SUNYI SEKEPING HATI
        Ustaz Pahrol Mohd Juoi
       
 Sejak
 awal ketika memasuki masjid saya sudah melihatnya. Cuma kami berdua. 
Jadi, saya rasa kami saling menyedari kehadiran masing-masing. Selesai 
solat, dia solat lagi. Kemudian tafakur atau berzikir.
Sejak
 awal ketika memasuki masjid saya sudah melihatnya. Cuma kami berdua. 
Jadi, saya rasa kami saling menyedari kehadiran masing-masing. Selesai 
solat, dia solat lagi. Kemudian tafakur atau berzikir.
Tak lama kemudian, terus membaca Al 
Quran. Begitulah keadaannya. Saya tidak ingat berapa lama dia dalam 
keadaan begitu kerana saya juga sibuk dengan hal sendiri. Memang 
beginilah rutin pagi saya. Jika terperangkap di dalam kesesakan lalu 
lintas, saya akan singgah di mana-mana  masjid untuk iktikaf sambil 
melaksanakan tugasan atau menulis seadanya.
Beberapa lama kemudian, tanpa saya sedari
 dia sudah berada di sebelah saya. Setelah saling bersalaman, menegur 
dan takruf, kami mula berbual.
“Apa yang ustaz tulis dalam blog 
baru-baru ini telah menimpa saya,” katanya dengan wajah suram. 
Rupa-rupanya dia mengikuti tulisan dalam buku, majalah, blog dan FB 
saya.
“Entri yang mana?” tanya saya pinta kepastian.
“Tajuknya, ujian cinta… Kebetulan cinta saya sedang diuji. Sakit.”
“Mengapa?”
“Isteri saya telah meninggalkan rumah kami kerana memburu cinta barunya!”
Saya benar-benar terkejut. Bayangkan, 
lelaki yang berada di hadapan saya sekarang bukan muda. Dia telah 
berusia. Malah lebih tua daripada saya. Sejak awal perbualan kami dia 
telah memaklumkan usianya… 65 tahun! Dalam hati saya sudah terbayang, 
ini mesti kes isteri muda meninggalkan suami tua.
“Berapa umur isteri tuan?” tanya saya untuk mendapat kepastian.
“53 tahun,” jawabnya. Saya tambah terkejut. Wah, ini luar biasa. Cinta baru ‘orang lama’.
“Dia terpaut dengan teman sepejabatnya. Dia menuntut fasakh daripada saya sejak setahun lalu.”
“Alasannya?”
“Penderaan mental!”
Saya terdiam. Bunyi kipas di dinding 
masjid itu sahaja yang menemani kami. Sepi. Sungguh sunyi… rumah Allah 
pada waktu-waktu begini. Mungkin, sesunyi hati seorang lelaki yang 
kehilangan cintanya.
“Tuan tidak melepaskannya?”
“Tidak akan. Saya akan terus bertahan. Walaupun sekarang menuntut cerai di mahkamah dan telah pun lari dari rumah.”
“Subhanallah!” saya terpaku kaku 
menghadapi realiti rumah tangga masa kini. Sangat ‘daring’ rupanya 
karenah manusia yang bercinta. Benarlah seperti yang pernah saya 
tuliskan dulu: Jika tepat pada masa, ketika dan siapa, cinta adalah satu
 kuasa luar biasa yang tidak ada tandingannya. Sayangnya, ‘kuasa luar 
biasa’ itu sering disalah gunakan. Kuasa yang luar biasa itu sering 
membawa kemusnahan. Media massa melaporkan betapa ramai remaja wanita 
Melayu paling ramai lari dari rumah mengikut kekasih hati, lahirnya 
ramai anak luar nikah angkara cinta zina, bayi dibuang merata-rata 
akibat cinta terlarang… dan kini, cinta telah meruntuhkan rumah tangga 
manusia yang telah bergelar datuk dan nenek.
“Apa yang boleh saya buat ustaz? Pujuk telah dipujuk. Marah sudah dimarah. Namun dia tidak mahu kembali…”
“Selalu ke masjid macam ni?” kilas saya 
untuk memberi ruang pada diri untuk merasa dan berfikir. Ini bukan 
soalan mudah. Tetapi ia  menagih empati tahap tinggi yang benar-benar 
terpantau dari dalam hati nurani yang paling suci. Sesungguhnya, saya 
tidak mampu.
