ŲØŲ³Ł
Ų§ŁŁŁ Ų§ŁŲ±ŲŁ
Ł Ų§ŁŲ±ŲŁŁ
ŁŲŁ
ŲÆŁ Ł ŁŲµŁŁ Ų¹ŁŁ Ų±Ų³ŁŁŁ Ų§ŁŁŲ±ŁŁ
KE
ARAH MEMBINA PERIBADI INSAN KAMIL
OLEH
USTAZ MUHAMMAD 'UTHMAN
EL-MUHAMMADY
Insha Allah dalam nota ini akan dibicarakan secara ringkas
pembentukan peribadi yang menunju ke arah insan kamil dalam erti amnya insan
yang sempurna keimanannya atau yang paling dekat kepada kesempurnaan dan yang
sempurna ketaqwaannya atau yang paling dekat kepada yang sempurna. Yang benar-benar sempurna keimanan dan
ketaqwaannya ialah insan kamil yang sebenarnya, iaitu para nabi dan rasul a.s.s
apa lagi kemuncak insan kamil dalam alam ini iaitu Nabi Muhammad s.a.w.
Maka akan dibicarakan peribadi manusia, kejadiannya, pembentukannya,
faktor-faktor yang menguatkannya dan meruntuhkannya, serta akhir-akhirnya
ciri-cirinya insan yang sempurna. Dengan
itu tercapailah kedudukannya yang dicadangkan untuknya sebagai benar-benar khalifah
Tuhan di bumiNya dan juga hambaNya, yang mendapat “hasanah” dalam dunia dan
“hasanah” dalam akhirat.
Kejadian insan
Insan kata nama yang datang dari “nisyan”, iaitu kelupaan,
kerana padanya ada sifat lupa selepas ia ingat.
Maka datanglah wahyu dan agama Islam untuk memberi peringatan kepadanya
supaya ia ingat kembali kedudukanya sebagai hamba Tuhan dan khalifahNya. Maka wahyu yang datang untuk “mengingatkan
kembali” hakikat kedudukannya itu dinamakan “al-dhikrul-hakim”, iaitu
Peringatan Yang Penuh dengan Hikmah Kebijaksanaan. Atau ada pendapat yang
menyatakan bahawa kata nama bagi dirinya itu datang dari ”uns”, kejinakan,
iaitu kejinakan dengan Tuhan. Maka insan yang sebenarnya yang kekal
dengfan kemanusiaannya ialah yang jinak dengan Tuhan yang “liar” denganNya
adalah orang yang telah “meletakkan jawatan”nya menjadi manusia.
Tetapi oleh kerana kedudukan sebagai manusia itu tidak
boleh diletakkan “jawatannya”, ia menukarkan kedudukannya kepada kedudukan
menjadi “khalifah” Syaitan. Dijauhkan
Allah. Maka didatangkan agama untuk mentautkannya kembali kepada Tuhan
melalui akalnya, yang datang dari kata kerja “aqala” yang memberi pengertian
“mengikat” iaitu “mengikatkannya kembali” kepada Tuhannya. Maka fungsi
akal yang tertinggi ialah untuk “mengikat kembali” insan ini kepada Tuhan Yang
menjadikannya.
Kejadian insan ialah terdiri daripada jasmaninya, disebut
sebagai “badan”, atau “jasad” terdiri daripada unsur-unsur alam kebumian,
"the elements of the earth". Dengan itu jadilah ianya
makhluk yang bertubuh badan dengan tuntutan-tuntutannya yang perlu ditunaikan
dalam hubungan dengan kejadian itu.
