Tuesday, August 14, 2012

Derhaka Alaf Baru?

altAdik beradikku orang yang berpendidikan, beragama, lebih jelas jika aku nobatkan bahawa mereka orang-orang yang berjaya. Kadang-kadang aku terfikir, mungkin mereka merasakan apa yang mereka miliki adalah atas usaha mereka sendiri. Jika benar, mereka amatlah rugi. Walaupun mereka berjaya, namun kadangkala ada kekurangan dalam kehidupan mereka. Aku yakin yang itu adalah salah satu akibat pengabaian terhadap ibu dan bapa.

Dari dulu, bahkan sehingga usiaku menjejak 30 tahun, aku sering disogokkan dengan cerita yang tidak enak daripada adik-beradikku. Sering kali mereka meluahkan perasaan dendam terhadap ibu bapa kami. Bila aku menafikan, mereka sering berkata yang aku beruntung kerana menjadi anak terakhir dalam keluarga dan tidak sempat merasai apa yang mereka rasa.

Kenapa terjadinya begini? Bagiku, mereka mengangap ibuku bukan ibu yang terbaik ...Ibu dianggap sebagai penyebab hidup mereka yang mereka fikirkan sepatutnya lebih berjaya, hancur kerana sikap ibu yang tidak bertanggunjawab. Mereka selalu mengungkit bahawa ibu tidak pernah mengajar mereka tentang agama dan sebagainya.
Mungkin penderaan zahir tidak ada, namun ibu seolah-olah tidak wujud pada pandangan mereka. Ibu tidak pernah diajak berunding. Dia tidak mendapat hak yang selayaknya sebagai seorang ibu. Diherdik, dimarahi. Pada saat ibu memerlukan kasih sayang anak-anak dan cucu-cucu, dia dipinggirkan. Ibu ditolak seperti bola. Ibu sunyi ...sunyi daripada kasih sayang.

Aku menginterpretasikan bahawa itu adalah penderhakaan terhadap ibu bapa pada alaf baru. Solat dilakukan, namun kebajikan kepada ibu dan bapa diabaikan. Ya, ibu tidak pernah dinobatkan sebagai ibu mithali. Ibu tidak sesempurna seperti yang mereka harapkan. Namun, layakkah kita sebagai seorang anak yang masih diizinkan oleh ALLAH SWT untuk menyimpan dendam kepada wanita mulia bergelar ibu walau apa juga keadaannya...?

Jawapannya TIDAK bagi aku. Ibu adalah ratu hatiku. Itu ikrarku dari dulu sehingga kini. Ikrarku terzahir dek kerana perasaan memberontak ku dari kecil melihatkan apa yang abang dan kakakku lakukan terhadap kedua ibu bapa kami. Aku tidak pernah berasa puas hati terhadap apa yang mereka lakukan dari dulu sehingga kini ke atas ibu bapaku.

Aku pernah menzahirkan mengenai perkara ini. Akhirnya, aku dipinggirkan. Namun, aku amat bersyukur dikurniakan seorang suami yang amat menyayangi ibuku. Beliau sering berpesan supaya aku menunjukkan contoh yang terbaik kepada adik-beradikku yang lain. Katanya, walaupun hanya aku yang benar-benar berbakti kerana ALLAH SWT kepada ibuku, mungkin ibuku hilang lapan orang anak, tapi dia akan bahagia, daripada terus hilang kesembilan orang anak-anaknya.

Suamiku juga berkata, kenapa kita perlu membuat pengharapan agar orang lain berbuat baik kepada ibu? Sepatutnya, kita mulakanlah dengan diri sendiri. Tanggujawab menjaga zahir dan batin ibu bapa adalah tanggungjawab setiap insan bergelar anak. Alhamdulillah, sejak dari itu, aku mula menjadi pasif mengenai perkara ini. Aku tidak meluah namun aku hanya bertindak dengan tindakan yang sebaik-baiknya untuk ibu pada usia emasnya.

Ikrarku juga berinspirasikan tentang kisah teladan mengenai jiran Nabi Musa di syurga. Dia seorang remaja yang hidupnya berbakti kepada ibu bapanya walaupun ALLAH SWT telah memurkai mereka sehingga mengubah wajah mereka menjadi khinzir. ALLAH SWT telah mengangkat martabat remaja ini kerana ketaatannya. Aku lupa bagaimana kisah ini hadir dalam hidupku. Tapi aku pasti bila aku mendengarnya; iaitu sewaktu aku di sekolah rendah. Alhamdulillah, kerana kisah teladan ini menjadi titik tolak dan panduan kepada diriku untuk berusaha menjadi anak yang solehah kerana aku percaya keredhaan ALLAH SWT bergantung kepada keredhaan ibu bapa walau apa jua keadaan mereka.

Pada usia begini aku yakin siapa dan di mana aku berada adalah bukti kekuasaan ALLAH SWT dan salah satunya adalah kunci kerana patuh kepada ibu bapa. Aku anak yang paling berjaya dalam keluargaku. Sehingga kini, aku cuba dan masih berusaha membuktikan kepada adik beradikku bahawa kebahagiaan dan kejayaan di dunia adalah berkat daripada ALLAH SWT kerana berbakti kepada ibu dan bapa.

Pada usia emas ibu kini, ibu semakin sensitif, herdik dan marah anak-anak disimpan di dalam hati. Seringkali air mata ini tidak dapat tertahan apabila ibu meluahkan kepada aku bahawa dia redha jika ini takdir ALLAH SWT kepadanya.

Ya ALLAH, berikanlah kesempatan untuk kami adik beradik menghargai ibu semasa hayatnya masih ada. Bahagiakan dia agar dia merasa berharga.

Ya ALLAH, aku bersyukur kerana masih lagi mempunyai seorang ibu yang bagi aku, adalah seorang insan yang mulia.

Ya ALLAH ampunkan dosa-dosa arwah ayahandaku dan amankanlah dia di sana.

Ya ALLAH ampunkanlah dosa-dosa bondaku, berikanlah dia kesihatan yang baik dan berikanlah daku kesempatan untuk memeluknya, berbakti dan menagih kasih sayangnya.

Ya ALLAH , berikanlah ketetapan dalam hatiku untuk menyanjungi ibu bapaku hingga akhir nafasku.

Aku masih dalam peringkat terakhir pengajian sarjanaku. Aku mahu pulang cepat untuk berjumpa dengan ibu dan aku berdoa agar ALLAH SWT memberikan kesempatan untuk aku pulang membawa kejayaan menghadiahkannya kepada ibu.

Coretan ini untuk mengingatkan kepada diri sendiri yang (juga sudah bergelar ibu) agar menghargai ibu selagi hayat masih ada - dan keyakinan terhadap walau siapa juga ibu bapa kita, redha ALLAH SWT terletak pada redha mereka.

Semoga amalan hidup kita tidak sia-sia.

Biodata Penulis

mammz10 merupakan pelajar sarjana tahun akhir di Univeristy of Edinburgh.

No comments:

Post a Comment