oleh NOOR AZAM Sinar Harian 2/28/2011 9:30:20 AM |
Piliham raya merupakan instrumen terpenting dalam sistem demokrasi. Tanpanya yang memberi kuasa kepada rakyat memilih pemerintah, demokrasi tidak wujud. Namun ada pilihan raya pun belum pasti amalan demokrasi sebenar terlaksana. Ada jiran kita dan negara-negara di Asia, Afrika, Asia Barat dan di Afrika Utara, mengadakan pilihan raya, tetapi menggunakan kuasa dan macam-macam jentera kerajaan, termasuk polis dan tentera untuk memastikan parti pemerintah sentiasa menang. Amalan seperti ini memungkinkan wujud pemerintahan diktator. Demikianlah Hosni Mubarak, dalam keadaan rakyat hidup terkongkong, tertekan dan majoriti miskin, beliau dapat menegakkan pemerintahan autokrasi selama 30 tahun. Pada pilihan raya presiden 2005, Mubarak cuba lebih terbuka dan memberi sedikit kebebasan berkempen, tetapi pada pilihan raya 2010 dicengkam semula. Mubarak berjaya menghapuskan sama sekali suara pembangkang. Ikhwanul Muslimin, yang sebelumnya ada 88 tinggal kosong. Ayman Nour yang bertanding melawannya dalam Pilihan Raya Presiden 2005, ditangkap, dihukum penjara, diseksa dan baru dibebaskan pada 2009. Dalam masa 20 tahun terakhir ini perang terhadap kumpulan teroris membolehkan Mubarak mencengkam rakyatnya lebih keras lagi dengan menggunakan alasan keselamatan negara. Dianggarkan 1.7 juta orang bertugas untuk Kementerian Dalam Negeri, menjadikan Mesir bagaikan negara polis. Dalam situasi seperti ini pilihan raya tiada gunanya. Di negara kita, parti pembangkang terus berusaha keras untuk menjatuhkan kerajaan, walaupun Perdana Menteri (PM) dan Kabinet silih berganti dan ciri-ciri pentadbiran serta program sosial ekonomi sentiasa berubah. Keputusan PRU 2008 memperlihatkan transformasi politik tiba-tiba yang luar biasa. Pada PRU 2004, di bawah pimpinan PM baru – Mr Nice Men - parti pemerintah mencapai kejayaan paling besar dalam sejarah. Tiba-tiba, empat tahun kemudian, di bawah PM dan ketua parti sama, BN mengalami kekalahan paling besar dan pakatan pembangkang meraih kemenangan paling gemilang . Mereka pun yakin, jalan ke Putrajaya sudah terbuka. Bagaimana pun selepas PRU ini, wujud iklim perhubungan kaum yang nampak lebih mengancam. Rupa-rupanya kemenangan besar pembangkang membawa penyakit perkauman yang lebih serius. Orang Melayu berasa tergugat, orang Cina dan India berasa semakin kuat dan lebih berani membuat pelbagai tuntutan secara terbuka. Istilah rasis dan bahasa orang jahil jadi kegemaran pemimpin politik. Dewan Parlimen jadi medan demonstrasi jalanan. Istana pun diseret dan diserang. David Teo, pembekal lantai untuk rumah saya empat tahun lalu, sudah setahun tak ada hubungan. Tiba-tiba muncul dengan dua kotak limau seperti tahun-tahun berlalu. Terasa sekali enaknya hubungan kami. Namun ketika berbual, David menyebut rasa kesalnya dengan suasana hubungan kaum sekarang ini. Saya percaya ada ratusan malah ribuan orang Cina seperti David. Mereka rakyat biasa, tiada kepentingan dagang mahupun politik, tetapi tidak dipedulikan untuk memupuk semangat Malaysia yang sebenar. Taburan imbuhan ribuan juta ringgit dan program transformasi sosioekonomi oleh Datuk Seri Najib, belum lagi dapat meredakan suasana tegang ini. Punca utamanya ialah persaingan merebut kuasa politik. Selagi BN tidak jatuh, pembangkang tidak akan duduk diam. Selepas PRU 2008, apa saja isu, baik ekonomi, pendidikan, agama malah sepatah kata dalam sebuah novel pun telah berkembang jadi isu politik kaum yang heboh, sensitif dan sangat tidak menyenangkan. Keadaan ini sedang dieksploitasi oleh parti-parti politik untuk memperkukuh kedudukan masing-masing tanpa menimbangkan apakah akibatnya kepada masyarakat. Kerajaan jadi sasaran pembangkang adalah perkara biasa kerana yang mahu direbut adalah kuasa. Tetapi kerajaan tidak akan dapat mempertahankan diri tanpa penjelasan meyakinkan rakyat. Maka menteri-menteri dan agensi kerajaan jangan suka melakonkan wayang politik murahan seperti mengatur pelajar mengangkat poster memuji PM di tangga pesawat, atau mengarah masjid mengulang khutbah Jumaat yang memuji PM, tiga Jumaat berturut-turut. Ini jadi boomerang, memukul hancur segala usaha positif Najib. Adalah mendukacitakan apabila semua pilihan raya kecil (PRK) selepas 2008, lebih merupakan pilihan raya persaingan kaum, bukan pilihan raya persaingan parti. Maka sebaik saja PRK diumumkan, penganalisis politik membuat analisa berdasarkan sikap dan sentimen politik pengundi di kawasan peti undi Melayu, Cina dan India. Parti Cina menumpukan kempen di kawasan Cina dan parti India di kawasan India. Parti Melayu cuba melangkahi semua kawasan, namun tetap terikat kepada kawasan Melayu. Pendeknya, bila ada pilihan raya, pengundi dicencang lumat menurut kaum dan agama. Ahli-ahli akademik pun melihat pilihan raya dari sudut sama. Dalam persaingan politik seperti ini, kempen jadi lebih bergelora dan sentimen kaum menonjol sekali. Maka pilihan raya kita jadi medan menyuburkan pertentangan kaum |
Tuesday, March 1, 2011
Pilihan raya jadi pilihan kaum
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment