Thursday, October 10, 2013

Elok Duit Rokok Guna Untuk Bersedekah

Oleh Lokman Ismail

Harga rokok naik lagi namun, perokok tidak membantah atau melahirkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan kerajaan itu. Keadaan ini agak berbeza dengan kenaikan harga gula dan barang lain yang pasti mendapat bantahan rakyat. 
Perokok yang ketagih pasti tidak berganjak daripada amalan sia-sia itu biarpun harga rokok dinaikkan. Mereka rela membelanjakan sebahagian besar pendapatan untuk membeli rokok, sebab itu tidak membantah kenaikan harga rokok. Kata-kata, “biar putus cinta, jangan putus rokok” membuktikan perokok sanggup berdepan segala masalah asalkan tabiat merokok dapat diteruskan. Mengapa begitu tegar tabiat perokok yang rela melakukan apa saja demi meneruskan tabiat merokok? 

Sebenarnya, merokok bukan saja membahayakan kesihatan dan membazirkan wang, bahkan ditegah oleh agama Islam. Islam dengan tegas melarang perbuatan mendatangkan keburukan. 

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah kamu cuba menukarkan yang baik-baik dengan yang buruk-buruk.” (Surah an-Nisa, ayat 2) 

Firman-Nya lagi yang bermaksud: “Dan Dia (Allah) telah menghalalkan bagi kamu segala yang baik-baik dan mengharamkan ke atas kamu segala yang buruk-buruk.” (Surah al-Aaraf, ayat 157) 

Fatwa putus merokok haram 

Lanjutan itu, Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan ke-37 pada 23 Mac 1995 memutuskan merokok adalah perbuatan haram di sisi agama Islam. Perbuatan itu wajib dijauhi setiap orang Islam. Jadi, anggapan kebanyakan perokok mengatakan perbuatan itu sekadar makruh adalah tidak benar. 

Komitmen kerajaan memerangi gejala ketagih dilakukan dengan pelbagai cara, termasuk mendapatkan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Kerajaan membelanjakan peruntukan besar bagi mengatasi tabiat buruk ini. 

Kempen anti-merokok ‘Tak Nak’ membabitkan kos promosi RM100 juta, namun gagal mengurangkan tabiat merokok, sebaliknya amat mengejutkan jumlah perokok wanita pula meningkat sekali ganda. 

Statistik menunjukkan rakyat Malaysia yang merokok sekitar 3.4 juta orang membabitkan kira-kira 23.7 bilion batang rokok setahun. Jumlah perokok dijangka meningkat kepada 3.8 juta pada 2015 dan lebih empat juta perokok menjelang 2020. Sebanyak lebih RM15 juta sehari dibakar oleh perokok. 

Sepatutnya wang itu boleh digunakan untuk tujuan mendatangkan kebaikan. Kedudukan orang Islam semakin kukuh jika wang sebanyak itu dimanfaatkan untuk pembangunan ekonomi. Apa lagi jika ia digunakan ke jalan Allah SWT. 

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu memberikan derma untuk kepentingan sabilillah dan janganlah kamu menjerumuskan diri dalam jurang kebinasaan, dan hendaklah bertindak sebaik-baiknya. Sesungguhnya Allah suka kepada orang yang melakukan kebaikan.” (Surah al-Baqarah, ayat 195) 

Tabiat merokok adalah aktiviti negatif yang membawa impak buruk kepada kesihatan. Berdasarkan kajian, dalam sebatang rokok ada kira-kira 4,000 jenis bahan beracun yang disedut ke dalam tubuh. Bayangkan jika perokok menghisap 20 batang rokok sehari, dalam masa 30 tahun dia menghisap kira-kira 200 ribu batang rokok. 

Kenaikan cukai rokok 

Kenaikan cukai rokok selari dengan syor yang dibuat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) supaya cukai rokok dinaikkan 65 peratus daripada harga runcit rokok dalam usaha mengurangkan tabiat merokok. 

Peningkatan percukaian dan penetapan harga minimum rokok diyakini dapat mengurangkan permintaan terhadap rokok di kalangan perokok baru. Harga yang mahal juga diharap menjadikan perokok lebih kedekut untuk berkongsi rokok dengan orang lain. Cara itu diharapkan mengurangkan kadar merokok secara berkumpulan. 

Amat malang sekali perbuatan merokok turut dilakukan kalangan mereka yang layak dipanggil ustaz, haji, imam dan ulama. Mereka mementingkan soal dosa dan pahala dalam perkara lain, tetapi mengabaikan soal dosa perbuatan merokok. 

Allah SWT memerintahkan manusia mematuhi keseluruhan apa telah ditetapkan dalam ajaran Islam. Sesuatu amalan mendatangkan keburukan amat disukai oleh syaitan dan sentiasa mempengaruhi manusia agar terus menerus melakukannya. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam ajaran Islam dengan sepenuhnya. Janganlah kamu menuruti langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu musuh kamu yang nyata.” (Surah al-Baqarah, ayat 208) 

Ingatlah, rezeki yang diperoleh hendaklah digunakan untuk kebaikan. Mengapa kita begitu berkira untuk menghulurkan derma atau sedekah kepada orang lain, tetapi tidak merasa rugi untuk membakar wang melalui rokok. 

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan makanlah dari rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu, iaitu yang halal lagi baik, dan bertakwalah kepada Allah yang kepada-Nya saja kamu beriman.” (Surah al-Maidah, ayat 88)

No comments:

Post a Comment