Posted on Saturday, July 21 @ 02:52:49 PDT
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur
Oleh JalanJuang
Sesungguhnya waktu itu telah semakin hampir.
Abu Hurairah radhiallaahuanhu meriwayatkan, Rasulullah sallallaahu’alaihiwassalam bersabda, “Sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan Ramadhan, bulan yang penuh dengan keberkatan. Allah telah fardhukan ke atas kamu berpuasa padanya. Sepanjang Ramadhan itu, dibuka semua pintu syurga dan ditutup semua pintu neraka, dan syaitan dibelenggu.
(Hadith Riwayat Ahmad, An-Nasai’ dan Baihaqi)
Sungguh,
inilah bulan yang ditunggu-tunggu oleh semua orang yang rindu akan
pertemuan dengan Rabbnya. Bulan Ramadhan. Madrasah tarbiyyah Ramadhan.
Allah
telah menjanjikan kebaikan yang terlalu banyak dalam bulan ini. Allah
menganugerahkan ibadah puasa, solat tarawikh, sahur, rahmat dan
keampunan yang tidak terhingga banyaknya.
Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa. (Al-Baqarah, ayat 183)Barangsiapa berpuasa Ramadhan dengan keimanan dan mengharap keredhaan Allah, maka diampuni dosa-dosanya yang terdahulu. (Hadith Riwayat Bukhari)Allah mewajibkan puasa Ramadhan dan aku mensunnahkan solat pada malam harinya. Barangsiapa berpuasa dan solat malam dengan mengharap keredhaan Allah, maka dia keluar dari dosanya seperti bayi yang baru dilahirkan oleh ibunya. (Hadith Riwayat Ahmad)
Rasulullah sallallaahu’alaihiwassallam bersabda: “Barangsiapa puasa Ramadhan kerana beriman dan ikhlas, maka diampuni dosanya yang telah lalu dan yang sekarang”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Rasulullah sallallaahu’alaihiwassallam bersabda, “Setiap amalan baik anak Adam adalah untuk dirinya, setiap kebaikan digandakan dengan sepuluh kali ganda bahkan sampai seratus kali ganda. Allah berfirman; kecuali puasa, ia adalah untukKu dan Akulah yang akan membalasnya. Sungguh dia telah meninggalkan syahwatnya, makannya dan juga minumnya demi Aku. Untuk setiap orang yang puasa ada dua kegembiran; kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan ketika bertemu Allah. Perubahan bau mulut orang yang berpuasa lebih baik bagi Allah di bandingkan wangian kasturi”. (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim).
Nah,
inilah kurnia yang Allah dan Rasul-Nya janjikan buat para graduan
madrasah ramadhan. Siapakah yang lebih benar janjinya melainkan Allah
dan Rasul-Nya.
Namun, disebalik janji-janji yang indah itu, tersedia satu amaran kecelakaan buat para mukmin sekiranya dia melalaikan Ramadhan.
Daripada Jabir bin Abdullah radhiallahu ‘anhuma, Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam naik ke atas mimbar kemudian berkata: “Amin, amin, amin”. Para sahabat bertanya: “Kenapa engkau berkata amin, amin, amin, wahai Rasulullah?” Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda: “Telah datang malaikat Jibril dan ia berkata: ‘Celaka seseorang yang masuk bulan Ramadhan tetapi keluar dari bulan Ramadhan tidak diampuni dosanya oleh Allah dan katakanlah amin!’, maka aku berkata: ‘Amin’. Kemudian Jibril berkata lagi: ‘Celaka seseorang yang mendapatkan kedua orang tuanya atau salah seorang dari keduanya masih hidup tetapi itu tidak memasukkan dia ke Syurga dan katakanlah amin!’, maka kukatakan: ‘Amin’. Kemudian Jibril berkata lagi: ‘Celaka seseorang yang jika disebut namamu namun dia tidak bershalawat kepadamu dan katakanlah amin!’, maka kukatakan: ‘Amin’.” (Riwayat Al-Bukhari)
Lalu,
apakah persediaan kita menjelang Ramadhan yang bakal muncul? Mahukah
kita termasuk dalam golongan yang telah di’amin’kan oleh Nabi dan para
sahabat?
