(Khusus untuk Ibu, bapa dan anak)
Apabila seorang mati, putuslah amalannya kecuali tiga perkara, (iaitu): sedekah jariah, ilmu yang memberi faedah kepada orang lain atau anak soleh yang berdoa untuknya.
Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar. Saya mohon keampunan Allah.
Hadis riwayat Muslim ini benar-benar menghambat minda dan perasaan apabila Allah memberi peluang untuk saya berfikir. Ia soal peranan seorang anak terhadap ibubapa atau sebaliknya. Di sebelah mana kita mahu berfikir – samada seorang anak atau ayah – ia memberi kesan besar kepada kehidupan saya sebagai seorang manusia yang mahu mendapat keredhaanNya. Malah ia menjadi signifikan apabila memikirkan bagaimana kesan kehidupan di dunia dalam menghadapi suasana selepas kematian. Hubungan mereka yang tinggal dengan mereka yang pergi nyata terbatas.
Ayah meninggal penghujung 1995 ketika saya berusia di awal 30an. Roza selalu bertanya, "Yang, awak tidak doakan ayah?," sesuatu yang tidak saya lakukan. Malah saya tidak terfikir untuk bersungguh berdoa bagi kedua orang ibu bapa. Ia hari-hari berlalu tanpa makna yang besar. Allah ya Allah, barangkali saya - juga - jarang berdoa secara formal atas apa sahaja. Dan tentunya ia agak ironi melihat seorang menantu yang sentiasa mengingati kedua-dua ibu dan bapa mertuanya.
Maka ia agak munasabah apabila saya mendengar Roza berkata, "Yang saya bermimpikan ayah dan Wan. Mereka tersenyum memandang saya. Saya melihat rumah Wan dan Ayah". Ia diceritakan bukan sekali. Kadang-kadang saya terfikir – kenapa Allah tidak temukan saya dengan Ayah dan Wan – kenapa pula Roza yang hanya berpangkat menantu. Allah ya Allah, ia hanyalah lintasan hati sesaat. Ia tidak mustahak.
Ia mimpi. Cerita Roza berlalu tanpa berbekas di hati.
12 tahun selepas pemergian ayah, barulah saya tersedar daripada mimpi panjang. Terpukul dari permainan dunia sementara yang mengasyikkan. saya membaca hadis ini dan tersedu mengenangi betapa saya bukanlah anak yang soleh. Saya tidak pernah mendoakan mereka secara bersungguh. Malah saya bukannya seorang individu sempurna dalam melaksanakan rukun Islam. Solat saya tidak terjaga, puasa di bulan Ramadhan hanyalah puasa lapar dan dahaga, zakat – selain daripada zakat fitrah – tidak pernah difikirkan dan sentiasa menolak untuk menunaikan fardhu haji walaupun diajak berkali-kali oleh isteri.
Saya terasa begitu. Penilaian kediri jelas menunjukkan saya bukanlah seorang anak soleh mengikut aturanNya sebagaimana yang dijelaskan oleh Luqman kepada anaknya melalui surah Luqman, ayat 17-19 yang bermaksud,
Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.
Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.
Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai.
Tentu sekali hadis yang saya pelajari dan amati ini memberi impak besar kepada hati sanubari sendiri setelah bertahun-tahun hidup tanpa mempedulikan kesan kehidupan kepada kedua ibu bapa yang telah pergi. Kita sering melafazkan betapa kita amat menyayangi, mengasihi dan mencintai mereka. Ia tidak membawa sebarang makna yang jelas. Malah ia merupakan satu pembohongan yang tidak disedari.
Allahu Akbar, kau ampunilah daku. Ampunkanlah daku di atas segala kelalaian ku. Ya Allah, Kau ampunilah dosa-dosa kedua orang ibu bapaku. Mereka banyak berjasa kepada ku. Tidak terbalas jasa mereka ya Allah. Ya Allah, perluaskanlah kubur mereka. Pancarkan nurMu ya Allah. Temu dan kumpulkanlah kami di syurga Mu ya Allah.
Kini saya tersedar betapa mereka hanya meninggalkan tiga perkara mudah, ilmu yang bermanfaat, amal jariah dan anak yang soleh. Pandangan mata ia merupakan tiga perkara yang berbeza. Namun kini saya melihat hadis ini dalam perspektif yang sangat berbeza. Hadis ini meghubungkan di antara ibu bapa yang telah tiada dengan anak-anak yang sering menyatakan mereka cinta dan sayangkan keduanya. Ia sangat signifikan dalam menterjemahkan rasa cinta, kasih dan sayang kepada kedua-dua ibubapa dengan cara yang diredhai Allah. Malah melalui pandangan yang berbeza, ia membawa dimensi baru dalam soal mendidik anak-anak agar mereka menjadi anak yang soleh atau solehah.
Pertama, saya terkenang betapa ayahlah guru pertama yang mengajar saya surah al-Fatihah. Al-Fatihah dibaca setiap hari. Ia dibaca sepanjang hayat. Sekurang-kurangnya 17X ketika menunaikan solat fardhu. Ia adalah ilmu yang bermanfaat. Maka saya mengajak kesemua ibu bapa menjadi pengantara untuk mengajar sendiri anak-anak surah ini yang akan memberi kesan besar selepas kita meninggalkan alam ini.
