Tuesday, December 25, 2012


Keuntungan kekal abadi
Tazkirah Remaja
Bersama Mohd.Zawawi Yusoh



BUKAN mudah dalam kehidupan manusia yang penuh dengan cabaran ini untuk mempertahankan serta meningkatkan kualiti iman. Pastinya akan ada sesuatu yang berat dan gangguan daripada kawan, buku, filem dan hiburan yang datang dengan pelbagai tawaran. Baik dan buruk perangai kita akan jadi turun dan naik.


Bermusim umpama musim buah saja, tetapi kepada mereka yang bersungguh-sungguh dan percaya kepada tawaran Allah dan janji-Nya dapat meningkatkan keyakinan untuk terus menjadi baik.
Bagaimana remaja bernama Ammar bin Yaaser sanggup diseksa, diuji dan diazab kerana mempertahankan iman. Begitu juga remaja Ashhabul Kahfi, mereka sanggup bersembunyi dalam gua demi memelihara keimanan.


Mereka menghadapi semua cabaran dan tekanan itu dengan bersungguh-sungguh. Allah memberi janji-Nya kepada orang beriman sebagaimana disebut dalam al-Quran.


Janji itu menjadi pendorong untuk meraih keuntungan yang lebih kekal abadi.
 
Antara janji itu ialah orang beriman dijanjikan Allah pembelaan dan pertolongan.
Maksudnya orang yang beriman dan komited dalam agama Allah akan menjadi pembela kepadanya. Pembela maknanya penjaga, memulihara, penghibur dan pemberi kekuatan.

Allah Maha Kaya, jadi orang Islam yang kuat imannya walaupun miskin, apabila mereka dekat dengan Allah Yang Maha Kaya, dia akan berasa kaya dan diberi kekayaan.

Allah Maha Kaya maknanya, Allah tidak akan membiarkan hamba-Nya miskin. Sebab itulah orang yang dibela Allah walaupun mereka miskin harta, tetapi mereka sesekali tidak menggadai akhlak, peribadi dan maruah.

Mereka diberi kekayaan hati. Biarpun duit banyak, tapi kalau hati miskin mereka akan rosak seperti ‘matinya semut kerana gula’. Bila Allah tidak membela, nikmat bertukar menjadi bala.

Hari ini, umat Islam berdepan dengan pelbagai masalah kerana Allah sudah tidak dijadikan sebagai pembela. Kenapa hal itu berlaku? Semuanya disebabkan kita tidak ambil kisah segala suruhan Allah.

Allah hanya akan terus membela hambanya yang membela agama-Nya. Sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah membela orang beriman dan Allah tidak menyukai orang yang khianat.” (Surah al-Hajj ayat 38).

Janji kedua yang diperoleh orang beriman adalah jaminan keselamatan iman. Inilah jaminan yang paling mahal. Allah akan melindungi mereka daripada perangai buruk, akhlak rosak, godaan syaitan, kekufuran dan kemiskinan.

Tidak bermakna kita hanya perlu duduk saja tanpa berbuat apa-apa. Sebaliknya, mesti belajar merancang dengan beribadat serta menghayati agama dengan bersungguh-sungguh.

Janji ketiga yang diperoleh golongan beriman adalah mereka mendapat petunjuk kehidupan. Kita amat perlukan hidayah petunjuk di dunia yang penuh cabaran.

Kadangkala kita sudah tidak dapat membezakan lagi mana satu madu dan racun.
Lebih parah, jika madu itu bercampur racun. Amat sulit hidup untuk memilih kebenaran apabila kebaikan dikata kejahatan dan kejahatan pula dikatakan kebaikan.

Hanya jaminan Allah saja ang dapat menyelamatkan remaja kini daripada perangkap noda dan dosa. Namun yang penting kita perlu sentiasa berusaha untuk melakukan perubahan dalam hidup iaitu daripada jahat kepada baik atau lebih baik lagi, daripada jahil kepada berilmu.

Allah memberikan penegasan melalui firman-Nya bahawa Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum atau bangsa sehingga mereka sendiri berusaha mengubah apa yang ada pada diri mereka (Surah ar-Ra’d ayat 11).

Yang berubah sifatnya dalam diri manusia ialah hati dan akalnya. Fizikal hanya mengikut saja manakala hati adalah kunci utama membawa perubahan dalam hidup manusia.

Cara pertama untuk berubah ialah memperbaiki diri sendiri serta membersihkan hati daripada sifat keji (mazmumah) kepada sifat terpuji (mahmudah).

Kita perlu berusaha keras mendekatkan diri kepada Allah dengan penuh ketaatan. Seterusnya, perhatikan siapa kawan kita, adakah kawan kita mendorong ke arah kebaikan atau sebaliknya?

Adakah kawan kita berbangga dengan maksiat yang dilakukan hingga kita terdorong sama ke arah maksiat juga? Jadilah seorang yang pandai memilih dan menilai kawan, pilihlah kawan yang dapat memberikan kehidupan positif dalam hidup kita.

Apabila tersilap pilih kawan ia boleh menghancurkan keperibadian kita.
Kemaksiatan, kejahatan, dosa serta kemungkaran yang berpunca daripada sifat keji dalam diri akan mengundang kemurkaan Allah.

Untuk mendapatkan nilaian iman, ia bukan sekadar ‘percaya’ sebab jika hanya percaya, iblis lebih percaya dan berpengalaman.

Pengalaman itulah yang menyebabkan iblis berani ‘membangkang’ Allah.

Untuk tidak menjadikan kita sama dengan iblis, iman mesti diterjemah dengan lebih nyata iaitu melaksanakannya dengan perbuatan.

Rasulullah pernah bersabda yang maksudnya: “Iman itu bukannya angan-angan, tetapi ia tersemat di hati disebut di lidah dan diterjemahkan dengan perbuatan.

Iman laksana bekas manakala badan kita jasad seperti alat dan perbuatan adalah isinya. Sekiranya diletakkan susu maka dikatakan segelas susu.

Jika diletakkan racun, walaupun gelas itu berharga, tetapi ia sangat berbahaya. Begitulah iman jika tidak diisi dengan perangai dan akhlak, iman tidak berfungsi malah menyusahkan.

No comments:

Post a Comment