SAMBUT RAMADHAN DI ICU
“Dan sesungguhnya akan kami
berikan cobaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan
harta, jiwa (pengikut) dan buah-buahan (biji-bijian). Dan berilah
khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. Yaitu orang-orang yang apabila
ditimpa musibah, mereka mengucapkan ‘Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan
kepadanyalah kami akan kembali’. Meraka itulah yang mendapat keberkatan yang
sempurna dan rahmat dari Tuhannya, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat
petunjuk”. (Al Baqarah : 155-157 )
Sedih, pilu, trauma dan apa-apa
lagi dirasai oleh rakan setugas saya suatu masa dulu, beliau menyambut ramadhan
tahun ini di ICU, Hospital Nur Zahirah, Kuala Terengganu.
Begitu juga ibunya, saya dapat
bayangkan betapa sedih, penuh harapan agar anak yang terbaring kaku, bernafas
dengan bantuan mesin udara untuk meneruskan talian hayat anak yang tercinta. Bacaan
Yasin, doa dan pelbagai ayat yang mampu diingat terus dibaca memohon agar Allah
menyembuhkan anak yang dikasihi. Hanya Allah sahaja Yang Maha Mengetahui betapa
pilu dan sedih hati ibu dan isteri melihat sekujur tubuh tanpa sebarang gerakan
hampir seminggu terbaring dalam ICU.
Itulah sedikit gambaran yang
mampu saya gambarkan, apabila menziarahi suami Cikgu Azura dari SKSS1 iaitu
Cikgu Kamarudin, GB yang kini terlantar di Hospital Nur Zahirah, Kuala Terengganu.
Mengikut Cikgu Azura, pihak doktor
masih belum mengetahui apakah penyakit yang dihidapi oleh suami beliau, biarpun
air tulang belakang telah diambil tetapi penyakitnya masih belum dapat
dipastikan lagi.
Menurut Ibn Manzur dalam Lisanu al-‘Arb, bala’
itu adalah ujian yang terdiri daripada yang baik juga yang buruk. Seperti mana
yang diberitakan pada surah al-Anbiyaa’ iaitu;
“Dan Kami menguji kamu dengan
kesusahan dan kesenangan sebagai dugaan; dan kepada Kami-lah kamu semua akan
dikembalikan.” [Al-Anbiyaa’: 35]
Al-Hafiz Ibn Katsir dalam memberikan penerangan
terhadap ayat ini menyatakan bahawa Allah menguji hambanya dengan musibah pada
satu waktu, dan kemudian dengan nikmat pada waktu yang lain, untuk melihat
siapakah yang bersyukur dan siapa yang kufur, siapa pula yang sabar, dan siapa
yang putus harap.
Beliau juga menukilkan kata-kata Ibnu ‘Abbas
dalam menafsirkan ayat ini, bahawa Allah menguji hambanya dengan kecelakaan dan
kesenangan, dengan kesihatan dan kesakitan, dengan kemewahan serta kemiskinan,
dengan perkara yang halal dan apa yang haram, dengan ketaatan dan kemaksiatan,
serta dengan hidayah dan kesesatan. [Tafsir al-Quran al-‘Adzim, Ibn Katsir, Abu al-Fida’.]
Tiada siapa yang menyangka dalam hidup kita ini
apa yang akan berlaku, walau bagaimana bijak dan hebatnya, rancangan dan pelan
yang di atur, tetapi pelan dan keputusan dari Allah adalah yang paling muktamad.
Ujian
yang diberikan juga adalah untuk mengukur tahap keimanan seorang hamba. Ini
telah dibuktikan secara jelas berdasarkan ayat 2-3 surah al’-Ankabut;
“patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu dugaan)?Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu sebelum mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang benar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya akan orang-orang yang berdusta.” [al-Ankabut: 2-3]
Semuga Allah memberi kesembuhan
kepada suami beliau, serta banyakkanlah berdoa serta bersabar sesuai dengan
firman Allah yang bermaksud;
“Sesungguhnya
Allah beserta orang yang sabar”. (Al Baqarah : 153)
”Allah tidak memberi kesusahan seseorang hamba melainkan apa yang terdaya
olehnya”. [Al-Baqarah:
286]
No comments:
Post a Comment