| Menyingkap kembali sejarah  saya tertanya apakah mungkin budaya politik negara dan nasib rakyat  dibawah pemerintahan seorang raja yang mulia lagi beriman dan budiman? 
 
  Sekiranya Sultan Melaka memerintah, mungkinkah rasuah dibenarkan  sehingga sebuah istana yang bermula dengan kos RM400 juta dijangka  melebihi RM1 bilion? Apa pula dengan ketirisan ekonomi berjumlah RM28  bilion setahun berterusan sehingga hanya kelompok elit yang bertambah  kaya manakala rakyat jelata terus melata berkais pagi makan pagi? 
 Kalau Sultan Melaka memerintah, mungkinkah laksamana angkatan laut akan  membeli kelengkapan perang, termasuk kapal yang mampu timbul atau yang  sengaja tenggelam dengan harga berpatutan tanpa komisen beratus juta  ringgit kepada seorang baginda yang hanya pada nama dan bukan pada  takhta? Bagaimana pula dengan perbelanjaan lain negara, adakah ia secara  berhemah dan bijaksana atau boros membazir tanpa penghujung? Adakah  jalan keretapi akan dibina dengan harga berlipat ganda dari biasa ibarat  landasan bersalut emas?
 
 Sekiranya Sultan Melaka memerintah, adakah hulubalang dan pahlawan  penjaga keamanan akan mempertahankan rakyat atau menangkap lalu dikurung  dan dipukul rakyat jelata tanpa sebab dan bicara kerana memelihara  kepentingan puak tertentu. Janganlah penjaga aman cepat menahan reman  rakyat yang mungkin di’Kugankan’ atau di’Aminulrasyidkan’ atau di’Beng  Hockan’ atau di’Sarbanikan’ tanpa saksi, warna kulit, umur dan hayat.  Adakah begitu murah dijual janji ikrar sumpah pahlawan untuk beberapa  keping emas atau kepingan timah tanda gelaran disemat di dada baju?
 
 Kalau Sultan Melaka memerintah, adakah rakyat dibiarkan menanggung beban  hidup melampau tanpa subsidi hasil khazanah negara yang sememangnya  mencukupi jika tidak diboroskan atau dikalihkan untuk projek-projek  mewah maha membazir? Harga barang naik termasuk gula melaka tetapi  subsidi korporat besar dikurangkan dengan begitu perlahan sehinggakan  sang siput dinobatkan juara pertandingan lari merentas desa?
 
 Kalau Sultan Melaka memerintah, adakah tanah jajahan Pulau Batu Putih,  Blok L dan M atau sumber air mentah diserahkan tanpa sebarang suara  pahlawan berteriak marah atau keris keramat dihunus berani melainkan di  perhimpunan agung para lanun buat tontonan dicermin sendiri?
 
 Sekiranya Sultan Melaka memerintah, adakah tata susila bangsa dan agama  yang mencerminkan nilai-nilai murni sejagat menjadi pencorak budaya dan  amalan rakyat?
 
 Adakah baginda sanggup melihat martabat qazaf  direndahkan dengan hanya lafaz sumpah buat selindung fitnah mengorbankan  syariah akibat kerenah tiga sekawan yang buta hukum tetapi celik  konspirasi berbayar demi mengaut untung sementara duniawai tetapi  mengecap kerugian kekal ukhrawi?
 
 Adakah baginda akan berjuang memperkasakan perlembagaan mensejahterakan  rakyat atau berdiam saja apabila lanun politik memperkosakan janji  kemerdekaan hak rakyat? Di manakah Sultan Melaka atau pemerintah Melayu  yang akan membela rakyat secara jujur?
 
 Itulah dia seribu kemungkinan perjalanan sejarah yang menjadi tanda  tanya kerana tidak lama lagi kita rakyat semua dapat membuat pilihan  menentukan masa depan negara dan mencorak sejarah kita sendiri yang  lebih baik, lebih makmur dan lebih saksama di peti undi, itupun kalau  tidak dirompak lanun politik.
 Marilah kita belajar dari sejarah untuk mencipta sejarah lebih gemilang  kerana sudah tiba masanya kita laksanakan reformasi politik secara  berkesan dan menyeluruh
 | 
No comments:
Post a Comment