Thursday, March 20, 2014

Tragedi MH370 dan Konsert Gila

ABDUL JALIL ALI
20 Mac 2014


DEBARAN terus meningkat. Setiap hari ada sahaja petunjuk baharu, dan sekian banyak teori daripada pakar berbagai-bagai bidang, semuanya meyakinkan. Tetapi pesawat yang hilang masih tidak ditemui.

Setakat semalam, masuk hari ke-12 kehilangannya, misteri MH370 lebih banyak menimbulkan persoalan dari  jawapan. Semua aset tercanggih penerbangan dan ketenteraan, termasuk dari Amerika Syarikat, telah menyertai misi mencari serta menyelamat (SAR).

Seperti yang dijelaskan oleh Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, operasi SAR itu yang  masuk ke fasa baharu menjadi semakin kompleks, teknikal dan melibatkan banyak negara.

Setakat ini 26 negara yang terlibat dalam operasi tersebut sepanjang 24 jam menggunakan  semua peralatan terkini, dengan keseluruhan operasi mencari kini  meliputi kawasan seluas 2.24 juta batu nautika persegi.

Hatta kaedah mistik pun telah dicuba. Seorang yang menggelar dirinya sebagai ‘Bomoh Negara’, Datuk Ibrahim Mat Zain, menggunakan bubu buluh dan teropong buluh, mendakwa pesawat dengan 237 penumpang itu masih ‘terapung’ di udara, berada di alam misteri kerana disembunyikan oleh bunian.

Baik peralatan tercanggih sains & teknologi, mahu pun kaedah  tradisional menggunakan perkakas amat tidak relevan – juga doa dan solat hajat yang dilakukan setiap hari – semuanya tidak mendatangkan hasil. Pesawat Boeing 777-200ER, dengan enjin Rolls-Royce Trent 800, masih tidak dapat dikesan.

Sementara operasi SAR secara besar-besaran, mungkin yang terbesar pernah digerakkan di seluruh dunia setakat ini, sebagai rakyat yang prihatin dan simpati  kita patut sekali meneruskan doa dan solat hajat.

Dalam waktu yang sama marilah kita sama-sama merenung dalam diri, mungkin ada kesalahan  dan kemungkaran besar yang  kita lakukan selama ini – sama ada sengaja atau tidak sengaja – menyebabkan kemurkaan Yang Maha Berkuasa lagi Maha Mencipta.

Seperti yang dirasakan oleh semua ada turutan musibah demi musibah yang melanda negara  sejak sebulan dua kebelakangan ini. Kemarau panjang dialami seluruh negara, menyebabkan tanah pertanian yang biasanya subur
menjadi kering kontang, merekah dan tandus.

Dalam kepanasan dan kekeringan kemarau, kebakaran dan kemusnahan hutan terjadi hampir setiap hari di merata pelosok. Seperti yang dinyatakan oleh pihak bomba, beribu kebakaran kecil dan besar dilaporkan sepanjang musim kemarau.

Dalam pada itu, berpuluh ribu penduduk di beberapa kawasan juga menderita apabila berhari-hari hidup tanpa bekalan air. Negeri paling maju seperti Selangor pun terpaksa mencatu air sebab simpanan air di empangan empangan utama merosot ke paras kritikal. Sana-sini orang berdoa dan bersolat hajat, hujan masih tidak turun. Malah, pembenihan awan pun tidak menjadi.

Mungkin kita sudah keterlaluan mempersenda agama. Contoh paling jelas ialah sesama Islam saling bercakaran, saling mentohmah dan saling hentam-menghentam bagaikan lupa hukum ALLAH.

Fitnah – termasuk hal-hal dalam kelambu – disebarkan untuk mengaibkan sesama seagama.

Rasuah dan lain-lain kemungkaran semakin berleluasa, melibatkan bukan sahaja orang bawahan malah pihak atasan. Penyelewengan berlaku bagaikan tidak terkawal lagi. Mereka yang tidak layak diutamakan, yang lebih layak  dan berhak tidak dilayan.

Akibatnya apa yang dirancang tidak menjadi, semua lintangpukang. Duit RM berjuta-juta habis, tetapi projek tidak menjadi. Ada yang berbelanja sakan bagaikan semua kekayaan milik mereka, pada hal ramai yang miskin tidak terbela. Kita masih tidak sedar!

Hatta dalam saat-saat cemas dan sedih tragedi MH370 pun kita masih membenarkan orang berhibur gila-gila dalam konsert ‘Future Music Festival Asia (FMFA) 2014’ di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Di tempat lain orang bersolat hajat, di stadium orang berpesta tanpa batasan pergaulan dengan maksiat keterlaluan. Akibatnya enam orang mati – 14 lagi masuk hospital – gara-gara terlebih mengambil dadah.

Pihak berkuasa dari semasa meluluskan penganjuran konsert gila-gila seperti ini yang berterusan  hingga lewat malam. Kita bangga menganjurkan konsert terbesar dengan mengundang artis-artis antarabangsa, konon untuk
menarik pelancong asing datang ke sini.

Apa yang hendak dimegahkan dengan konsert seperti itu? Apa perlunya? Satu lepas satu bala diturunkan sebagai iktibar. Apakah kita masih tidak sedar? 

No comments:

Post a Comment