Sunday, March 9, 2014

SAKIT BUKAN ALASAN MENINGGALKAN SOLAT


Tahun lepas saya pernah dimasukkan semalam diwad Hospital Nur Zahirah, Kuala Terengganu kerana kecederaan di bahagian kepala, akibat terjatuh daripada basikal. Pengalaman tidor di Hospital sebagai pesakit merupakan pengalaman pertama dalam hidup ini. Alhamdulillah, selepas sehari semalam berada di Hospital, saya dibenarkan pulang ke rumah, kerana keadaan tidak membimbangkan. Isteri saya turut menunggu semalam bersama, duduk di tepi katil saya. Isteri saya bimbang meninggalkan saya seorang, mungkin juga kerana rasa bertanggungjawab dan rasa kasih kepada suami.

Berbagai-bagai kerenah pesakit saya perhatikan. Majoriti pesakit yang berada dalam wad kedua adalah terdiri daripada orang Islam, Melayu. Malagnya, tidak ramai yang menunaikan solat. Kemungkinan kerana halangan dari segi penyakit yang dihidapi ataupun mungkin, kerana beranggapan, keuzuran boleh melepaskan tanggungjawab daripada menunaikan solat.

Setahu saya, Islam memberi kemudahan kepada umat Islam untuk bersolat dalam pelbagai keadaan, mengikut kemampuan masing-masing. Jika tidak boleh berdiri, bolehlah duduk, jika tidak boleh duduk, sembahyanglah secara berbaring. Jika tidak boleh bergerak, solatlah dengan isyarat mata. Persoalannya mungkin ada kepayahan untuk mengambil wuduk, bagi mereka yang berbalut kerana luka dan sebagainya.

Tetapi yang saya khuatiri kemungkinan besar tidak solat kerana kejahilan. Tidak ada ilmu bagaimana untuk solat dalam keadaan kritikal, atau sakit. Para petugas samada doktor atau jururawat yang bertugas tidak pula nampak untuk memberi nasihat atau bimbingan kepada pesakit supaya solat. Ataupun mungkin mereka sudah bosan atau penat untuk mengingatkan pesakit Muslim untuk bersolat. Wallahhualam.

Sepatutnya dalam keadaan diri kita kritikal berjuang dengan sakit,waktu itulah seharusnya kita paling hampir dengan Allah, bermunajat kepada Allah, berdoa kepada Allah, patuh kepada perintah Allah.

Atas keinsfan itulah saya berbincang dengan ajk Masjid Tengku Tengah Zaharah, (Masjid Terapung) untuk mengadakan kuliah khusus bagi membincangkan kaedah, prosedur, hukum, dan tips-tips bagaimana melakukan solat dalam keadaan sakit. Kebetulan saya terjumpa buku yang ditulis oleh Prof. Madya Dr. Basri bin Ibrahim, dari Universiti Sultan Zainal Abidin, Gong Badak, Kuala Terengganu bertajuk "Sakit Bukan Alasan Untuk Meninggalkan Solat". Dalam buku tersebut beliau memperincikan bagaimana cara dan kaedah, prosedur untuk menunaikan solat dalam keadaan sakit.

Kajian di Hospital Nur Zahirah, Kuala Terengganu juga terdapat dalam buku tersebut.
Oleh itu amat bermanfaat sekali sekiranya jemaah yang berada di sekitar Kuala Terengganu datang beramai-ramai ke Masjid Tengku Zaharah,(Masjid Terapung) pada malam Isnin 10 Mac 2014 jam 7.45 malam hingga 9.00 malam. Prof Madya Dr Basri Ibrahim akan membentangkan tajuk berkaitan dengan cara menunaikan soalt dalam keadaan sakit. Nota akan diedarkan kepada ahli jemaah. SEMUA DIJEMPUT HADIR.

No comments:

Post a Comment