Monday, March 31, 2014

Zikir Untuk Kekuatan Umat

IBRAHIM ABDULLAH
Sinar Harian- 30 Mac 2014

PADA 21 Mac lepas di Dataran Masjid Putrajaya diadakan  majlis Selawat Perdana Malam Cinta ALLAH dan Rasul yang  merupakan perhimpunan agung selawat terbesar pernah  dianjurkan di pusat pentadbiran negara.

Majlis bertemakan "Kesatuan, Perpaduan dan Persaudaraan" itu  diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib  Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan  menteri-menteri Kabinet serta rakyat berbagai golongan.

Alunan qasidah dan selawat yang memuji Rasulullah SAW itu dipimpin tokoh agama Nusantara, Habib Syech Abdul Qodir Asseqaf dan Habib Ali Zaenal Abidin al-Hamid.

Program hampir empat jam itu, para hadirin turut menunaikan solat Maghrib dan Isyak berjemaah, selain disajikan dengan zikir terapi dan bacaan al-Quran berduet oleh peserta Imam Muda Amiril Md Banin serta Pencetus Ummah (PU).

Selepas solat Isyak, kesemua menyertai solat hajat serta bacaan doa bagi memohon agar operasi mencari dan menyelamat pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac dipermudahkan.

Selang beberapa hari, dengan izin ALLAH, iaitu pada 24 Mac,  jam 10 malam, Perdana Menteri mengumumkan melalui siaran  televisyen berdasarkan maklumat dan kajian oleh pakar,  bahawa serpihan MH370 ditemui dan berakhir di selatan Lautan  Hindi di Barat Daya Perth, Australia.

Hal ini menunjukkan berkat dan hidayah ALLAH SWT dengan  zikrullah tersebut ALLAH Taala menolong dan memberi petunjuk  kepada hamba-Nya, kerana zikrullah (mengingati) ALLAH adalah suatu pekerjaan yang besar dan penting dalam kehidupan umat  manusia dan kekuatan suatu bangsa.

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Dan sebutlah dengan lidah atau dengan hati akan nama Tuhanmu (di dalam dan di luar sembahyang), pada waktu pagi dan petang.” (Surah Al-Insaan : 25).

Firman ALLAH Taala lagi yang bermaksud: “Wahai orang-orang  yang beriman, janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta  benda kamu dan anak-pinak  kamu daripada mengingati ALLAH  (dengan menjalankan perintah-Nya). Dan ingatlah sesiapa yang  melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang  rugi.” (Surah al-Munafiquun : 9).

Firman-Nya yang bermaksud: “(Iaitu) orang-orang yang  beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah.

Ketahuilah dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati  manusia.” (Surah ar-Ra’d : 28).

Dalam hadis disebutkan yang bermaksud: “Perbandingan di  antara orang yang mengingati Tuhannya samalah dengan  perbandingan di antara seorang yang hidup dengan seorang  yang mati.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Zikrullah atau mengucapkan kata-kata pujian yang mengingati  kebesaran ALLAH SWT, adalah amalan istimewa Nabi Muhammad  SAW dan para sahabatnya, zikrullah merupakan media yang membuat kehidupan Nabi dan para sahabat benar-benar hidup.

Ibnu Qayyim Rahimahullah menegaskan bahawa zikrullah  memiliki 73 manfaat yang antaranya ialah:
1.     Mengusir syaitan dan menjadikannya kecewa
2.     Membuat ALLAH reda
3.     Menghilangkan rasa sedih dan gelisah dari hati manusia
4.     Membahagiakan dan melapangkan hati
5.     Mengangkat manusia ke maqam ihsan
6.     Mendapatkan berkat ALLAH di mana sahaja
7     Berada di bawah naungan ALLAH di hari kiamat
8.     Menjadikan hati selalu terjaga
9.     Mendatangkan nikmat dan menolak bala
10.     Memalingkan seseorang dari membincangkan kebatilan
11.     Zikrullah merupakan penyatu hati orang beriman dan  pemecah hati musuh ALLAH
12.    Mendekatkan kepada akhirat dan menjauhkan dari dunia
13.     Menjadikan hati selalu terjaga
14.     Zikrullah adalah pohon makrifat dan pola hidup orang  soleh
15.     Pahala zikrullah sama dengan berinfak dan berjihad di jalan ALLAH
16.     Zikrullah adalah pangkal kesyukuran
17     Mendekatkan jiwa seorang hamba kepada ALLAH
18     Melembutkan hati 

Sungguh luar biasa manfaatnya. Tetapi orang tidak akan yakin  dengan manfaat-manfaat di atas kecuali yang telah berasakan  dan menikmatinya. Marilah kita cuba memulainya dan  meneruskan majlis zikrullah ini sepanjang zaman sebagai  kekuatan bangsa dan umat. Insya-Allah. Wallahu’alam.


Manfaat zikir dan doa
WARTAWAN SINAR HARIAN
7 Mac 2014



ALLAH SWT berfirman bermaksud: “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepada mu (Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku berada dekat dengan mereka. Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Hendaklah mereka memenuhi (perintah)-Ku dan beriman kepada-Ku agar mereka beroleh kebenaran.” (Surah Al-Baqarah: 186)


Kelebihan doa
Biasanya setelah kata sa-alaka atau yas-alunaka ada kata qola yang bermaksud katakanlah wahai Muhammad, namun dalam ayat ini, khusus ALLAH yang menjawab terus tanpa perantara Nabi Muhammad SAW.

