Ada orang berkata “aku tidak mahu menangis dalam
hidup ini”.
Ungkapan-ungkapan seumpama ini mungkin dikeluarkan oleh mereka yang merasa
tekanan dalam hidup.
Namun, hakikatnya dalam hidup ini, insan memerlukan air mata tangisan dalam
membentuk peribadi yang halus dan luhur antara dia dengan jiwanya, antara dia
dengan Allah SWT.
Jenis tangisan
Al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) dalam Zad al-Ma’ad menyebut tentang jenis-jenis tangisan (al-bukaa). Ada tangisan kasihan dan
simpati (ar-rahmah wa ar-ra`fah).
Perbezaan antara tangisan dukacita dengan tangisan takut ialah dukacita
berkaitan yang sudah berlaku sementara takut berkaitan yang belum berlaku.
Tangisan gembira air matanya sejuk dan jantung hati sukacita. Tangisan sedih
air matanya panas dan jantung hati pula berdukacita.
Ada pula tangisan tewas dan lemah (al-khaur wa ad-dha’f). Ada pula
tangisan munafiq (an-nifaq)
di mana mata menangis sedangkan kalbu keras. Dia menzahirkan kusyuk padahal
dialah orang yang paling keras jantung hatinya.
Ada tangisan yang diupah dan dibayar. Ini seperti tangisan meratapi mayat yang
dibayar upahnya.
Ada tangisan mengikut (al-muwafaqah)
di mana seseorang menangis kerana melihat orang lain menangis. (lihat: Ibn
Qayyim al-Jauziyyah, Zad al-Ma’ad 1/184-185. Beirut: Muassasah
ar-Risalah).
Tangisan indah
Tangisan kerana takutkan Allah atau tangisan kerana merindui Allah adalah
tangisan yang lahir jiwa yang khusyuk.
Suatu perasaan yang begitu indah yang tidak dapat difahami melainkan mereka
yang mendapat kurnia Allah untuk matanya menangis kerana rindukan Tuhan,
ataupun gerun kepada-Nya.
Suatu perasaan kudus lagi nikmat yang meliputi roh akan dirasai oleh sesiapa
yang Allah rezekikannya tangisan jenis ini. Matanya menangis, jiwanya tenggelam
dalam nikmat rindu, cinta dan gerun kepada kebesaran-nya.
Tidaklah dapat difahami hal ini melainkan mereka yang telah merasainya.
Bak kata sebahagian orang sufi “sesiapa yang tidak merasa, dia tidak akan
memahaminya”.
Hanya jiwa-jiwa yang hampir dengan Allah sahaja yang akan merasai nikmat ini. Lebih
hampir seseorang dengan Allah, lebih seringlah zahirnya nikmat ini pada diri
seseorang.
Al-Quran pada banyak tempat memuji tangisan ini. Firman Allah memuji para
rasul-Nya (maksudnya):
“...apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Ar-Rahman (Allah), mereka segera
sujud serta menangis.” (Surah Maryam: 58).
Firman Allah memuji orang-orang salih pula (maksudnya):
“...sesungguhnya orang-orang yang diberi ilmu sebelum itu apabila dibacakan
Al-Quran kepada mereka, mereka segera tunduk sujud. Sambil mereka berkata
(dalam sujudnya): 'Maha suci Tuhan kami! Sesungguhnya janji Tuhan kami tetap
terlaksana.' Dan mereka segera tunduk sujud itu sambil menangis, sedang
Al-Quran menambahkan mereka khusyuk.” (Surah al-Isra`: 107-109)
Al-Quran juga mengutuk mereka yang keras jiwa mempersenda dan tidak menangis
terhadap ayat-ayat Allah.
Firman Allah (maksudnya): “Maka patutkah kamu merasa hairan terhadap
keterangan-keterangan ini (al-Quran)? Serta kamu tertawa (mengejek-ejeknya),
dan kamu tidak mahu menangis?” (Surah al-Najm: 59-60).
Berusaha
Kita hendaklah berusaha agar dapat menangis kerana takut dan juga kerana
rindukan Allah. Rindukan Tuhan itu suatu nikmat yang amatlah rugi sesiapa yang
tidak pernah merasainya. Rindu itu membersihkan jiwa dari kekotoran yang
menyalutinya. Ia adalah ubat kepada segala dukacita dunia.
