Ramadhan: Peluang merawat hati dan iman
Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat,
|
19 Jul 2012
|
Bersyukur kehadrat Allah
SWT, kerana kita masih diberi peluang oleh-Nya dapat bertemu lagi dengan
Ramadhan 1433H, bulan yang mulia (Ramadhan Karim).
Sempena dengannya. marilah kita merenung perjalanan masa kita hidup ini,
kita telah memanfaat segala anggota tubuh badan bagi menyempurnakan segala
urusan seharian. Jika diibarat sebuah motokar yang kita pakai sehari-hari, akan
ada masanya kita perlu bawa motokar ke bengkel untuk diservis atau mungkin
perlu dioverhaul bagi memulih dan menjaga kondisi motokar sentiasa berkeadaan
baik.
Demikian juga tubuh kita, kena
jaga dan perlu dibersihkan luar dan dalam. Maka sampainya Ramadhan adalah bulan
untuk kita membersihkan aspek dalaman kita agar pelbagai penyakit berkaitan
dengan hati dan iman dapat diubati dengan cara berpuasa dan beribadat. Antara
penyakit ialah penyakit syirik, takabur, ujub (seronok sendiri), hasad-dengki,
niqmah (dendam), riak (menunjuk-nujuk) dan sebagainya. Maka ibadat sepanjang
Ramadhan adalah penawar mujarab bagi semua jenis penyakit ini.
Oleh yang demikian, amalan
puasa Ramadhan ini diwajibkan oleh Allah sekali setahun antaranya bertujuan
supaya manusia melawan nafsu dalam diri, terutama nafsu makan dan minum. Dengan
melawan nafsu kita telah melatih diri untuk menghayati bagaimana mengawal hati dan
iman supaya tunduk kepada perintah Allah Taala. Di sebalik perintah Allah,
wajib atas kita berhenti makan dan minum di siang hari selama sebulan. Meskipun
perintah-Nya bercanggah dengan hak kita sendiri. Apa yang utama, dengan cara
puasa dan amal ibadat Ramadhan, ia sebagai cara untuk kita membendong perasaan
tamak supaya tahu mana satu hak kita dan mana pula hak orang lain.
Oleh sebab itu, bulan
Ramadhan ada kelebihan tertentu, antaranya dimuliakan dengan ibadat solat
tarawih. Islam meletakkan solat tarawih sebagai sunat mua’akad dengan tujuan
supaya manusia yakin dengan apa sahaja kelebihan yang disebut dalam Al-Quran. Ini
kerana Al-Quran adalah sebagai buku panduan “How to Use”. Ibarat kita memandu
motokar, bagaimana cara pemanduan yang selamat ada disebutkan dalam buku “How
to Use.” Ini bermakna, pemanduan
tanpa panduan yang betul, maka berkemungkinan motokar akan rosak dan tidak
selamat.
Oleh yang demikian, manusia
kena faham tujuan Allah menjadikan manusia. Firman-Nya:
Bermaksud, “Dia-lah (Allah) yang
menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Ia menuju dengan
kehendak-Nya ke arah (bahan-bahan) langit, lalu dijadikannya tujuh langit
dengan sempurna; dan Ia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu” (Surah
Al-Baqarah 2:29).
Oleh sebab itu manusia yang ramai
di dunia ini, perlu ada “How to Use” yakni sentiasa menjadikan Al-Quran sebagai
panduan, jika tidak, akan porak peranda masyarakat. Firman Allah SWT:
Bermaksud, “Katakanlah: “Sesungguhnya aku
hanya menurut apa yang diwahyukan kepadaku dari Tuhanku. Al-Quran ini ialah
panduan-panduan – yang membuka hati – dari Tuhan kamu, dan petunjuk serta
menjadi rahmat bagi orang-orang yang beriman” (Surah Al-A’araf 7:203).
Bagi menjayakan perintah ini,
Allah menetapkan dalam Al-Quran betapa setiap manusia akan berdepan dengan
pembalasan dan pada hari pembalasan setiap manusia kena berdepan dengan Allah
SWT. Firman-Nya:
Maksudnya, “Tiap-tiap yang bernyawa akan
merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan
balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke
syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di
dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain
hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya” (Surah Ali-Imran 3:185).
Di akhirat kelak tidak guna lagi
harta, tiada lagi benda untuk kita pujuk, bodek atau rasuah seumpama beli undi
untuk masuk syurga. Harta yang kita banggakan di dunia ini sudah tidak berguna
di akhirat. Hakikatnya semua manusia akan berdepan dengan suasana pembalasan.
Firman Allah SWT:
Bermaksud, “Apabila berlaku hari kiamat
itu. Tiada sesiapapun yang dapat mendustakan kejadiannya. Kejadian hari kiamat
itu merendahkan (golongan yang ingkar), dan meninggikan (golongan yang taat)”
(Surah Al-Waaqi’ah 56:1-3).
Oleh sebab itulah, diwajibkan
sebut “maaliki yaumid-din” dalam segenap kali kita solat, Atas kerananya kita
diwajid baca Surah Al-Fatihah dalam solat. Ini kerana intisarinya mengandungi
maksud kita mohon dan merayu kepada Allah SWT, berserta dengan kita memuji
Allah SWT..
Dalam ayat “maaliki yaumid-din”
itu juga disebut “ad-din” iaitu lafaz “musytarikun” iaitu hari ‘agama’ sebagai
al-jazak. Sedangkan lafaz “al-jazak” adalah makna asal dalam memahaami “maaliki
yaumiddin”, tetapi hikmatnya yang tinggi digunakan “ad-din” supaya diyakini
ketika itu berlaku pembalasan mengikut agama. Atas asas agamalah, segala akta,
dan undang-undang yang digubal di parlimen atau sebarang keputusan oleh badan
tertinggi di dunia seumpama Pertubuhan bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mana yang
tidak selaras dengan ad-din akan tertolak.
Memahami waqi’ sedemikian, bulan
Ramadhan ini hendaklah dilalui dengan penuh keimanan dan ketakwaan. Ia selari
dengan kelebihan beribadat sepanjang Ramadhan akan meningkatkan takwa diri kita
di sisi Allah SWT. Firman-Nya:
Bermaksud: “Wahai orang-orang yang
beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang
dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa” (Surah Al-Baqarah 2:183).
Selamat menyambut Ramadhan
Al-Muabarak dengan penuh ketakwaan.
Tuan Guru Dato’
Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan merangkap Al-Mursyidul Am
PAS.
No comments:
Post a Comment