Saturday, June 25, 2011

110 guru Terengganu ke Australia, Korea Selatan



Ahmad Razif Abdul Rahman menyampaikan anugerah Tokoh Guru Cemerlang kepada Syed Othman Syed Hassan (kanan) sempena sambutan Hari Guru di Kuala Terengganu, semalam.


KUALA TERENGGANU 23 Jun - Kerajaan negeri akan menghantar 110 orang guru ke luar negara selama seminggu bagi mendalami ilmu berkaitan pengurusan sekolah pada Ogos ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, seramai 60 orang guru sekolah menengah ke Australia dan selebihnya guru sekolah rendah ke Korea Selatan.

Menurutnya, program itu bagi mendedahkan warga pendidik berkaitan pentadbiran sekolah berprestasi tinggi dan pembangunan kelas maya di negara berkenaan.
"Lawatan itu merupakan insentif kerjaan negeri kepada warga pendidik di negeri ini yang sentiasa berkerja keras untuk meningkatkan prestasi pembelajaran murid," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Guru peringkat Daerah Kuala Terengganu di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Razali, di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Sektor Pengurusan dan Akademik, Jabatan Pelajaran negeri, Mohd. Zuber Embong.
Jumlah itu tidak termasuk 12 warga pendidik yang bakal dihantar mengikuti kursus khas di University of Connecticut, Amerika Syarikat bermula 10 hingga 15 Julai ini.

Ahmad Razif berkata, program penghantaran guru ke negara itu merupakan usaha penambahbaikan kerajaan negeri dalam menjayakan program 'Terengganu Anjung Ilmu'.

Sementara itu, katanya, seramai 3,300 orang guru tahun enam di negeri itu bakal menerima pembahagian komputer riba percuma pada pertengahan Ogos depan.

"Kerajaan negeri membelanjakan kira-kira RM4 juta untuk tujuan itu. Ia sebagai motivasi kepada guru-guru yang selama ini begitu banyak berusaha untuk meningkatkan pencapaian pelajar.
"Sebelum ini, kita membelanjakan hampir RM1.3 juta untuk membekalkan 800 buah komputer riba kepada guru-guru sebagai penghargaan dan pengiktirafan buat mereka," katanya.

Pada majlis tersebut, bekas Guru Besar Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman I, Syed Othman Syed Hassan yang telah bersara tahun lalu menerima anugerah Tokoh Guru Cemerlang peringkat Daerah Kuala Terengganu.

Di atas ketokohan dan jasanya dalam dunia pendidikan, Syed Othman menerima cenderamata, sijil, sepasang persalinan baju Melayu, wang tunai RM500 daripada Pejabat Pelajaran Daerah dan RM2,000 daripada Ahmad Razif.

1 comment: