SAYA di ibu Negeri Penyu minggu lalu, kunjungan pertama sempena ‘Tahun Melawat Terengganu 2013’ (TMT). Keadaan tidak banyak bezanya ketika kali akhir saya ke bandar raya ini hujung Disember, kira-kira sebulan lalu.

Bukan sebagai pelancong, saya balik kampung isteri – dia anak jati Kuala Terengganu – kerana tugas pejabat. Sebenarnya saya turun ke sini dua tiga bulan sekali, sama ada urusan pejabat atau hal-hal keluarga seperti perkahwinan, kenduri-kendara dan lain-lain.

Kesan awal yang saya rasa sebaik tiba di bandar ini ialah hotel penuh. Mujur saya membuat tempahan awal, kalau tidak saya dan isteri mungkin tidur dalam kereta. Petugas di kaunter Primula Hotel memberitahu bilik selalu penuh akhir-akhir ini.

Tidak sahaja rakyat tempatan pelancong luar negara pun suka menginap di hotel yang menghadap pantai ini. Saya terserempak dengan pasangan mat salih di dalam lif, dan memberi ucap selamat dalam bahasa Inggeris, juga bertanyakan pendapatnya mengenai Kuala Terengganu.

“Terima kasih,” kata lelaki usia emas dalam bahasa Melayu, ditambah pula oleh isterinya, juga dalam bahasa Melayu: “Kami senang sekali di bandar ini!” Rupanya mereka fasih Melayu, loghat Indonesia. Warga Belanda ini bertugas di Indonesia selama sembilan tahun.

Orang asing duduk sembilan tahun boleh menguasai bahasa kita dengan baik. Orang kita sendiri lahir, membesar, berak, kencing dan tua di sini berpuluh-puluh tahun, tetapi tidak boleh bertutur bahasa Melayu. Biasalah macam itu, apa boleh buat!

Berbalik kepada TMT, sekiranya makanan yang hendak dinikmati, Kuala Terengganu menawarkan beraneka juadah. Ada nasi dagang yang menjadi ‘signature’ negeri pesisir pantai ini. Makan di hotel secara ‘ala carte’ harganya RM16 sepinggan. Makan di warung bawah pokok tepi jalan hanya RM3, lebih sedap, lebih ‘Ganu Kite’.

Ada nasi minyak, nasi lemak, nasi berlauk. Ada kurma, kuzi, gulai kawah, ayam percik, ayam golek, ‘ikang singgang’, ikan panggang cicah budu perah asam limau. Ada beraneka kuih-muih tradisional – kebanyakannya manis – seperti jala emas, tepung pelita, hasidah, kayu keramat, hatta tahi itik, iaitu sejenis kuih asli tempatan. Jangan kisah sangat namanya, apa yang penting rasanya sedap.

Satu lagi makanan ‘signature’ Negeri Penyu ialah ‘KLCC’. Bukan ‘Kuala Lumpur City Center’ tetapi ‘keropok lekor cicah colek’. Di Losong ada berpuluh gerai menjual keropok lekor. Kena pandai memilih, sebab setengahnya tidak sesedap yang digembar-gemburkan.

Dan tentu sekali ada ‘ICT’. Bukan ‘Information & Communication Technology’ tetapi ‘ikan celup tepung’. Saya cadangkan gerai-gerai di pantai Batu Rakit – harganya murah, ikannya segar, dan jurujual yang manis-manis belaka.

Pendek kata kalau makanan yang menjadi tumpuan, para pelancong, terutama pengunjung dari dalam negeri, pasti tidak cukup mulut dan tidak cukup perut untuk menikmati segalanya. Terengganu, khasnya Kuala Terengganu, mewah dengan makanan, sepanjang 24 jam.

Tetapi sekiranya pantai yang diidamkan, pengunjung mungkin akan kecewa. Ternyata Pantai Batu Buruk, Pantai Teluk Ketapang, Pantai Batu Rakit di Kuala Terengganu tidak menepati slogan negeri ‘Di Mana Alam Semula jadi Memayungi Alam’. Kita tidak menghargai alam.

Sebenarnya pantai-pantai tersebut masih dalam keadaan asal yang cantik. Ombak masih menderu di pesisir yang berpasir halus dan putih melepak. Laut China Selatan masih terhampar membiru. Hatta, bayu pun terus bertiup nyaman membelai pohon rhu dan nyiur.

Sayangnya, pantai indah itu dicemari sampah-sarap. Baik Teluk Ketapang, Batu Rakit dan Batu Buruk yang gah itu penuh dengan sampah-sarap. Walaupun petang nyaman, mata sakit dan hati pedih melihat pasir yang sepatutnya putih melepak itu dipenuhi sampah – pembungkus makanan, bekas minuman, kulit pisang, hempulur jagung, tin kosong, lampin bayi, macam-macam.

Jangan salahkan PBT, bukan salah pentadbir, tidak juga salah politikus, sebab tong-tong sampah banyak disediakan di situ. Salahkan pengunjung – tidak kira dari mana! – yang tidak tahu menggunakan tong sampah, sebaliknya suka menabur dan melonggokkan apa sahaja di pantai. Ternyata budaya pengotor mereka tidak menepati slogan TMT, ‘Negeri Cantik Budaya Menarik’