March 7th, 2014
Sudah menjadi kebiasaan, disebabkan hari Jumaat adalah hari
kerja di Malaysia ,
lelaki yang bekerjaya terpaksa terkejar-kejar mengambil waktu rehat tengahari
untuk makan tengahari dan juga menunaikan solat fardhu Jumaat secara berjemaah.
Namun, dalam ketika itu, ramai yang tidak sedar setiap minggu, mereka mungkin
membeli makanan yang berulamkan dosa.
Sebelum ini, saya pernah mengulas berkenaan hal ini melalui
siaran ‘Tanyalah Ustaz TV9′ dan juga wawancara bersama Utusan Malaysia . Namun
melihat kepada kekerapan dan kurang sensitiviti kalangan umat Islam di Malaysia
khususnya. Satu penulisan ringkas yang khusus berkenaan hal ini adalah perlu.
Persoalan jual beli yang terus
berlangsung di kalangan peniaga dan pembeli lelaki selepas azan pada hari
Jumaat perlu dipandang serius atau ia akan berterusan. Lebih kurang
menyenangkan, apabila melihat peniaga-peniaga ini berkhemah di luar masjid,
mengambil untung atas perkumpulan umat Islam yang ingin menunaikan solat
Jumaat, sedang mereka menjadi penyebab kepada dosa.
PENGHARAMAN
JUAL BELI SELEPAS AZAN DI HARI JUMAAT
Solat Jumaat adalah wajib hanya ke atas
lelaki baligh dan bukan wanita. Justeru setiap urusniaga di antara wanita
dengan wanita selepas azan pertama atau kedua dikumandangkan pada hari Jumaat
adalah sah dan harus. Justeru, ia tidak termasuk di dalam
perbincangan para ulama dan bukan pula fokus artikel ini. Ia adalah satu keharusan
yang disepakati oleh keempat-empat mazhab terbesar dalam Fiqh Islam.
Demikian juga halnya bagi mereka yang tidak
wajib solat jumaat kerana sebab lain seperti sakit, musafir dan sebagainya.
Perbincangan hukum hanya berkisar kepada
para lelaki, sama ada peniaga lelaki, pembeli lelaki atau kedua-duanya sekali
yang sihat, baligh dan tidak bermusafir.
Asas hukum adalah dari surah al-Jumaat ayat
9 yang maksud-Nya:
يَا
أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِي لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ
فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن
كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
Ertinya :Hai orang-orang yang beriman, apabila diseru untuk
menunaikan sembahyang pada hari Jumat, maka bersegeralah kamu kepada mengingat
Allah dan tinggalkanlah jual beli. Yang demikian itu lebih baik bagimu jika
kamu mengetahui.
AZAN PERTAMA ATAU KEDUA?
Walaupun telah ijma’[1] di kalangan ulama akan pengharaman jual
beli berdasarkan ayat di atas, mereka berbeza ijtihad dalam menentukan
pengharaman itu jatuh selepas azan pertama atau kedua.
Perlu difahami bahawa azan Jumaat di zaman Nabi s.a.w, Abu Bakar
as-Siddiq r.a dan Umar r.a hanyalah sekali sahaja, iaitu di ketika khatib
(imam) naik ke atas mimbar untuk memulakan khutbah. Di zaman pemerintahan
khalifah Uthman r.a, bilangan umat Islam bertambah lalu diperkenalkan azan
kedua dan seterusnya ketiga (berfungsi sebagai iqamah).
