Tuesday, December 4, 2012

Ayat Al-Quran sebagai penawar penyakit kanser

Posted on by albakriah

SOALAN

Nama saya Hasnah berusia 40 tahun. Saya disahkan menghidap kanser payudara pada awal Februari 2010. Pada Mac 2010, saya telah menjalani mastectomy iaitu pembedahan membuang keseluruhan payudara sebelah kiri.

Semasa pembedahan, sebanyak 15 kelenjar telah dikeluarkan dan tujuh dikenalpasti mengandungi sel-sel kanser. Saya telah menjalani rawatan kemoterapi sebanyak enam kali dan radioterapi sebanyak 15 kali. Kedua-dua rawatan tamat pada September 2010.

Namun pada bulan Oktober 2012, selepas lebih dua tahun saya tamat rawatan, saya mendapat cancer relapse iaitu kanser kembali menyerang malah telah merebak ke bahagian tulang spinal (C3 & C4) dan menyerang tulang pelvik dan tulang rusuk di dada saya.
Bolehkah, Tuan Haji Lokman terangkan mengapa kanser menyerang saya kembali walaupun saya sudah tamat rawatan kemoterapi dan radioterapi?

Apakah ayat-ayat al-Quran untuk diamalkan untuk menangani penyakit kanser dan bagaimana cara mengubatinya melalui perubatan Al-Quran?

JAWAPAN

Kanser begitu sukar dipulihkan terutamanya jika sudah berada di tahap tiga dan empat. Sebaik sahaja sel kanser merebak masuk ke saluran darah dan sistem peredaran kelenjar atau ‘lymph’, amat sukar untuk memastikan bahagian organ mana yang mengalami proses metastasis dan menyebabkan sel kanser.

Jalan paling mudah dalam kaedah perubatan moden adalah kemoterapi, iaitu memasukkan ubat anti kanser keseluruhan sel organ dalam badan. Tetapi proses kemoterapi hanyalah berfungsi untuk surpressed atau melemahkan sel kanser atau melambatkan proses kanser dari merebak dengan cepat.

Adalah sukar bagi pakar perubatan moden untuk memberi lima tahun jaminan pesakit akan sembuh atau selamat dari kanser. Ini kerana mereka sedar, kebarangkalian sel-sel kanser merebak ke bahagian tubuh yang lain amat tinggi.

Biarpun seseorang pesakit kanser telah bebas dari kanser berdekad lamanya, itu bukan jaminan kanser tidak akan kembali menyerang mereka. Dalam kes Puan Hasnah, mengapa kanser kembali menyerang biarpun selepas beliau menjalani rawatan kemoterapi enam kali dan radioterapi 15 kali.

Ini adalah kerana sel-sel kanser yang dilemahkan semasa rawatan kemoterapi atau radioterapi akan kembali aktif selepas beberapa jangka masa atas beberapa faktor seperti tekanan emosi (stres), pemakanan tidak seimbang dan pelbagai faktor lain. Apabila kanser kembali menyerang, pesakit perlu mengulangi semula rawatan seperti rawatan pertama.

Ini yang membuatkan pesakit berasa putus asa, tekanan emosi dan tabiat ini tidak membantu menyembuhkan sebaliknya membantu menggalakkan lagi pertumbuhan kanser.

Dalam erti kata lain, perjuangan melawan kanser melalui rawatan moden, tidak akan selesai dan menemui kesudahannya jika diri tidak berserah kepada Allah dan meminta pertolongan dari-Nya. 

Maksud Firman Allah di dalam Al-Quran
“Dan Kami turunkan dari Al-Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman….” (Al Israa’ 82)
“….Aku mengkabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku..” (Al Baqarah, 186)

Konsep perubatan menggunakan ayat-ayat suci Al-Quran adalah ibadah. Justeru tiap amalan perubatan ini adalah bersandarkan amalan ibadah serta doa dan munajat.

Konsep inilah yang akan menghasilkan keputusan ’2 dalam 1′, iaitu di samping mendapat kesembuhan, diri juga akan lebih dekat dengan Allah. Sesungguhnya kesakitan bukanlah alasan untuk kita menjauhi diri daripada Allah. Dan kesakitan bukanlah alasan untuk kita meninggalkan ibadah sama ada wajib atau sunat.

Falsafah kesakitan menurut islam adalah sebagai wahana untuk Allah menghapuskan dosa-dosa kita yang terdahulu, dan meningkatkan darjat kita disisi Nya.Justeru, berdoa ketika sakit lebih dipandang Allah berbanding ketika sihat. Hal ini kerana ketika sihat, ia akan berdoa dan beramal dengan sambil lewa, kerana belum merasakan peritnya sebuah musibah kesakitan.

