15 Disember 2012
Islam amat menitik-beratkan hubungan antara sesama manusia. Oleh itu, Islam telah menggariskan adab dan etika tertentu bagi memuliakan tetamu yang hadir ke rumah kita.
Sebenarnya, tetamu yang bertandang ke rumah adalah satu amanah ALLAH yang harus ditunaikan haknya. Pihak tuan rumah bertanggungjawab sepenuhnya selama keberadaan tetamu di rumahnya serta berkewajipan membelanjakan sebahagian rezekinya untuk mereka.
Menghormati tetamu dan menyempurnakan haknya menjadikan seseorang muslim itu memiliki iman yang sempurna. Lebih utama lagi apabila tetamu yang berkunjung ke rumah adalah saudara seagama sendiri. Di sini jelas terpancar keindahan Islam yang amat menitikberatkan amalan bantu-membantu sesama manusia.
Namun, keadaan ini tidak menafikan hak tetamu yang bukan beragama Islam untuk mendapat layanan terbaik daripada pihak tuan rumah yang beragama Islam. Golongan bukan Islam yang menjadi tetamu kepada orang Islam juga berhak mendapat layanan yang terbaik daripada tuan rumah.
Berkaitan hubungan sesama manusia, khususnya yang beragama Islam, Rasulullah pernah bersabda dalam sebuah hadis yang menerangkan betapa perlunya kita menghormati dan menyayangi saudara seagama. Perkara ini berkait rapat dengan tahap keimanan seseorang individu muslim.
Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehingga dia menyukai (sesuatu kebaikan terjadi) untuk saudaranya apa yang dia sukai untuk dirinya sendiri. - Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim
Menghormati serta memuliakan tetamu juga merupakan sunnah para nabi dan rasul sebagai contoh ikutan terbaik buat umat manusia. Misalnya, Nabi Ibrahim adalah antara para rasul yang amat memuliakan tetamunya.
Baginda menerima tetamu yang bertandang ke rumahnya dengan hati terbuka serta melayani mereka dengan layanan terbaik. ALLAH telah merakamkan perihal baginda yang menghormati tetamunya serta memberi layanan terbaik kepada mereka menerusi firman-NYA:
Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal tetamu Ibrahim yang dimuliakan? Tatkala mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata: “Salam sejahtera kepadamu!’’, Ibrahim menjawab: “Salam sejahtera kepada kamu!” (sambil berkata dalam hati): Mereka ini orang yang tidak dikenali. Kemudian ia masuk mendapatkan ahli rumahnya serta dibawanya keluar seekor anak lembu gemuk (yang dipanggang). Lalu dihidangkannya kepada mereka sambil berkata: “Silakanlah makan.” - Surah al-Zariyat : 24-27
Begitu juga dengan kisah Nabi Lut ketika didatangi tetamu yang sebenarnya para malaikat untuk menguji kaum baginda. Tetamu Nabi Lut telah datang ke rumah baginda dengan menyerupai wajah lelaki yang sangat memikat.
Oleh kerana kaum Nabi Lut memiliki perasaan cintakan kaum sejenis, maka mereka berusaha untuk mengganggu tetamu baginda. Lalu baginda telah sedaya upaya menjaga keselamatan para tetamu tersebut daripada menjadi mangsa kezaliman kaumnya yang dilaknat ALLAH. Al-Quran merekodkan kisah ini:
Dan kaumnya pun datang meluru kepadanya (dengan tujuan hendak mengganggu tetamunya) sedang mereka sebelum itu sudah biasa melakukan kejahatan. Lut berkata: “Wahai kaumku. Di sini ada puteri-puteriku. Mereka lebih suci bagi kamu (maka berkahwinlah dengan mereka). Oleh itu, takutlah kamu kepada ALLAH dan janganlah kamu memberi malu kepadaku di hadapan tetamu-tetamuku. Tidakkah ada di antara kamu seorang lelaki yang bijak berakal (yang dapat memberi nasihat)?” - Surah Hud : 78
Inilah di antara contoh yang jelas bagi menggambarkan pentingnya memuliakan tetamu yang datang ke rumah. Jika disoroti sejarah Rasulullah pula, dapat dilihat bahawa golongan Ansar telah menunjukkan contoh yang baik dalam hal memuliakan tetamu.
Mereka telah memberi layanan dan bantuan yang amat istimewa kepada golongan Muhajirin yang meninggalkan keluarga, harta benda serta kemuliaan di Mekah semata-mata untuk berhijrah ke Madinah.
Segala keperluan hidup yang diperlukan oleh golongan Muhajirin dipenuhi dengan sempurna oleh Ansar. Bahkan, golongan Ansar ini sanggup menceraikan sebahagian daripada isteri-isteri mereka untuk dijadikan isteri kepada kelompok Muhajirin. ALLAH menjelaskan kemuliaan sifat-sifat golongan Ansar ini menerusi firman-NYA:
Dan orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang yang berhijrah (Muhajirin) ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan sangat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang yang berjaya. - Surah al-Hashr : 9
Sebenarnya, amalan menghormati dan memuliakan tetamu bukan sahaja menunjukkan akhlak yang terpuji, malah ia berkait rapat dengan tahap keimanan seseorang muslim. Hal ini dijelaskan oleh Rasulullah dalam sebuah hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim:
Sesiapa yang beriman kepada ALLAH dan hari Kemudian, maka hendaklah dia berkata perkara yang baik atau diam. Barang siapa yang beriman kepada ALLAH dan hari Kemudian, maka hendaklah dia memuliakan jirannya. Barang siapa yang beriman kepada ALLAH dan hari Kemudian, hendaklah dia memuliakan tetamunya. - Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim
Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh al-Bukhari, Rasulullah bersabda:
Barang siapa yang beriman kepada ALLAH dan hari Akhirat maka hendaklah dia menyambung silaturahim. - Hadis riwayat al-Bukhari
Di antara adab-adab yang dianjurkan oleh Islam bagi memuliakan tetamu ialah menyambut kedatangan mereka dengan perasaan gembira serta berwajah manis, saling bertanya khabar berita, sedaya upaya menyembunyikan sebarang masalah keluarga, menyajikan makanan, menyediakan tempat tidur yang baik serta kemudahan-kemudahan yang diperlukan jika mereka bermalam. Perkara-perkara ini harus dizahirkan agar para tetamu yang datang merasa selesa dan rasa dihormati oleh tuan rumah.
