Saturday, November 29, 2014

Umno:Gen X,Y, "Zzzz"

ABDUL JALIL ALI
Sinar Harian 27 November 2014


MELIHAT dari luar lingkungan – dan bukan orang parti – saya tidak teruja lagi kepada cakap-cakap mengenai usaha meremajakan Umno. Tidak juga saya berasa pelik apabila mendengar seruan berdegar-degar untuk transformasi parti.

Semua orang tahu ini benda lama yang diulang ungkit setiap kali perhimpunan agung parti terbesar orang Melayu itu. Oleh sebab sudah kerap sangat disebut – dengan nada dan istilah-istilah berbeza – orang sudah tidak prihatin lagi.

Lebih-lebih lagi apabila yang diulang-ungkit itu tidak disusuli dengan kesungguhan tindakan. Seperti biasa semua bersemangat ketika berucap, tetapi selepas tamat perhimpunan tidak ada apa-apa perubahan. Status quo, atau orang Tanjung kata: “Pi mai, pi mai dok tang tu!”

Kalau betul ada kesungguhan, sebenarnya tidak sukar sangat untuk meremajakan parti yang sejak sekian lama menjadi tunjang utama BN. Tidak susah mana untuk transformasi parti yang mempunyai paling ramai keanggotaan dan selalu diuar-uarkan sebagai parti paling hebat, paling unggul.

Secara teori, seperti yang telah diakui oleh pemimpin parti, ambil sahaja anak-anak muda yang beridea, berinovasi dan profesional menyertai parti, dan beri kedudukan yang membolehkan mereka menyuarakan pandangan bernas.

Tetapi, praktikal tidak semudah teori, lebih-lebih lagi apabila dalam kalangan pemimpin sendiri – baik di peringkat cawangan, bahagian dan induk – tidak menyokong dan sengaja menghalang teori tersebut.

Contoh: Ada anak muda, berijazah, profesional dan beriltizam memohon di peringkat cawangan untuk menjadi ahli parti. Lama menghantar borang permohonan, tetapi tidak ada jawapan, macamlah susah sangat memproses permohonan di era ‘semuanya di hujung jari’ ini.

Konon ada kesilapan teknikal, pada hal fakta sebenarnya ialah pemimpin sengaja tidak meluluskan permohonan, kerana bimbang kedudukan kepimpinannya akan terjejas sekiranya ada ahli lebih baik dan dilihat – sebenarnya ditakuti! – lebih berwibawa.

Di peringkat bahagian pun ramai pemimpin berjiwa kecil dan takut pada bayang-bayang sendiri apabila ada calon mencabar dalam pemilihan. Usaha dilakukan secara sulit, biasanya menggunakan wang, untuk menyingkirkan pencabar. Pada peringkat pusat pun sama juga.

Sebab itu politik wang terus berleluasa sampai sekarang.

Perihal mencantas anggota dan calon-calon muda ini bukan lagi rahsia. Pemimpin tertinggi parti pun sedar hal ini. Sepatah kata Naib Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi: “Pemimpin parti perlu sedar bahawa jawatan yang dipegang itu bukanlah milik keturunan mereka untuk selamanya.”

Tambah beliau, “kalau sudah ada tanda bahawa kita tidak lagi dikehendaki, maka cara terbaik ialah mengundurkan diri sebelum kita diundurkan.” Tetapi berapa ramai pemimpin berjiwa besar yang sedia berundur untuk memberi laluan kepada muka baharu?

Ada pemimpin – semua peringkat – yang sudah jelas tidak dikehendaki, wajah berserabut penuh masalah, fikiran tidak sehebat mana, sering membuat kenyataan entah apa-apa, tetapi masih tidak bersedia berundur. Malah selalu mendabik dada, seolah-olah berkata “akulah yang paling layak!” Pemimpin tidak malu seperti inilah yang mengikis keyakinan golongan muda menyertai parti.

Presiden Datuk Seri Najib Razak dalam usaha mentransformasikan parti telah berkali-kali menyeru supaya ruang dibuka seluas-luasnya untuk memberi laluan kepada generasi X dan Y. Malangnya masih ramai pemimpin terus meletakkan diri mereka dalam generasi ‘Zzzz’ @ tidur.

Perhimpunan parti kali ini sepatutnya berani secara terbuka mengenal pasti dan menyebut kewujudan generasi ‘Zzzz’. Mereka perlu ikhlas mencadangkan supaya generasi ini diundurkan dari parti.

Keberanian dan cadangan seperti ini tentulah dinantikan dan dialu-alukan oleh semua orang yang selama ini – setiap kali perhimpunan parti – melihat dan mendengar ucapan dan perbahasan yang sebahagiannya hanya membodek pemimpin, sambil berpantun seloka dan berlawak bodoh untuk menarik perhatian perwakilan.

Hubaya-hubaya membodek dan riuh-rendah dengan lawak jenaka patut dihentikan segera. Dalam keadaan BN yang pada PRU lalu kehilangan undi majoriti dua pertiga, setiap pembahas perlu bercakap penuh berisi lagi beriltizam.

Untuk meyakinkan orang Melayu, khasnya golongan muda, perwakilan perlu menoleh ke belakang dan mengakui kesilapan yang telah dilakukan sebelum ini. Betulkan apa yang tersilap.

Untuk kali ini semua kena serius, dan insaflah Perhimpunan Agung Umno bukan pentas ‘Maharaja Lawak’

No comments:

Post a Comment