“Sejak akhir-akhir ini, beginilah saya 
ustaz. Harta walaupun tidak lumayan tetapi sudah dikira lebih daripada 
cukup. Saya tak perlu bekerja lagi. Semua cukup. Segala-galanya berjalan
 dengan baik sekiranya tragedi ini tidak menimpa…” keluhnya.
“Mengapa tiba-tiba ini terjadi?” soalnya lagi.
“Allah takdirkan segala-galanya untuk 
kita kembali kepadaNya. Saya rasa inilah jawapannya pada soalan yang 
awak tanyakan. Ingat lagi cerita ‘Wak’ dalam entri itu? Dia kembali 
kepada cinta Allah. Jangan ada dendam. Jangan ada marah… walaupun kita 
rasa ditipu dan dikecewakan. Usahakan kembali untuk mendapat cintanya, 
tetapi jika sudah ditemui jalan buntu. Berfikirlah semula… solat 
Istikharah, apakah perlu perkahwinan ini diteruskan?”
“Ustaz rasa patut saya ceraikan dia?”
“Saya tidak mampu membuat keputusan bagi 
pihak awak. Awak lebih faham situasi yang sedang dihadapi. Lagipun saya 
tidak mendengar daripada pihak yang lagi satu. Mahkamah yang lebih 
berhak untuk memutuskannya. Kita sekarang di masjid, untuk mencari 
ketenangan bukan mencari keadilan. Ketenangan untuk menghadapi ujian 
hasil akrabnya perhubungan dengan Allah – Tuhan yang mengurniakan ujian 
itu untuk kita.”
“Apa pesan ustaz?”
“Pesan saya ialah pesan yang selalu saya 
bisikan pada diri saya sendiri… jagalah Allah, Allah akan jaga kita. 
Allah lebih besar daripada masalah kita. Pintalah kepada Allah agar 
memutuskan sesuatu yang baik buat kita walaupun keputusan itu nanti 
mungkin berlawanan dengan apa yang kita inginkan!”
“Saya sepi ustaz…”
“Kita akan sepi bila hati kita sepi 
dengan Ilahi. Bila terpisah dengan Allah, kita akan sunyi  walaupun 
semua orang yang tersayang masih di sisi. Kita boleh kehilangan seorang 
isteri, tetapi kita tidak mampu ‘kehilangan’ Allah dengan 
melupakan-Nya.”
“Isteri saya akan kembali?”
“Itu tidak pasti. Hati orang… mana 
mungkin kita menentukannya. Tetapi yang pasti, tuan telah kembali. 
Kembali kepada Allah, kembali ke rumahNya ini… hati orang yang berada di
 rumah Allah tidak akan sunyi.”
Saya teringat bagaimana Rasulullah SAW 
sendiri mengasingkan diri di tingkat atas masjid Nabawi ketika baginda 
diuji oleh ragam isteri-isterinya. Begitulah tawaduknya baginda. Baginda
 pun kembali kepada Allah sewaktu diuji.  Lantaran itu, Allah telah  
menurunkan surah Al Tahrim ayat 5, sebagai penghibur kepada jiwanya. 
Firman Allah itu bermaksud: “Jika nabi menceraikan kamu, boleh jadi 
Tuhannya akan memberi ganti kepadanya dengan isteri yang lebih baik 
daripada kamu, yang patuh, yang beriman, yang taat, yang bertaubat, yang
 mengerjakan ibadat, yang berpuasa, yang janda dan yang perawan.
Ya, kehilangan acap kali menemukan kita 
kepada sesuatu yang lebih berharga. Itulah ajaibnya cinta Allah dalam 
hati hamba-Nya. Hati suami yang mencintai Allah selamanya tidak akan 
sunyi. Sekiranya dia benar-benar mencintai Allah, dia akan tenang, sama 
ada ketika isteri masih di sisi atau sudah tiada lagi. Justeru, apabila 
diuji, kembalilah ke rumah Allah, dan jangan lupakan doa ini: ”Ya Allah,
 berikanlah cintaMu kepada ku dan jadikanlah aku mencintai orang yang 
mencintaiMU dan mencintai segala sesuatu yang membawa kepada 
kecintaanMu. “
http://genta-rasa.com/2012/11/22/sunyi-sekeping-hati/#more-2310
 
No comments:
Post a Comment