KEHIDUPAN SIGNIFIKAN
Roslan Ab Hamid MKI
8
Rabiul Akhir 1434
Ibnu
Mas'ud berkata, "Pelajarilah kebaikan kerana kebaikan dapat menjadi
kebiasaan (tabiat harian)".
Permulaan
Saya duduk menekun diri. Bersungguh mahu membaris dan menyusun abjad kata. Berusaha mencari luhur makna. Saya gementar mahu bermula. Ia rasa debar memulai kuliah pertama di Universiti MKI.
Saya duduk menekun diri. Bersungguh mahu membaris dan menyusun abjad kata. Berusaha mencari luhur makna. Saya gementar mahu bermula. Ia rasa debar memulai kuliah pertama di Universiti MKI.
Ketika ini, saya terkenang lembaran kisah silam. Rupanya
- dalam diam - sudah 35 tahun insan bernama Muhd Kamil Ibrahim (MKI) berada
dalam minda. Kepetahan MKI bertutur bagaikan rantai emas yang mengikat kenangan
bersama.
35 tahun dulu, saya di tingkatan satu. MKI di tingkatan
tiga MRSM Kota Bharu. Beliau petah berkata, pintar berhujah dan pendebat
ternama kebanggaan warga MRSM. MKI sering bertegas, "anak sungai lagikan
berubah, inikan pula hati manusia." Ia kata bermakna yang terakam kekal
dalam minda.
Tertulis
Hari ini, MKI menjawat jawatan Profesor di Universiti Taibah, Madinah. Saya
pula usahawan di bandar tempat kami pernah bermula, Kota Bharu Kelantan. Kini
- sekurang-kurangnya kami kembali semula melalui Universiti MKI.
MKI digerak Allah untuk memberi ruang kepada saya berkongsi tajuk
MKI juga: MOTIVASI, KOMUNIKASI
dan ILMU.
Tawaran menarik ini datang bagai kejutan penghormatan
yang amat menyenangkan. Kita tidak semestinya hebat untuk bermula tetapi kita
perlu bermula untuk hebat. Lalu HEBAT ini adalah kata kunci pembuka cerita
dalam kuliah pertama di Universiti MKI.
Tiada jawapan mampu saya tuturkan pada tawaran MKI
kecuali Alhamdulillah Terima Kasih. Seumpama kali pertama melihat MKI berdebat
di atas pentas 35 tahun silam, hati dan emosi saya pada masa ini berasa amat
teruja sekali.
Lorong Hebat
HEBAT,
akronim semasa di MRSM adalah Hati Emosi Berasa Amat Teruja. Apakah HEBAT yang
serupa mahu saya kongsikan sekarang? Pada hemat saya, setelah membaca banyak
buku dan mengikuti pelbagai seminar - termasuk bacaan buku MKI dan Puan Roza
Roslan - akronim hebat ini perlu berubah makna. Seorang teman mengajar
saya makna baru di sebalik akronim HEBAT.
H adalah Hanya kerana Allah.
MKI dalam banyak perkongsiannya sering mengingatkan agar kita memburu darjat
dan kemuliaan di sisi Allah SWT. Kemuliaan di sisi Allah akan merapatkan kita
dengan manusia, manakala barang diingat kemuliaan di sisi manusia ada kalanya
menjauhkan kita daripada Allah.
E adalah Elakkan Irihati,
Benci dan Dengki. Kehidupan akan lebih sempurna bila kita
belajar mencintai, memaaf dan memberi. Hidup perlu bahagia dan membahagiakan.
Lebih utama diredhai oleh yang Esa.
Perbezaan
Cara
terbaik bagi menceriakan diri adalah dengan menceriakan orang lain. Mulakan
dengan memberi. Memberi seumpama kita membina jambatan penghubung yang
merentasi jurang keterpencilan diri sendiri. Satu satunya perbezaan antara hari
yang baik dengan hari yang buruk adalah sikap kita. Sikap adalah perkara kecil
yang membawa perbezaan besar.
B adalah Bersyukur bila diuji.
Bersyukur bila dipuji. Bersyukur dengan segala nikmat Allah SWT. Kita harus
menerima kesakitan, kesusahan dan kepayahan serta menjadikan ia sebagai
pembakar semangat dalam perjalanan hidup.
Setiap kali berdepan kesukaran, saya teringat kata-kata
Iman Syafi'i,
"Jangan bersedih atas sesuatu yang hilang di dunia,
kerana engkau masih memiliki keIslaman dan Kesihatan. Jika sesuatu yang engkau
usahakan hilang dari mu maka dengan Islam dan kesihatan itu terdapat ganti yang
hilang untuk mu.
Perubahan
A adalah Amalan Kerja Keras
dan Fokus. Untuk berjaya ubah Fokus, Emosi dan Fisiologi. Dalam
kehidupan, kita tidak dapat berpatah balik dan mencipta permulaan baru semula. Begitupun
seseorang sentiasa dapat bermula daripada sekarang dan mencipta penamat baru
yang lebih baik tentunya.
Apakah ada sosok agung lain yang dapat kita jadikan
contoh keteladanan? Jawapannya TIDAK ADA. Dia satu dan sesatunya,
junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Pada dirinya ada teladan besar kekuatan iman dan kesabaran. Pada diri baginda
ada contoh kerja keras dan fokus.
Rasulullah
saw dihina, disiksa dan diusir. Baginda berdepan penolakan. Baginda
menderita tetapi pantang putus asa. Rasa percaya diri yang tinggi menjadikan
Nabi Muhammad SAW istiqamah menyebarkan Islam ke seluruh penjuru dunia dan
membawa rahmat ke seluruh alam ini.
Pegangan
T adalah Tawakal. Menurut ulama analogi
Tawakal itu ada 3 tahap. Tahap pertama, tahap pemula adalah tawakal di bumi.
Pergantungan kita kepada Allah adalah sangat sedikit. Kita selalu tanpa sedar
lebih percaya pada kuasa manusia dan mata benda.
Tahap
kedua, tawakal di lautan. Kita masih berharap pada pautan sampan atau apungan air
manakala tawakal tahap ketiga adalah tawakal di udara. Inilah setinggi tinggi
tawakal kerana kita hanya bergantung pada Allah SWT jua.
Akronim
HEBAT inilah yang memayungi sesi-sesi Motivasi, Komunikasi dan Ilmu dalam dewan
kuliah saya di Universiti MKI. Saya akan cuba sebaik mungkin berkongsi
beberapa perkara dengan doa "di hujung perjalanan orang berilmu adalah
KEJAYAAN".
Moga ada
ruang manfaat di bilik kuliah ini, In'sya Allah.
No comments:
Post a Comment