Saturday, March 19, 2011

Kuasa doa



Kala kita dilanda derita yang tiada kesudahan, doalah yang menjadi peneman paling setia ketika itu. Usah sesekali mempersendakan fungsi doa dalam kehidupan kita. Ini kerana, doa adalah tali Allah SWT. Doa juga adalah pengikat kita dengan Allah. Sebagai hamba yang kekal bersifat lemah, manusia perlu sentiasa berhubungan dengan Allah yang Maha Esa.

Lafaz doa mengandungi makna pengharapan dan kebergantungan kepada-Nya (Allah sebagai tempat bergantung). Mengakui kelemahan diri dan keperluan kepada pertolongan dan perlindungan Allah.

Apabila seseorang manusia merasa tidak perlu kepada doa, dia sebenarnya terlalu angkuh dan sombong dengan jaminan dirinya sendiri. Ia telah memutuskan tali Allah yang mengikatnya sehingga dia terdedah kepada kebinasaan akibat dosa-dosanya melupakan Allah.

Dalam konteks doa, kita sebagai seorang Muslim, hendaklah sentiasa membiasakan diri menyebut nama Allah dalam setiap perbuatan. Seawal bangun dari tidur, mandi, memakai pakaian, berwuduk, sembahyang, makan, minum, keluar masuk rumah, bekerja, belajar dan sebagainya, semua itu hendaklah diiringi dengan doa supaya perbuatan itu selari dengan perintah dan suruhan Allah SWT. Sungguh indah perhubungan antara hamba dengan tuhannya itu. Kita begitu hampir dan tidak pernah bercerai kerana penghubungnya adalah doa yang penuh keyakinan bahawa Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

Doa adalah untuk kebaikan malah doa juga adalah pengubat hati. Ini kerana, saat diri kita dihina, tidak dipedulikan, mudah putus asa dan sebagainya, akan ada satu persoalan yang berlegar di ruang fikiran, siapakah manusia harus ku mengadu, merintih dan bersandar?
Hanya kepada Allah, tempat kita mengadu. Setiap kesusahan ada kemudahan. Dengan untaian doa penuh keikhlasan dan tangisan yang meruntuhkan tembok kesombongan, manusia kembali kepada Allah menadah tangan, mengakui kelemahan, mengharap pertolongan, perlindungan dan keselamatan dunia akhirat.

Mengikut riwayat at –Tirmizi, Rasulullah SAW apabila mengangkat tangannya untuk berdoa, maka tidak akan dikembalikan kedua-dua tangannya itu sehingga diusapkan ke wajahnya.
Ertinya, ketika berdoa, kita hendaklah menadah kedua-dua tangan, melafazkan doa kemudian mengakhiri doa tersebut dengan mengusap kedua-dua tapak tangan ke wajah. Perlakuan ini membuktikan sifat kehambaan kepada Pencipta kita.

Doa hendaklah dimulakan dengan pujian kepada Allah (seperti lafaz alhamdulillahirabbil'alamin), selawat ke atas Nabi SAW (sekurang-kurangnya membaca Allahumma solli ‘ala Muhammad), lafaz doa dan doa memohon kebaikan diri dan ahli keluarga di dunia dan akhirat, iaitu:

“Wahai Tuhan kami, berikanlah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab api neraka.” – Surah al-Baqarah: 201.

Di akhir doa, ulang, selawat ke atas Nabi SAW dan pujian kepada Allah SWT sekali lagi.
Allah makbulkan doa

Dalam pada itu, Ustazah Ruhana Zaki berkata, doa orang yang dizalimi dimakbulkan tuhan tanpa hijab. Oleh sebab itu, lebih beruntung menjadi orang yang dizalimi berbanding orang yang menzalimi.

Walau bagaimanapun, kata Ustazah Ruhana, bataskanlah diri dengan cara tidak berniat membalas semula kezaliman orang itu, melainkan Allah sahaja yang membalas kerana hukuman-Nya lebih baik daripada hukuman manusia.

Beliau berkata, ada kalanya manusia tertanya-tanya dan mempersoalkan, mengapa doanya belum dimakbulkan.
“Allah SWT maha mengetahui. Mungkin apa yang kita suka itu tidak baik pada pandangannya-Nya ataupun doa itu ditangguhkan untuk kebaikan diri kita juga.

“Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang Mengetahui (semuanya itu), sedangkan kamu tidak mengetahuinya.” – Surah al-Baqarah: 216

“Ada beberapa orang yang doanya amat dimakbulkan, iaitu doa ibu bapa, terutama sekali doa ibu untuk kebaikan anak-anaknya, doa ketika hendak berbuka puasa, doa ketua negara yang adil, doa orang yang dizalimi atau teraniaya, doa orang yang bermusafir dengan niat baik dan doa anak soleh untuk ibu bapanya yang telah meninggalkan dunia fana ini,” katanya.

Adab berdoa

Doa adalah senjata ghaib umat Islam dalam memohon pertolongan daripada Allah SWT. Sebab itu, Islam meletakkan doa sebagai sebahagian daripada ibadah kepada-Nya.

“Dengan demikian, permohonan doa berkenaan hendaklah mematuhi adab-adab tertentu, antaranya; menghadap kiblat, menutup aurat, memulakan doa dengan bismillah dan berada dalam keadaan statik bukannya berjalan atau berlari.

“Berdoa dengan ikhlas, merendah diri, mengaku kesalahan dosa yang lalu dan berdoa terus menerus sama ada semasa senang atau susah dan tanpa putus asa juga adalah antara adab-adab ketika berdoa,” ujar Ustaz Aminuddin Yusof.

Menurutnya, tiada waktu-waktu khusus untuk kita berdoa sebaliknya doa mampu dilakukan pada bila-bila masa sama ada ketika bekerja, belajar, menulis dan sebagainya.

“Memang diakui, berkat doa adalah selepas kita menunaikan solat lima waktu. Namun, ia tidak semestinya tidak boleh dilakukan jika kita sudah selesai menunaikan solat,” katanya sambil memberitahu doa adalah permohonan atau pengucapan seorang hamba kepada Allah dan setiap rintihan yang dimohon akan didengar oleh-Nya, malah hambanya yang sentiasa menyebut bismillah dan membaca Al-Fatihah, itu sebenarnya adalah satu doa.

No comments:

Post a Comment