Ada padanya pula
“roh”, yang datang dari sisi Tuhan, dari alam Perintah Tuhan, “Alam
al-Amr”. Ini yang membentukan insaniah
baginya. Dalam ayat yang bermaksud “dan
Aku tiupkan ke dalamnya sesuatu dari Roh ciptaanKu, maka sujudlah kamu wahai
para malaikat kepadanya sebagai sujud penghormatan” maka sujudlah para malaikat
melainkan Iblis. Kemuliaan insan sebagai
khalifah Tuhan dan hambaNya datang daripada “hembusan Roh dari ciptaan Tuhan”
ini. Kewujudan roh dari alam Amr inilah
yang menjadikannya boleh memahami keimanan, kebenaran, dan lain-lain hakikat
dalam ajaran agama. Kewujudan roh
padanya menuntut atasnya amalan-anmalan rohaniah yang menyegar dan
menguatkannya dengan keimanan, sembahyang, zikir, tafakur, muraqabah atau
penelitian rohani dan seterusnya.
Insan mempunyai nafs
dalam erti “jiwa” dalam Bahasa Melayu atau “soul” dalam bahasa
Inggeris. Ianya berupa diri insan yang
batin yang merupakan hakikat dirinya.kalau ini menjadi baik dari segi rohani
dan akhlak, baiklah peribadinya, kalau rosak maka rosaklah seluruh
dirinya.
Dalam Qur’an
terdapat kenyataan yang bermaksud “Demi jiwa serta penyempurnaannya; maka Allah
mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketaqwaannya. Maka sesungguhnya berjayalah orang yang
membersihkan jiwanya dan rugi atau gagallah orang yang mengotorkannya” (Surah
ash-Shams: Ayat 7-10). Jiwa itu juga
disebutkan sebagai hati sebagaimana yang ada dalam "Ihya" oleh Imam
al-Ghazali rd.
Dalam hadith
terdapat kenyataan yang bermaksud “Tidakkah sesungguhnya ada dalam diri anak
Adam seketul daging - dari segi rohaninya selain daripada seketul daging segi
fisikalnya - apabila baik maka baiklah seluruh jasad atau dirinya dan apabila
rosak maka rosaklah seluruh dirinya, iaitu hati, yang merujuk kepada
jiwanya”.
Maka ajaran agama
datang dengan jalan-jalan untuk diikuti oleh manusia supaya ia mencapai
kedudukan sebagai insan yang sempurna melalui pembersihan jiwanya daripada
sifat-sifat yang kotor atau jahat dan keji dari segi akhlaknya. Ini terdapat dalam faham nilai atau aksiologi
Ahlis-Sunnah wal-jamaah sebagaimana yang boleh dilihat dalam teks-teks yang
muktabar dalam bidang ini seperti “Ihya’ ‘Ulumiddin” oleh Imam al-Ghazali rd
dalam bahasa Arab dan “Siyar as-Salikin” karangan Syaikh ‘Abd al-Samad
al-Falimbani rh dalam Bahasa Melayu.
Dalam diri insan,
dengan adanya “roh” yang ditiupkan itu adalah akal padanya. Akal itu menyebabkan insan boleh mengenal apa
itu kebenaran, apa itu kepalsuan, apa itu kebaikan dan apa itu kejahatan. Dengan adanya neraca pengenal - mudrik - itu
maka insan mampu boleh mengenal ketegori-kategori ilmu yang berupa potensi yang
datang dari maksud ayat tentang kejadian Adam bahawa - maksudnya - “Allah
mengajarkan kepada Adam segala nama.” Maka datanglah agama membawa
kebenaran-kebenaran untuk menjadi “isi” bagi akal ini. Dan jalan mengenal kebenaran ini atau jalan
ilmu ini bermula dengan kebenaran yang tertinggi yang bermakna “Bahawa tidak
ada tuhan yang disembah dengan sebenarnya melainkan Allah” yang merupakan
seluruh kebenaran tentang Tuhan dan “bahawa Nabi Muhammad s.a.w. adalah pesuruh
Allah” yang merupakan seluruh kebenaran tentang kehidupan dan alam
seluruhnya.
Dengan memahami
kebenaran ini yang menjadi dasar bagi seluruh kebenaran tentang kehidupan dan
hidup dengan menghayati semua ini dengan segala pen'detail'an yang
timbul daripadanya maka insan mencapai kesempurnaan pada diri dan kehidupannya
dan bahagialah ia di dunia dan akhirat dengan mencapai “hasanah” pada
kedua-duanya. Allahumma amin.