Apabila rindu itu menyelinap masuk ke dalam jiwa, ia bagaikan satu sentapan
yang mengeluarkan dunia dari perasaan, yang menjelma ialah lautan kenikmatan
rohani yang tidak dapat digambarkan oleh bahasa. Air mata kusyuk itu amat segar
dan menyejukkan jiwa.
Nikmat inilah yang disebut oleh para ulama salaf. Nikmat inilah yang selalu
dibayangkan oleh golongan sufi yang luhur. Nikmat inilah yang dirasai oleh
sesiapa yang mengikut jalan salafus solehdengan
ikhlas dan mencari hidayah Allah.
Setiap insan hendaklah berusaha mencapai keadaan itu. Walaupun ia kadang-kala
hanya hadir dalam waktu-waktu tertentu, namun ia adalah amat bermakna untuk
jiwa. Bukan semua orang lunak jiwanya sehingga takut dan rindukan Allah. Dalam
hadis, Nabi SAW menyebut tujuh golongan yang mendapat perlindungan Allah pada
hari Akhirat kelak, salah satunya:
“Lelaki yang mengingati Allah secara sendirian lalu matanya menangis.” (Riwayat
al-Bukhari dan Muslim).
Kata Abdullah bin ash-Shakhir: “Aku masuk kepada Rasulullah SAW, baginda sedang
bersolat, dalam dada baginda bagaikan bekas air yang mendidih kerana menangis.”
(Riwayat Abu Daud, an-Nasai dll. Ibn Hajar dalam Fath al-Bari menilainya sahih.)
Mata yang menangis kerana takutkan Allah, mengenang kekurangan dirinya dalam
mentaati Allah, mengenang dosa-dosanya terhadap Allah adalah mata yang salih. Tangisan
keinsafan adalah satu kurniaan Allah buat jiwa insaf. Tangisan itu memelihara
mata dari api neraka.
Nabi SAW menyebut:
“Dua jenis mata yang tidak akan disentuh oleh api neraka; mata yang menangis
kerana takutkan Allah, dan mata yang berjaga malam berkawal di jalan Allah.” (Riwayat
al-Tirmizi, katanya: hasan gharib. Al-Albani
menyatakan sahih.)
Menangislah
Maka menangislah wahai mata! Berusahalah menangis untuk mencapai tangisan
nikmat itu. Berusahalah menangis untuk mencapai rasa takut kepada Allah atas
kekurangan diri terhadap hak-hak Allah yang kita telah cabul ataupun kurangkan.
Malu kepada Allah. Rasa bersalah terhadap-Nya. Rindukan cinta-Nya dan gerunkan
kebesaran-Nya. Dalam kalangan salafussolehada
menyebut:
“Menangislah kerana takutkan Allah. Jika engkau tidak menangis, berusahalah
menangis.” (Zaad al-Ma’ad, 1/185).
Saya suka dengan kisah Salman al-Farisi sebelum beliau meninggal. Ketika dia
dalam kesakitan, Sa’ad bin Abi Waqqas menziarahinya.
Salman menangis. Sa’ad bertanya:
“Apakah yang membuat engkau menangis wahai saudaraku? Tidakkah engkau telah
bersahabat dengan Rasulullah SAW. Tidakkah ini dan itu telah kau lakukan?”
Jawab Salman: “Daku tidak menangis kerana salah satu dari dua perkara. Aku
tidak menangis kerana cintakan dunia ataupun bencikan akhirat. Namun daku
menangis kerana mengenang Rasulullah SAW telah berjanji denganku satu
perjanjian yang mana aku berpendapat aku telah melanggarnya.”
“Apakah yang Rasulullah janji dengan engkau” tanya Sa’ad.
Jawab Salman: “Baginda berjanji bahawa cukuplah seseorang kamu mengambil dunia
dengan kadar seorang pengembara. Daku rasa daku telah melanggarnya.”. (Riwayat
Ahmad, Ibn Majah, al-Hakim dalam al-Mustadrak. Hadis sahih)
Padahal, dalam Sahih Ibn Hibban diriwayatkan Salman meninggal hanya lima belas
dirham sahaja yang berbaki dari hartanya.
Kita semua lebih patut menangis dibandingkan Salman al-Farisi sahabi Nabi SAW
yang mulia itu.
Menangis mengenang diri kita dan kekurangan yang telah kita lakukan terhadap
hak-hak Allah.
Menangislah wahai mata! Di sana
engkau temui nikmat hubunganmu dengan tuhanmu.
PROF MADYA DATUK DR MOHD ASRI
ZAINUL ABIDIN bekas mufti Perlis.
No comments:
Post a Comment