 
Matlamat  utama dalam rawatan penyakit
 kencing manis adalah untuk mengurangkan tahap gula dalam darah, dari 
kadar yang luar biasa ke tahap gula lebih rendah dan normal. - Gambar 
hiasan
Merawat diabetes
Hj Lokman Abd Hamid
Soalan: SAYA Siti Juliana ingin bertanya bagi pihak ayah saya. Ayah 
saya berumur 60 tahun menghidap penyakit kencing manis sejak 10 tahun 
lalu.   
Tahap suntikan insulin yang perlu diambil adalah sebanyak 14 unit pada siang (tiga  suntikan) dan 20 unit pada waktu malam.  
Masalahnya dia sering mengalami kebas kaki dan tangan hampir setiap 
hari dan pada waktu malam menjadi lebih kebas berbanding siang.  
Adakah penyakit kencing manis ini boleh diubati? Apakah ayat-ayat 
Al-Quran yang patut dibaca oleh ayah saya. Saya  berharap Tuan Haji 
Lokman dapat menjawab soalan saya ini.
-Lina, Taiping, Perak.
JAWAPAN:
Kencing manis atau diabetes adalah satu keadaan yang berlaku apabila  tahap gula dalam darah lebih tinggi daripada biasa. 
Kencing manis berlaku apabila pankreas dalam badan tidak menghasilkan
 insulin atau apabila badan kita sudah tidak sensitif dengan insulin 
dalam badan. 
Apabila insulin gagal dihasilkan atau tidak berfungsi dengan baik, ia
 tidak dapat membawa masuk glukos atau gula ke dalam sel dan tisu badan 
kita sebagai simpanan. 
Akibatnya, darah akan mempunyai kadar gula yang terlalu tinggi untuk 
sel-sel badan kita. Secara amnya, seseorang dianggap menghidap penyakit 
kencing manis apabila kadar gula dalam darah semasa berpuasa lebih 
daripada tahap 7 atau kadar gula selepas makan adalah daripada tahap 11.
Kencing manis terbahagi kepada jenis 1 (bergantung kepada insulin) biasanya berlaku di kalangan kanak-kanak dan remaja.  
Kencing manis jenis 2 (tidak bergantung kepada insulin) selalu 
dihidapi oleh golongan orang berumur atau mempunyai berat badan 
berlebihan. Terdapat juga kencing manis semasa mengandung (gestational 
diabetes).
Kencing manis adalah pembunuh yang senyap (silent killer) kerana 
penyakit ini boleh menyebabkan seseorang pesakit menjadi buta, mengalami
 komplikasi buah pinggang, masalah jantung, strok dan gangren - 
selalunya mengakibatkan amputasi kaki akibat luka yang lambat sembuh 
atau mengalami jangkitan kuman  kronik.
Statistik kes-kes diabetes di Malaysia
Pada  2011, Kaji Selidik Kesihatan dan Morbiditi Nasional (NHMS) 
melaporkan kira-kira 2.6 juta rakyat Malaysia disahkan mengidap kencing 
manis. 
Malah, didapati bahawa satu daripada tujuh orang dewasa di Malaysia 
menghidapinya. Keadaan ini amat membimbangkan dan Pertubuhan Kesihatan 
Sedunia (WHO) melaporkan bahawa Malaysia berada di tangga ke-10 di dunia
 sebagai negara yang mempunyai jumlah penghidap kencing manis yang 
sangat ramai.  
Dalam pengalaman saya merawat pesakit kencing manis, negeri Pantai 
Timur Semenanjung mempunyai jumlah pesakit yang lebih ramai berbanding 
dengan negeri lain di Malaysia.  
Ini mungkin disebabkan faktor pemakanan penduduk Pantai Timur yang 
gemar makanan berunsur karbohidrat seperti nasi, pulut dan manisan.
Punca kencing manis
Penyakit kencing manis disebabkan oleh beberapa faktor. Di antara 
punca utama yang dikenal pasti adalah berat badan berlebihan (obesiti), 
faktor keturunan, tahap kolesterol tinggi, stres atau tekanan emosi 
berlebihan dan berterusan, pengambilan alkohol yang banyak, amalan 
pemakanan tidak berkhasiat atau tidak seimbang, kurang membuat aktiviti 
fizikal (senaman) dan tekanan darah tinggi. 
Selalunya, sesiapa yang mempunyai lebih daripada satu punca yang 
disebut tadi mempunyai risiko tinggi untuk menghidap kencing manis.
Tanda-tanda awal kencing manis
Tanda awal seseorang mula menghidap kencing manis adalah penurunan 
berat badan mendadak, luka lambat sembuh, sering buang air kecil, selalu
 lapar dan haus yang luar biasa, kabur penglihatan, rasa kebas di kaki 
dan tangan, otot lemah, sentiasa letih, cepat marah dan bagi wanita, 
gatal di bahagian kemaluan.
Pencegahan penyakit kencing manis
Dari segi perubatan moden, penyakit kencing manis tidak dapat diubati, tetapi boleh dikawal. 
Namun, kami di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah yakin penyakit kencing 
manis ini boleh diubati dengan mengamalkan ayat-ayat al-Quran yang 
tertentu dan dengan keizinan Allah SWT.  