Tiga Jenis Faham
Yang Asasi
Insan akan mencapai
kesempurnaannya - dengan izin Ilahi - bila ia memahami faham alam dan kehidupan
yang betul, dalam falsafah dipanggil “worldview”, faham ilmu atau epistemologi
yang tepat dan faham nilai atau aksiologi yang benar dan betul. Pemahaman perkara yang tiga yang pokok ini,
keyakinan terhadapnya dan penghayatannya membawa kepada keselamatan dan
kesempurnaan.
1.
Faham alam atau kehidupan:
Ertinya ia memahami
alam ini dengan semua manifestasinya bermula dari alam galian sampai kepada
haiwan, manusia, dan alam kerohanian dengan arash dan kursinya serta sekalian
malaikatnya dengan syurga dan nerakanya adalah ciptaan Allah yang menunjukkan
kekuasaan, sifat-sifat dan perbuatan-perbuatanNya.
Allah dengan
Sifat-SifatNya, dengan Adanya, SediakalaNya, KekalNya, Bersalahan dengan
makhlukNya, Berdiri SendiriNya, KeesaanNya, dengan hayatNya, IlmuNya, Qudrat
atau KuasaNya, KehendakNya, MendengarNya, MelihatNya, Berkata-KataNya.Dengan
Keadaan hayatNya, Keadaan BerilmuNya, Keadaan BerkuasaNya, Keadaan
BerkehendakNya, Keadaan mendengarNya, Keadaan melihatNya, dan Keadaan
Berkata-kataNya.
Ia dengan Sifat Maha
PenciptaNya, Maha MenjagaNya, Mengadakan dan MentiadakanNya. Sifat-Sifat
Jalal atau Maha IndahNya, Maha Hebat atau JalalNya, Maha Senmpurna atau
KamalNya.
Ia menjadikan
segalanya yang membayangkan sifat-sifatNya yang Maha Indah, Maha Hebat dan Maha
SempurnaNya.
Alam dijadikan untuk
berkhidmat bagi kepentingan manusia sebagai khalifah dan hambaNya. Alam sebagai tempat ujian manusia dan
memberilatihan kehidupan yang sempurna. Insan
seolah-olah seperti pedang dan alam sebagai batu pengasahnya, sebagaimana yang
ada tersebut dalam Yavid Namah oleh Iqbal rh.
Insan dijadikan
sebagai khalifah Tuhan supaya ia mengimarahkan alam dengan menjalankan
perintah-perintahNya dan membina tamadun berdasarkan kepada prinsip-prinsip dan
nilai-nilaiNya. Diutuskannya para rasul dan nabi sebagai insan-insan yang
sempurna bagi mennyampaikan kebenaran-kebenaran dan menjalankannya dalam
kehidupan umat manusia. Selamat dan
berbahagialah manusia yang menerimanya dan binasalah manusia yang menolaknya.
Alam benda ini
dengan segala manifestasinya akan berakhir dan akan datang alam yang kekal abadi
dengan dua keabadiannya, syurga bagi mereka yang berbahagia dan neraka,
dijauhkan Allah, bagi mereka yang celaka.
Di sana berlakulah hisab amalan yang menentukan kedudukan manusia yang
terakhir.
Maka hayat insan berakhir dengan keabadian, dan ia diciptakan
untuk keabadian bukan untuk kemusnahan. Walau apapun yang diajarkan oleh
pemikiran pascamodenisme dengan penafian meta-naratifnya, penapian nilai
mutlaknya dan pengisbatan nilai nisbinya, dengan insan biologisnya sahaja -
yang bukan lagi insan sebenarnya - dengan pengaburan antara imej dan realitinya
- kebenaran hakiki ini akan kekal dan terus menerus ada dan tidak akan hilang
selagi insan adalah insan. Vincit omnia veritas. Kebenaran mutlak akan
memberi kata putus akhirnya.