Namun, hasil daripada kewujudan lebih dari satu azan selepas
zaman Uthman, para ulama sekali lagi perlu berijtihad dalam menentukan azan
manakah yang mesti tiada lagi jual beli selepasnya. Mazhab Maliki dan Hanbali
jelas dan tegas bahawa pengharaman adalah selepas azan kedua iaitu di ketika
khatib sudah naik ke atas mimbar, ia juga bertepatan dengan suasana di ketika
turunnya ayat Al-Quran, para masa hayat baginda Nabi s.a.w.[2]
Imam At-Tohawi Al-Hanafi menegaskan :-
المعتبر
الأذان عند المنبر بعد خروج الإمام ، فإنه هو الأصل الذي كان للجمعة على عهد رسول
الله صلى الله عليه وسلم
Ertinya : Azan yang terpakai (dalam hal ini) adalah yang ketika
keluar imam di atas mimbar, maka itulah yang asal sebagaimana Jumaat di zaman
baginda Nabi s.a.w (Mukhtasar at-Tohawi, hlm 24)
Namun demikian, ulama mazhab Hanafi kelihatan mempunyai
berbilang pandangan dengan majoriti di antara mereka berijtihad azan kedua
adalah ‘pasti haram’, cuma terdapat sebahagian besar mereka yang juga
berpendapat pengharaman bermula sejak dari azan pertama (azan masuk waktu) lagi
atau selepas tergelincirnya matahari pada hari tersebut.[3] Ini bermakna,
mazhab Hanafi lebih tegas dalam hal ini dan disepakati oleh keempat-empat
mazhab, berjual beli selepas azan kedua adalah haram.
Imam Ibn Kathir Al-Syafie menyebut :
اتفق
العلماء على تحريم البيع بعد النداء الثاني
Ertinya : Para ulama bersepakat
berkenaan pengharaman jualbeli selepas azan kedua ( Tafsir Ibn Kathir, 4/367)
BERDOSA SAHAJA ATAU AQAD JUGA BATAL?
Walaupun berjualbeli di waktu itu adalah haram yang beerti
berdosa atas si penjual dan pembeli, namun adakah aqad jual beli mereka
terbatal?
Jika kesalahan ini dilakukan, dosa yang ditanggung adalah satu
peringkat, manakala sah batal transaksi itu pula adalah satu peringkat yang
lain. Jika aqad tidak sah, beerti pemilikan harga yang diperolehi oleh penjual
adalah batal dan demikian juga pemilikan pembeli ke atas barangan beliannya.
Jika itu berlaku, beerti kedua-dua mereka menggunakan harta milik orang lain
dan berterusan keadaan itu sehingga akhir hayat mereka dalam keadaan penuh
syubhat dan bermasalah.
Dalam hal ini, para ulama tidak sepakat dalam menanggapi
kesahihan atau terbatalnya aqad. Para Ulama terbahagi kepada dua kumpulan :
Pertama : Aqad adalah sah dan hanya dosa ditanggung oleh penjual
dan pembeli. Ia adalah ijtihad dari mazhab Hanafi, Syafie dan sebahagian
Maliki.
Kedua : Aqad batal dan berdosa ; Ia adalah
pendapat mazhab Hanbali dan majoriti Maliki.
Namun, berdasarkan penelitian, pendapat
pertama adalah lebih kukuh, khususnya adalah rukun dan syarat jual beli telah
semuanya dipenuhi, kecuali ia melanggar waktu jualan yang diharamkan sahaja,
atas kesalahn itu dosa sahaja ditanggung tanpa pembatalan aqad.
Apapun, amat perlu umat Islam di Malaysia
dan dimana sahaja untuk lebih berhati-hati dalam hal ini. Justeru, amat
digalakkan agar dapat dinasihatkan kepada para peniaga dan semua warga Muslim
yang wajib ke atas solat Jumaat untuk menghindari kesalahan ini. Kita
bimbang,akibat kejahilan, ramai yang melanggarnya secara berulang kali.
KESIMPULAN
Kesimpulan, jual beli itu akan jatuh haram
hanya apabila:
a) Dilakukan selepas azan kedua
sewaktu imam berada di atas mimbar.
b) Dilakukan oleh lelaki (sama
ada sebagai peniaga atau penjual) yang wajib solat Jumaat.
c) Mengetahui berkenaan hukum
haram ini, dan wajiblah ke atas individu mukallaf untuk mempelajarinya. Wajib
pula untuk menyampaikannya bagi yang mengetahui.
Saya amat berharap agar para khatib
dapat mengingatkan perkara ini setiap kali mereka berada di atas mimbar, juga
diingatkan oleh para bilal sebelum mereka melaungkan azan kedua. Digalakkan
pula bagi orang ramai untuk mengedarkan tulisan ini di masjid-masjid bagi
menyedarkan orang ramai.
Sekian,
Zaharuddin ABd Rahman
No comments:
Post a Comment