Thursday, June 6, 2013

Tazkiyatun Nafs (Penyucian Jiwa)

Assalamu'alaikum wbt.



"Nabi SAW telah bersabda: Sesungguhnya di dalam tubuh (manusia) ada seketul daging, jika baik daging itu maka baiklah seluruh tubuhnya,  dan jika rosak daging itu maka rosaklah seluruh tubuhnya 
dan ketahuilah bahawa itu adalah hati."
[Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim]

Saya yakin dan percaya kita selalu sahaja mendengar hadis mengenai hati ini. Kita memang sudah sedia maklum bahawa hatilah yang menggerakkan setiap anggota tubuh kita. Setiap apa yang terlintas di hati, itulah yang akan tubuh kita refleksikan. 

Jika hati kita hidup, maka amat senang bagi kita untuk menerima kebaikan. Namun sebaliknya akan berlaku jika hati kita tidak hidup, maka amat sulit untuk kita menerima kebaikan.  

Terkadang kita melalui fasa-fasa futur dalam diri bukan? Itulah tandanya hati kita tidak sihat. Di kala ini amat mudahlah untuk syaitan membisikkan perkara-perkara yang tidak baik ke dalam diri kita. Dan amat senanglah bagi kita untuk terpengaruh dengan hasutan syaitan itu pada saat itu. 

Untuk itu, kita memerlukan tazkiyatun nafs ini. Kita perlu sentiasa menyucikan jiwa kita ini agar hati kita sentiasa hidup dan sihat. Supaya kita sentiasa dapat melakukan kebaikan.

Tazkiyatun nafs ini merupakan misi para rasul. Marilah sama-sama kita perhatikan doa yang Nabi Ibrahim titipkan ini. 

"Ya Tuhan kami, utuslah di tengah mereka seorang rasul dari kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat-MU dan mengajarkan kitab dan hikmah kepada mereka dan menyucikan mereka. Sungguh, ENGKAUlah Yang Maha Perkasa Maha Bijaksana." 
[Al-Baqarah, 2:129]

Dari sini kita boleh lihat bahawa Nabi Ibrahim berdoa kepada ALLAH memohon untuk diutuskan para rasul kepada setiap umat untuk melaksanakan 3 perkara:

1. Tazkir (Membacakan dan mengingatkan ayat-ayat ALLAH)
2. Ta'alim (Mengajarkan)
3. Tazkiyah (Menyucikan)

Bagaimana untuk kita menyucikan hati kita? 

1. Solat 

Solat merupakan amalan pertama yang akan dihisab oleh ALLAH di akhirat kelak. Untuk itu kita perlu menjaga solat kita agar ia diterima oleh ALLAH. Solat itu bukanlah dilaksanakan tetapi didirikan.  Kita perlu menghayati setiap perbuatan kita sewaktu mendirikan solat demi untuk mendapatkan kekhusyukan hati.

"Al awwal 'ilm yarfu' minal ardh al khusyuk." (Ilmu yang pertama yang diambil dari dunia itu ialah khusyuk.) Bersamalah kita berusaha memperbaiki mutu solat kita supaya kita mendapat khusyuk di dalam solat. 

2. Saum (Puasa) 

Kita boleh membelenggu hawa nafsu kita dengan berpuasa.
Hati kita akan terjaga, kemaluan kita akan terpelihara dan mulut kita juga akan kita hindarkan dari mengucapkan perkara yang sia-sia saat berpuasa.

Semoga dengan mengamalkan puasa sunat Isnin-Khamis, puasa sunat pada hari putih (13,14,15) pada setiap bulan, kita dapat menyucikan jiwa dan mendidik hati kita ke arah kebaikan. 

3. Zakat dan Infak

Kita perlu ingat dan perlu tahu bahawa setiap harta milik kita ini bukanlah milik kita sebenarnya melainkan milik ALLAH yang hanya dipinjamkan buat kita.
Untuk itu, tempat untuk kita menyimpan harta kita ini ialah kepada ALLAH. Bagaimana? Dengan mengeluarkan zakat dan berinfak serta bersedekah.

Hati-hati kita akan dapat disucikan apabila kita berzakat dan berinfak. Amalan zakat dan infak ini juga akan menjauhkan kita daripada sifat kikir dan kedekut.

