Saturday, October 1, 2011

AL-QUR'AN SEBAGAI PEMBELA DI HARI AKHIRAT

Ramadhan telah berlalu. Musim baca Quran di kalangan sesetengah umat Islam, telah berakhir. Seolah-olah al Quran hanya sesuai dan wajib dibaca pada bulan Ramadhan sahaja. Walhal amalan baca al Quran adalah kewajipan yang perlu dilakukan setiap hari. Sebabnya al Quran adalah sebagai petunjuk atau GPS yang perlu dirujuk sepanjang masa untuk mempastikan agar kita tidak sesat dalam kehidupan kita.

Ramadhan merupakan madrasah untuk melatih dan membudayakan amalan-amalan yang baik dan soleh seperti membaca al Quran, solat berjemaah, banyak bersedekah, kawal lidah dan hati, tidak mengumpat, tidak hasad dengki dan sebagainya. Semua amalan ini sewajarnya diteruskanlah selepas Ramadhan.

Untuk itu marilah kita teruskan budaya membaca al Quran sepanjang waktu yang ada, selagi hayat dikandung badan. Sebagai motivasi kepada kita untuk meneruskan amalan baca al Quran, diperturunkan hadis dan kelebihan membaca al Quran.
Abu Umamah r.a. berkata : "Rasulullah S.A.W telah menganjurkan supaya kami semua mempelajari Al-Qur'an, setelah itu Rasulullah S.A.W memberitahu tentang kelebihan Al-Qur'an.

Telah bersabda Rasulullah S.A.W :" Belajarlah kamu akan Al-Qur'an, di akhirat nanti dia akan datang kepada ahli-ahlinya, yang mana di kala itu orang sangat memerlukannya." Ia akan datang dalam bentuk seindah-indahnya dan ia bertanya, " Kenalkah kamu kepadaku?" Maka orang yang pernah membaca akan menjawab : "Siapakah kamu?" Maka berkata Al-Qur'an : "Akulah yang kamu cintai dan kamu sanjung, dan juga telah bangun malam untukku dan kamu juga pernah membacaku di waktu siang hari."

Kemudian berkata orang yang pernah membaca Al-Qur'an itu :
"Adakah kamu Al-Qur'an?" Lalu Al-Qur'an mengakui orang yang pernah membaca mengadap Allah S.W.T. Lalu orang itu diberi kerajaan di tangan kanan dan kekal di tangan kirinya, kemudian dia meletakkan mahkota di atas kepalanya.

Pada kedua ayah dan ibunya pula, yang muslim diberi perhiasan yang tidak dapat ditukar dengan dunia walau berlipat ganda, sehingga keduanya bertanya :

"Dari manakah kami memperolehi ini semua, pada hal amal kami tidak sampai ini?" Lalu dijawab : "Kamu diberi ini semua kerana anak kamu telah mempelajari Al-Qur'an."

No comments:

Post a Comment