Thursday, December 6, 2012

Memperkasa ulama, profesional


Cikgu Sidek Baba

Ulama dalam maksud yang luas tidak hanya memiliki ilmu atau pengkhususan mengenai Islam. Ia memiliki perancangan dan program bagaimana pengkhususannya direalisasikan dan menjadi contoh ikutan yang memberi manfaat kepada manusia.

Ulama bukan sekadar memiliki imej luaran, tetapi harus memiliki kebijaksanaan bagaimana sumber al-Quran dan al Hadith, ijmak di kalangan ulama tersohor dijadikan panduan dan pedoman serta tegak dalam sistem dan model perubahan serta kemajuan.

Menginsafi umumnya orang yang berimej ulama memiliki keterbatasan dalam bidang ilmu dan pengkhususan, para ilmuwan dalam bidang tertentu dan profesional berjiwa Islami amat diperlukan untuk melengkapkan kerja-kerja ulama.

Perubahan dalam sistem dan pemerintahan tidak boleh didekati dengan semangat dan retorik semata-mata. Ulama, ilmuwan dan profesional yang memiliki kepakaran dalam bidang syariah umpamanya dan memiliki latar fiqh dan usul-fiqh yang hebat akan sentiasa menyumbang terhadap pembangunan tijarah dan muamalah serta akhirnya mampu membangunkan sistem ekonomi Islam itu sendiri.

Cabaran sedang menunggu di hadapan kita kini tidak sekadar ulama dan ilmuwan yang tinggi produktiviti rohaniahnya, tetapi hebat dalam produktiviti amaliahnya. Hasil kerjanya tidak saja terlihat dalam watak dan peribadi yang tawaduk sifatnya, tetapi memiliki kebijaksanaan yang tinggi dan terus istiqamah dalam melakukan perubahan meskipun berdepan dengan cabaran pelbagai.

Kadang-kadang para ulama mengharapkan pihak lain melakukan perubahan ikut acuan yang Islami. Tetapi orang atau pihak yang diharapkan itu tidak memiliki keupayaan dan kekuatan untuk melakukan perubahan.

Di sini pentingnya ulama, profesional, orang atau pihak lain melakukan sinergi supaya kemampuan dan bidang peranan yang berbeza boleh menyebabkan tercetusnya perubahan serta kemajuan mengikut acuan diperlukan.

Sebab itu amat penting ulama diprofesionalkan dan profesional diberikan orientasi ulama supaya sinergi ini mampu mengangkat martabat Islam. Malah kalau umarak dapat diulamakan dan ulama yang holistik kemampuannya diberikan peranan memimpin, cetusan perubahan boleh terjadi.

Islam bukan sekadar suatu sistem kepercayaan yang rohaniah sifatnya. Ia adalah suatu cara hidup membangun landasan tamadun.
Ilmu yang diperlukan tidak sekadar ilmu mengurus diri yang sifatnya diniah, tetapi juga ilmu mengurus sistem yang memberi kemampuan sains dan teknologi supaya Islam tidak saja terlihat dalam disiplin diri dan hati, tetapi terpancar dalam disiplin sains dan teknologi untuk mengurus sistem.

Al-Quran tidak saja menekankan pentingnya manusia memiliki kekuatan ibadah yang tinggi, tetapi juga sebagai khalifah mengurus diri, keluarga, umat dan sistem. Sebagai ibadullah dan ibadur rahman, kualiti ketaatan, kepatuhan, keakuran dan ketundukan amat dituntut supaya terbangun jiwa kekhalifahan yang mampu mengurus sistem.

Oleh itu sinergi ulama dan profesional adalah sesuatu yang tidak boleh dielakkan. Adalah suatu kemujuran pengalaman profesional hari ini terdedah dengan kesedaran rohaniah dan tarbiyyah sejak belajar di dalam dan luar negara lagi. Dukungan ulama’ menyantuni professional boleh menyebabkan perubahan tercetus dan model Islami dalam sistem terjadi.

Ulama tidak sewajarnya terlihat dalam pengasingan dan dirujuk dalam hal-hal agama semata-mata. Ulama yang relevan dengan perubahan zaman dan cabaran lingkungan adalah yang bersedia mengajar orang lain dan belajar daripada orang lain juga.

Profesional pula tidak harus bergantung kepada pengkhususan yang dimiliki saja, tetapi menghubungkan daya profesionalnya dengan pedoman agama supaya hasil kerjanya menjadi sebahagian daripada kerja-kerja ibadah.

Cabaran masa kini adalah teknologi tinggi (high-tech). Bagaimana ulama mampu menyantuni sains dan teknologi dengan pendekatan keinsanan (high-touch) supaya teknologi dilihat selamanya alat bukannya matlamat.

Keupayaan memahamkan nilai guna yang betul adalah suatu keperluan supaya teknologi dipedoman dengan etika dan nilai yang baik, di samping perisian dan program yang bermanfaat.

No comments:

Post a Comment