Faham alam inilah
yang menjadi rangka kehidupan insan di bumi dengan peradaban dan
kehidupannya. Inilah yang menentukan
budayanya, sebagai budaya adalah ”lived world-view” atau faham alam yang
dihayati.
2.
Faham nilai
Yang menyelamatkan
manusia dan menjayakannya membina peribadi insan kamil dalam erti yang
disebutkan ialah faham nilai yang sebenarnya.
Nilai ialah prinsip atau hakikat yang menentukan harga atau nilai dan
makna bagi sesuatu. Dalam perekonomian penentu nilai ialah emas atau apa
yang ditentukan di dalam bidangnya. Dalam kehidupan akhlak manusia yang
menentukan nilai manusia dan harga diri dan amal serta sikapnya ialah
prinsip-prinsip tertentu seperti kebenaran, kebaikan, kesetiaan, keadilan,
persaudaraan, ketulusan dan keikhlasan, kesungguhan dalam kebenaran,
persaudaraan, keprihatinan, kerahiman, dan yang sepertinya
Ada nilai-nilai terakhir - ultimate values - dan
ada nilai-nilai yang berupa wasilah atau nilai instrumental. Nilai iman adalah
terakhir, demikian nilai kebenaran, kasih, juga kebahagiaan yang hakiki -
berbeza daripada keseronokan (pleasure).
Nilai-nilai kesungguhan, ketertiban dan disiplin, menjaga masa adalah
nilai-nilai wasiah demi mencapai yang lain yang lebih tinggi.
Akhirnya, semua nilai dan prinsip berpunca bagi si mukmin
dari al-Asma’ al-Husna yang
merupakan kemuncak segala keindahan, kehebatan dan kesempurnaan. Manusia dituntut mewujudkan nilai-nilai yang
berpunca dari al-asma itu dalam dirinya setakat yang termampu olehnya sebagai
hamba Tuhan dan khalifahNya.
Bila nama Allah
adalah al-Haq, Kebenaran, maka ia mesti menjadikan kebenaran matlamat hidupnya
dan peribadinya. Bila Allah al-‘Alim,
Maha Mengetahui, ia mesti berusaha supaya ia menjadi mu’min yang bersifat
dengan sifat ilmu dan bukan jahil. Bila Allah adalah al-‘Adlu, ia mesti menjadi
seorang mukmin yang adil yang meletakkan sesuatu pada tempatnya berdasaran ilmu
dan adab. Bila Allah ar-Rahim, Maha Mengasihani, ia mesti bersifat kasihan
belas kepada makhluk Allah.
Bila Allah al-Latif,
Maha Lemah Lembut dan mengetahui yang halus-halus dan rumit-rumit, si mukmin
mesti membina peribadi yang bersifat dengan sifat lemah lembut dan berilmu
tentang apa-apa yang halus-halus dan rumit dalam ilmu setakat yang terdaya
olehnya dengan Izin Allah. Bila Allah al-Qawiyy, Maha Perkuasa, Berkuasa,
ia mesti membina peribadinya supaya berperibadi kuat dan teguh dari segi
imannya, yakinnya, akhlaknya, inteleknya, iradat dan azamnya, dan jangan tunduk
kepada Iblis dan kejahilan. Demikian seterusnya. Demikian pula dalam hidup berkeluarga dan
bermasyarakat. Hidup si mukmin mesti
berpaksikan Allah. He must be God-centred.
Mereka yang
terbentuk peribadinya mengikut nilai yang betul dan tepat terdiri daripada
anbiya', siddiqin, shuhada', dan salihin- para nabi, ahli kebenaran, mereka
yang syahid dan orang-orang yang salih yang hidupnya mengikut ajaran Ilahi dan
nilai-nilai yang diajarkanNya. Akhirnya
nilai-nilai yang mulia dan murni itu menjadi “mode of being” yang sempurna.
3.
