Thursday, October 10, 2013

Nak tanya Zahid, penjenayah rasuah boleh tak tembak dulu baru soal?

oleh Aspan Alias

Saya sambung lagi tentang isu kelemahan bangsa Melayu yang mentadbir dan memerintah negara. Sesungguhnya kepimpinan Melayu sememangnya sudah begitu menirus dan seolah-olah sudah tidak wujud lagi kepimpinan dalam bangsa Melayu itu.

Yang dimaksudkan berkepimpinan ialah pemimpin yang mengambil tahu dan mengiktiraf perjuangan sesuatu bangsa. Melalui parti-parti siasah mesti mempunyai roh yang jati untuk meneruskan apa yang disebut sebagai perjuangan.

Apa yang ada sekarang ini adalah mereka yang menjadi ketua kepada parti politik tanpa mempunyai roh perjuangan sebenarnya. Dalam Umno yang ada hanyalah ketua dan pembantu kepada ketua itu, tetapi seluruh barisan ketua ini tiada berkepimpinan. Mereka ini menjadi ketua kerana permainan politik yang tidak boleh membantu untuk menyuburkan perjuangan parti itu, mengikut asas dan tujuan parti itu ditubuhkan dahulu.

Yang ada pada hari ini hanyalah mereka yang hendak mendapatkan atau mempertahan jawatan. Mereka tidak dapat dan tidak mempunyai kemampuan untuk menyesuaikan jawatan dengan kewajipan mereka mengikut kehendak jawatan yang mereka pegang itu. Itulah sebabnya Naib-Naib Presiden Umno itu contohnya tidak mempunyai semangat perjuangan yang betul.

Jika mereka mempunyai semangat itu masakan ada yang sedang mempertahankan jawatan dan yang ingin merebut jawatan itu bercakap dan berkempen mengikut rasa hati yang tidak tenteram sehinggakan menggunakan isu rasis sebagai isu kempen mereka. Jika benar mereka mempunyai semangat perjuangan seperti yang terkandung di dalam Bab 3 perlembagaan parti itu masakan mereka memainkan isu keselamatan seperti bermain getah dan bermain guli sahaja.

Kalau tuduhan saya ini tidak benar masakan ada slogan baru dalam kempen pemilihan ini yang kita dengar seperti, ‘tembak dahulu’ sesiapa yang disyaki merbahaya kepada negara tanpa usul periksa. Rasa tidak percaya kata-kata seperti ini boleh keluar daripada seorang pemimpin kanan yang sangat saya kenali sejak lebih 30 tahun dahulu.

Kalau benar mereka ini seorang pemimpin berjiwa besar, masakan ada calon peringkat Naib Presiden yang terlalu ‘emotional’ apabila kalah dalam pilihan raya kerana tidak mendapat sokongan kaum Cina di Melaka. Kenapa salahkan kaum Cina sahaja sedangkan ramai kaum Melayu sendiri menolak beliau? Kenapa hendak jadikan kaum Cina sebagai landasan di atas kekalahan beliau dalam pilihan raya itu?

Tidak bolehkah berkempen untuk mendapatkan undi dan sokongan dengan cara membuktikan keutuhan kepimpinan masing-masing? Jika mereka mempunyai ‘benda’ untuk di tunjukkan bagi meningkatkan sokongan, mereka tidak akan cuba berlagak ‘macho’ dengan kata-kata garang dan hebat sebenarnya merupakan tempelan yang mudah dilihat dan disaksikan oleh ramai.

Kekurangan atau tiada ‘finesse’ seperti seorang pemimpin itu membuatkan calon Naib dalam pemilihan ini sebagai pilihan hambar dan tidak mampu membawa perubahan kepada parti dan kerajaan. Amat susah untuk membuat pilihan, ibarat memilih di antara ikan sembilang dan ikan keli sahaja. Rasanya lebih kurang sama. Hanyirnya pun lebih kurang sama juga.

Hasil ucapan Zahid di Melaka baru-baru ini maka kita akan mudah mengenali siapa yang menembak dan membunuh tanpa sebab itu. Kalau dahulu sangat susah untuk mengenali siapa yang menembak siapa, sekarang ini usaha mencari penembak itu mungkin lebih mudah lagi apabila seorang menteri membenarkan pihak polis menembak sesiapa yang dianggap penjenayah itu.

Niat Zahid untuk ‘tembak dahulu kemudian bertanya’ itu mungkin tidak kesampaian jika mereka yang ditembak itu mati sebelum sempat bertanya dan menyiasat. Mungkin itulah cara yang mereka fikirkan terbaik untuk menyelesaikan masalah penjenayah kerana kumpulan pemimpin hari ini hanya mengambil jalan mudah untuk nampak bertindak menyelesaikan masalah keselamatan negara itu.

Mungkin tidak boleh disalahkan Zahid kerana itulah setakat kemampuannya untuk penyelesaian masalah penjenayah yang sangat ramai pada masa kini. Seseorang itu selalunya akan melakukan setakat kemampuan peribadi pemimpin itu.

Tetapi blog ini ingin bertanya, siapa yang dianggap penjenayah yang boleh ditembak dahulu baru bertanya itu? Bagaimana dengan penjenayah rasuah? Ramai yang kita tahu pemimpin yang rasuah tetapi tidak dapat disabitkan perbuatan hina mereka itu. Adakah mereka ini juga boleh ditembak dahulu baru bertanya. Bukankah perasuah itu juga adalah penjenayah. Bezanya yang satu itu penjenayah kolar biru dan perasuah itu adalah penjenayah kolar putih. Kedua-duanya adalah penjenayah kepada rakyat dan negara.

Kenapa hendak bezakan di antara penjenayah kolar putih dan penjenayah kolar biru? Jika penjenayah kolar biru seperti perompak hanya melibatkan orang dan keluarga yang dirompak itu sahaja, tetapi penjenayah rasuah itu melibatkan hampir 30 juta rakyat Malaysia. Bukankah rasuah itu lebih merbahaya kepada keselamatan negara. Banyak negara menjadi lemah dan tidak selamat kehidupan di dalamnya kerana rasuah.

Banyak negara dan tamadun tumbang kerana tahap keselamatan negara tersebut terlibat dengan rasuah keterlaluan. Zahid elok tengok juga isu yang sama bahayanya kepada keselamatan negara kita.

Perasuah dengan Botak Chin bukankah tiada bezanya? Bukankah kedua-duanya itu penyamun? Bahayanya pun sama, bukan gitu? – aspanaliasnet.blogspot.com, 10 Oktober, 2013.



No comments:

Post a Comment