KEMATIAN
PASTI DATANG
Hakikat
Tak Terbantahkan Dari Kematian
Tidak semena-semena handphone isteri saya berdering jam 4.30 pagi. Ingatkan
orang tersalah panggil. Sengaja dibiarkan. Kadang-kadang ada juga panggilan
nakal pagi-pagi buta ni. Tetapi bila kali kedua berdering, hati saya syak
mungkin ada panggilan mustahak. Benar. Kak
Yan, kakak ipar saya dari Kg. Beruas buat panggilan, abang sulung saya Syed Abu
Bakar telah kembali kerahmatullah. Beberapa minit kemudian Nor adik saya dari
KL, telepon memberitahu berita yang sama. Dah pastilah, berita itu benar. Sesungguhnya,
mati itu benar.
Innalillahi, wainnalillahi rajiun. Dari Allah
kita datang, kepada Allah kita kembali. "Tiap-tiap yang berjiwa akan
merasakan mati..." (Ali 'Imrân [3] : 185)
Baru minggu lepas, hati saya terpanggil untuk ke Pekan,
menziarahi abah dan dua orang abang saya di Pekan. Syed Abu Bakar abang yang
sulung, manakala Syed Umar abang nombor 3.
Sewaktu
menziarahi abang yang sulung tempoh hari, Allahyarham kelihatan sihat, walaupun
dia masih menjalani rawatan penyakit kencing manisnya. Rupa-rupanya Allah yang
gerakkan hati saya agar berjumpa untuk kali yang terakhir dan semalam, dan jam 3.30
pagi Sabtu, 18 Mei 2013 beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir. Meninggalkan
anak lelaki seramai 5 orang, dan 3 perempuan. Sudah punyai cucu seramai 7
orang. Alhamdulillah tak kaya harta tetapi kaya keturunan. Moga-moga lahirlah keturunan
yang soleh dan solihah.Amiin.
Semua
adik beradik, anak-anak Allahyarham sempat balik, untuk menziarahi Allahyarham.
Jenazahnya disemadikan di Perkuburan Kampung Beruas, Kuala Pahang berhampiran
dengan kubur arwah tok, nenek dan beberapa kubur bapa saudara yang telah
meninggal dunia.
Rupa-rupanya
guruan Allahyarham dengan abang saya yang ketiga, Syed Umar, apabila melintasi
kubur tersebut mereka bergurau, ”Nak booking dekat mana?” menjadi kenyataan. Dari
tanah kita datang kepada tanah kita dikembalikan.
Ibu
saya Sharifah Gayah bt Syed Ali, Alhamdulillah masih sihat walaupun usia telah
menjangkau lebih 70 tahun. Begitu juga Ayahanda Syed Hassan b Syed Ahmad Al Attas
biarpun usianya sudah menjangkau 94 tahun masih mampu menunggang motosikal,
berulang alek ke masjid Tanah Putih, Pekan,berhampiran tempat tinggal beliau.
Apabila
menghantar jenazah Allahyarham Syed Abu Bakar, ke tanah perkuburan, tersentuh
hati ini, betapa hanya kain putih sahaja yang mampu dibawa ke dalam kubur,
bantal yang di alas kepala, kain batik penutup keranda pun diambil semula di
bawa balik.
Sungguh
menginsafkan diri. Sewaktu jenazah diturunkan ke dalam liang lahat saya terusik perasaan. Saya
berfikir sejenak. Teringat diri ini, siang malam bekerja, mencari duit untuk membeli kereta, membina rumah
batu, membeli pelbagai jenis perabut, pakaian yang pelbagai jenama, motosikal,
basikal buat joging, rupa-rupanya, semuanya tak boleh nak dibawa ke dalam
kubur. Kita terlalu disibukkan dengan hal-hal dunia, akhirnya kita dimasukkan
ke dalam kubur seorang diri.
Saya teringatkan pesan seorang Ustaz satu ketika dahulu, kalau
kita menziarahi orang mati,kita kena rasakan yang mati itu adalah diri kita,
barulah tercapai maksud Rasulullah saw menggalakkan umatnya agar suka
menziarahi orang mati.
Sehingga dijanjikan pahala menyamai sebesar bukit Uhud, jika
sempat menyembahyang jenazah, dan kalau sanggup menghantar ke tanah perkuburan dan
menguruskan pengkebumian dijanjikan pahalanya sebesar dua bukit Uhud.