Ana kongsikan sedikit tips-tips menyambut Ramadhan agar impian Ramadhan kita tercapai, bermula sebelum Ramadhan lagi.
Tips Pra-Ramadhan
1. Banyakkan berdoa semoga Allah sampaikan kita pada bulan Ramadhan.
Doakan juga semoga kita berada dalam keadaan tip-top dan dimudahkan untuk beramal didalamnya. Anas
bin Malik radhiallaahuanhu meriwayatkan, Rasulullah
sallallaahu’alaihiwassallam apabila masuk bulan Rejab selalu berdoa, “Ya
Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Sya’ban dan sampaikan kami
ke bulan Ramadhan.” (HR. Ahmad dan Tabrani)
2. Bergembiralah dengan kedatangan Ramadhan dengan menyebut-nyebut tentangnya.
Ingatkan diri sendiri, ahli keluarga, kawan-kawan agar semua turut
merasa gembira dan bersedia menyambutnya. Rasulullah
sallallaahu’alaihiwassallam ketika di penghujung Sya’ban mengingatkan
para sahabat akan kedatangan Ramadhan. “Telah datang kepada kalian
bulan Ramadhan, bulan yang penuh berkah. Allah telah mewajibkan kepada
kalian untuk berpuasa. Pada bulan itu Allah membuka pintu-pintu syurga
dan menutup pintu-pintu neraka.” (HR. Ahmad).
3. Revise atau ulangkaji pelajaran berkaitan fiqh Ramadhan.
Lihat semula tentang amal-amal yang digalakkan untuk dilakukan pada
bulan Ramadhan. Gunakan para asatizah, guru-guru agama, murobbi/ah,
buku-buku dan internet untuk rujukan. Hadiri kuliah-kuliah,
seminar-seminar dan tontonlah video-video di internet mengenai Ramadhan.
Inshaallah, semangat Ramadhan akan lebih dirasai.
4. Letakkan target amalan-amalan yang hendak kita lakukan pada bulan Ramadhan.
Target harian, mingguan dan bulanan. Contohnya, sehari 1 juz tilawah
& tadabbur Al-Qur’an, 12 rakaat solat sunat nawafil, setiap waktu
solat fardhu berjemaah dan sebagainya. Mingguan pula contohnya sedeqah
RM10 seminggu atau memberi makan kepada orang berbuka puasa. Bulanan
pula contohnya menurunkan berat badan sebanyak 20kg pada akhir Ramadhan
atau menghabiskan membaca satu buku Islam. Inshaallah, jika kita ikhlas
dan bermujahadah melakukannya, Allah akan bantu.
5. Susun jadual harian untuk hari pertama hingga hari ke-30 Ramadhan.
Pastikan setiap hari kita dirancang dan setiap masa kita digunakan
sebaiknya. Tempoh Ramadhan adalah terhad, maka perlu untuk kita
menggunakan setiap saat sebaik mungkin. Tipsnya, tuliskan jadual itu dan
tempatkan di tempat yang memudahkan kita lihat. Di dinding, desktop,
Iphone, Samsung Galaxy dan sebagainya.
6. Warming up sebelum Ramadhan.
Biasakan diri dengan amal-amal yang akan kita lakukan pada bulat
Ramadhan. Contohnya, biasakan bangun awal untuk qiyamullail, biasakan
pergi ke masjid, biasakan solat sunat nawafil dan sebagainya. Biasakan
diri baca Qur’an. Mulakan dulu dengan 1 muka, kemudian 2, 3, 4 dan
seterusnya. Nanti bila telah masuk Ramadhan, sudah ada momentum dan pace
yang tetap.
7. Siapkan alatan atau material yang dapat membantu dan menambah motivasi kita
untuk menjalani ibadah dalam bulan Ramadhan. Contohnya, jubah dan
kopiah baru untuk ke masjid, checklist Ramadhan dalam telefon atau
komputer, software Ramadhan, alarm clock, minyak wangi, mushaf Qur’an
Darul Iman, tasbih dan lain-lain lagi. Inshaallaah, benda-benda ini
dapat meningkatkan lagi himmah kita untuk beramal.
8. Fikirkan dan tuliskan senarai doa
yang mahu kita mohon daripada Allah s.w.t. sepanjang Ramadhan ini.
