Sunday, June 30, 2013

Membanteras Rasuah Itu Kerja Susah, Kerana Terpaksa Melawan Diri Sendiri

Aspan Alias
Rasuah itu satu jenayah sangat besar dalam kehidupan seseorang tidak kira disisi masyarakat, kerajaan dan lebih-lebih lagi disisi agama suci kita. Rasuah merupakan jenayah yang paling awal dilakukan oleh manusia dan jika boleh dianggapkan sebagai budaya ia adalah budaya yang tertua didunia ini
Rasuah amat dibenci oleh agama kita kerana rasuah itu boleh menjatuhkan tamadun manusia dan sesebuah negara. Itu sebabnya agama kita menganggap rasuah itu adalah satu dosa besar yang disamakan sebagai seorang yang memakan daging saudaranya sendiri. Tetapi dalam sistem masyarakat negara yang rasuah, kegiatan buruk ini kadangkala dibanggakan oleh sipelakunya.
Apabila rasuah sudah menjadi budaya seluruh manusia yang ada di dalam sistem itu akan terlibat dengan rasuah itu samada secara ‘direct’ atau ‘indirect’ dan tidak ada sesiapa yang boleh membetulkan persepsi rasuah itu dengan mudah tanpa mendapat tentangan dari masyarakat yang menerimanya sebagai budaya tadi. Memerangi rasuah ini lebih hebat dari menghadapi peperangan dua wilayah yang mempunyai kekuatan ketenteraan yang besar.
Perjuangan menentang rasuah ini adalah seperti anggota-anggota tentera yang menghadapi serangan musuh dari luar. Sebelum memenangi peperangan itu ramai yang terkorban dan mati begitu sahaja ditengah medan perjuangan itu. Rasuah lebih hebat lagi dari peperangan Khandak kerana ia melibatkan peperangan melawan nafsu sendiri. Melawan nafsu sendiri itu adalah peperangan yang terhebat besarnya kerana ia terpaksa dilakukan sepanjang hayat kita. Dalam perjuangan rasuah ini ia akan menjatuhkan ramai pemimpin yang baik yang tidak terlibat bersama dengan budaya ini.


Di dalam peperangan Khandak dahulu, Saidina Ali karammallah huwajhah telah bertanya kepada rasulullah apakah peperangan yang lebih besar dari peperangan Khandak yang baru sahaja selesai dengan kemenangan tentera Islam dalam bulan ramadhan itu. Islam yang hampir tewas akhirnya memenangi peperangan itu. Rasulullah menjawab peperangan yang paling besar ialah memerangi diri sendiri, yang membawa maksud memerangi nafsu syahwat sendiri.
Justeru melawan dan berperang dengan rasuah ini adalah peperangan yang sangat besar dan hebat kerana ia merupakan peperangan melawan nafsu yang cenderung untuk melakukan kejahatan termasuk rasuah. Jika kita tidak mempunyai kekuatan batin, mental serta keteguhan agama yang tinggi dan kuat nescaya perjuangan itu akan terhenti ditengah jalan sahaja.
Apabila satu-satu negara yang rasuah sudah menjadi budaya rakyatnya, ia amat sukar untuk diperbaiki. Sebagai contoh yang senang, jika seseorang yang dianiaya oleh pihak sesiapa, pihak Polis adalah tempatnya kita mengadu untuk mempertahankan diri kita.
Tetapi dalam sebuah negara yang rasuah pihak Polis ini belum tentu lagi berkemampuan untuk memberikan perlindungan kepada pihak yang teraniaya tadi jika elemen rasuah sudah menjalar kedalam Jabatan Polis itu. Pihak Polis mungkin menutup kes-kes seperti ini kerana ada elemen yang mampu untuk menukar sikap Polis terhadap pengadu itu, iaitu rasuah.
Kita boleh membawa sesuatu kes penganiayaan itu kepada mahkamah. Mahkamah juga belum tentu boleh menjadi tempat perlindungan bagi rakyat yang teraniaya tadi jika budaya rasuah juga telah meresap kedalam Badan Kehakiman itu. Selalunya sistem yng telah tercemar dengan rasuah itu tidak mudah dapat diperbetulkan kerana dalam kesemua institusi demokrasi yang wujud itu dilacurkan oleh pimpinan  politik yang berkuasa dan rasuah itu tadi.
Jika negara yang mengakui sebagai sebuah negara demokrasi sekali pun, jika rasuah menjadi budayanya maka demokrasi itu sendiri tidak akan terlaksana dengan betul. Pimpinan yang rasuah dan gila kuasa akan menjahanamkan sistem pengasingan kuasa yang selalunya wujud dalam sesebuah negara demokrasi itu tadi. Mereka yang berkuasa yang rasuah tidak mungkin mampu untuk membuat keputusan dengan baik dan betul.
Di negara kita pengasingan kuasa diantara ‘judiciary’, legislatif dan eksekutif itu sudah mula dilacurkan pada pertengahan tahun lapan puluhan dahulu. Politik dan eksekutif telah melacurkan sistem pengasingan kuasa itu. Tidak payah kita ulas apa kah yang saya maksudkan itu kerana blog ini sarat dengan ulasan itu sejak wujudnya blog ini. Sampai kehari ini keyakinan rakyat terhadap sistem demokrasi yang dilaksanakan dinegara ini dipersoalkan oleh mereka.
Apabila sistem itu sudah penuh dengan rasuah, semua pihak terlibat dengan rasuah dan yang bercakap menentang rasuah itu juga dilaungkan oleh mereka yang rasuah maka tidak mungkin penyakit dan budaya hina ini  akan dapat diperbaiki. Masing-masing mempertahankan tindakan pihak yang lain yang rasuah kerana semuanya terlibat secara terus atau secara ‘indirect’.
Maka dalam sistem yang sarat dengan rasuah itu, ia juga akan melibatkan perkara-perkara lain. Ia secara ‘head-on’ dengan memfitnah agamanya sendiri, memfitnah adat dan adabnya sendiri dan akhirnya ia kehilangan identiti mereka sendiri. Agamanya akan terfitnah dengan sendirinya kerana Islam tidak pernah membenarkan rasuah dilakukan oleh umatnya lebih-lebih lagi pemimpinnya.
Islam difitnah oleh umatnya sendiri kerana orang Islam sepatutnya teguh kerohaniannya dan tidak mudah terliur dengan wang ringgit secara haram itu. Apabila seseorang dan kumpulan atau kerajaan itu dipersepsikan sebagai rasuah, dengan sendirinya ia membayangkan yang mereka tidak menghormati agamanya sendiri, maka tidak hairan jika Islam dipandang sebagai agama yang tidak baik pada mereka yang bukan Islam. Selagi Islam itu tidak di’addin’kan sebagaimana yang dilaungkan oleh pemimpin-pemimpin kita selama ini selagi itulah negara tidak akan mendapat rahmat dan akan tetap berada ditahap dan situasi sekarang ini.
Maka jangan kita mengelak dari melakukan perubahan itu, tetapi perubahan itu wajar dilakukan oleh pimpinan yang mempunyai moral kepimpinan yang baik. Jika yang hendak melakukan perubahan itu tidak selesai masalah moral dan peribadi mereka ia tidak akan membawa makna kepada perubahan yang dilakukan itu.
Elakkan dari menggantikan pimpinan yang ada dengan orang yang belum selesai masalah moral yang mereka hadapi. Mereka yang sedang menghadapi isu moral serta kekurangan peribadinya, ia tidak boleh dibenarkan memimpin dan mereka yang seperti ini elok duduk bersama dibawah ini dengan orang seperti saya sahaja.
Mari kita hanya jadi penyokong setia kepada pimpinan yang jujur untuk melakukan perubahan itu.  Tidak payah hendak menjadi pemimpin, kerana ia akan hanya membantutkan usaha untuk melakukan perubahan bagi negara yang ketandusan kepimpinan ini.