4. Haji dan Umrah

Saya yakin dan percaya, setiap dari kita mempunyai impian dan keinginan untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci Mekah. 

Persiapkanlah diri kita sebaiknya untuk menunaikan haji dan umrah ini. Saat di sana nanti, jagalah solat awal waktu kita dan amalkanlah setiap doa yang telah dihafal. 

5. Bermuhasabah

Memetik kata-kata Saidina Umar Al-Khattab, "Hisablah dirimu sebelum kamu dihisabkan. Timbanglah amalanmu sebelum amalan kamu ditimbangkan."

Muhasabah ini penting untuk kita menilai balik baik buruk setiap apa yang akan dan telah kita lakukan.

Muhasabah itu perlu dibuat sebelum dan sesudah kita melakukan sesuatu perkara. Jangan pula dilupa untuk sentiasa memperbaharui niat kita agar setiap kebaikan yang kita lakukan itu tidak terpesong tujuannya. Niatlah di awal, di pertengahan dan di akhir perbuatan kita. Semoga kebaikan yang kita buat itu diterima ALLAH. Insyaa-ALLAH.

Muhasabah ini luar biasa sekali kesannya kepada kita. Cuba dan amalkanlah, anda pasti akan merasainya. Insyaa-ALLAH.

6. Zikir dan Fikir

"Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan pergantian siang dan malam terdapat tanda-tanda (kebesaran ALLAH) bagi orang-orang yang berakal, (iaitu) orang-orang yang mengingat ALLAH sambil berdiri, duduk atau dalam keadaan berbaring, dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata), "Ya Tuhan kami, tidaklah ENGKAU menciptakan semua ini sia-sia; Maha Suci ENGKAU, lindungilah kami dari azab neraka."  [Ali Imran, 3:190-191]

Berfikir dan bertafakur ini mampu menyucikan hati-hati kita. Kita boleh telusuri kisah Nabi Ibrahim yang merenungkan keindahan dan kejadian alam ini untuk mencari siapakah penciptanya. Betapa sikap kritis Nabi Ibrahim yang memikirkan kejadian alam ini perlu kita contohi.

Berfikir tentang sakaratul maut dan kehidupan selepas mati juga boleh menyucikan hati kita. 

7. Membaca Al-Quran

Kita boleh membersihkan dan menyucikan hati dengan membaca ayat-ayat cinta ALLAH ini. 

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman adalah mereka yang apabila disebut nama ALLAH gementar hatinya, dan apabila dibacakan ayat-ayat-NYA kepada mereka, bertambah (kuat) imannya dan hanya kepada Tuhan mereka bertawakal,"[Al-Anfal, 8:2]

Bacalah al-Quran dengan hati.  Bacalah maksudnya sekali untuk lebih memahami dan menghayati setiap maknanya.

8. Zikrul Maut (Mengingati Mati)

Ingatlah bahawa apabila kita meninggal, apa yang kita akan bawa hanyalah amalan kebaikan sahaja. Segala yang lain akan kita tinggalkan. Biasakan diri untuk mengingati mati saat sebelum tidur dan saat bangun dari tidur. 

Hayatilah setiap bait doa sebelum tidur dan doa selepas tidur itu. 

Cara untuk mengekalkan diri dalam penyucian jiwa

1. Muraqabatullah - Sentiasa merasakan bahawa setiap saat, setiap perbuatan kita, ALLAH sentiasa memerhatikan kita.

2. Muahadah - Memberikan sepenuh komitmen dan berazam dengan setiap kebaikan yang kita lakukan. 

3. Muhasabah - Evaluasi diri kita dengan setiap amalan yang kita lakukan.

4. Mu'aqabah - Menghukum diri kita saat kita meninggalkan amalan kebaikan. Contohnya, mendenda diri kita solat Dhuha 12 rakaat jika tertinggal tahajud. 

5. Mujahadah - Bersungguh-sungguh dengan setiap amalan kebaikan yang kita lakukan.

Perkongsian ini untuk diri saya sendiri juga sebenarnya. Bersama-samalah kita menerapkan tazkiyatun nafs dalam diri. Bersama kita menyucikan diri ke arah menjadi individu muslim yang soleh dan musleh. Insyaa-ALLAH.

Semoga bermanfaat. Semoga ALLAH redha dengan setiap perbuatan kita. Ameen. Insyaa-ALLAH

No comments:

Post a Comment