Allahu Akbar.
Kedua, ayah jugalah guru pertama yang mengajar saya bagaimana mahu solat. Benar - pada suatu ketika - saya pernah meringan-ringankan solat. Saya mohon keampunan Allah. Namun apa yang diajar Ayah terus kekal di dalam minda. Ia ilmu yang sangat bermanfaat. Ajarlah anak-anak kita tentang solat. Biar - sedikit sebanyak - datangnya dari mulut kita sebagai seorang ayah dan ibu.
Cubalah semak kembali bacaan mereka, rukun solat dan apa sahaja yang berkaitan dengannya yang boleh menjadikan ia sebagai ilmu bermanfaat. Dulu, saya tidak mempedulikannya kerana memikirkan mereka akan belajar di sekolah. Itulah peranan ustaz dan ustazah. Allah ya Allah, bodohnya saya! Malah begitu banyak yang boleh kita ajarkan kepada anak-anak dengan niat semata-mata kerana Allah.
Malah ilmu yang bermanfaat tidak berkisar kepada ibadat khusus semata-mata. Misalnya, seorang ibu yang bersungguh-sungguh mengajar anaknya dengan pelbagai resepi masakan lalu memohon kepada Allah SWT supaya ia menjadi ilmu bermanfaat dan diredhaiNya. Malah ilmu yang sama jika diajar pula kepada anaknya sendiri akan membentuk rantaian ilmu bermanfaat yang tidak berpenghujung.
Begitulah bagaimana Allah melimpahkan rahmat dan kasih-sayangNya kepada hamba-hamba yang sentiasa mencari keredhaanNya. Hakikatnya, manusia sering lupa untuk mengaitkan kehidupan di dunia sebagai sebahagian daripada laluan penting yang akan membawa mereka hidup di syurga yang kekal abadi. Peringatan Allah SWT melalui ayat 46 surah Al-Kahfi ternyata relevan di dalam mengaitkan hubungan ibu bapa dengan anak-anak dalam kontek menjadi anak yang soleh atau solehah.
Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan.
Dalam konteks seorang anak, saya meluangkan banyak masa bercakap dan bercakap serta menulis dan menulis mengajak masyarakat untuk solat berjemaah di masjid, berpuasa sunat, bangun malam, membaca al-Quran dan membersihkan hati supaya melakukan apa sahaja semata-mata kerana Allah. Ia didasari oleh pelbagai faktor.
Hadis ini adalah salah satu faktor tersebut. Saya mahu mengingatkan diri sendiri, anak-anak, kaum keluarga, rakan-rakan serta masyarakat betapa tanda sebenar cinta, kasih dan sayang kepada kedua ibu bapa yang telah tiada hanya dengan menjadi anak yang soleh dan solehah. Saya sering mengemukakan beberapa pertanyaan ringkas misalnya,
Solehkan kita jika tidak solat berjemaah di masjid tanpa sebarang alasan yang munasabah? Bukankah ini yang dilakukan oleh Baginda SAW seumur hidup beliau kecuali dalam beberapa ketika tertentu. Kenapa tidak mahu ke masjid? Kenapa tidak mahu memenuhi masjid yang lengan dan sepi?
Bagaimana mungkin kita menjadi anak yang soleh dan solehah jika sentiasa berjudi di padang golf, melakukan rasuah, fitnah, berzina dan berebut kuasa sehingga melanggari batas-batas yag telah ditetapkan oleh Allah SWT?
Solehahkah kita jika tidak menutup aurat dengan sempurna?
Apakah kita mampu mendoakan kedua ibu bapa yang telah tiada jika kita sendiri tidak mahu mengikuti suruhan Allah SWT melalui ayat 59, surah Al-Azab yang bermaksud,
Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu dan perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Allah ya Allah, ramai yang menangis tersedu-sedu apabila ayah dan ibu dipanggil pulang. Namun kembalilah kepada hakikat yang satu. Mereka masih memerlukan kasih-sayang kita. Menangislah puas-puas. Kemudian, bersiaplah untuk melakukan perubahan besar dalam hidup sendiri. Lakukan kerana Allah betapa ayah dan ibu memerlukan kita menjadi anak yang soleh dan solehah.
Benar, hadis ini membawa saya menilai diri sendiri. Saya sayangkan ayah dan Wan. Lalu saya berdoa kepadaNya,
Ya Allah jadikanlah aku sebagai pengamal kepada ilmu yang diajar oleh kedua-dua mereka agar ia menjadi ilmu bermanfaat. Ya Allah jadikanlah aku sebagai anak yang soleh supaya dapat pula aku mendoakan kedua ibu bapa ku sebagai doa anak yang soleh. Ampunilah daku ya Allah di atas segala kelalaian ku. Kaulah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Kaulah penerima taubat ya Allah.
Nota hadis: Hadis riwayat Imam Muslim pada sohihnya melalui Kitab:Wasiat, melalu bab: Perkara yang berkaitan dengan pahala bagi seseorang selepas kematianya. Hadis no: 1631.
No comments:
Post a Comment