Apa yang lebih penting, kesemuanya ini disediakan mengikut tahap kemampuan tuan rumah, tidak terlalu berkira atau berlebihan serta bukan dengan niat untuk bermegah-megah atas rezeki dan kemewahan yang dimiliki.
Kemudahan yang disediakan kepada tetamu pula haruslah pada kadar kemampuannya yang sederhana, serta tidak membebankan. Jika berasa terbeban dengan apa yang diusahakan untuk tetamunya, maka ia telah jauh tersasar daripada tujuan sebenar jalinan hubungan baik antara tuan rumah dengan tetamunya. Firman ALLAH:
Dan juga mereka (yang diredhai ALLAH itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tidaklah melampaui batas dan tidak bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu. - Surah al-Furqan : 67
Para ulama menyatakan bahawa bertamu yang disyariatkan oleh syarak adalah selama tiga hari. Melayani tetamu pada tahap yang wajib secara yang terbaik mengikut kemampuan hanya untuk sehari semalam sahaja. Manakala dua hari yang selebihnya disyariatkan melayani tetamu dengan apa yang ada di rumah sahaja.
Keadaan ini bagi mengelak perasaan terbeban oleh tuan rumah. Perbuatan yang pada awalnya dikira sebagai mulia, tetapi jika berlarutan sehingga sampai ke tahap menyusahkan tuan rumah, dikhuatiri ia akan menimbulkan suasana tidak elok. Malah, mungkin menimbulkan persengketaan pada kemudian hari. Rasulullah bersabda:
Bertamu itu tiga hari; dan selebihnya siang mahupun malam. Tidak halal bagi seorang muslim menetap di rumah saudaranya sehingga saudaranya itu berdosa kerananya. Para sahabat bertanya: “Bagaimana caranya dia berdosa?” Jawab baginda: “Orang itu menetap di rumah saudaranya, sedangkan saudaranya itu tidak mempunyai apa-apa lagi yang akan dihidangkan kepada tetamunya itu.” - Hadis riwayat Muslim
Bagi tetamu pula, mereka juga seharusnya menjaga adab serta etika sepanjang berada di rumah orang lain. Contohnya, mereka seharusnya memilih masa yang sesuai bagi pihak tuan rumah sebelum bertandang.
Tidak manis sekiranya tetamu itu datang bertandang pada waktu pagi selepas solat subuh, waktu tengah hari ketika orang sedang beristirehat, waktu maghrib dan juga larut malam. Inilah hak tuan rumah yang mesti dihormati oleh para tetamu.
Penuturan kata-kata juga mestilah sentiasa dijaga agar tidak mengundang rasa kurang senang dan menyakiti hati tuan rumah. Selain itu, tetamu seharusnya sentiasa menjaga setiap tingkah laku serta tidak mengganggu masa tuan rumah yang sepatutnya diperlukan untuk menyelesaikan tugasan harian mereka yang lebih penting.
Tetamu sepatutnya mengucapkan ucapan ‘terima kasih’ di atas segala layanan yang telah diberikan pada akhir kunjungan mereka serta mendoakan kebaikan buat tuan rumah seisi keluarga. Lebih penting, pihak tetamu wajib menjaga rahsia serta aib tuan rumah sepanjang keberadaan mereka di rumah tersebut.
Dalam konteks yang lebih besar, sebagai rakyat sebuah negara Islam terbaik, maka seharusnya kita sentiasa mempamerkan akhlak dan budaya yang terpuji kepada para pengunjung.
Para pelancong serta pelajar asing yang memilih Malaysia sebagai tempat untuk memenuhi hajat masing-masing seperti belajar dan bekerja sebenarnya adalah tetamu negara yang layak diberi layanan terbaik.
Tanpa mengira agama dan budaya, mereka seharusnya diberi bantuan sewajarnya sepanjang berada di negara ini. Sifat tidak kedekut memberi senyuman serta ringan mulut untuk memberi bantuan apabila diajukan soalan-soalan tertentu adalah antara cara bagi menunjukkan tatasusila dan budaya rakyat Malaysia yang mulia seperti mana yang dianjurkan Islam.
Budaya dan akhlak islamiah perlu ditonjolkan bagi memberi keselesaan kepada para tetamu negara sehingga berjaya memikat hati mereka untuk merasai keindahan Islam yang sentiasa menyeru umatnya supaya berakhlak mulia serta menjaga hubungan baik sesama manusia.
Sesungguhnya mereka ini mengundang rahmat dan keberkatan daripada ALLAH dalam kehidupan, menghilangkan dosa serta menjanjikan pahala sedekah buat tuan rumah yang berusaha sebaik mungkin memuliakan para tetamunya menurut tuntutan Islam.
Sebarang pertanyaan mengenai langganan sila hubungi 03 51017480/7481 /7478 HP: 019-3310102 atau http://mall.karangkraf.com
No comments:
Post a Comment