Malangnya, menzaiarahi orang mati ini macam
biasa-biasa sahaja. Waktu sampai nampaklah kesedihan tanda simpati, lepas itu,
boleh berbual rancak apabila bertemu dengan kenalan. Sepatutnya, semua yang
menziarahi tidak perlu berbual kosong, banyakkan baca ayat-ayat suci ataupun
berzikir, niatkan pahalanya untuk simati. Jangan sampai kita digolongkan oleh
Allah sebagaimana maksud ayat berikut;
"Mereka
itulah orang-orang yang hati, pendengaran dan penglihatannya telah dikunci mati
oleh Allah, dan mereka itulah
orang-orang yang lalai". (An Nahl : 108)
Beginilah,
dimana-manapun, ziarah orang mati, tidak menghidupkan hati kita untuk mengambil
iktibar daripada kematian itu.
Marilah
kita sama-sama mengionsafi diri, bahawa umur kita kian berkurang, nyawa kita
bila-bila masa sahaja Allah akan panggil. Tidur itu adalah sebahagian daripada
kematian.
“Tiap-tiap
yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah
disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke
dalam syurga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain
hanyalah kesenangan yang memperdayakan.” (Al Imran : 185)
"Katakanlah
'sesungguhnya kematian yang kamu lari dari padanya, maka sesungguhnya kematian
itu akan menemui kamu" (Al-Jumu'ah [62] : 8)
Semuga
Allah mencucurkan rahmat ke atas roh Allahyarham kekanda Syed Abu Bakar b Syed
Hassan Al Attas. Semuga Allah ampunkan segala dosa dan kesalahan kita dan
ditempatkan dikalangan orang-orang yang diampunkan. Amiin. Al Fatihah.
berikut ini sedikit tips untuk kita yang menziarahi orang mati.
Ziarah Sakit & Kematian
1 Islam menggalakkan umatnya
(sunat) supaya menziarahi orang sedang sakit. Ini
merupakan satu kebajikan masyarakat kepada pesakit dan melahirkan rasa simpati
terhadap keluarga pesakit.
Maksud sabda Rasulullah s.a.w.:
"Dan apabila sakit hendaklah ziarahinya dan apabila meninggal dunia hendaklah menghantarnya ke kubur."
(Riwayat Bukhari)
"Dan apabila sakit hendaklah ziarahinya dan apabila meninggal dunia hendaklah menghantarnya ke kubur."
(Riwayat Bukhari)
2
Ziarah Kematian
Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda,
maksudnya:
"Sesiapa yang hadir menziarah jenazah sehingga dia dapat
menyembahyangkannya, maka baginya mendapat pahala sebuah gunung dan sesiapa
hadir menziarah sehingga jenazah itu dikebumikan. Maka ia mendapat pahala
sebesar dua buah
gunung." (Riwayat Bukhari dan Muslim)
3
Tatasusila Semasa Menziarahi
i. Hendaklah melahirkan perasaan muhibbah, bersimpati dan bermanis muka ketika
bercakap dengan pesakit atau keluarganya. Jangan sekali-kali
mengeluarkan perkataan-perkataan yang boleh melukakan hatinya.
ii. Nasihatkan dia supaya bersabar, teguhkan
iman dalam menghadapi ujian Qadha dan takdir Allah.
iii. Sunat berdoa supaya cepat sembuh dan panjang
umur. Sewaktu Nabi s.a.w.menziarahi orang sakit baginda berdoa, maksudnya :
"Wahai Tuhan ! Manusia hapuskanlah
penderitaan ini, sembuhkanlah, tidak ada penyembuh melainkan Engkau sahajalah
berkuasa menyembuh tanpa meninggalkan kesan
buruk." (Riwayat Bukhari dan Muslim)
iv. Perlu juga para penziarah memahami
situasi supaya jangan tunggu terlalu lama semasa membuat kunjungan.
v. Berwasiat kepada waris terdekat tentang
hutang piutang pesakit yang belum dijelaskan.
vi. Jangan menghisap curut atau merokok
semasa berhadapan dengan orang sakit.
vii. Jangan berkumpul terlalu ramai sehingga
kesesakan udara untuk bernafas.
viii. Jangan membuat bising dengan gelak
ketawa melalui cerita-cerita lucu. Kita harus ingat suasana majlis itu
kesedihan
No comments:
Post a Comment