Apabila berpuasa, ramai yang cuba menjaga lidahnya agar tidak berbohong. Ada yang akan berkata: “Masakan aku berbohong ini bulan Ramadan”. Berbohong sebenarnya haram tanpa mengira bulan. Sudah pasti berbohong pada bulan Ramadan akan merosakkan pahala puasa dan meningkatkan dosa kerana tidak menghormati bulan yang mulia.

Guna Nama Allah

Di sana ada beberapa jenis pembohongan. Setiap pembohongan itu mempunyai dosa yang berbeza. Perbohongan yang paling besar dosanya ialah berbohong menggunakan nama Allah. Ini disebut sebagai al-iftira ‘ala Allah kaziban (mengada-adakan dusta terhadap Allah).  Mereka yang melakukan dosa ini akan membuat dakwaan tertentu menggunakan nama Allah padahal mereka tidak mempunyai sebarang bukti dari sumber-sumber wahyu. Tidak daripada al-Quran, ataupun as-Sunnah yang thabit (diterima). Banyak ayat dalam al-Quran Allah menempelak perbuatan ini. Antaranya dalam Surah al-Nahl, ayat 116: (maksudnya) “dan janganlah kamu berdusta dengan apa yang disifatkan oleh lidah kamu: "Ini halal dan ini haram", untuk mengada-adakan sesuatu yang dusta terhadap Allah; Sesungguhnya orang-orang yang berdusta terhadap Allah tidak akan berjaya”.

Antara dusta kepada Allah ialah dengan mengeluarkan fatwa ‘haram’ ataupun ‘halal’ tanpa sebarang dalil yang sah. Umpamanya, Allah telah menjadikan semua urusan kehidupan ini halal kecuali apa yang diharamkan Allah melalui al-Quran dan as-Sunnah, tiba-tiba seseorang mengeluarkan fatwa haram tanpa sebarang bukti seperti mengharamkan makanan ataupun pakaian ataupun hiburan tertentu yang tidak ada asas untuk diharamkan. Ini adalah dosa yang paling besar dalam senarai pembohongan.

Allah berfirman: (maksudnya) “katakanlah: "Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan-perbuatan yang keji, sama ada yang nyata atau yang tersembunyi; dan perbuatan dosa; dan perbuatan menceroboh dengan tidak ada alasan yang benar; dan (diharamkan) kamu mempersekutukan Allah dengan sesuatu sedang Allah tidak menurunkan sebarang bukti (yang membenarkannya); dan (diharamkan) kamu memperkatakan terhadap Allah sesuatu yang kamu tidak mengetahuinya”. (Surah al-A‘raf, ayat 33).

Maka kita hendaklah berhati-hati dalam memperkatakan sesuatu menggunakan nama Tuhan kerana itu merupakan dosa yang terbesar. Dalam al-Quran, Allah menempelak Ahlul Kitab (People of the Book) disebabkan mereka membuat dakwaan agama atas nama Allah dengan rekaan mereka sendiri.

Guna nama Nabi
Pembohongan kedua terbesar dosanya ialah berbohong menggunakan nama Nabi s.a.w. ataupun Nabi-Nabi yang lain. Ini seperti menyandarkan sesuatu yang bukan hadis yang sabit kepada baginda. Mereka yang membuat dan menyebarkan hadis palsu sama ada dalam ceramah, buku, internet, sms dan sebagainya termasuk dalam dosa ini. Sabda Nabi s.a.w dalam hadis yang mutawatir: “Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka”.

Ini termasuk mereka pengeluar produk perubatan ataupun makanan tertentu yang mengaitkan nama Nabi s.a.w. Tujuan mereka melariskan jualan, sedangkan hakikat makanan Nabi s.a.w itu tidak seperti yang didakwa, ataupun rekaan semata seperti ‘kayu koka’, buah kismis dan seumpamanya.

Dosa menyebarkan hadis palsu ini terlalu besar dan pada hari ini melibatkan ramai pihak. Ini kerana kemudahan teknologi menyebabkan dengan mudah manusia menghantar ataupun menyebarkan maklumat yang diterima. Contohnya pada bulan Ramadan disebarkan hadis palsu tentang fadilat setiap hari tarawih, sehingga kononnya ada hari yang pahalanya melebihi atau menyamai nabi tertentu. Ini adalah dusta. Kata al-Syeikh Muhammad bin Muhammad Abu Syahbah: Tidak halal meriwayatkan hadis palsu dalam apa perkara sekali pun, melainkan bersama keterangan tentang kepalsuannya. Ini sama ada berkaitan halal dan haram, atau fadail (kelebihan-kelebihan amalan), atau al-tarhib (menakutkan orang ramai terhadap maksiat) dan al-targhib (menggalakkan ibadah), atau kisah, atau sejarah atau selainnya. Sesiapa yang meriwayatkan tanpa keterangan bererti telah melakukan dosa yang besar dan termasuk dalam senarai pendusta. Ini berasaskan apa yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim dalam mukadimah sahihnya bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang menyebut hadis daripadaku sedangkan dia menyangka ia dusta, maka dia termasuk salah seorang pendusta”. (Abu Syahbah, al- Wasit fi ‘Ulum wa al-Mustalah al-Hadis, m.s. 321-322)

Guna nama tokoh agama

Dosa pendustaan yang berikutnya yang besar ialah berdusta menggunakan nama sahabah, tabi’in, para ulama dan tokoh-tokoh umat yang dipercayai. Ini kerana pendustaan jenis ini mempunyai kesan yang berat terhadap masyarakat. Masyarakat akan mudah terikut apabila sesuatu perkataan ataupun perbuatan yang disandarkan kepada golongan ini. Contohnya dalam masyarakat kita menjelang bulan Ramadan ada yang mencari kesempatan mengumpulkan kekayaan dengan membuat ‘borang pahala’ yang kononnya sesiapa yang membelinya akan dapat mengirimkan pahala kepada si mati. Pahala dijadikan jualan dalam agama. Ini sama seperti amalan gereja yang ditentang oleh golongan pembaharuan seperti Martin Luther pengasas Protestan. Ia hanya kesempatan yang digunakan oleh golongan tertentu mengaut kekayaan atas nama agama. Malangnya, ada yang melakukan hal ini dalam masyarakat dan mendakwa kononnya ini amalan ataupun keizinan yang diberikan oleh al-Imam as-Syafie r.h. Sedangkan imam yang mulia itu hidup dalam penuh kewarakan dan kezuhudan. Sama sekali tidak memakan harta orang lain dengan menggunakan nama pahala Tuhan. Pendustaan seperti ini merupakan dosa yang besar.

Guna nama orang Lain
Dosa pendustaan yang berikutnya adalah menyandarkan sesuatu perkataan ataupun perbuatan kepada pihak lain selain dari yang disebutkan di atas. Kadar dosa itu diukur dengan kesan yang diterima oleh pihak yang didustai. Ia kadang-kala boleh mencetuskan permusuhan dan salahfaham. Ini termasuk dalam dosa zalim, dusta dan konspirasi mengajak pihak lain berkongsi kejahatan. Firman Allah dalam Surah an-Nur (maksudnya) "Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebahnya tuduhan-tuduhan buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman,mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan ingatlah Allah mengetahui segala perkara sedang kamu tidak mengetahui yang demikian".

Maka, sempena Ramadan pastikan kita berjaya melepaskan diri daripada dosa pendustaan ini. Demikian juga selepas Ramadan kita tidak akan menceburkan diri dalam dosa-dosa besar ini
.

PROF MADYA DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN bekas mufti Perlis dan kini zamil di Universiti Oxford. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi Malaysiakini.