Selain itu,  beberapa langkah yang dapat dilakukan untuk merawat dan 
mencegah penyakit kencing manis adalah dengan pengambilan makanan dan 
diet seimbang, melakukan senaman dengan kerap, mengawasi kadar gula 
dalam darah, tidak merokok dan mengawal berat badan.
Kepentingan pengambilan makanan berzat dan yang tidak memudaratkan 
badan turut ditekankan di dalam al-Quran seperti di dalam firman Allah 
di dalam surah Al-Baqarah ayat 168 yang lebih kurang bermaksud Hai 
manusia! Makanlah sebahagian daripada makanan yang ada di bumi ini yang 
halal dan baik."
Rakyat Malaysia yang mempunyai risiko tinggi mengidap kencing manis 
harus mempunyai kefahaman tentang bahaya kencing manis dan perlu 
melakukan pemeriksaan kesihatan tahunan bagi mengenal pasti penyakit 
kencing manis di peringkat awal.
Rawatan moden penyakit kencing manis
Matlamat utama dalam rawatan penyakit kencing manis adalah untuk 
mengurangkan tahap gula dalam darah, dari kadar yang luar biasa ke tahap
 gula lebih rendah dan normal. 
Penyakit kencing manis jenis 1 boleh dirawat dengan pengambilan insulin, senaman dan pemakanan sihat dan seimbang. 
Penyakit kencing manis jenis 2 pula boleh dirawat dengan penurunan 
berat badan, mengamalkan diet sesuai dan aktiviti senaman yang 
konsisten. 
Jika langkah ini gagal mengawal kadar gula darah yang tinggi, ubat-ubatan hospital boleh digunakan. 
Jika ubatan masih tidak mencukupi untuk mengawal kadar gula dalam darah, maka rawatan dengan suntikan insulin boleh digunakan.
Rawatan penyakit kencing manis dengan menggunakan ayat-ayat al-Quran
Di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah, pesakit kencing manis akan diberi 
ayat berikut untuk mereka amalkan dan seterusnya disertai dengan doa 
kepada Allah  untuk memohon penyembuhan. Ayat-ayat yang perlu diamal 
adalah:
Surah Al-Anbiya ayat 62 hingga 73
Surah An-Nahli ayat 66 hingga 74
Surah Huud ayat 46 hingga 53
Surah Al-Kahfi ayat 28 hingga 44
Surah Al-Qasas ayat 29 hingga 40
Surah Al-Maidah ayat 62 hingga 75
Cara amalan ayat-ayat al-Quran tersebut adalah pesakit hendaklah 
membaca surah pertama iaitu surah Al-Anbiya  tiga kali pada waktu malam
 dan surah kedua iaitu surah An-Nahli tiga kali pada waktu siang. 
Pembacaan ini hendaklah diamalkan setiap hari selama tiga hingga empat minggu. 
Selepas membaca tiga kali, pesakit perlu memohon doa kepada Allah untuk penyembuhan. 
Selepas membaca dua surah pertama tadi, pesakit hendaklah mengulang amalan tersebut dengan surah berikutnya. 
Lebih baik sekiranya pesakit datang berjumpa dengan perawat 
Al-Hidayah terlebih dahulu supaya dapat kami memeriksa jikalau ada kesan
 sampingan yang disebabkan oleh penyakit kencing manis ini.  
Sekiranya ada kesan sampingan, kami boleh memberi ayat al-Quran yang lain untuk merawat kesan sampingan tersebut.
Adalah dinasihatkan agar pesakit yang ingin berubat menggunakan 
ayat-ayat al-Quran ini tidak berhenti terus mengambil ubat yang telah 
diberi oleh pihak hospital, tetapi boleh mengurangkan dos pengambilan 
ubat hospital secara perlahan-lahan mengikut kadar pemulihan pesakit.   
 
Terapi penyembuhan melalui ayat al-Quran ini memakan masa, disiplin 
dan kesabaran. Kaedah rawatan ini bukan seperti magic, hari ini pesakit 
membaca ayat yang diberi dan esok pesakit mengharap penyakit itu sembuh. 
Pesakit mesti yakin akan mukjizat ayat-ayat al-Quran dan yang paling 
penting berdoa kepada Allah memohon penyembuhan serta keberkatan dan 
rahmat-Nya.
Kepada semua pesakit kencing manis, jangan berputus asa berusaha dan mendapatkan rawatan untuk menyembuhkan penyakit ini. 
Ramai pesakit yang telah berusaha berubat dengan ayat al-Quran dan 
ada yang telah sembuh selain  ada yang masih lagi menjalani rawatan. 
Yakinlah dengan mukjizat ayat al-Quran, penyakit kencing manis boleh dirawati, insya-Allah.
Dari Abu Hurairah r.a: Bahawasanya Nabi Muhammad SAW bersabda: 
"Tidaklah Allah menurunkan suatu penyakit, melainkan dia juga menurunkan
 ubatnya" ( Hadith Sahih Bukhari)
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kesihatan/20130127/kn_05/Merawat-diabetes#ixzz2L83x3QaB
© Utusan Melayu (M) Bhd
 
No comments:
Post a Comment