Mintalah apa saja daripada-Nya, nescaya akan dikabulkan oleh Allah.
Firman Allah, “Mintalah kepada-Ku, nescaya akan aku perkenankan.” (Al-Mu’min:60)
Tips Peri-Ramadhan
Selepas
perancangan yang baik sebelum Ramadhan, maka tibalah masa untuk beramal
dengan perancangan yang dah dibuat. Ana kongsikan juga beberapa tips
yang boleh dibuat ketika bulan Ramadhan, selain daripada puasa yang
semua orang tahu wajib.
1. Bersahur. Pastikan kita bersahur dan pastikan kita melewat-lewatkan sahur. Sabda Rasulullah sallallaahu’alaihiwassallam, “Makanlah waktu sahur. Sesungguhnya makan waktu sahur itu mempunyai keberkatan.” (Mutafaq’alaih). Rasulullah juga pernah bersabda, “Sentiasa umatku dalam kebaikan jika mereka mengawalkan berbuka dan melewatkan sahur”. (Hadith Riwayat Ahmad). Selain itu, sahur juga menjadikan puasa kita istimewa. Sabda Nabi, “Perbezaan puasa diantara puasa kita dan puasa ahli kitab ialah makan sahur:” (Hadith Riwayat Muslim)
2. Banyakkan membaca Al-Qur’an
disamping mentadabbur ayat-ayatnya. Bulan Ramadhan adalah bulan
Al-Qur’an. Dalam bulan Ramadhan inilah kita perlu menggandakan tilawah.
Allah berfirman, “Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan
al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan
mengenai petunjuk itu dan menjadi pembeza (di antara yang hak dengan
yang bathil).” (Al-Baqarah:185). Bawalah mushaf Al-Qur’an ke
mana-mana. Ambil peluang membacanya. Dalam LRT, semasa menunggu bas,
ketika dalam kelas. Molek juga jika MP3 atau Ipod dipenuhkan dengan
alunan Al-Qur’an. Dapat juga didengarkan sambil berjalan.
3. Sediakan masa untuk qailullah, yakni tidur sekejap waktu tengah hari (short nap). “Terdapat sebuah hadith daripada Ibnu Umar, beliau berkata, “Kami
pada zaman Rasulullah sallallaahu’alaihiwassalam suka tidur di masjid,
kami qailullah di dalamnya, dan kami pada waktu itu masih muda-muda.”“Hendaklah
seseorang tidak meninggalkan tidur yang sekejap pada siang hari kerana
ia membantu ibadah pada malam hari. sebaik-baiknya hendaklah seseorang
itu bangun daripada tidurnya sebelum gelincir matahari untuk menunaikan
solat zuhur.” (Ihya’ Ulumuddin) (Kitab Fiqhus Sunnah, Juz I, hal. 252). Selain itu, Imam Ghazali juga menggalakkan qailullah. Katanya,
4. Pastikan setiap waktu solat fardhu dikerjakan berjemaah. Sebaiknya di masjid. Daripada Abu Hurairah radhiallaahuanhu katanya: “Nabi
sallallaahu’alaihiwassallam bersabda, “Pahala solat berjemaah bagi
seseorang lebih daripada solat bersendirian, sama ada di tempat kerjanya
atau di rumahnya dengan gandaan dua puluh lima darjat. Kerana orang
yang telah menyempurnakan wuduk kemudian pergi ke masjid dengan tujuan
untuk bersolat semata-mata, maka setiap langkah perjalanannya itu diberi
satu darjat (pahala) dan dihapuskan satu dosa sehingga dia masuk ke
dalam masjid. Dan apabila dia berada di dalam masjid dia dianggap
seperti orang yang bersolat selagi dia menunggu untuk berjemaah. Dan
para malaikat mendoakan untuk seseorang selagi dia berada di tempat
solatnya dengan doa : Ya Allah ya Tuhanku, rahmatilah dia, ampunilah
dia, terimalah taubatnya selama dia tidak menyakiti, dan tidak berhadas
di tempat itu.” (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)
5. Pastikan kita melazimi solat sunah nawafil (rawatib). Sabda Nabi sallallaahu’alaihiwassallam, “Sesiapa
yang menjaga 12 rakaat solat sunat, Allah akan menyediakan baginya
rumah di dalam syurga iaitu; sebelum zohor 4 rakaat, selepas zohor 2
rakaat, selepas maghrib 2 rakaat, selepas insyak 2 rakaat dan sebelum
subuh 2 rakaat.” (Hadith Riwayat At-Tirmizi)
6. Lazimkan diri dengan solat sunat Dhuha. Abu Hurairah radhiallaahuanhu menyebut, “Kekasihku
sallallahu‘alaihiwasallam telah mewasiatkan kepadaku tiga perkara yang
tidak akan pernah aku tinggalkan sehingga akhir hayatku; berpuasa tiga
hari setiap bulan (hijrah), mengerjakan dua rakaat solat Dhuha dan mengerjakan solat Witir sebelum tidur.”
