MAR 09, 2014
MOHD
IHSAN FADHLI CHE MIN
#PrayForMH370
Assalamualaykum warahmatullah wabarakatuh
Malaysian Airlines (MAS) dan YAB Datuk Seri Najib Razak.
Malaysia bagaikan jatuh ditimpa tangga. Dua bulan lalu, beberapa negeri dilanda
banjir teruk. Dua minggu lalu, Sabah pula diserang banjir sedangkan kemarau,
kebakaran, dan jerebu di Semenanjung masih belum berakhir. Kini, kita semua
diuji dengan tragedi maha mendukacitakan semua pihak, pesawat mega milik
penerbangan kebanggan kita, Malaysia Airlines MH370 hilang tiba-tiba. Peristiwa
ini hanya beberapa minggu selepas MAS diumumkan rugi sejumlah bilion ringgit.
Ia mengundang sedih dan duka kepada ribuan waris mangsa bahkan seluruh rakyat
Malaysia. Bahkan mungkin, seluruh umat dunia sedang meratapi peristiwa malang
ini.
YAB Datuk Seri dan MAS yang sangat saya kasih dan cinta.
Saat musibah pastinya tidak kita sukai. Namun musibah dan ujian pasti akan
tiba. Kita pasti sedang bingung mencari jalan keluar. Setelah segala aset dan
usaha dikerah, buntu masih menjadi penyudah. Klu-klu hanya tinggal klu. Lidah
kita juga semakin kelu.
Di dalam Islam, ada jalan keluarnya tatkala buntu melitupi.
Hadis Riwayat Imam Muslim ada menceritakan tentang tiga orang yang terperangkap
di dalam gua batu. Mereka tidak ada upaya untuk keluar melainkan dengan kudrat
dan izin yang Allah Maha Kuasa. Mereka bertiga akhirnya bertawaasul dengan amal
kebaikan masing-masing. Individu pertama dengan amal baik kepada ibu bapanya.
Individu kedua dengan imannya meninggalkan zina ketika sekujur tubuh jelita
terhidang indah. Individu ketiga dengan amanahnya terhadap hak orang lain.
Pintu gua akhirnya terbuka, dan mereka berjaya keluar dari buntu.
MAS dan Datuk Seri, saya yakin, tidak sedikit amal baik yang telah dilakukan
oleh YAB Datuk Seri dan MAS. Di samping usaha mencari, menjejak dan menyelamat,
memohon doa dan solat hajat, bertawasullah dengan amal-amal itu.
Seterusnya, saya dengan rendah hati, memohon jasa baik MAS dan Datuk Seri
selaku ketua kerajaan dan ketua eksekutif Malaysia agar melakukan nazar untuk
berhasrat agar MAS tidak lagi menghidangkan minuman keras serta tidak lagi menghalang
bahkan menggalakkan kakitangan dan krew kabin agar menutup aurat. Saya yakin,
dengan tekad ini, belas ihsan Allah S.W.T mudah menyantuni kita dan memudahkan
urusan kita. Orang awam juga boleh turut melakukan nazar dan berpuasa agar
tragedi ini berakhir dengan baik. Semoga kerugian dan defisit tidak lagi
menghantui MAS dengan berkat dan rahmat Allah.
Satu hadis lain yang sangat inspiratif menceritakan tentang perihal Ummu
Salamah yang sedang berduka dan kematian suaminya yang tercinta.
Rasulullah sollallohu 'alayhi wasallam datang kepadanya dan mengurniakan
seuntai doa yang berbunyi :
(اللهم أَجِرْنِي مِن مُصِيبَتِي وَخْلُفْنِي خَيرََا مِنها)
Ya Allah, ganjarkan kami (pahala) dengan musibah in dan gantikanlah kehilangan
ini dengan sesuatu yang lebih baik darinya.
Ummu Salamah seakan tidak meyakini doa tersebut lantaran Abu Salamah adalah
seorang yang sangat baik. Pasti tidak ada pengganti sebaik arwah. Manakala
dirinya juga sudah semakin berumur bahkan janda, maka pastinya tidak ada lelaki
kacak yang baik akan terpikat dengannya. Namun, berkat doa tersebut, Allah
memperkenankan doa Ummu Salamah. Rasulullah sollallohu 'alayhi wasallam
meminang Ummu Salmah dan mengahwininya. Siapa yang lebih baik dari Rasulullah
sollallohu 'alayhi wasallam?
Semoga musibah ini diganti Allah dengan sesuatu yang lebih baik untuk Malaysia
dan dunia.
Semoga hati yang sedang berduka kini ditenangkan oleh Allah yang Maha Pengasih
lagi Penyayang.
Semoga isi warkah ini ada manfaatnya kepada kita semua.
Salam Kedamaian
No comments:
Post a Comment