Sinar harian - TOK PERAK
30 Mac 2014
*WALAUPUN
terus berduka nestapa di atas kehilangan pesawat dan orang-orang tercinta,
alihkan sejenak perhatian kita kepada satu perkara lain yang patut juga diberi
perhatian, iaitu hutang.
Orang kita banyak hutang, demikianlah yang dijelaskan dalam Laporan Tahunan
2013 Bank Negara Malaysia (BNM) minggu lalu.
Menurut laporan tersebut tahap hutang isi rumah negara ini berjumlah RM854.3
bilion yang merupakan 86.8 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).
Untuk pengetahuan, hutang isi rumah ialah nilai terkumpul pinjaman yang
dilakukan oleh setiap isi rumah domestik.
Kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah progresif bagi memastikan
pengurusan kewangan yang kukuh dan menggalakkan pasaran hartanah yang stabil
dalam usaha mengawal perkembangan hutang isi rumah.
Langkah tersebut bertujuan memastikan pengembangan kredit yang berhemah,
menggalakkan tingkah laku individu dan institusi yang bertanggungjawab, pasaran
hartanah yang teguh dan membendung tingkah laku spekulatif.
Bagi orang biasa apa yang dilaporkan oleh BNM agak sukar untuk difahami,
terutama istilah-istilah seperti KDNK, spekulatif, hartanah dan sebagainya.
Tidak perlu mendalami istilah-istilah ekonomi yang pelik itu. Memadailah kita
faham bahawa orang kita banyak hutang.
*MENARIK juga untuk diketahui bahawa sebanyak 61.8 peratus atau RM527.6 bilion
daripada keseluruhan hutang isi rumah rakyat Malaysia adalah hutang pinjaman
pembelian kediaman dan kenderaan.
Laporan Kementerian Kewangan menunjukkan daripada jumlah hutang terkumpul
sebanyak RM854.3 bilion sehingga 2013, sebanyak RM377.7 bilion atau 44.2
peratus digunakan untuk membeli rumah manakala sebanyak RM149.9 bilion (17.6
peratus) untuk kenderaan.
Sebanyak RM141.5 bilion (16.6 peratus) lagi adalah hutang pinjaman peribadi dan
RM65.2 bilion (7.6 peratus) adalah pinjaman pembelian harta bukan kediaman.
Dijelaskan juga hutang bagi pembelian pelbagai saham atau sekuriti ialah RM54.9
bilion (6.4 peratus), hutang kad kredit RM35.5 bilion (4.2 peratus) dan tujuan
lain seperti kelengkapan rumah sebanyak RM29.6 bilion (3.5 peratus).
Pendek kata, kebanyakan kita memang sentiasa berhutang.
*INI kisah benar anak seorang kawan. Sebaik menerima ijazah dari sebuah universiti
awam, dia telah menanggung hutang lebih RM30,000. Gajinya sebagai eksekutif
muda di sebuah syarikat, dipotong RM130 untuk membayar hutang tersebut kepada
PTPTN.
Belum setahun kerja dia berhutang lagi kira-kira RM40,000 untuk membeli sebuah
kereta. Ertinya tiap-tiap bulan gajinya akan dipotong sebanyak RM650 untuk
hutang kereta.
Dia kini berhasrat untuk membeli rumah, berharga RM100,000, dan itu bererti
gajinya akan dipotong RM800 sebulan untuk tempoh 30 tahun. Dia juga berhutang
kad kredit. Malah, di kantin tempat dia bekerja pun dia ada buku hutang.
Pendek kata, sejak mula masuk universiti, hingga pencen nanti, dia sentiasa
membayar hutang. Tetapi dia bangga berhutang sebab “kalau orang memberi kita
hutang itu ertinya dia percayakan kita!”
*HARAP-HARAP anak kawan saya itu akan terus menjadi peminjam yang baik dengan
membayar dan melangsaikan apa sahaja hutang. Tetapi bukan semua orang jujur dan
amanah macam dia!
Ramai juga yang suka berhutang, tetapi tidak suka membayar balik. Oleh sebab
mudah mendapat hutang – kad kredit, Mara, Tekun, dan lain-lain agensi – ada
yang tidak menghargai pinjaman diperoleh.
Akhirnya bisnes entah ke mana, kereta tersadai, isteri baharu pun lari, dan
hutang tidak dibayar. Diisytiharkan muflis pun dia tenang sahaja. Malah ada
orang yang berhutang memang dengan niat untuk tidak membayar balik. Pada hal
dia tahu hutang wajib dibayar.
*AKHIR kalam, setiap hari ada petunjuk baharu. Setiap hari ada sahaja objek
yang dikesan satelit – setakat ini sudah lebih 400 objek berjaya dikesan di
kawasan pencarian di Lautan Hindi.
Tetapi sampai kini, sudah lebih 20 hari, pesawat MH370 bersama 227 penumpang
dan 12 anak kapal, masih belum ditemui. Marilah kita sama-sama berdoa semoga
yang hilang ditemui dalam waktu terdekat, tidak kira apa keadaannya.
No comments:
Post a Comment