Sifat malu benteng elak kemungkaran

Siti Norasyikin Ab Ghani

Maksiat dan  kejahatan semakin menjadi-jadi, malah pelakunya tiada perasaan malu melakukan perbuatan itu terang-terangan. Apabila hilang perasaan malu, maka berleluasalah kemungkaran. Oleh itu, perasaan malu menjadi perisai mengelak daripada melakukan dosa.
Malu mempunyai pengertian besar dalam Islam kerana ia sebahagian daripada iman. Mereka yang hilang sifat malu, tipis imannya. Malu dan iman berjalan seiringan, maka jika salah satu ditinggalkan, maka kedua-duanya akan hilang. 

Abu Hurairah meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda: “Iman itu ada lebih 60 cabang dan sifat malu adalah sebahagian daripada cabang iman.” 
Rasulullah SAW bersabda: “Iman itu ada lebih 60 cabang dan sifat malu adalah sebahagian daripada cabang iman.”

Malu akhlak yang mendorong seseorang meninggalkan perbuatan buruk dan tercela, sehingga mampu menghalang seseorang daripada melakukan dosa, maksiat serta mencegah sikap melalaikan hak orang lain. 
Dalam Islam, sifat malu ditekankan tidak kira kepada wanita atau lelaki. Namun, wanita Muslimah ditekankan aspek menjaga maruah dan memiliki sifat malu memandangkan wanita dikatakan paling ramai menghuni neraka. 

Rasulullah SAW bersabda: “Aku melihat ke dalam syurga, maka aku melihat kebanyakan penduduknya adalah fuqara (orang fakir) dan aku melihat ke dalam neraka maka aku menyaksikan kebanyakan penduduknya wanita.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Selain iman yang lemah, membuang sifat malu untuk mengejar apa diimpikan dalam hidup juga satu kesilapan besar yang menjerumuskan wanita ke kancah kehinaan. Disebabkan hilangnya sifat malu, semakin hari semakin banyak timbulnya pelbagai gejala sosial membabitkan wanita. 

Sifat malu yang tinggi 
Pembuangan bayi tidak akan berlaku jika wanita itu malu untuk bersama lelaki yang bukan mahramnya, lari dari rumah dalam kalangan wanita tidak timbul jika wanita ada rasa malu dengan Allah SWT, pendedahan aurat tidak mungkin dapat dilihat jika wanita mempunyai sifat malu yang tinggi.

Wanita Muslimah atau wanita bertamadun tidak akan menggadaikan maruah dan membuang sifat malu semata-mata mahu kelihatan moden. Mementingkan pandangan Allah SWT lebih bermakna daripada pandangan masyarakat. 

Sifat malu yang menebal dalam diri tidak menjadikan wanita itu terperap di rumah. Kita boleh mengambil iktibar daripada Saidatina Siti Khadijah, peniaga yang kaya-raya. Mana mungkin Saidatina Khadijah menjadi kaya tanpa keluar untuk berdagang. 

Saidatina Aishah satu-satunya wanita paling banyak meriwayatkan hadis daripada Rasulullah SAW dan sangat terkenal dengan kecerdikannya sehinggakan satu perempat perundangan Islam dikeluarkan beliau. 

Beliau turut menjadi sumber rujukan sahabat sehingga kini. Mana mungkin Saidatina Aishah menjadi wanita yang sebegitu bijak tanpa beliau keluar untuk menuntut ilmu.

Ingatlah kecantikan itu anugerah kurniaan Allah SWT kepada wanita untuk diperlihatkan hanya kepada yang hak. Sebaik-baik hiasan adalah wanita solehah. Jadikanlah malu sebagai perisai dan tidak rugi membela sifat malu kerana ia sebahagian iman dan iman itu balasannya adalah syurga

Musibah Jerebu

oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR

"Ya Allah turunkan hujan kepada kami dengan hujan yang menolong, menyenangkan, menyuburkan, bermanfaat, tidak membahayakan, segera dan tidak ditunda lagi." 

Demikian petikan doa Nabi Muhammad SAW untuk memohon kepada Allah SWT supaya diturunkan hujan seperti yang diriwayatkan dalam hadis Abu Daud.

Musim kemarau yang berlaku di tanah air sejak kebelakangan ini merupakan satu musibah kepada seluruh rakyat dengan terjadinya kejadian jerebu akibat pembakaran hutan yang berlaku di Indonesia, baru-baru ini.

