MARCH
23, 2014 oleh Iskandar Amin
Kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 yang sudah masuk lebih dua minggu memberikan pengajaran besar kepada Malaysia dalam pelbagai perkara daripada sistem radar, keselamatan ruang udara, dasar pertahanan, dasar imigresen dan pengurusan media.
Kalau dahulu jika anda ke kota Moscow dan membeli akhbar, jarang sekali berpeluang membaca tentang Malaysia, kini jika ke kawasan polar sekalipun, hampir setiap hari liputan diberikan kepada kehilangan pesawat Boeing 777-200ER (9M-MRO) bersama-sama dengan 239 penumpang serta anak kapal itu.
Belum sempat pasukan mencari dan menyelamat menjumpai objek-objek ditemui satelit seperti diumumkan Perdana Menteri Australia Tony Abbott, semalam Datuk Seri Hishammuddin Hussein mendedahkan beliau diberitahu kedutaan China bahawa negara itu menerima imej satelit yang berkemungkinan serpihan pesawat MH370 di koridor selatan.
Pemangku menteri pengangkutan itu yang kini setiap hari berada dalam liputan media tempatan dan antarabangsa mengatakan Malaysia tidak akan berputus asa dalam usaha pencarian pesawat MH370 meskipun tiada perkembangan terbaru mengenainya termasuk usaha mencari serpihan di Lautan Hindi yang dikatakan ada kaitan dengan kehilangan pesawat itu.
Dalam usaha terus mencari pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac ketika dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing, reformasi ataupun perubahan secara besar-besaran perlu dilakukan bagi Malaysia dalam pelbagai aspek.
Seharusnya Parlimen memberikan tumpuan kepada kes ini bagi membenarkan Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat bekerjasama dalam berdepan dengan krisis ini, akan tetapi ini tidak dilakukan.
Malaysia masih tidak berani untuk memberi peluang anggota parlimen parti kerajaan dan pembangkang untuk bekerjasama dalam berdepan dengan isu besar seperti ini.
Kehilangan pesawat MH370 juga membuktikan betapa pentingnya ketelusan dan amalan pentadbiran baik atau “good governance” diamalkan di Malaysia.
Jika Jabatan Imigresen mengamalkan pentadbiran baik, tidak mungkin dua warga Iran yang menggunakan pasport curi akan berjaya melepasi pemeriksaan keselamatan sebelum berjaya menaiki pesawat MH370 yang masih hilang itu.
Ketika Malaysia menjadi tumpuan dunia akibat kehilangan pesawat Malaysia Airlines itu, masyarakat antarabangsa turut sama menyaksikan pelbagai kelemahan negara.
Selama ini agak mudah bagi Putrajaya menguruskan rakyat Malaysia yang tidak begitu “banyak songel”, kini pegawai-pegawai kerajaan merasakan sendiri pengalaman “dimaki hamun” keluarga penumpang daripada China kerana gagal memberikan maklumat tepat kepada mereka.
Putrajaya sebelum ini dengan “gembiranya” menyekat wartawan-wartawan portal berita independen seperti The Malaysian Insider, Malaysiakini dan lain-lain dalam majlis-majlis mereka kerana dikatakan “pro pembangkang” kerana tidak bertanyakan soalan-soalan membodek.
Kini Hishammuddin dan pegawai kerajaan lain merasakan sendiri bagaimana sukarnya untuk menjawab soalan-soalan daripada petugas media antarabangsa yang tidak akan berputus asa bertanya selagi tidak mendapat jawapan.
Jika wartawan-wartawan tempatan dibenarkan bebas untuk bertanyakan soalan-soalan kritikal dan bukan sahaja soalan-soalan membodek, sudah pasti segalanya akan menjadi lebih mudah.
Sekurang-kurangnya Hishammuddin banyak belajar daripada krisis ini berbanding Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang sehingga kini masih “dikutuk” akibat daripada tidak membenarkan sebarang soalan ditanya ketika disidang media khasnya minggu lalu.
Apa-apa pun, Malaysia kini sudah menjadi lebih masyur walaupun kerana sebab yang tidak sepatutnya berlaku.
Faktanya, Malaysia lebih dikenali dunia berbanding sebelum ini. Apabila sudah terkenal bermakna negara akan terus diperhatikan.
Oleh itu Malaysia juga perlu berubah agar berjaya mencapai standard dunia.
Jika tidak, kita akan terus ditertawakan masyarakat antarabangsa kerana kebodohan kita.
Dalam pada itu, kita harus terus berdoa agar MH370 dapat ditemui dan segala kesedihan, kepedihan dan ketidakpastian akan berakhir. – 23 Mac, 2014
http://www.themalaysianinsider.com/opinion/amin-iskandar/article/kehilangan-mh370-pengajaran-besar-kepada-malaysia
No comments:
Post a Comment