Saturday, November 3, 2012



Hidup bernafaskan cinta kasih
Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri
SH 2 November 2012
Hidup bernafaskan cinta kasih Perkataan rahmat yang digunakan dalam bahasa kita berasal dari bahasa Arab. Rahmah dari kata rahima yang bermaksud kasih atau kasihan belas. Dari perkataan ini lahirnya perkataan rahim (womb), perkataan ar-Rahman dan ar-Rahim dari akar rahima ataupun rahmat dalam bahasa kita dan lain-lain lagi.

Hidup ini dibina atas cinta dan rahmat. Tanpa cinta dan kasih hancurlah kehidupan. Justeru surah-surah dalam al-Quran kesemuanya – kecuali Surah at-Taubah, bermula dengan hiasan.basmalah iaitu ‘dengan nama ALLAH ar-Rahman (Yang Maha Pengasih) Lagi ar-Rahim (Maha Penyayang)’. Hubungan Tuhan dengan manusia serta alam keseluruhannya berasaskan cinta dan kasih. Hubungan manusia dengan Tuhan juga berasaskan cinta dan kasih. Mencintai Tuhan adalah asas dalam keimanan. Sesiapa yang membenci Tuhan maka dia tidak beriman.


Dakwah atas rahmat

Tuhan jadikan  belas kasih dan sayang sebagai asas kehidupan yang sejati. Ketika membicarakan tentang Nabi Muhammad SAW, ALLAH SWT menyebut: (maksudnya) “Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang rasul dari golongan kamu sendiri, yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat inginkan kebaikan bagi kamu, (dan) dia pula kepada orang-orang yang beriman sangat belas sayang dan sangat rahmat (kasih) (Surah at-Taubah: 128).

Ertinya, dakwah Nabi tidak bermula kebencian kepada mana-mana kumpulan yang tidak melancar permusuhan kepada ajaran ALLAH. Tidak seperti anggapan bahawa kebencian adalah asas hubungan antara Muslim dengan Barat ataupun Timur, dengan Yahudi ataupun Kristian, dengan secularist ataupun agnostic ataupun selain mereka. Asas hubungan Muslim dengan pihak lain bukan dengan slogan ‘permusuhan’ ataupun ‘kebencian’ seperti yang difahami oleh sesetengah pihak. Sebaliknya ia berasaskan misi Nabi: (maksudnya) “Kami (ALLAH) tidak utuskan engkau (Wahai Muhammad) melainkan rahmat untuk sekalian alam” (Surah al-Anbiya: 107)


Suami isteri

Hubungan suami isteri dibina atas cinta dan rahmat. Ia tidak dibina atas selera seks semata tanpa rasa kasih dan rahmat. Tidak juga atas kehendak wanita yang mahukan nafkah dan tempat tinggal semata. Jika hanya atas selera seks, atau atas keperluan untuk makan dan pakai ataupun kepentingan yang lain tanpa ikatan cinta dan rahmat, kehidupan suami isteri tidak akan bahagia. Itu sebenarnya hubungan untuk mengambil kesempitan atas kepentingan tersendiri antara pasangan. Akhirnya ia akan melahirkan rasa tidak puas hati dan kebencian. Rasa cinta dan kasih simpati dalam hubungan pasangan adalah fitrah alam ciptaan Tuhan. Firman ALLAH: (maksudnya) “Dan di antara tanda-tanda kebesaran-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu pasangan dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang mesra dengannya, dan dijadikannya antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan rahmat (belas kasihan). Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berfikir”. (Surah ar-Rum: 21)

Sesiapa yang kononnya mencintai ataupun dicintai pasangannya hanya kerana kedudukan ataupun hartanya maka sesungguhnya dia sedang hidup di luar dari natural design yang Tuhan tetapkan untuk kehidupan pasangan suami-isteri. Sesiapa yang disayangi kerana harta ataupun kedudukannya semata, hakikatnya dia tidak disayangi ataupun dicintai tetapi sedang dikhianati. Apabila kedudukan dan hartanya hilang, maka dia akan melihat kepalsuan kehidupan.

Maka isteri yang hanya mementingkan harta dan pangkat dalam hubungan, bukanlah isteri dalam erti kata sebenar. Dia tidak patut menduduki tempat ‘seorang isteri’ dalam kehidupan seorang lelaki. Isteri yang seperti itulah yang telah merosakkan reputasi ramai pemimpin dunia ini. Wanita yang seperti itu patut ‘dipecat’ dari kerusi isteri.

Begitulah juga jika sesiapa yang memiliki suami yang hanya mahukan seks semata, tanpa memberikan belaian kasih sayang. Tubuh diratah rakus, disetubuhi sepuasnya tapi dalam masa yang lain dimaki hamun, ataupun dipukul dan dihina semahunya. Lelaki yang seperti itu tidak layak menduduki tempat sebagai suami dalam kehidupan. Jika seorang wanita memiliki suami seperti itu, dia sepatutnya menggunakan peruntukan syarak seperti khulu’ dan fasakh agar lelaki seperti itu tidak hadir dalam hidupnya dan tidak lagi menjamah tubuhnya.