Situasi jerebu bukan sahaja mendatangkan keadaan cemas apabila kualiti udara di beberapa kawasan khususnya ibu negara menunjukkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) dengan bacaan berbahaya tetapi memberi kesan kepada kesihatan manusia.Kejadian berkenaan telah menyebabkan kerajaan mengisytiharkan darurat di Muar dan Ledang. Termasuk bertindak menutup sekolah dan tadika di kawasan-kawasan yang mencatat jumlah IPU mencecah 300.
Namun, di sebalik musibah itu jelas menunjukkan bahawa walau sehebat mana seseorang manusia itu, mereka perlu menginsafi sebagai golongan yang lemah dan tidak terdaya jika ditimpa bencana dalam apa keadaan sekalipun.

Perlu diingati bencana itu berlaku melainkan untuk mengajak manusia khususnya umat Islam bagi mengingati Allah sebagai tuhan penyelesai segala masalah.

Sebab itu agama Islam mensyariatkan solat Istiqa atau dalam bahasa Melayu diterjemahkan sebagai sembahyang memohon hujan.

Pensyarah Kanan Jabatan al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Fadlan Mohd. Othman berkata, jika dilihat kembali objektif pensyariatan solat Istiqa, amalan itu bertujuan untuk mengajak manusia mengabdikan diri kepada Allah di saat musibah melanda.

Ujar beliau, manusia sebagai hamba yang lemah, golongan itu amat memerlukan bantuan khususnya daripada Allah sebagai tuhan sekalian alam agar diizinkan untuk diturunkan hujan bagi menyiram tanah yang kering-kontang.

Tambah Fadlan, mesej tersirat itu dilihat mengajak manusia supaya bertaubat terhadap dosa lalu kerana kemungkinan musibah yang melanda itu terjadi akibat kesilapan lalu.

"Maka dengan sebab itu umat Islam disunatkan melakukan sedekah, berpuasa, berpuasa sunat dan sebagainya sebelum menunaikan solat Istiqa agar sebelum menadah tangan kepada Allah, jiwa seseorang manusia itu sentiasa bersih.
"Bahkan selepas selepas solat Istiqa, imam akan membaca khutbah yang mengandungi peringatan agar umat Islam menjauhi maksiat, dosa dan sebagainya," katanya.

Menterbalikkan selendang

Mengikut riwayat, Nabi Muhammad SAW ketika berdoa kepada Allah untuk memohon diturunkan hujan, baginda akan menterbalikkan selendang di kepalanya.

Tindakan itu berpandukan hadis riwayat Abu Hurairah yang berkata: "Nabi Muhammad SAW keluar pada suatu hari untuk mengerjakan solat Istiqa, lalu bersolat bersama kami dua rakaat tanpa azan atau iqamah. Kemudian baginda menyampaikan khutbah serta berdoa kepada Allah, lalu berpaling ke arah kiblat sambil mengangkat kedua tangannya. Selanjutnya dibalikkan selendang di kanan lalu diletakkan di kiri dan yang kiri di kanan."

Ketika ditanyakan apakah simbolik sebalik tindakan itu, Fadlan berkata, para ulama menterjemahkan perbuatan tersebut dengan permintaan baginda yang bersungguh-sungguh dan penuh pengharapan supaya Allah menurun hujan dengan segera.

Menurut Fadlan, sehubungan itu umat Islam disunatkan menterbalikkan pakaian yang berada di tubuh badan sebagai tanda pengharapan.

"Di saat suasana kering-kontang, kita amat memerlukan hujan dan selain berdoa, usaha itu diterjemahkan melalui tindakan menterbalikkan pakaian," kata Fadlan.

Artikel Penuh: 
http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20130628/ba_01/Musibah-jerebu#ixzz2Xf2hZf3X

Saturday, June 29, 2013

IBADAH SANG KAPITALIS!

Ustaz Pahrol Mohd Juoi

Tentu ada yang salah di mana-mana, jika ada orang yang rajin solat tetapi masih gemar mengumpat. Orang yang berpuasa tetapi masih tega menghina. Atau orang yang banyak berzikir dan berwirid tetapi sangat bakhil dan kedekut. Mengapa amal ibadah itu tidak membuahkan akhlak yang baik? Padahal ibadah itu umpama ‘pohon’ yang menghasilkan ‘buah’ akhlak.

Seorang lelaki bertemu seorang ahli sufi terkenal, Bisyr bin Harits untuk mengucapkan selamat berpisah kerana dia hendak mengerjakan ibadah haji buat kali kedua. Dia berkata, “Aku berniat pergi haji. Adakah sesuatu yang hendak engkau sampaikan kepada ku untuk aku lakukan?”
“Berapa banyak wang yang kau siapkan untuk bekalan?” tanya Bisyr.
“Dua ribu dirham.”
“Apa tujuan engkau mengerjakan haji kali ini? Apakah kerana zuhud terhadap dunia atau untuk melepaskan kerinduan kepada Baitullah atau untuk mencari keredaan Allah?”
“Demi mencari keredaan Allah,” jawab lelaki itu tegas.
“Sekiranya engkau dapat meraih keredaan Allah, sedangkan engkau tetap tinggal di rumah mu dengan menginfakkan dua ribu dirham  itu, apakah engkau bersedia untuk melakukannya?” tanya Bisyr.
“Ya.”
“Kalau begitu pergilah dan infakkan wang dua ribu dirham itu untuk menolong sepuluh golongan manusia; seorang yang terbeban oleh hutangnya, lalu engkau bayar hutangnya; seorang miskin, lalu engkau baiki tahap hidupnya; seorang mempunyai keluarga yang ramai anak; seorang penjaga anak yatim , lalu kau gembira anak yatim yang diasuhnya…”
Bisyr menyambung lagi, “Sekiranya hati engkau cukup kuat untuk memberi wang itu kepada seorang sahaja di kalangan mereka, maka berikanlah! Sesungguhnya, perbuatan engkau memberi kegembiraan di hati orang Muslim dengan menolongnya menghadapi penderitaan, membantunya keluar dari kesusahannya dan menolong orang yang lemah, adalah jauh lebih utama daripada ibadah haji seratus kali (setelah haji pertama yang diwajibkan seumur hidup.)
Biyr bin Harits menambah lagi, “sekarang engkau pergilah dan infakkanlah wang dua ribu dirham itu sepertimana yang aku cadangkan. Atau jika tidak, luahkan sahaja isi hati mu sekarang…”
Lelaki itu termenung  sebentar lalu berkata, “Wahai Abu Nashr ( gelaran Bisyru Al Harit), niat untuk ku mengerjakan haji lebih kuat dalam hati daripada semua amalan yang kau ucapkan itu!”
Mendengar jawapan itu, Bisyr tersenyum dan berkata, “Memang, apabila harta diperoleh melalui perniagaan yang kotor atau syubhat, maka hati akan tertarik untuk memenuhi keinginan hawa nafsu dengan menampakkan dan menonjolkan amal-amal soleh (agar diketahui oleh orang ramai). Padahal Allah telah bersumpah demi dirinya sendiri, bahawa Dia tidak akan menerima selain amalan orang-orang yang bertakwa.”
Subhanallah, pengajaran daripada kisah ini sangat relevan sehingga kini. Kita lihat betapa ramai ahli ibadah tertipu dengan ‘menyembah’ kesenangan dan kepentingan dirinya atas nama agama. Mereka meminggirkan amalan yang menyuburkan kasih sayang sesama manusia kononnya untuk berbakti kepada Allah. 

