlalu sarat dengan noda terhadap rakyat dan negara yang
dipimpin mereka.
Sesungguhnya kita telah melakukan
segala-gala perancang mengikut zahiriahnya, tetapi kita mesti yakin yang
menjadi penentu yang ‘ultimate’ adalah Allah swt semata-mata. PerancanganNya
adalah perancang yang Maha baik dan di sebalik segala-gala yang berlaku pasti
ada hikmah dariNya.
Walaupun kita sedih dengan apa
yang kita dengar, tetapi hikmahnya tetap ada. Mungkin dengan terbongkarnya segala-gala
yang kotor ini merupakan kemakbulan doa kita selama ini untuk mendapatkan
petunjuk dari yang Maha Esa itu. Kita boleh melakukan tindakan yang kita
fikirkan wajar dan memohon segala apa yang kita lakukan itu sentiasa berada di
dalam sepenuh keredhoanNya.
Tuntutan kita dari Tuhan yang
Maha Esa hanya satu, iaitu kita sentiasa berada di dalam keredhoanNya. Kalau
begini keadaan negara dan kepimpinan kita tidak keterlaluan jika kita katakan
hanya Tuhan sahaja yang bakal menentukan masa depan negara kita.
Walau bagaimana pun kita tetap
berwajib untuk melakukan segala kerja syariat untuk mencapai matlamat membentuk
sebuah negara yang kembali baik dan jauh dari segala perlakuan sumbang dan
jenayah oleh kepimpinan negara kita.
Semoga segala usaha kita untuk
membawa perubahan itu diredhai Tuhan yang Maha Berkuasa dan Mendengar itu.
No comments:
Post a Comment