(Hadith Riwayat Bukhari). Rasulullaah juga bersabda, Wahai anak Adam,
janganlah engkau sampai tertinggal untuk mengerjakan solat empat rakaat
pada permulaan siang (waktu Dhuha), nescaya Aku akan memberi kecukupan
kepadamu sampai akhir siang. (Hadith Riwayat Abu Daud)
7. Pastikan kita tidak terlepas untuk solat tarawikh.
Tidak kira sama ada di rumah, di masjid atau di mana-mana sahaja.
Sesungguhnya solat tarawikh ini dikhaskan oleh Allah pada bulan Ramadhan
sahaja. Nabi sallallaahu’alaihiwassallam bersabda, “Sesiapa
mengerjakan sembahyang malam (tarawikh) dalam bulan Ramadhan, sedang ia
beriman serta mengharapkan rahmat Allah Taala, maka ia akan diampunkan
dosanya yang telah lalu.” (Hadith Riwayat Muslim)
8. Qiyamullail. Cubalah sedaya upaya untuk bangun malam dan beribadah kepada Allah.
Kalau boleh, bangun awal sebelum bersahur, mulakan dengan solat sunat
beberapa rakaat dan bermunajat kepada Allah. Diriwayatkan daripada Abdur
Rahman bin Auf radhiallahu ‘anhu bahwasanya Rasulullah
Sallallaahu‘alaihiwasallam menyebut bulan Ramadhan seraya berkata, “Sungguh
Ramadhan adalah bulan yang diwajibkan Allah puasa dan kusunnahkan solat
malamnya. Maka barangsiapa menjalankan puasa dan solat malam pada bulan
itu kerana iman dan mengharap pahala, niscaya bebas dari dosa-dosa
seperti saat ketika dilahirkan ibunya.” (Hadith Riwayat an-Nasa’i)
9. Berbuka puasa dengan kurma dan air kosong. Sabda Nabi sallallaahu’alaihiwassallam, “Jika
seseorang kamu berbuka, hendaklah ia berbuka dengan buah kurma.
Sekiranya buah kurma tiada, bolehlah ia berbuka dengan air kosong.
Sesungguhnya air itu bersih lagi suci”. (Hadith Riwayat Abu Daud dan At-Tirmidzi)
10. Memperbanyakkan berdoa. Rasulullah sallallaahu’alaihiwassallam bersabda, “Tiga doa yang sangat mustajab, doa orang yang puasa, doa orang yang di zalimi dan orang yang musafir”.
(Hadith Riwayat Bukhari). Selain itu, juga Rasulullah
sallallaahu’alaihiwassallam bersabda, ”Doa yang tidak ditolak bagi orang
berpuasa ialah ketika dia berbuka.” (Hadith Riwayat Ibn Majah). Maka,
perbanyakkanlah doa kita, terutama sebelum berbuka puasa.