Padahal kesan amal ibadah itu ialah akhlak dan akhlak itu terserlah melalui sifat kasih sayang kepada manusia lain. Tegasnya, kasih sesama manusia itu adalah kesan kasih kepada Allah. Firman Allah: ” Sesungguhnya orang-orang beriman dan beramal soleh kelak Allah Yang Maha Pemurah akan menanamkan dalam hati mereka rasa kasih sayang.” Maryam: 96

Ada orang yang riyak dengan rumah besar dan kereta mewahnya, tetapi ironinya ada juga orang riyak dengan amal ibadahnya. Cuba lihat betapa ramai orang yang pergi mengerjakan haji dan umrah sehingga berkali-kali. Setiap kali pulang ke Tanah Air, dia mula bercerita tentang tangisannya ketika mengucup Hajarul Aswad, hatinya yang tersentuh ketika berdoa penuh khusyuk di Pancur Emas,  atau rasa sayu dan sedih ketika tafakur di makam Rasulullah SAW.  Itulah yang jadi bahan ceritanya sekembali dari Makkah.
Seiring perkembangan teknologi terkini, segala apa yang telah dilaluinya akan jadi entri baru di  muka buku (FB). Terpampanglah gambarnya dengan pelbagai aksi syahdu di makam Ibrahim, di sisi Kaabah dan pelbagai lagi tempat suci… Sepatutnya, apabila berada di rumah Allah, yang kita besarkan adalah Allah, bukan diri kita yang berada di rumah Allah itu. Jika kita merintih, merintihlah dengan suara yang didengar oleh Allah, bukan yang kita tuliskan untuk tatapan orang lain.
Lebih malang lagi apabila dalam realitinya ada juga individu yang telah berkali-kali mengerjakan umrah atau haji ini tega  membiarkan saudara mara, anak yatim, orang miskin, janda terbiar,  bahkan sahabat terdekatnya dalam  keadaan yang melarat. Contohnya, ada majikan memburu pahala mengucup ‘hajarul aswad’ sedangkan dia punya peluang merebut pahala yang lebih besar dengan membela nasib pekerjanya yang sedang  hidup serba kekurangan. Atau orang kaya yang mengejar pahala berganda dengan bersolat di Masjid al Haram dan Nabawi, sedangkan jirannya meronta-ronta kelaparan. Ini ibadah Sang Kapitalis!
Para abid yang tertipu ini hanya  membina ‘ritual’ agama tetapi bukan roh atau ‘spiritual’ agama. Nilai amal itu bukan terletak kepada soal-soal lahiriah (walaupun itu juga dituntut) tetapi terletak pada tujuan dan roh amal ini.  Allah telah mengingatkan betapa perlunya kita menyantuni orang-orang yang melarat dalam masyarakat kerana itu tanda iman dan amal soleh.  Firman Allah:”Tahukah kamu orang yang mendustakan agama? Yakni mereka yang mengherdik anak-anak yatim, dan tidak menganjurkan memberi makan orang-orang miskin.”
Sering diungkapkan oleh orang yang bijaksana, “Kita perlu akrab dengan manusia untuk mengetahui masalahnya dan kita perlu akrab dengan Allah untuk membantu manusia menyelesaikan masalah tersebut.” Ertinya,  hubungan dengan Allah (‘habluminallah’) dan hubungan sesama manusia (‘habluminannas’) itu sangat erat keterkaitannya.  Seseorang tidak akan dapat menjalinkan hubungan baik dengan Allah sekiranya tidak menjalinkan hubungan baik sesama manusia.

Sesungguhnya keredaan Allah bukan sahaja ada di masjid atau surau tetapi di rumah anak-anak yatim, rumah orang miskin, rumah sakit, dan rumah kebajikan orang-orang tua. Jika kita bijak menilai keutamaan, banyak yang kita boleh buat untuk mendapat kecintaan Allah dengan berbuat baik sesama manusia!

Friday, June 28, 2013

Gastrik


Soalan : ASSALAMUALAIKUM Tuan Haji Lokman. Saya menghadapi masalah gastrik kronik. Perut saya sering merasa sakit, rasa loya di tekak, muntah-muntah dan berat badan menurun sebanyak 10 kg dalam masa dua bulan. Saya sudah banyak kali berulang alik ke hospital untuk rawatan gastrik, tetapi belum reda.

Bolehkah Haji Lokman memberi ayat-ayat Al-Quran untuk menyembuhkan atau membantu meringankan penyakit saya ini? Haji Iskandar, Kulai.

Jawapan:
Penyakit Gastrik atau Gastritis merujuk kepada keradangan pada lapisan dinding perut. Di dalam perut, terdapat satu lapisan mukus semulajadi yang melindungi dinding perut daripada bahan kimia berasid semulajadi yang sangat diperlukan untuk proses penghadaman makanan di dalam perut. Keradangan dinding perut berlaku apabila terdapat bahan asing yang menghakis lapisan mukus pelindung di permukaan perut.

Penyakit gastrik merupakan penyakit yang kian berleluasa. Alhamdulillah dengan izin Allah, penyakit gastrik boleh dirawat dan tidak seharusnya menyebabkan anda risau. Sebelum rawatan dimulakan, punca penyakit gastrik harus disiasat supaya kita dapat mengambil langkah-langkah untuk mengelakkan kehilangan lapisan mukus pelindung perut.

