Thursday, August 30, 2012


Bukan sekadar Jalur Gemilang
ABD JALIL ALI
Sinar Harian 30 Ogos 2012


Di lorong tempat saya tinggal, hanya saya mengibarkan Jalur Gemilang, lebih 100 rumah lain tidak berjalur. Seluruh kawasan ada lebih 500 rumah, tidak sampai 10 yang menggantung bendera negara setakat tinjauan saya pagi semalam.

Tidak perlu berkecil hati, jauh sekali untuk marah-marah, dan tentu sekali saya tidak boleh menuduh sebagai tidak patriotik kepada mereka yang tidak mengibarkan bendera sempena Hari Kemerdekaan ke-55.

Sekiranya bendera dijadikan kayu ukur atau penanda aras patriotisme, nampak sangat orang kita – tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik – tidak patriotik. Kita ada 28 juta penduduk, yang mengibarkan bendera mungkin tidak sampai 10 peratus.

Selain di kawasan perumahan, perhatikan di sekeliling kita berapa banyak bangunan, pejabat, kedai dan premis mengibarkan bendera, pasti tidak sampai 10 peratus. Malah, di sesetengah kawasan bendera parti, tidak kira warna, lebih menyerlah berbanding Jalur Gemilang.

DBKL mengedarkan 45,000 Jalur Gemilang bagi meraikan merdeka. Datuk Bandar, Datuk Ahmad Phesal Talib, berharap warga kota khasnya para peniaga dapat menyertai program ini dan mengibarkan Jalur Gemilang di premis masing-masing. Tetapi tidak banyak bendera percuma itu dikibarkan. Boleh jadi sesetengahnya digunakan sebagai selimut, mungkin juga dibuat sarung bantal.

Menurut perangkaan PDRM, setakat akhir 2011, ada 21,311,630 kenderaan, termasuk motosikal, berdaftar dengan JPJ. Kita boleh lihat hanya satu dua yang mengibarkan bendera, itu pun mungkin bendera yang dapat percuma @ ihsan pertubuhan dan agensi tertentu.

Sebenarnya lebih baik tidak melekatkan bendera sebesar tapak tangan itu pada kenderaan. Beberapa tahun lalu terlalu banyak bendera diagihkan percuma kepada pemandu dan dilekatkan di hadapan atau pada bumbung kenderaan.

Malang sekali gamnya tidak kuat – almaklumlah dapat percuma! – mengakibatkan bendera tercabut dan bersepah di sepanjang jalan dan lebuh raya. Maka Jalur Gemilang kemegahan negara berdaulat itu bukan sahaja dilenyek kenderaan, malah dikencing anjing.

Bagi saya bendera bukan satu-satunya lambang patriotisme. Walaupun setiap tahun membeli Jalur Gemilang – tahun ini harganya RM10.50, beli di sebuah kedai serbaneka 24 jam – saya percaya banyak lagi benda-benda lain boleh menjadi ukuran kecintaan kepada negara.

Bahasa Melayu pun ukuran patriotisme. Mereka yang tidak menghormati bahasa rasmi itu tentulah jauh lebih teruk berbanding yang tidak mengibarkan bendera. Mereka yang mengutamakan bahasa Inggeris lebih besar kesalahan berbanding tidak memasang bendera pada kenderaan.

Betapa halnya sesetengah menteri kita – termasuk menteri Melayu sendiri – yang lebih megah bercakap bahasa Inggeris walaupun dalam siaran Melayu di radio dan TV. Kalau cakap Melayu mesti dicampur Inggeris, sebab mereka yakin Inggeris lebih berkesan.

Di pusat pentadbiran Persekutuan Putrajaya, beberapa istilah penting Melayu telah dibuang untuk digantikan dengan istilah asing. Perkataan ‘jalan’ ditukar menjadi ‘precinct’, ‘dataran’ menjadi ‘boulevard’, ‘lorong’ menjadi ‘parcel’. Siapa agaknya cerdik pandai dan perancang asal yang dengan mudah membuang perkataan Melayu itu? Ini juga satu contoh tidak patriotik.

Lebih dari sekadar bahasa, kemerdekaan sebenarnya bukan setakat membebaskan kita dari penjajah. Tentu sekali saya berterima kasih kepada para pejuang kemerdekaan yang telah berkorban untuk membebaskan kita dari penjajah Inggeris.

Tetapi kita belum merdeka sepenuhnya sebab masih teruk dibelenggu rasuah, penyelewengan, ketidakadilan, putar belit pemain politik dan lain-lain musibat. Untuk kepentingan politik, Melayu sama Melayu, Islam sama Islam bertelagah hanya atas perkara-perkara remeh.

Indeks jenayah kita dikatakan turun mendadak, tetapi orang ramai hidup dalam ketakutan. Hari-hari rumah dipecah masuk, pejalan kaki diragut. Sana-sini orang kena rompak, rogol, bunuh.

Semakin kerap mesin ATM dirompak, malah dibom. Ada pihak kata jenayah hanya persepsi, tetapi kerap kali persepsi menjadi realiti.

Betapa halnya berjuta-juta pendatang asing, termasuk tanpa izin, yang saban hari memperbodohkan – menerusi rasuah – pihak berkuasa kita, dan hari demi hari menguasai kawasan kita dengan rakus dan biadab.
Ingat, mereka menjajah kita secara senyap!

No comments:

Post a Comment