Andainya ada pegawai yang menasihati ‘jangan minta cerai, sabar!’ itu menunjukkan dia pegawai agama yang malas membuka fail, ataupun jahil tentang tabiat penciptaan kehidupan yang ALLAH jadikan. Sabda Nabi mengherdik lelaki seperti ini dengan menyatakan: “Sengaja seseorang kamu memukul isterinya bagaikan hamba sahaya kemudian menyetubuhinya di waktu lain” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).


Ibu bapa

Hubungan antara keluarga juga hendaklah atas cinta dan belas kasih. Seorang anak hendaklah dibesarkan atas belas kasih, bukan kebencian ibu bapa. Untuk itu dalam al-Quran, ALLAH mengajar kita berdoa kepada kedua ibu bapa dengan menyatakan (maksudnya) “Katakanlah: Wahai Tuhan ku, kasihanilah mereka berdua seperti mereka mendidik ku semasa kecil” (Surah al-Isra: 24).  Walaupun arahan ini ditujukan kepada anak, tetapi ia pengajaran buat ibu bapa agar mendidik anak dengan belas kasihan. Jika ibu bapa tidak mendidik anak dengan belas kasihan semasa kecil, maka bagaimana mungkin doa ini akan sesuai untuk mereka nanti?!

Bapa ataupun ibu yang zalim, memukul ataupun menyeksa anak dengan cara yang salah adalah manusia yang tidak layak memikul gelaran ibu ataupun bapa. Ibu bapa yang menengking anak bukan pada tempatnya atau memaki hamun anak dengan bahasa yang buruk dan jelik bukan pendidik yang layak mendapat doa al-Quran tadi. Mereka inilah yang merosakkan masa depan dan kehalusan budi serta akhlak anak-anak. Hubungan asal anak dan ibu bapa yang berasas cinta dan rahmat bertukar menjadi dosa dan kebencian.

Maka tidak hairan jika ibu bapa yang cuai itu dilupai oleh anak mereka apabila dewasa nanti. Perbuatan melupai ibu bapa itu tidak baik, tetapi kehilangan rahmat akan menghilangkan segalanya. Apabila melihat Nabi mencium cucu Baginda al-Hasan bin ‘Ali, Al-Aqra’ bin Habis berkata bahawa dia mempunyai sepuluh orang anak, tiada seorang pun dia pernah cium. Nabi berkata kepadanya: “Sesungguhnya sesiapa yang tidak kasih, dia tidak akan dikasihi” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).


Sahabat

Hubungan antara sahabat juga demikian. Sahabat sejati bukan sekadar kerana ada kepentingan tertentu, tetapi hubungan kasih dan rahmat. Dalam hadis Nabi bersabda: “Sesungguhnya dari kalangan hamba-hamba ALLAH adanya golongan yang mereka bukan para nabi, atau para syahid. Namun para nabi dan para syahid cemburu kepada mereka pada Hari Kiamat disebabkan kedudukan mereka di sisi ALLAH”. Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah! Beritahulah kami siapakah mereka?”. Jawab Nabi: “Mereka itu golongan yang cinta mencintai dengan roh ALLAH, tanpa ada hubungan kekeluargaan dan bukan kerana harta yang diidamkan. Demi ALLAH, sesungguhnya wajah-wajah mereka adalah cahaya, mereka berada atas cahaya. Mereka tidak takut pada saat manusia ketakutan, mereka tidak berdukacita ketika manusia berdukacita”. Lalu baginda membaca ayat al-Quran: (maksudnya) “Ketahuilah sesungguhnya wali-wali ALLAH tiada ketakutan untuk mereka dan tidak pula mereka berdukacita” (Hadis riwayat Abu Daud, dinilai sahih oleh al-Albani).
Pemerintah

Hubungan rakyat dan pemerintah juga demikian. Ia bukan hubungan pihak yang kuat menentang pihak yang lemah. Bukan hubungan kuasa, cukai, harta dan ketaatan membabi buta. Ia hubungan kasih dan rahmat. Di atas kasih dan rahmat, ketaatan diberikan dan kuasa dilaksanakan. Sabda Nabi: “Pemimpin  yang baik ialah pemimpin yang kamu cintai mereka dan mereka mencintai kamu, kamu mendoakan mereka, mereka mendoakan kamu. Pemimpin yang jahat ialah pemimpin yang kamu benci mereka, mereka juga membenci kamu dan kamu melaknat, mereka juga melaknati kamu”. (Riwayat Muslim).

Marilah kita memastikan cinta dan rahmat itu sentiasa subur dan berkembang dalam masyarakat kita. Kita tidak boleh hidup dengan kebencian, kita hanya boleh dan wajar hidup dengan cinta dan rahmat. Kehidupan yang dibina atas kebencian hanya akan merosakkan fitrah insani yang ALLAH ciptakan. Kembali kepada syiar Nabi: “Sesungguhnya sesiapa yang tidak kasih, dia pula tidak akan dikasihi.”

No comments:

Post a Comment