Punca gastrik
Gastrik selalunya disebabkan oleh mengambil ubat-ubatan yang tertentu secara berlebihan. Ubat-ubatan tersebut adalah seperti ubat aspirin atau NSAID (non-steroidal anti-inflammatory). Selain itu, penyalahgunaan alkohol dan jangkitan bakteria Helicobacter pylori di dalam perut boleh menyebabkan proses keradangan dinding perut. Gastrik turut boleh disebabkan oleh anaemia, refluks hempedu, penyalahgunaan dadah, meminum racun, stres ekstrem dan jangkitan virus tertentu.

Simptom gastrik
Ramai pesakit gastrik tidak mengalami sebarang simptom. Namun, kewujudan penyakit gastrik akan tetap menyebabkan kerosakan kepada dinding perut dan seterusnya menyebabkan kesan-kesan buruk yang lebih serius seperti pendarahan di dinding perut.

Selalunya, pesakit gastrik akan mengalami simptom seperti sakit perut, hilang selera makan, rasa loya dan muntah-muntah.

Jika penyakit gastrik bertambah sehingga berlakunya ulser perut dan pendarahan di dinding perut, pesakit boleh mengalami masalah najis berdarah yang berwarna hitam atau muntah darah.

Simptom tersebut menandakan penyakit gastrik itu sudah menjadi tahap yang sangat serius dan pesakit tersebut harus dibawa ke klinik atau hospital secepat mungkin.

Rawatan moden
Sebelum rawatan gastrik dapat dimulakan, siasatan dan diagnosis harus dilakukan terlebih dahulu.

Ujian darah lengkap dilakukan untuk mengetahui sama ada pesakit kehilangan darah yang banyak atau anaemik.

Najis turut diperiksa untuk mengesan jika mempunyai sebarang kesan darah. Dalam sesetengah kes, kamera kecil perlu dimasukkan ke perut (endoscopy) untuk diagnosis yang tepat.

Malah, ujian kultur bakteria di dinding perut dilakukan untuk mengesan kehadiran bakteria H. pylori yang boleh menyebabkan keradangan dinding perut.

Rawatan moden gastrik memerlukan pesakit untuk mengelak daripada punca-punca sakit gastrik.

Sebagai contoh, jika penyakit gastrik berpunca daripada pengambilan ubat-ubatan tertentu, maka pesakit harus berhenti mengambil ubat tersebut.

Kemudian, ubat anti-asid seperti Omeprazole dan Famotidine akan diberi kepada pesakit untuk bertindak terhadap kandungan asid yang berlebihan.

Jika didapati bahawa kuman H.pylori adalah punca utama gastrik, rawatan akan melibatkan pemberian ubat antibiotik untuk melawan jangkitan kuman tersebut.

Komplikasi
Komplikasi penyakit gastrik timbul daripada kemusnahan sel dinding perut berterusan.

Tanpa perlindungan daripada mukus semulajadi di permukaan dinding perut, asid perut semulajadi dihasilkan oleh perut akan menyerang sel-sel dinding perut dan menyebabkan kemusnahan dinding perut tersebut.

Kemusnahan yang berterusan akan menyebabkan ulser perut dan pendarahan di dinding perut.

Pendarahan yang tidak terkawal di dinding perut akan menyebabkan anaemia, pening kepala dan pengsan akibat daripada kekurangan darah.

Apa yang merisaukan ialah selalunya pesakit gastrik tidak sedar masalah pendarahan dalaman tersebut sehingga masalah tersebut sudah mencapai ke tahap sangat serius.

Maka, adalah sangat penting bagi pesakit untuk sentiasa berjaga-jaga dengan tanda awal pendarahan dalaman tersebut.

Malah, terdapat bukti klinikal terbaru menunjukkan gastrik kronik boleh menyebabkan penyakit kanser perut.

Rawatan Al-quran
Daripada pengalaman saya, ramai pesakit gastrik yang berubat di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah mengalami perubahan positif ketara selepas mempraktikkan rawatan menggunakan ayat-ayat suci Al-Quran.

Amalan pembacaan al-Quran secara konsisten setiap hari memberi banyak manfaat dan ketenteraman hati kepada pesakit.

Ramai pesakit Al-Hidayah berjaya membentuk banyak sifat terpuji seperti sabar, tekun dan sangka baik setelah membaca al-Quran setiap hari.

Rasulullah saw ada menyentuh tentang pembentukan sifat sabar dalam diri manusia. Rasulullah saw bersabda: "…barangsiapa yang berusaha untuk sabar, maka Allah akan menjadikannya seorang yang sabar…" (HR. Bukhari).

Setiap pesakit gastrik yang datang berubat, akan diperiksa terlebih dahulu jika ada sebarang gangguan makhluk halus.
Perawat Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah akan mengeluarkan gangguan jika ada dan seterusnya memberikan ayat berikut untuk diamalkan seterusnya disertai dengan doa kepada Allah untuk memohon penyembuhan.

Ayat-ayat tersebut adalah:
Surah al-Buruuj ayat 1 hingga 22
Surah Ghafir ayat 41 hingga 55

Cara amalan ayat-ayat Al-Quran tersebut ialah, pesakit hendaklah membaca surah pertama iaitu surah Al-Buruuj tiga kali pada waktu malam dan surah kedua iaitu surah Ghafir tiga kali pada waktu siang.

Pembacaan hendaklah diamalkan setiap hari selama tiga hingga empat minggu. Selepas membaca tiga kali, pesakit perlu memohon doa kepada Allah untuk penyembuhan.

Pesakit harus ingat bahawa apa-apa penyembuhan hanya dengan izin Allah. Oleh itu, kita jangan berputus asa dan sentiasa berdoa kepada Allah.

Seperti di dalam surah al-Mukminun ayat 111, Allah swt berfirman; “Sesungguhnya Aku membalas mereka pada hari ini disebabkan kesabaran mereka; sesungguhnya mereka itulah orang yang berjaya.

Penutup
Kesimpulannya, jangan memandang remeh penyakit gastrik. Jika dibiarkan tanpa rawatan, dikhuatiri pesakit akan menghidapi gastrik kronik dengan simptom berbahaya.