Namun, apabila seseorang itu sakit misalnya, ia akan berdoa kepada Allah dengan penuh khusyuk, tawaduk serta penuh pengharapan supaya Allah memakbulkan doanya dan menyembuhkan penyakitnya.

Kerana itu, saya sentiasa mengingatkan para perawat di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah bahawa kita berpegang kepada prinsip berdakwah di dalam berubat. Dan buat para pesakit pula, kita membantu mereka agar yakin bahawa mereka beribadah sambil dirawat.

Hasil kedua prinsip ini, insya-Allah akan membawa kepada kesembuhan dengan syarat, para pesakit mengamalkan apa yang diarahkan serta meningkatkan amalan sunat dan menjauhi perkara-perkara dosa dan mungkar.

Saya akan berikan beberapa garis panduan secara umum mengenai rawatan kanser menurut kaedah ayat-ayat suci Al-Quran kepada pembaca dengan harapan kita meletakkan keyakinan yang penuh kepada mukjizat yang diberikan kepada Rasulullah s.a.w serta rahmat sekalian alam.

Al-Quran, bukan sekadar bacaan, ia sumber panduan juga medium penyembuhan. Insya-Allah, semoga dengan keyakinan yang terbina, Allah akan hadiahkan pesakit/ pembaca dengan kesembuhan.

Antara kaedah yang digunakan untuk merawat kanser menurut perspektif perubatan Al-Hidayah adalah ;
* Membaca beberapa rangkaian ayat suci Al-Quran.

Ini adalah amalan utama atau amalan pokok dalam perubatan ini. Pesakit akan diberikan beberapa ayat suci Al-Quran, yang saya beri selepas memeriksa pesakit, jenis kanser, sejauh mana tahap sakit dan kesan penyakit terhadap pesakit.

Ayat suci Al-Quran yang diberikan adalah berbeza-beza mengikut individu disebabkan beberapa faktor yang disebutkan tadi. Namun, secara umumnya, ayat-ayat Al-Quran yang berfungsi sebagai agen penyembuh kanser bermula dengan surah Al Mukminun, ayat 91 hingga 100 dan surah Al Hajj, bermula ayat 31 hingga 55.

Ayat surah Mukminun untuk dibaca pada waktu malam sebanyak tiga kali sama ada selepas maghrib atau isyak atau mana-mana masa yang sesuai pada waktu malam atau dibacakan di dalam sembahyang sama ada fardu, atau Qiyammulail.

Ayat surah Al Hajj tadi pula adalah untuk bacaan siang sebanyak tiga kali selepas subuh, zohor atau asar.Jika tidak sempat, maka boleh dibaca pada bila-bila masa di waktu siang. Kesimpulannya, tiada alasan sibuk atau tidak sempat untuk seseorang pesakit melakukan amalan ini.

Selepas 3 kali membaca ayat ini, pesakit boleh berdoa kepada Allah agar sakit mereka sembuh.Ingat, berdoa dengan penuh keyakinan bahawa Allah berkuasa menyembuhkan setiap penyakit di dunia ini.Kita telah pun berikhtiar dengan membaca ayat ini, lalu berdoa dan bertawakal kepada Allah, insya-Allah, pesakit akan merasakan perbezaannya setelah beberapa hari.

Dua rangkaian ayat yang saya berikan tadi, (Al Mukminun, Al Hajj), hendaklah diamalkan selama empat hingga lima minggu.
Baca dengan seikhlas hati dan penuh keyakinan. Setelah empat hingga lima minggu membaca ayat tadi, pesakit perlu pula membaca dua dari rangkaian surah-surah di bawah.

Surah Rangkaian Ayat

Al Anbiya’ 38 hingga 50
Huud 60 hingga 80
An Nahl 90 hingga 110
Yunus 55 hingga 70
Qasas 66 hingga 88
Ibrahim 9 hingga 22
Al Kahfi 38 hingga 60
Yunus 71 hingga 89

Setakat hari ini, saya telah mengenal pasti sebanyak 60 rangkaian ayat suci Al-Quran yang merupakan ayat spesifik penyembuh penyakit kanser.

Malah, ayat ini bersifat khusus untuk setiap tahap kanser dan spesifik untuk setiap jenis kanser yang dialami. Setiap rangkaian ayat ini sama jika dibandingkan dengan setiap satu jenis ubat dalam kaedah rawatan kanser secara moden

No comments:

Post a Comment