11. Mengurangkan bercakap, bergosip dan cuba elakkan berkonflik. Rasulullah sallallaahu’alaihiwassallam bersabda, “Bukanlah
puasa yang sebenar orang yang hanya tidak makan dan tidak minum, puasa
yang sebenar adalah orang yang tidak melakukan perbuatan dan perkataan
yang lagha (sia-sia) dan tidak bercakap perkataan yang keji.” (Hadith Riwayat Hakim, Ibnu Hibban dan Baihaqi). Dalam hadith yang lain, baginda bersabda, “Apabila
seseorang berpuasa, maka janganlah dia mengucapkan perkataan yang kotor
dan jangan pula bertengkar. Sekiranya dia dimaki oleh seseorang atau
diajak bergaduh maka hendaklah dia berkata: “Sesungguhnya saya sedang
berpuasa.” (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim). Dalam hadith yang lain, baginda menyebut, “Sesiapa
yang tidak meninggalkan cakap bohong dan berkelakuan buruk ketika
berpuasa, baginya tidak ada kelebihan (pahala) di sisi Allah, baginya
hanya lapar dan dahaga sahaja.” (Hadith Riwayat Bukhari). Perbuatan
ini bukan saja perlu dielakkan di dunia nyata, bahkan juga di Facebook,
Twitter, ruangan komen dan juga forum-forum.
12. Memberi makan kepada orang yang berpuasa. Rasulullah sallallaahu’alaihiwassallam bersabda, “Barangsiapa
memberi makan kepada orang yang berbuka puasa maka dia memperoleh
pahalanya, dan pahala bagi yang (menerima makanan) tanpa dikurangi
sedikitpun. (Hadith Riwayat Tirmidzi). Wah, sudahlah dapat pahala
berpuasa, ditambah lagi dengan pahala puasa orang lain. Jom,
berebut-rebutlah memberi makan kepada orang yang berpuasa.
13. Menggandakan sedaqah dan infaq. Diriwayatkan daripada Anas radhiallaahuanhu beliau bertanya Rasulullah sallallaahu’alaihiwassallam: “Wahai Rasulullah manakah sedekah yang lebih utama?” Baginda menjawab sedekah pada bulan Ramadhan. (Hadith Riwayat At-Tirmidzi). Selain itu, Ibnu Abbas radhiallaahuanhuma menyebut, “Rasulullah sallallaahu’alaihiwassallam adalah orang yang paling dermawan dan lebih besar kedermawanannya pada bulan Ramadan.” (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)
14. Berusaha mencari lailatul qadar.
Sesungguhnya, inilah kemuncak kepada bulan Ramadhan iaitu malam yang
lebih baik daripada seribu bulan. Dengan rahmat kasih sayang Allah, Dia
menghadiahkan kita malam yang seolah-olah ‘bilik waktu semangat’ dalam
kartun Dragon Ball. Firman Allah, “Sesungguhnya Kami telah
menurunkannya (al-Quran) pada malam al-Qadr. Tahukah kamu apa itu malam
al-Qadr? Malam al-Qadr adalah malam yang lebih baik dari seribu bulan.” (Al-Qadr:1-3). Rasulullah sallallaahu’alaihiwassallam bersabda, “Barangsiapa
yang mengerjakan qiyamullail pada lailatul qadar karana iman dan
mengharap pahala, nescaya akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim).
15. Cubalah sedaya-upaya untuk beri’tikaf di masjid-masjid pada 10 malam yang terakhir di bulan Ramadhan. Abu
Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah sallallaahu’alaihiwassallam
telah beri’tikaf pada tiap-tiap bulan Ramadhan selama sepuluh hari
tetapi pada tahun baginda wafat, baginda beriktikaf selama dua puluh
hari. (Hadith Riwayat Bukhari)
Mungkin
masih banyak yang boleh dilakukan ketika Ramadhan ini. Tinggal lagi
sama ada kita benar-benar mahu atau tidak untuk bermujahadah mencari
mutiara-mutiara yang telah Allah janjikan dalam bulan tarbiyyah ini.
Janganlah
kita leka lantas menjadi celaka kerana apabila tamatnya Ramadhan, dosa
kita tidak diampunkan, sedangkan Allah telah memberikan pelbagai tawaran
yang tidak terhingga nilainya.
Semoga
perkongsian ini membawa manfaat kepada semua. Semoga Ramadhan kali ini
lebih tersusun, berstrategi dan mengesan dalam diri kita.
Ahlan wa sahlan ya Ramadhan.
Disclaimer:
Banyak hadith dalam artikel ini tidak ditakhrijkan dengan teliti kerana
saya tidak arif. Sekiranya ada hadith-hadith dalam artikel ini
berstatus mawdhu’, mohon diberitahu kepada saya. Jazakumullaah khoyr.
Azizul Salehudin
BADAR, HK, CZ
No comments:
Post a Comment