Jika merasa anda mempunyai simptom gastrik saya nasihatkan agar tuan atau puan cepat berjumpa pegawai perubatan atau perawat Al-Hidayah untuk pemeriksaan lanjut.

Jangan tunggu hingga gastrik menjadi kronik dan pendarahan dalaman berlaku.

Jika anda adalah pesakit gastrik, tidak kira sama ada tahap awal atau kronik, jangan berputus asa berikhtiar dan berdoa sepenuh hati untuk penyembuhan penyakit gastrik.

Sesungguhnya, setiap penyakit merupakan satu ujian Allah dan turunnya sesuatu penyakit atau musibah bukannya bermakna Allah kejam atau membenci kita.

Musibah merupakan ujian untuk hamba-hambaNya yang beriman. Jangan ingat bahawa kita sudah cukup beriman selagi kita belum diuji Allah dengan musibah atau ujian yang pasti mencabar iman dan kesabaran kita sebagai hambaNya yang hina.

Allah berfirman di dalam surah al-Furqan ayat 75 yang bermaksud; “Mereka itu akan dibalas dengan tempat yang tinggi di Syurga disebabkan kesabaran mereka, dan mereka pula akan menerima di dalam syurga itu ucapan selamat di dalamnya."


Keperluan nutrisi perlu diambil secara sederhana elak kesan negatif


Pengambilan makanan yang sihat satu keperluan utama manusia dalam meneruskan kehidupan dan melakukan aktiviti seharian. Agama Islam sangat menitik berat pola pemakanan kerana aspek pemakanan berkait rapat dengan amalan keagamaan serta amal ibadah umat Islam. 

Bagi memastikan ibadah diterima Allah, kita perlu memastikan hati berada dalam keadaan suci. 

Firman Allah SWT bermaksud: “Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.” (Surah al-Baqarah, ayat 168)

Penyucian hati bermula daripada sumber makanan yang halal dan bersih, jika bersih makanan dipilih maka bersihlah hati.

Jika pilihan makanan terdiri daripada sumber yang kotor dan rosak, maka hati akan terbentuk sebaliknya. Maka dengan itu, Islam menggesa penganutnya memilih makanan yang baik, halal lagi suci. 


Firman Allah SWT bermaksud: “Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.” (Surah al-Baqarah, ayat 168) 


Dr Syeikh Yusof Al-Qardhawi mentafsirkan halal sebagai sesuatu yang diharuskan yang terungkai padanya ikatan larangan dan diizinkan oleh syarak untuk melakukannya. Baik pula membawa maksud sesuatu yang bermanfaat dan elok dari segi tabiat dan syarak. 

Larangan makan daripada sumber haram

Oleh itu, makanan halal lagi baik adalah makanan yang bersih zatnya, suci perolehannya serta bebas daripada sebarang kemudaratan. Islam sangat melarang keras umatnya memilih makanan daripada sumber haram. 

Sesuatu yang haram apabila dimasukkan ke dalam tubuh badan manusia akan membawa kepada kemudaratan yang nyata. 

Baginda telah memberitahu jika hamba Allah mengambil sesuatu daripada yang haram sebagai hidangan, maka hatinya akan menjadi gelap, jiwa resah, amalan tidak diterima Tuhan, doa tidak dimakbulkan, cintakan kemaksiatan, benci perkara kebaikan serta menjadi calon penghuni neraka. 

Rasulullah SAW bersabda: “Wahai Saad, perbaikilah makananmu, nescaya kamu menjadi orang yang dimakbulkan doanya. Demi yang jiwa Muhammad dalam genggaman-Nya, sesungguhnya seseorang hamba yang melontarkan sesuap makanan haram ke dalam perutnya, maka tidak akan diterima amal kebaikannya selama 40 hari. Sesiapapun yang dagingnya tumbuh daripada yang haram, maka api neraka lebih layak membakarnya.” (Riwayat Muslim) 

Pengambilan makanan yang baik juga memberikan kesihatan optimum kepada tubuh badan manusia sama ada dari segi rohani juga jasmani. Islam mengajak umatnya mengamalkan gaya hidup sihat kerana kesihatan yang baik adalah nikmat terbaik dianugerahkan Allah SWT.

Baginda bersabda: “Tiada nikmat yang lebih agung setelah iman selain nikmat kesihatan.” (Riwayat Ibnu Majah) 

Kesan negatif jika makan berlebihan

Makanan dan minuman adalah keperluan nutrisi yang sangat diperlukan tubuh manusia. Walau bagaimanapun, jika diambil secara berlebihan, ia boleh mengundang kesan negatif.

Baginda SAW menegaskan pengambilan makanan hanyalah untuk keperluan tubuh dan menegah mengambilnya dalam kuantiti berlebihan. Baginda juga mengajar tip bersederhana ketika menikmati makanan iaitu makan sebelum lapar serta berhenti sebelum kenyang. 

Sabda baginda: “Kami adalah kaum yang tidak makan kecuali lapar dan apabila kami makan, kami berhenti sebelum kenyang.” (Riwayat Ahmad) 

Segelintir masyarakat di Malaysia terlalu boros dalam pemilihan pemakanan serta mengambil enteng mengenai pengambilan makanan sihat. Akibatnya, mereka terdedah kepada pelbagai penyakit berbahaya seperti diabetes, darah tinggi, serangan jantung dan angin ahmar.

Lebih merunsingkan, sebahagian daripada mereka juga terdedah kepada penyakit hati seperti sombong, bongkak, kedekut, keras hati, serta terjerumus dalam maksiat disebabkan makanan diperoleh melalui sumber yang diragui soal halalnya.

Janganlah kita bermewah-mewah dalam pemilihan makanan kerana matlamat kehidupan bukan untuk makan semata-mata tetapi meneruskan hidup sebagai seorang khalifah dan mengabdikan diri kepada Allah.

Khutbah Jumaat: Tak hargai khazanah alam punca jerebu 

Allah SWT bersifat Maha Pemurah lagi Maha Penyayang telah menganugerahkan pelbagai nikmat kepada hamba-Nya dan antara kurniaan nikmat tiada ternilai itu ialah nikmat kesihatan. Kesihatan membolehkan manusia menjalani kehidupan aman sentosa dan lancar melakukan kerja harian.