Faham ilmu atau Epistemologi Sunni:
Apa itu ilmu? Pada al-Baqqillani rh dalam at-Tamhid
ilmu ialah mengetahui apa yang maklum mengikut hakikat yang sebenarnya. Mengetahui yang maklum mengikut yang
sebenarnya itulah ilmu. Kalau tidak
mengikut yang sebenarnya itu kejahilan. Dan
mengetahui itu hendaklah dengan berbukti dan dalil. Dan ianya jangan hanya sangkaan, sebab
sangkaan bukan bertaraf ilmu.
Dari mana punca
ilmu? Punca tertinggi ilmu ialah wahyu, kenabian (nubuwwah), ilham yang murni
(bagi mereka yang arif), pengamatan akal, sensasi dari pancaindera.
Sensasi dari
pancaindera perlu dipertimbangkan dengan akal yang sejahtera dan dibantu dengan
percubaan atau penyiasatan. Punca ilmu
ialah riwayat yang mutawatir yang puncanya terlalu amat banyak sehingga tidak
mungkin ianya tersilap.
Ilmu tentang
fakta-fakta alam lahir berdasarkan kepada pemerhatian pencaindera, pencerapan,
pengecaman, percubaan, dan penganalisaan akal fikiran serta penghimpunan
data-datanya. Bermula dengan data
menjadi sistem ilmu, dengan huraian-huraian sistemnya, dari ilmu meningkat
kepada kebijaksanaan (wisdom) yang berupa kebenaran yang kekal teruji
yang betul dan benar dan berfaedah selamanya.
Ilmu tentang alam
yang mengatasi alam lahir berdasarkan kepada wahyu, nubuwwah, dan bagi mereka
yang arif berdasarkan kepada penyaksian mata hati dari kurnia Ilahi.
Apakah matlamat atau
tujuan ilmu? Ilmu tentang Tuhan ialah
untuk menjadikan insan mengenal Tuhannya, kemudian meyakininya sebagai iman
yang tidak ada syak dan ragu lagi, kemudian mungkin dengan kurnia ia mendapat
penyaksian dengan pemandangan matahatinya (al-basirah). Ilmu ini menjamin kebahagian hakiki manusia
dan berupa tempat terakhir baginya.
Ilmu tentang akhirat
menjadikan manusia yakin tentangnya dan memberi matlamat dan nilai terakhir
hidupnya, dan kemudian mungkin ia dikurniakan penyaksian batin tentang
kebenarannya dengan al-basirahnya; ianya menjadi peta tempat penghabisan yang
dituju dalam hidupnya. Tempat kembali
terakhir baginya (al-ma’ad). Segala
sesuatu kembali kepada nilai terakhirnya - ultimate value - berhubungan
dengan alam sempurna ini.
Ilmu tentang
tugas-tugas rohaniahnya supaya ia menjalankan pengabdian rohaniah terhadap
Tuhannya yang menjadikan semuanya terpusat kepada pusat kerohanannya,
sebagaimana yang dinyatakan dalam doa iftitah bermaksud ”Sesungguhnya
sembahyangku, pengorbananku, hidupku dan matiku adalah bagi Allah Tuhan yang
mentadbir sekelian alam”. Dalam
perspektif ini seluruh aktiviti hidup menjadi lagu merdu pengabdian yang
membahagiakan dan menyelamatkan.
Ilmu tentang nilai-nilai
utama (al-fada’il) bagaimana kelebihan-kelebihan sifat-sifat itu, apa
faedah-faedahnya, apa peranannya dalam menentukan kesempurnaan manusia, apa
sahamnya dalam menentukan kebahagian manusia, apa kebinasaan lawannya, demikian
seterusnya, sejauh mana ianya merupakan pengembalian kepada fitrah asal
manusia, akhirnya ianya menimbulkan hal bagi diri, dan kemudia membuahkan
amalan yang baik.
Akhirnya ianya
menjadi mode of being yang sempurna bagi insan yang sempurna. Di situ sifat-sifat itu menjadi cara hidup
sebati dengannya sebagaimana sifat terbang pada burung di angkasa dan sifat
berenang pada ikan dalam air. Maka
tercapailah risalah kedatangan Nabi s.a.w. ke dunia "untuk menyempurnakan
akhlak yang mulia bagi umat manusia".
