Sunday, December 23, 2012


PENIAGA: Antara syurga dan neraka


SH 21 Disember 2012 
Ramai Muslim yang mengusahakan perniagaan terutama kedai atau gerai makanan. - Gambar hiasan Melihat Muslim menjadi peniaga terutama dalam negara ini amat menggembirakan. 
Betapa kita ingin agar kekuatan ekonomi umat Islam ini berkembang.
Sejak dahulu, saya berkempen agar Muslim membantu perniagaan Muslim, membeli dan menghulurkan sokongan agar mereka berjaya. Ekonomi adalah satu kekuatan yang boleh menentukan perjalanan sesebuah masyarakat. Sementara kelemahan ekonomi pula mendedahkan sesebuah masyarakat kepada penghinaan dan percaturan pihak lain.

 

Secara kolektif, disebabkan kita majoriti kita memiliki purchasing power yang tinggi. Lihat saja, apabila umat Islam di negara ini ingin memboikot produk pro-zionis, syarikat-syarikat berkaitan mula gelisah dan cuba mencari pelbagai pendekatan menawan semula perasaan kita.
 

Jika kita tolong-menolong membantu perniagaan saudara kita, kita melaksanakan apa yang Nabi Muhammad SAW sabda: “Bandingan seorang mukmin dengan seorang mukmin yang lain bagaikan satu bangunan, kuat-menguatkan antara satu sama lain”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
 
Sifat peniaga Muslim
 

Apabila Muslim berniaga, dia sepatutnya membawa nilai-nilai mulia yang diajar oleh Islam semasa mengendalikan perniagaannya. Peniaga yang baik dan jujur mempunyai kedudukan yang mulia di sisi ALLAH SWT pada hari Kiamat kelak. Betapa banyaknya pengorbanan dan kesungguhan diperlukan untuk menjadi peniaga yang jujur sehingga Nabi bersabda: “Peniaga yang benar dan amanah bersama dengan para nabi, siddiqin dan golongan mati syahid” (Riwayat al-TIrmizi, bertaraf ‘hasan’).
 

Hadis ini menggalakkan Muslim berniaga tetapi hendaklah bersifat jujur dan amanah. Perniagaan di samping ia sumber rezeki, ia juga boleh menjadi sumber pahala yang membawa seseorang ke syurga dan darjat yang mulia.
 

Peniaga yang jujur lagi amanah pasti tidak akan terlibat dengan perkara-perkara yang haram, menipu, memungkiri apa yang dijanjikan, mengelirukan pembeli, memutar belit dalam urusan dan segala sifat-sifat yang buruk dan keji. Urusan perniagaan penuh kehormatan.
 

Maka layaklah dia bersama dengan para nabi, siddiqin dan syuhada. Dalam konteks seperti Malaysia, dia boleh memberikan mesej yang baik tentang kemuliaan ajaran Islam kepada pihak lain.
 
Penipuan dan khianat
 

Dalam masa yang sama, peniaga juga terdedah untuk menjadi pendusta dan pengkhianat jika dia tidak berakhlak. Menipu apa yang diberitahu kepada pembelinya dan mengkhianati mereka dalam keadaan mereka tidak sangka.
 

Dalam skala besar, ahli-ahli perniagaan yang mendapat projek-projek mega yang diwujudkan untuk kepentingan negara dan awam bukan sedikit yang menipu dalam pelbagai cara; kos, kualiti, pengurusan dan lain-lain. Ini sehingga negara dan rakyat terpaksa menanggung kos yang tinggi ataupun kualiti hasil kerja yang rendah, ataupun kedua-duanya sekali. Penipuan harta awam dan kezaliman mereka mengakibatkan  rakyat terpaksa menerima hasil yang tidak sepatutnya seperti jambatan, bangunan yang rosak dan bahaya. Dosa mereka ini terlalu besar. Tidak boleh dipadamkan dengan sekadar menderma untuk binaan masjid dan surau. Nabi bersabda: “Sesungguhnya para peniaga dibangkitkan pada hari Kiamat sebagai orang jahat kecuali mereka yang bertakwa, berbuat kebaikan dan benar” (Riwayat al-Tirmizi, al-Hakim dalam al-Mustadrak dll. Al-Hakim menyatakan sanadnya sahih. Ia dipersetujui oleh al-Zahabi)

Banyak contoh lain yang boleh kita sebut. Di Malaysia umpamanya, ramai orang Melayu Muslim menjual pelbagai ‘ubatan’, makanan tambahan dan seumpamanya. Pelbagai dakwaan yang sebahagiannya tidak terbukti benar tapi diwujudkan bagi menarik perhatian pembeli.
 