Kesihatan juga membolehkan kita melakukan ibadah kepada Allah SWT dengan sempurna. Menyedari tingginya nilai kesihatan, maka menjadi kewajipan umat Islam untuk menjaganya kerana kesihatan manusia berkait rapat dengan keharmonian alam serta kehidupan. 

Sabda Rasulullah SAW: Ada dua jenis nikmat yang banyak melekakan manusia iaitu nikmat sihat dan masa lapang. (Riwayat al-Bukhari) 


Justeru, agama Islam melarang umatnya melakukan perkara yang boleh merosakkan kesihatan termasuklah kerosakan alam sekitar. Umat Islam wajib mencontohi akhlak junjungan besar Nabi Muhammad SAW dalam memastikan hubungan dengan alam terus terpelihara. 

Maka apa saja kehidupan di alam ini wajib diberikan hak kehidupannya mengikut sunatullah. Manusia yang bijak mengguna akal fikiran akan bertambah mulia martabat mereka jika dapat memanfaatkan khazanah alam dengan baik.

Larangan lakukan kemusnahan alam

Bagi memastikan hubungan baik dengan Allah terpelihara, menjadi tanggungjawab manusia memelihara dan memperkasa hubungan yang baik sesama manusia dan makhluk Allah. Islam melarang umatnya melakukan kemusnahan alam kerana perbuatan ini akan memberi kesan sampingan kepada keharmonian hidup manusia. 


Kesejahteraan hidup yang baik, sihat, ceria dan maju adalah nikmat tidak terhingga indahnya. Allah akan memberi ganjaran tinggi kepada hambanya yang sentiasa mensyukuri nikmat ini. Allah SWT menyatakan sifat kufur nikmat akan dibalas dengan azab seksa yang amat pedih. 

Firman Allah SWT: Dan ingatlah tatkala Tuhanmu memberitahu: Sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras. (Surah Ibrahim, ayat 7) 

Amalan bersyukur juga hendaklah dijelmakan dan direalisasikan dalam kehidupan seharian. Dinasihatkan umat Islam mengambil iktibar daripada kesilapan manusia di masa lalu yang banyak melakukan kerosakan di muka bumi Allah ini, sama ada melalui perbuatan mahupun perkataan.

Malapetaka hasil kerakusan manusia

Kita mengakui bencana alam boleh berlaku disebabkan kesilapan dan kerakusan manusia mengeksploitasi alam secara berlebihan sehingga keseimbangan mula terganggu dan tidak dapat dikekalkan.

Walaupun sememangnya alam ini perlu terus dibangunkan, keselesaan hidup perlu ditingkatkan, teknologi perlu selaras keperluan manusia, namun apabila keseimbangan alam tidak dikekalkan, kita sebenarnya mengundang malapetaka hasil perbuatan sendiri. 

Hari ini kebanyakan kawasan di negara kita dilanda jerebu. Pada dasarnya jerebu adalah ujian Allah SWT yang disebabkan oleh zarah terampai dalam atmosfera pada kepekatan tinggi sehingga menyebabkan daya penglihatan berkurangan. 

Penyebab berlakunya jerebu ialah aktiviti manusia yang mengetepikan sunnah alam antaranya pembakaran terbuka, pembukaan tanah, penggunaan kenderaan bermotor dan pembakaran bahan api industri. 

Yakinlah bencana alam sebagai hak mutlak Allah SWT yang tidak diduga, maka kesedaran peranan dan tanggungjawab semua pihak mengurus serta mengurangkan kesan bencana alam perlu dilaksanakan. 

Udara yang bersih menyihatkan tubuh badan manusia manakala udara tercemar sudah pasti akan mengancam kesihatan. Justeru, semua pihak perlu mengambil langkah sewajarnya bagi menjaga kualiti udara di negara kita.

Ingatlah, perlakuan kita yang menyakitkan dan memudaratkan orang lain atau kehidupan lain, sudah pasti mendedahkan kita kepada kemurkaan Allah SWT. Sebarang usaha menghindarkan kerosakan dan kemudaratan sebagai tanda wujudnya kesempurnaan iman. 

Marilah berdoa kepada Allah SWT semoga jerebu akan berkurangan dan menunaikan solat sunat Istisqa secara berterusan dengan memohon rahmat Allah SWT menurunkan hujan hingga cuaca pulih seperti sedia kala



Wednesday, June 26, 2013

SKSS1 DALAM KENANGAN


Pagi ini saya menghadiri Sukan Tahunan SKSS1 sebagai warga emas. Seronok juga dapat bertemu dengan guru-guru yang suatu ketika dahulu sempat sama bertugas. Yang paling seronoknya, bukan saya sahaja yang hadir bahkan ada beberapa orang mantan guru besar SKSS1 turut juga hadir. Tuan Haji Mohd Yusof Mohd, Puan Hjh Che Ma, Tuan Haji Yusof Karim, YM Che Ku Alam Che Ku Ali (GB SK Durian Burung). Turut hadir juga Cikgu Hj Ramli Abu Bakar dan Ustaz Shamsudin, Tuan Hj Kamaruddin Chik mantan PK Kokurikulum.

Walaupun acara bawa belon mengisi aktiviti warga emas, tetapi menjemput bekas-bekas guru untuk hadir dalam satu-satu majlis di sekolah adalah suatu langkah yang sangat baik dan patut dipuji.

Pengalaman saya sewaktu melawat sekolah di Melbourne, Australia pada tahun 2010, taklimat disampaikan oleh bekas guru besar sekolah berkenaan. Tenaga beliau masih diguna pakai oleh pihak sekolah, walaupun telah bersara.


Tahniah kepada pengurusan SKSS1 yang telah mengambil inisiatif yang positif untuk menjemput bekas guru-guru untuk sesuatu acara rasmi sekolah.

Friday, June 21, 2013

Ganjaran berselawat
SYAHIDATU L AKMAL DUN YA


Beramai-ramai mengalunkan selawat kepada Nabi SAW. - Gambar hiasan


Mudahnya cara untuk berselawat di zaman moden ini. - Gambar hiasan

SELAWAT berasal daripada bahasa Arab, ia diambil daripada perkataan solat yang bererti doa atau pujian.
Selawat ALLAH SWT ialah pujianNya di sisi para malaikat, selawat malaikat ialah doa memohon gandaan pahala dan selawat Mukmin ialah berdoa memohon supaya ALLAH melimpahkan rahmat, menambahkan kemuliaan dan kepujian kepada kekasihNya, Nabi Muhammad SAW.
Makna selawat daripada ALLAH kepada hambaNya pula adalah limpahan rahmat, kemuliaan dan keberkatan dariNya. (Kitab Zadul Masir)

Saban hari, kita membasahkan lidah dengan pujian kepada Rasulullah SAW sama ada dalam solat atau ketika melakukan apa-apa pekerjaan.

