5 Rahsia Ramadhan
Posted by nurulhani
Dr Yusuf Qardhawi dalm kitabnya
al-Ibadah Fil Islam mengungkapkan ada lima
rahsia utama puasa yang membolehkan kita merasakan kenikmatan dalam ibadat ini.
1. Menguatkan jiwa
Dalam hidup, kita mendapati ada manusia yang dikuasai hawa nafsu. Manusia
seperti ini, menuruti apa yang menjadi keinginannya, meskipun ia sesuatu yang
batil serta mengganggu dan merugikan orang lain.
Oleh itu, dalam Islam ada perintah untuk memerangi hawa nafsu dengan maksud
berusaha untuk menguasainya. Bukan membunuh nafsu yang membuat kita tidak
mempunyai keinginan terhadap sesuatu bersifat duniawi.
Sekiranya dalam peperangan ini (hawa nafsu) manusia mengalami kekalahan,
malapetaka besar akan berlaku. Perkara ini kerana manusia yang kalah itu akan
mengalihkan pengabdiannya daripada Allah kepada hawa nafsu yang cenderung
mengarahkan manusia kepada kesesatan.
Allah memerintahkan kita memerhatikan masalah ini dalam firmanNya bermaksud :
"Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya
sebagai Tuhannya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmuNya."
(Surah Al-Jaathiyah : 23)
Dengan puasa, manusia akan berjaya menguasai hawa nafsunya yang membuat jiwanya
menjadi kuat. Dengannya manusia memperoleh darjat tinggi serta menjadikannya
mampu mengetuk dan membuka pintu langit hingga seala doanya dimakbulkan Allah.
Rasulullah s.a.w bersabda :
"Ada
tiga golongan yang tidak ditolak doa mereka : Orang yang berpuasa hingga
berbuka, pemimpin yang adil, dan doa orang yang dizalimi
." (Hadith
Riwayat At-Tirmizi)
2. Mendidik keinginan ke arah kebaikan
Puasa mendidik seseorang untuk memiliki keinginan kepada kebaikan, meskipun
menghadapi pelbagai rintangan. Puasa yang dikerjakan secara terbaik akan
membuatkan seseorang itu terus mempertahankan keinginannya yang baik. Rasulullah s.a.w menyatakan bahawa puasa itu setengah daripada kesabaran.
Rasulullah s.a.w bersabda bermaksud : " Puasa itu sebagai benteng." (daripada serangan keburukan)
Dalam kaitan ini, puasa akan menjadikan rohani seorang Muslim semakin ampuh.
Kekuatan rohai unggul ini akan membuatkan seseorang itu tidak akan melupakan
diri, meskipun sudah mencapai kejayaan atau kenikmatan duniawi.
Kekuatan rohani juga akan membuat seorang Muslim tidak akan berputus asa
meskipun penderitaan yang dialami sangat sulit.
3. Menyihatkan badan
Di samping kesihatn dan kekuatan rohani, puasa memberikan pengaruh positif
berupa kesihatan jasmani (tubuh dan anggota badan). Hal ini tidak hanya
dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w, malah dibuktikan oleh doktor atau ahli
perubatan.
4. Mengenal nilai keknikmatan dan bersyukur.
Dalam hidup ini, sebenarnya terlalu banyak kenikmatan diberikan oleh Allah
kepada manusia, tetapi ramai yang tidak mensyukurinya.
Dapat satu tidak terasa nikmat kerana menginginkan
tiga dan begitulah seterusnya.
Maka, dengan puasa manusia bukan hanya disuruh memperhatikan dan merenungi
kenikmatan yang diperoleh, malah diminta merenung nikmat Allah kepada kita.
Di sini, pentingnya puasa bagi mendidik untuk menyedari betapa tingginya nilai
kenikmatan yang Allah berikan supaya kita mnejadi orang yang pandai bersyukur
dan tidak mengecilkan erti kenikmatan daripada Allah. Rasa syukur memang akan
membuat nikmat itu bertambah banyak, baik dari segi jumlah atau paling tidak
dari segi rasanya.
Allah berfirman bermaksud :
"Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat)
kepadamu, dan jika kami mengingkari (nikmatKu), maka sesungguhnya azabKu sangat
pedih." (Surah Ibrahim : 7)
5. Mengingati dan merasakan penderitaan 0rang lain.
Berlapar dan dahaga memberikan pengalaman bagaimana beratnya penderitaan yang
dirasakan orang lain. Pengalaman berlapar dan haus itu akan segera berakhir
hanya dengan beberapa jam (lebih kurang 12 atau 13 jam), sementara penderitaan
orang lain entah bila berakhir.
Dari sini puasa akan melahirkan dan memantapkan rasa simpati kita kepada kaum
Muslimin lainnya yang hidup dalam kemiskinan dan menderita.
Oleh itu, sebagai simbol daripada rasa simpati itu, sebelum Ramadhan berakhir,
kita diwajibkan untuk menunaikan zakat (fitrah). Hal ini supaya dengan itu
setahap demi setahap kita mampu mengatasi persoalan umat yang menderita.
Bahkan, zakat tidak hanya abgi kepentingan orang miskin dan menderita, malah
menghilangkan kekotoran jiwa berkaitan harta seperti gila harta dan kikir.
Allah berfirman bermaksud :
"Ambillah zakat daripada sebahagian harta merekan dengan zakat itu, kamu membersih dan menyucikan mereka dan berdoalah untuk mereka. Sesungguhnya doa kamu itu (menjadi) ketenteraman jiwa bagi mereka. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (Surah At-Taubah : 103)
No comments:
Post a Comment