Maka sifat benar misalnya bukan hanya diketahui sebagai ilmu dengan
kelebihan-kelebihannya, tetapi dicapai dan dialami nilai kebenaran itu dalam
dirinya, jiwa dan akal serta iradatnya; dengan itu ia mengamalkan sifat benar
dalam perbuatannya. Dengan itu kebenaran
menjadi mode of being bagi dirinya.
Ilmu dan maklumat
serta kebijaksanaan tentang hidup lahir dalam hubungan dengan sejarah, bahasa,
kehidupan kolektif, data saintifik yang berfaedah, adalah pembantu dalam
menolong manusia hidup dengan selesa dan bermaruah di dunia dalam membina
peradaban yang “God centred” sebagai khalifahNya dan hambaNya di
dunia. Pembangunan yang berdasarkan
kepada prinsip dan nilai-nilai yang “God centred” - terpusat kepada
Tuhan akan menjamin berlakunya “sustainable development” atau
pembangunan yang mampu meneruskan keberadaan alam sekitar dengan tenaga-tenaga
dan kekayaannya dalam proses membangunan itu.
Dalam pembangunan
demikian alam bukan hanya menjadi bahan untuk kegunaan manusia tetapi terdapat
‘ibrah padanya yang ia mendapat pengajaran rohani dan kebenaran daripadanya.
Sifat-sifat manusia
sempurna:
Sifat-sifatnya
terdiri daripada beberapa ciri:
·
Keimanan
·
Ketaqwaan
·
Keadaban
·
Keilmuan
·
Kemahiran
·
Ketertiban
·
Kegigihan dalam
kebaikan dan kebenaran
·
Persaudaraan
·
Persepakatan
dalam hidup
·
Perpaduan dalam
umah
Ciri-ciri inilah yang menjamin manusia menjadi sempurna
dan mencapai hasanah dalam dunia dan hasanah dalam akhirat.
Cara-cara
mencapainya:
Antaranya ialah
dengan
·
ilmu
·
taubat dengan
syarat-syaratnya
·
mengelak
daripada yang menyebabkan penyelewengan terdiri daripada nafsu dengan
mengawalnya - masyarakat dengan mendisiplinkan pergaulan - harta dengan
mengambilkan yang halal dan membelanjakan dalam perkara halal berserta dengan
berhemat - syaitan dengan mengawal diri supaya tidak taat kepadanya.
·
berjaga-jaga
supaya amalan tidak binasa oleh niat-niat yang merobohkannya seperti ria
digantikan dengan ikhlas, keadaan tergesa-gesa digantikan dengan sabar, tidak
cermat digantikan dengan sifat cermat
·
menyelamatkan
diri daripada kelesuan dengan mengamalkan sifat harap dan takut - harap Allah
akan menerima amalan dan menyelamatkan kita - dan takut kalau-kalau Allah tidak
mengampiuni kita dan menerima amalan kita
·
mengamalkan
sifat puji dan syukur dalam hidup samaada terhadap Allah juga terhadap makhluk
yang menjadi wasilah atau perantara sampainya ni’mat Allah kepada kita. Puji
dan syukur itu berlaku melalui hai -denag merasa gembira dan syukur terhadap
ni’mat Allah ke atas kita - dengan lidah mengucapkan kesyukuran, al-hamdulillah,
serta dengan anggota dalam erti apa yang adapada kita dan diri kita sendiri
kita perlakukan dalam amalan-amalan yang diredhai oleh Allah.
Allahumma amin.
Kesimpulan:
Demikianlah, sebagai kesimpulannya, boleh dinyatakan
hakikat kejadian manusia, syarat-syarat kesempurnaan dan kebahagiaannya,
faktor-faktor yang menggagalkan hidupnya, dan langkah-langkah untuk mencapai
kebahagiaan dan kesempurnaan sebagai hamba Tuhan dan khalifahNya. Mudah-mudahan kita berjaya mencapai matlamat
hidup kita sebenarnya.
Allahumma amin. Wallahu a’lam.