ALLAH berfirman: “Sesungguhnya ALLAH dan malaikatNya berselawat kepada Nabi (Muhammad); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.” (Surah al-Ahzab: 56)

Semua ini menjadi bukti yang kukuh bahawa Muhammad memiliki kedudukan yang istimewa di sisi ALLAH, makhluk-makhluk di langit dan di bumi. Ia secara automatik membatalkan hujah golongan anti hadis yang menyatakan

Muhammad hanyalah manusia biasa yang membawa al-Quran sepertimana seorang posmen yang membawa surat. Seandainya Baginda seorang manusia biasa, sudah tentu ALLAH tidak akan menurunkan firmanNya.

Bagaimana cara berselawat?
Merujuk kepada pengertian di atas, para sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW mengenai cara berselawat kepada Baginda.

Lalu Baginda menjawab dengan mengajar cara bacaan selawat. Bacaan itu adalah apa yang selalu kita baca ketika duduk tasyahud dalam solat setiap hari. (Sahih Bukhari)

Di dalamnya terkandung ucapan salam kepada Rasulullah: “Assalamu ‘alaika aiyyuhan Nabi, waRahmatullahi waBarakatuh.” Terkandung juga ucapan selawat kepada Rasulullah SAW, iaitu apa yang dimulai dengan “Allahumma sholli ‘ala Muhammad…” hinggalah “…innaka hamidun majdi”.

Pendakwah bebas, Kapten Hafiz Firdaus Abdullah berkata, perlu diingatkan bahawa apa yang diajar oleh Rasulullah SAW adalah sebaik-baik selawat ke atas Baginda.

“Terdapat dua perkara yang ingin saya gariskan. Pertama, hendaklah kita mengulang kaji bacaan selawat kita dan menyemaknya bagi memastikan ia bertepatan dengan apa yang diajar oleh Rasulullah SAW dalam hadis

Baginda yang sahih. Apa yang dipelajari dan dihafal pada zaman sekolah lama dulu tidak mencukupi kerana mungkin tanpa disedari kita telah mengurangi atau menambahi sesuatu lafaz atau kalimah.

“Kedua, tidak ada selawat yang lebih baik, lebih utama dan lebih bernilai berbanding apa yang diajar oleh Rasulullah SAW. Baginda adalah penjelas al-Quran dan Baginda telah menjelaskan apa yang diperintahkan oleh ayat 56 surah al-Ahzab di atas.

Perkara kedua ini saya gariskan kerana terdapat banyak selawat lain yang dibuat-buat oleh manusia, di mana mereka mendakwa ia adalah lebih baik.

Menurutnya, antara selawat yang dibuat-buat manusia adalah Selawat Munjiyat, Selawat Syifa dan Selawat Nur.

Mereka membuat selawat-selawat atas dakwaan ingin membuktikan kecintaan yang lebih kepada Rasulullah SAW. Ini adalah tujuan yang betul tetapi dengan cara yang salah.

Membahagiakan yang dicintai

Sebagai umat Nabi SAW, kita hendaklah melakukan perkara yang disukai Baginda. Kita mengaku mencintai Baginda tetapi tetap melakukan yang berlainan dengan amalannya.

“Bukti mencintai seseorang ialah melakukan apa yang disukai oleh orang yang dicintai, bukan apa yang disukai oleh orang yang mencintai. Yang terakhir hanyalah bukti bahawa orang itu mencintai dirinya sendiri dan bukan orang yang dia dakwa dicintainya.

Ada juga yang mendakwa selawat-selawat tersebut memiliki kemujaraban tertentu. Selawat Syifa’ umpamanya, didakwa boleh menyembuhkan penyakit.

Padahal apa yang diajar oleh Rasulullah ketika sakit ialah berdoa kepada ALLAH, jumpa doktor untuk berubat dan bersabar, bukan berselawat kepada Baginda kerana Baginda tidak mempunyai kuasa untuk menyembuhkan,” kata Hafiz Firdaus lagi.
Beliau yang juga kolumnis majalah dan penulis buku keagamaan berkata, oleh itu ketepikanlah pelbagai selawat buatan manusia dan ayuh kita kembali kepada selawat yang diajar oleh Rasulullah SAW sahaja.

Anjuran berselawat

Sesiapa yang berselawat kepada Rasulullah SAW dengan ikhlas dan betul akan menerima ganjaran yang besar. Maksud ikhlas ialah berselawat semata-mata kerana melaksanakan firman ALLAH dalam ayat 56 surah al-Ahzab dan bukan kerana sesuatu hajat umpama sembuh daripada penyakit.

Maksud betul ialah berselawat sebagaimana yang diajar oleh Rasulullah SAW, tanpa tambahan umpama “saidina” atau dengan selawat buatan manusia. Antara ganjaran yang bakal diterima ialah sebagaimana sabda Baginda: “Sesiapa yang berselawat ke atasku sekali, ALLAH berselawat ke atasnya sepuluh kali.” (Sahih Muslim)

Dalam hadis lain juga ada menyebut: “Sesiapa dalam kalangan umatku yang berselawat kepadaku dengan ikhlas dari dalam hatinya, maka dengan (selawat itu) ALLAH berselawat ke atasnya sepuluh kali, mengangkat baginya sepuluh darjat, mencatat baginya sepuluh kebaikan dan menghapuskan baginya sepuluh keburukan.” (Sahih al-Targhib wa al-Tarhib)

Jika orang yang berselawat mendapat ganjaran yang besar, maka orang yang enggan berselawat akan mendapat balasan sebaliknya. Rasulullah SAW mengingatkan: “Orang yang kedekut ialah sesiapa yang apabila aku disebut di sisinya, dia tidak berselawat ke atasku.” (Sahih al-Targhib wa al-Tarhib)