Isu Musa Aman akan selesai selepas pilihanraya
oleh Aspan Alias
Isu RM40 juta yang dirampas oleh
penguasa Hong Kong beberapa ketika dahulu tetap menjadi isu ramai terutamanya
di Sabah dan seluruh negara amnya. Musa Aman, Ketua Menteri Sabah, yang
dikatakan empunya kepada wang itu telah menafikannya yang wang sejumlah itu
bukan untuk beliau tetapi untuk sumbangan kepada parti UMNO yang sehingga hari
ini tidak diberitahu siapakah penyumbangnya.
Nazri Aziz telah menjawab isu ini
di Parlimen pada 11 Oktober lalu dan beliau telah memberitahu Dewan Rakyat yang
wang itu merupakan sumbangan politik kepada UMNO. Peguam Negara pun telah
memutuskan untuk tidak melakukan apa-apa kerana beliau mengatakan yang tidak
ada kes terhadap Musa Aman. Najib tidak memberikan apa-apa komen tetapi hanya
menyatakan UMNO tidak bercadang untuk memberitahu siapa penderma itu.
Saya selalu berkata rakyat tidak
perlu membuat apa-apa tindakan kerana di negara ini yang berkuasa adalah
kumpulan yang sentiasa terlepas daripada tuduhan. Mereka mempunyai kuasa dan tidak
ada siapa yang boleh membuktikan pembabitan mana-mana pembesar negara kerana
mereka adalah ‘supreme’ dan tidak boleh dibawa ke tengah oleh sesiapa juga
termasuk Peguam Negara kita yang begitu ‘controversial’ imejnya di mata rakyat
bukan sahaja rakyat tempatan tetapi juga masyarakat antarabangsa.
Undang-undang digubal bukan untuk
mencari kebenaran tetapi untuk menutupi kebenaran. Mereka yang berkuasa
menggunakan undang-undang untuk kepentingan pihak yang berkuasa dan berpengaruh.
Itulah sebabnya rakyat tidak mahu lagi mengambil tindakan melalui undang-undang
tetapi sebaliknya mahu mengambilnya dengan cara politik. Maka rakyat sudah
begitu ramai yang telah memutuskan untuk membetulkan keadaan ini dalam
pilihanraya yang akan datang.
Jika kita hendak mengambil
tindakan undang-undang terhadap penjenayah rasuah ini mungkin ia memakan masa lima puluh tahun untuk
menyelesaikan semua kes-kes ini. Setiap peringkat kerajaan BN hari ini disaluti
oleh budaya rasuah yang tidak mungkin dapat diselesaikan sampai bila-bila jika
mereka yang berkuasa sekarang ini masih berkeliaran di Putrajaya itu.
Masing-masing dalam kerajaan pada hari ini tidak mahu mengambil tindakan kepada
sesiapa termasuk mereka di dalam badan undang-undang. Masing-masing mempunyai
saham dalam kegiatan rasuah ini.
Cara terbaik ialah dengan
mengambil alih pentadbiran dengan cara terhormat ia itu melalui pilihanraya
yang bakal tiba ini. Jika ‘legal cheating’ oleh pihak BN dapat dielakkan, ramai
berkeyakinan yang BN akan duduk di pihak pembangkang selepas sahaja pilihanraya
ini berlaku.
Ibarat bermain gasing,
bergilir-gilir memusing dan memangkah. Selama ini hanya pembangkang sahaja yang
memusing dan dipangkah oleh BN sejak 55 tahun dahulu. Kali ini biarlah BN pula
yang memusing dan PR pula yang memangkah.
Sesungguhnya isu Musa Aman ini
akan selesai jika rakyat Sabah yang sedar mampu bersatu untuk menolak parti
yang beliau pimpin di sana.
No comments:
Post a Comment