Tuesday, March 25, 2014

Pedagogi bangsa tertindas dan MH370 - Nur Amalina Zulkiflee

MARCH 25, 2014
Setelah 16 hari operasi kapal terbang MH370 dijalankan, semalam, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kesan MH370 berakhir di tengah Lautan Hindi atas bantuan teknologi satelit Inmarsat dan analisis mendalam oleh UK Air Accidents Investigation Branch (AAIB).

Refleksi buat kita semua rakyat Malaysia, setelah hampir 60 tahun rakyat Malaysia menikmati kebebasan hidup tanpa penjajah, mengapa kita masih bergantung dengan negara luar daripada penggunaan teknologi dan kelengkapan tentera laut dalam misi mencari kapal terbang MH370?

Kenyataan ini bukan untuk merendahkan usaha tentera dan kerajaan yang bertungkus lumus berusaha dalam pencarian MH370, malah satu refleksi buat kita semua untuk bertindak dalam memuhasabah semula pedagogi yang digunakan untuk membentuk rakyat Malaysia yang kritis dan berinovatif.

Penggunaan kapal selam oleh Singapura dalam membantu misi mencari MH370 mengejutkan beberapa negara 'gah' yang lain atas kesediaan mereka dalam bentuk teknologi ketenteraan. Persoalannya, adakah Malaysia bersedia dalam menghadapi Wawasan 2020 dalam keadaan pelajar di sekolah sekarang masih lagi tercungap-cungap mengejar polisi pendidikan yang bersilih ganti hampir setiap tahun?

Baru-baru ini terma KBAT (Kemahiran Berfikir Aras Tinggi) yang hanya berganti nama dengan KBKK (Kemahiran Berfikir secara Kritis dan Kreatif) disebut-sebut oleh pendidik bagi memenuhi malamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Kemahiran Kritis selalu disempitkan hanya untuk mengomen dan mengkritik yang menyebabkan kebanyakan guru menganggap budaya kritis ini sebagai budaya kurang ajar.

Pada masa sama, pelajar takut untuk berfikir secara meluas dan menyoal kepada guru. Akhirnya pemikiran kritis pelajar disekat dan menyebabkan pelajar menghafal ilmu tanpa menghayati roh dan makna ilmu yang disampaikan. Sekiranya salah faham terhadap terma kritis ini diteruskan, adakah Malaysia boleh melahirkan tenaga manusia yang berupaya mencipta sesuatu untuk sumbangan kepada negara? Bolehkah Malaysia berdiri atas kaki sendiri menjelang 2020?

Dalam kebanyakan aplikasi pedagogi dalam sekolah, kebanyakan guru mengaplikasikan teori kognitif secara rigid dan terlalu mengukur pelajar secara psikiatrik dengan model tingkah laku yang terdapat dalam silibus Psikologi Pendidikan.

Model tingkah laku yang dibuktikan oleh pakar psikologi barat seperti Ivan Pavlov dan John B Watson yang menyamakan psikologi haiwan dan manusia banyak mempengaruhi model behaviour dalam Psikologi Pendidikan di Institut Pendidikan Guru (IPG) sebagai alat kawalan bilik darjah. Kebanyakan teori behaviourisme dibuktikan hasil daripada eksperimen ke atas haiwan dan bukannya terhadap psikologi manusia.

Hal ini menyebabkan jiwa pelajar di sekolah mungkin dilayani sama seperti jiwa haiwan sekiranya guru mengaplikasikan teori behaviourism yang lama. Sebagai contoh konsep "ganjaran" positif dan negatif menyebabkan pelajar hanya menghargai ilmu untuk mendapatkan ganjaran dan bukannya atas roh ilmu itu sendiri.

Para pendidik dan ibu bapa harus sedar, zaman generasi Y mesti dicorakkan mengikut acuan zaman mereka dan perkembangan teknologi yang mempengaruhi mereka. Pedagogi dan teori kawalan sosial mesti dimuhasabah mengikut kesesuaian masyarakat tertentu tanpa membahagikan pelajar mengikut intelek masing-masing Dalam Pelan Pendidikan Pembangunan Malaysia (PPPM), Kementerian Pendidikan Malaysia.

1Bestari.net

Antara yang akan dilaksanakan dalam pelan 1Bestari.net ini adalah penggunaan ChromeBook secara menyeluruh dan penggunaan Buku Teks Digital bagi meringankan beg sekolah pelajar. Pelan ini kelihatan canggih dan membanggakan rakyat Malaysia dalam penghasilan pembelajaran menggunakan ChromeBook pertama di dunia.

Di IPG, guru dilatih secara minima dalam penggunaan Teknologi Pendidikan dalam pembelajaran dan pengajaran. Dalam pada masa yang sama, guru banyak menghabiskan masa mereka untuk memenuhi kehendak IPG masing-masing bagi merebut gelaran institusi terbaik dan sebagainya.

Percayalah, realiti ini bukanlah hanya berlaku di sekolah sahaja atas alasan "pelajar guru mesti dibiasakan dengan budaya sekolah yang sebenar". Para pelajar guru tidak sepatutnya hanya melengkapkan diri dengan pengalaman yang membiasakan mereka dengan 'realiti sekolah' yang sebenar tetapi melengkapkan diri dengan penggunaan, kepelbagaian pedagogi dalam kurikulum dengan cekap dan konstruktif.

Dunia baharu memanggil-manggil pendidik yang berjiwa besar dan bukan berjiwa hamba kepada Putrajaya dalam melahirkan generasi pewaris Malaysia seterusnya. 

Malaysia memerlukan anak muda yang menggantikan politik Anwarisme atau Mahathirisme kepada politik yang lebih dinamik supaya setiap isu dan kebajikan negara boleh diselesaikan secara bijaksana dan Malaysia boleh berdiri di atas kaki sendiri.

Dengan harapan, suatu hari nanti, Malaysia dapat menghasilkan ramai lagi pemikir dan pencipta yang menyumbang kepada negara. Semoga Malaysia dipenuhi pendidik yang mendidik dan mencerahkan manusia. - 25 Mac, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

No comments:

Post a Comment