Bahkan ada yang menggunakan nama ALLAH dan Rasul-Nya dalam melariskan jualan. Pelbagai firman dan sabda dikaitkan. Dusta atas dusta. Khianat atas khianat.
 
Perniagaan makanan
 

Ramai Muslim yang mengusahakan perniagaan makanan terutama kedai ataupun gerai makanan. Para pembeli hanya melihat makanan yang sudah siap, tetapi mereka tidak nampak bagaimanakah makanan itu disediakan. Ada pengusaha yang tidak mengambil berat soal kebersihan. Proses makanan itu disediakan jika dilihat sendiri oleh pelanggan tentu mereka tidak sanggup makan. Mereka tertipu dengan apa yang telah terhidang. Mereka tidak tahu mereka mungkin telah menelan makanan yang kotor, ataupun adanya bahan yang bahaya untuk kesihatan mereka.
 

Peniaga yang seperti ini merupakan penipu dan pengkhianat yang setiap hari peniagaannya menzalimi dan mengkhianati orang lain. Mereka terus berdosa dengan pelanggan mereka. Malangnya, kadang-kala mereka terlupa bahawa setiap hari mereka menambahkan dosa mereka dengan manusia lain yang itu semua akan dibawa ke hadapan ALLAH nanti. Mungkin juga dibalas di dunia ini, jika ALLAH kehendaki. Nabi tidak menerima peniaga seperti ini sebagai pengikut Baginda.
 

Suatu ketika, Rasulullah melintasi satu bekas makanan (untuk dijual), lalu Baginda memasukkan tangannya ke dalamnya. Tangan Baginda menjadi basah. Baginda pun bersabda: “Apakah ini wahai empunya makanan (peniaga)?. Dia menjawab: “Terkena hujan, wahai Rasulullah!”. Baginda bersabda: “Mengapa engkau tidak jadikan bahagian yang basah itu di atas makanan supaya orang boleh nampak?! Sesiapa yang menipu, dia bukan dari pengikutku” (Riwayat Muslim).
 
Dosa  

 Peniaga yang menipu mata pembeli dengan ucapan, tulisan ataupun hiasan yang menawan sehingga pelanggan tertipu, akan menanggung dosa yang besar. Lebih buruk lagi, ramai peniaga kedai makanan yang meletakkan ayat al-Quran di dinding-dinding kedai mereka, bukan kerana ingin menghayatinya tetapi sekadar untuk menarik perhatian pelanggan. Padahal amalan perniagaan mereka tidak seiras dengan ajaran al-Quran. Mereka menzalimi pelanggan mereka yang datang dan mempercayai mereka. Mereka pula menyedia makanan yang tidak tergamak dimakan jika pelanggan mengetahui hakikatnya. Sedangkan al-Quran menegaskan: (maksudnya) “dan orang-orang yang menyakiti lelaki-lelaki yang beriman dan perempuan-perempuan yang beriman tanpa kesalahan yang dilakukannya, maka sesungguhnya mereka telah memikul dosa menuduh secara dusta, dan berbuat dosa yang amat nyata”. (Surah al-Ahzab, 58)
 

Jual beli yang mempunyai penipuan dan kezaliman adalah haram. Wang yang diperoleh juga adalah haram, walaupun dari segi undang-undang kelihatan macam halal. Sabda Nabi: “Muslim saudara Muslim. Tidak halal seorang Muslim menjual kepada saudaranya suatu jual yang ada kecacatan tanpa diterangkan” (Riwayat Ahmad, Ibn Majah dll. Al-Hakim menyatakan sahih dan disetujui oleh al-Zahabi).
 

Kita berbangga melihat Muslim berniaga. Namun para peniaga Muslim hendaklah beretika dalam perniagaan mereka selaras dengan ajaran ALLAH dan RasulNya. Peniagaan satu punca pendapatan yang halal. Jika dikendalikan dengan jujur membawa ke syurga. Jika dikendalikan dengan tipuan dan khianat membawa ke neraka.

No comments:

Post a Comment