Monday, July 4, 2011

Niat ikhlas tunai umrah beri kekuatan berdepan dugaan Oleh Ashraf Muslim


BH2011/07/04

Kepayahan jadi iktibar jangan ambil mudah kesihatan diri

PENGALAMAN menunaikan umrah bersama 90 jemaah yang mengikuti rombongan Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah meninggalkan kesan mendalam kepada saya dan kakitangan Al-Hidayah kerana banyak kenangan manis dilalui selama 10 hari berada di Tanah Suci.

Walaupun membawa 54 pesakit termasuk mereka yang kronik, perjalanan ibadah umrah dan sesi rawatan berjalan lancar dengan bantuan Allah serta semangat, juga kesabaran setiap jemaah berdepan dugaan yang datang.

Bukan mudah untuk pesakit kanser yang mengalami kepayahan berjalan melakukan tawaf tujuh pusingan mengelilingi Kaabah tetapi berbekalkan semangat serta dorongan, walaupun kaki melangkah setapak demi setapak, rukun umrah itu berjaya dilaksanakan juga.

Pastinya, kepayahan dilalui memerlukan kesabaran kerana tanpa kekuatan jiwa, sukar untuk berdepan ujian walaupun sekecil-kecil dugaan, apatah lagi bagi pesakit yang sedang bertarung dengan penyakit dihadapi.

Justeru, menyedari keperitan terpaksa ditanggung mereka, kita perlu mengambil iktibar. Jangan ambil mudah kesihatan diberi Allah, sebaliknya hendaklah dipelihara dan sentiasa bersyukur dengan nikmat kesihatan ini.

Melihat kejayaan serta semangat mereka, hati berasa sebak bercampur gembira melihat kegigihan mereka menyelesaikan rukun umrah dengan doa dikurniakan ibadah yang mabrur. Inilah hadiah paling bermakna kerana walaupun susah, perasaan putus asa tidak ada dalam kamus hidup mereka.
Itulah untungnya jika kita menetapkan niat yang betul apabila menyahut jemputan Allah untuk bertamu di Tanah Haram yang menjadi idaman umat Islam kerana masih ada terus memendam rasa hajat masih tidak kesampaian.

Sehingga kini, emosi saya masih terkesan dengan setiap peristiwa berlaku di Makkah dan Madinah kerana kembara kami di dua kota suci untuk mendekatkan diri kepada Allah dan pada masa membawa hajat supaya dimakbulkan.

Memang ada kejutan tidak terduga apabila jemaah hilang sekejap, ada yang kehilangan beg, semasa datang sihat tetapi setiba di Madinah mengalami batuk dan ada juga tersasar niat asal setiba di Makkah. Syukur kepada Allah, semuanya dapat diatasi.

Ini pengalaman pertama saya membawa pesakit menunaikan umrah sambil membuat rawatan di Tanah Suci. Jika dulu saya datang ada yang membimbing, tetapi kali ini saya yang menjadi pembimbing kepada kumpulan umrah kami.

Saya tidak pernah menolak kerusi roda tetapi tidak keberatan menolak kerusi roda kali ini kerana sukar untuk saya jelaskan perasaan dapat membantu jemaah menyelesaikan setiap rukun umrah yang tertanggung atas mereka.

Ada yang semangat semakin menurun tetapi melihat kakitangan Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah yang bersungguh-sungguh dan tidak kenal penat memberi bantuan, sokongan serta dorongan, keyakinan mereka datang kembali.

Seorang pesakit kanser yang susah payah menunaikan umrah yang pertama, bersyukur dengan rahmat Allah kerana dikurniakan tenaga luar biasa untuk menunaikan umrah yang kedua dan seterusnya.

Oleh itu, jangan sekali-kali mempertikaikan kekuasaan Allah kerana Dia Yang Maha Berkuasa dan Maha Memberi Rahmat kepada sesiapa dikehendaki-Nya.

Satu yang saya sering ingatkan kepada diri saya dan jemaah ialah supaya menjaga kata-kata serta tingkah laku ketika berada di Tanah Haram selain menetapkan niat asal mereka datang.

Matlamatnya, supaya mereka fokus dengan apa yang ingin dilakukan iaitu menunaikan ibadat umrah untuk meningkatkan keimanan kepada Allah sambil bermohon supaya segala kesakitan dan penderitaan ditanggung disembuhkan atau dikurangkan deritanya.

Sepanjang berada di Tanah Suci, kami melakukan rawatan di depan Kaabah dan bilik penginapan. Jemaah sentiasa diingatkan supaya tidak jemu berdoa untuk menyuarakan hajat mereka kepada Allah.

Alangkah sedih dan rugi nya, jika peluang menjadi tetamu Allah dipersia-siakan. Semoga kita semua tidak tergolong dalam golongan mereka yang rugi.

No comments:

Post a Comment