Ini untuk menunjukkan bahawa dalam berdoa dan bermunajat kepada ALLAH kita tidak perlu perantara kerana kita boleh terus meminta dan berharap kepada-Nya. Begitu dekatnya Dia dengan hamba-Nya.

ALLAH berfirman: “Berdoalah kepada Tuhan mu dengan rendah hati dan suara yang lembut. Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang yang melampaui batas.” (Surah Al-A’Raf: 55)

Daripada Abu Hurairah RA, dia berkata, “Rasulullah SAW bersabda: “Akan dikabulkan doa orang yang berdoa di antara kalian, selagi dia tidak tergesa-gesa. Iaitu dia berkata, 'aku telah berdoa tetapi tidak dikabulkan.” (Riwayat Bukhari & Muslim)

Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sentiasa akan dikabulkan doa seorang hamba selama dia tidak berdoa dalam perkara dosa, perkara yang memutus silaturahim, serta selama tidak tergesa-gesa dalam doanya”.

Seorang sahabat bertanya, ‘Apa yang dimaksudkan ketergesa-gesaan dalam doa ya Rasulullah?’ Baginda SAW mengatakan: “Dia mengatakan aku telah berdoa, aku telah berdoa namun aku tidak melihat ALLAH mengabulkannya untuk ku’ kemudian dia pun berpaling dan meninggalkan doanya.” (Riwayat Muslim).

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidaklah seorang yang berdoa kepada ALLAH dengan doa kecuali ALLAH akan memberikan kepadanya, sama ada dengan dikabulkan segera di dunia lagi.

Atau disimpankan untuknya kebaikan di akhirat atau ditutupkan (kifarat) dosanya setakat doanya selama dia tidak doakan unsur-unsur dosa, memutuskan silaturahim atau mohon disegerakan.

Maka sahabat berkata: “Ya Rasulullah bagaimana doa minta segera itu? Baginda berkata; seseorang itu berdoa, aku berdoa Tuhan ku, maka perkenanlah segera.” (kata Abu Isa hadis ini gharib, sunan Al-Tarmizi, 3968)


Zikir tingkatkan takwa

Zikir dalam makna umumnya mencakupi semua jenis ibadah daripada solat, puasa, haji, membaca al-Quran, berdoa, memuji, bertasbih serta segala jenis ketaatan lainnya.

Syeikh Abdurrahman bin Sa’di menjelaskan ketika zikrullah disebutkan secara mutlak maka ia mencakupi semua jenis ibadah untuk mendekatkan diri kepada ALLAH dari segi akidah, fikiran, amalan sama ada hati atau anggota badan, pujian terhadap ALLAH, belajar dan mengajarkan ilmu yang bermanfaat dan ketaatan lainnya.

ALLAH berfirman: “Sesungguhnya, Aku ini ALLAH, tidak ada tuhan selain Aku, maka sembahlah Aku dan laksanakanlah solat untuk mengingat Aku.” (Surah Taha: 14)

Sedangkan makna khusus zikrullah bererti menyebut ALLAH dengan lafaz-lafaz yang berasal daripada ALLAH dengan membaca kitab-Nya, menyebut nama dan sifat-Nya dengan lisan atau dalam hati sesuai dengan yang disebutkan dalam al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad SAW yang kesemuanya itu bermaksud mengagungkan, menyucikan dan mentauhidkan ALLAH.

Dan yang paling penting daripada zikir itu adalah kehadiran hati, di mana lisan mengucapkannya lalu difahami maknanya.

ALLAH berfirman dalam yang bermaksud, “Maka ingatlah kepada-Ku, nescaya akan aku ingat kepada mu. Bersyukurlah kepada-Ku dan janganlah kamu ingkar kepada-Ku.” (Surah al-Baqarah: 152)

Zikir ialah ibadat paling ringan tetapi amat berat timbangan pahalanya. Walaupun mudah dan ringan diamalkan, kebanyakan Muslim lupa melakukannya disebabkan tidak dilatih berbuat demikian.

Zikir tidak memerlukan wuduk atau menutup aurat. Ia tidak dibatasi oleh waktu dan tempat. Di mana dan bila-bila sahaja dan dalam keadaan apa pun ibadat ini boleh dilakukan. Sungguh senang tetapi ramai manusia yang meninggalkannya. ubah takdir dengan doa.

Daripada Tsauban, dia berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada yang boleh menambah umur kecuali perbuatan baik dan tidak ada yang boleh menolak takdir kecuali doa.

Sesungguhnya seseorang boleh jadi terhalang rezekinya kerana dosa yang dilakukannya.” (Riwayat Tirmizi, Ibnu Majah, Ahmad dan Hakim, ini lafaz Ibnu Majah)

ALLAH berfirman: “(iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenang tenteram dengan mengingati ALLAH. Ingatlah, hanya dengan mengingati ALLAH hati menjadi tenang tenteram.” (Surah Al-Ra’d: 28)

Mengingati ALLAH atau zikrullah adalah amalan yang paling mulia melalui pergerakan lidah, kesedaran akal budi dan keinsafan hati dan jiwa.

Dengan mengingati ALLAH, kita akan merasa ketenangan jiwa kerana menyedari bahawa berada di samping Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang kepada hamba-Nya. Apabila dia kembali kepada-Nya, maka sebenarnya dia kembali berpaut kepada asas yang kukuh.

Manusia kadang-kadang gelisah menghadapi masa depan yang belum pasti keadaannya atau  berasa lemah berhadapan dengan pelbagai cabaran dan halangan yang mendepaninya.

No comments:

Post a Comment