Sunday, July 22, 2012


Mari Kita Nilai Kategori Puasa Kita
 
Dah 60 tahun umur saya. Tahun ini kita menyambut bulan puasa 1433 Hijrah /2012 Masihi. Biasanya kalau kita nak beli baju, tentulah yang berjenama, ada kelas, begitu juga bila nak beli kereta sudah tentu yang punyai nama yang tersohor. Tapi bila bab ibadat khusus, kita kurang beri perhatian, yang pentingnya dah dilaksanakan ikut syariat, habis cerita.

Belum ada lagi alat pengukur dijual dipasaran untuk mengukur atau menilai tahap atau kategori solat kita. Begitu juga bab puasa, rasanya belum ada lagi alat pengukur tahap mana kategori puasa kita. 

Sebenarnya Allah telah pun menggariskan panduan dan kategori amalan kita dalam Al Quran dan juga Hadis Rasulullah saw. Cuma yang pentingnya kita perlu selidiki dan cuba laksanakannya semuga matlamat utama ibadah ialah untuk mencari keredhaan Allah tercapai.

Ada terdapat 3 jenis tahap puasa. 

Imam Ghazali dalam kitabnya ‘Ihya Ulumiddin’ menyebut :3“Puasa ada tiga kedudukan:
  1. Puasa al-umum,
  2. Puasa al-khusus
  3. Puasa khusus al-khusus.
Tahap pertama: Puasa al-umum ialah menahan perut dan kemaluan dari memenuhi kehendak syahwat. Puasa tahap ini adalah paling rendah hanya puasa orang awam. Puasa sebegini hanya sekadar meninggalkan makan dan minum serta perkara yang membatalkan puasa.

Tahap kedua: Puasa al-khusus pula ialah menahan pendengaran, penglihatan, lidah, tangan, kaki dan seluruh anggota badan dari melakukan dosa. Puasa di tahap ini pula adalah di tingkatan kedua iaitu puasa orang khas. Puasa dbagi tahap ini akan cuba menjaga akhlak dan melakukan pekara-perkara sunat bagi menambahkan lagi kualiti puasanya.

Tahap ketiga : Puasa Khusus al-khusus ialah menahan hati dari keinginan yang buruk dan dari memikirkan sesuatu selain dari Allah secara total. Puasa akan terbatal pada tahap ini lantaran memikirkan perkara-perkara selain dari Allah dan hari akhirat.

Demikian juga akan terbatal puasa dengan memikirkan dunia kecuali urusan dunia yang kepentingannya untuk agama kerana itu termasuk dalam bekalan akhirat dan bukan urusan dunia. Arbab al-Qulub (orang yang prihatin dengan hati mereka) berkata:

Sesiapa yang pada siang Ramadhan tergerak keinginannya mencari apa yang akan dimakan ketika berbuka puasa, maka ditulis satu kesalahan, kerana ianya lahir dari sikap kurang percaya kepada pemberian Allah dan kurang yakin terhadap rezekinya yang telah dijanjikan. Tahap puasa seperti ini ialah tahap para nabi, al-Siddiqin dan al-Muqarrabin.

Puasa seperti ini tidak mungkin dapat digambarkan dengan perkataan tetapi boleh direalisasikan dengan amalan.

Pada tahap ini adalah di tingkatan ketiga iaitu puasa yang paling khusus. Mereka bukan sahaja menjaga segala perkara yang membatalkan puasa tetapi juga perkara yang boleh membatalkan pahala puasa. Anggota badan turut berpuasa dan hati pula sentiasa berzikir kepada ALLAH, subhanallah!!. Antara akhlak bagi mencapai tahap ini ialah menjaga lidah dan mulut. Orang yang berpuasa perlu menjaga lidah daripada bercakap perkara yang sia-sia.

Bagaimana untuk mencapai puasa tahap yang ketiga ini?

Menurut Imam al-Ghazali juga bagi mencapai tahap puasa al-khusus iaitu puasa orang soleh maka perlu menyempurnakan 6 perkara iaitu:
  • Menundukkan pandangan dan menahan dari melihat perkara yang tercela dan dibenci oleh syariat serta dari segala perkara yang boleh menggangu dan melalaikan hati dari mengingati Allah S.W.T.
  • Memelihara lidah dari menuturkan perkataan yang tidak berfaedah seperti gurau senda, mengumpat, dusta dan sebagainya. Hendaklah lebih banyak berdiam diri, memperbanyakkan zikir dan membaca al-Quran.
  • Menahan dari mendengar perkataan yang dibenci oleh syarak. Ini kerana setiap perkataan yang diharamkan dituturkan maka haram juga didengar. Justeru, Allah Menyamakan pendengaran haram dengan memakan harta haram seperti firman-Nya:
Maksudnya:
“Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya).”(Surah al-Maidah: 42)

  • Menahan anggota tubuh badan dari melakukan dosa seperti menahan tangan dan kaki dari perkara yang dilarang dan menahan perut dari perkara-perkara syubhat ketika berbuka. Ini kerana tidak ada makna berpuasa sekiranya pada siang hari menahannya dari makanan halal tetapi berbuka dengan makanan haram.
  • Tidak berlebihan ketika berbuka dengan makanan halal sehingga perut penuh dengan makanan tersebut. Ini kerana tidak ada bekas yang lebih dibenci oleh Allah dari perut yang penuh dengan makanan halal. Bagaimana mungkin seseorang itu mampu mematahkan keingginan syahwatnya dan mengalahkan musuhnya sedangkan ketika berbuka ia seolah-olah hendak mengembalikan semula makanan yang terlepas ketika ia berpuasa pada siang harinya. Hingga sesetengah mereka memakan makanan yang tidak biasa dimakannya ketika hari tidak diwajibkan berpuasa.
  • Hendaklah timbul dalam hatinya rasa takut dan penghargaan kepada Allah, kerana dia tidak tahu sama ada puasanya diterima oleh Allah dan termasuk di kalangan orang yang berjaya, ataupun puasanya tidak diterima lalu dia termasuk di kalangan orang yang celaka.
Penutup. 

Kalau beginilah ukuran puasa, maka kesumpulannya, ibadah puasa ini bukanlah amalan yang mudah. Bila Bilal azan waktu subuh maka waktu itu sehinggalah Bilal Azan Maghrib, Allah akan memerhati dan menilai segala amalan kita, itu sebabnya soal pahala puasa ini hanyalah Allah sahaja yang akan memutuskan pahalanyanya.  

Agak-agaknya di mana kedudukan puasa kita? Puasa khusus, al-khusus, puasa al-khusus atau sekadar puasa al-umum sahaja? Marilah kita nilai diri kita sebelum Allah menilai kita.

No comments:

Post a Comment