Wednesday, October 5, 2011

ALHAMDULILLAH, TERIMA KASIH ALLAH


Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah kerana mulai jam 3.15 petang ini saya telah mendapat gelaran yang ditunggu-tunggu selama ini, setelah usia menjangkau 58 tahun barulah dapat gelaran Datuk bukan daripada Sultan atau Agung tetapi anugerah daripada Allah.

Alhamdulillah, saya bersyukur walaupun dia berada beribu batu jauh dari ayah dan ibu (di Perth), anak sulong saya Syed Ahmad Khairi telah bergelar ayah mulai jam 3.15 petang ini. Semuanya telah selamat, dengan izin Allah. Mulai petang semalam setelah menerima panggilan telepon darinya, isterinya Sara masuk hospital kerana sudah ada tanda-tanda sakit untuk melahirkan. Selepas 48 jam kemudian barulah anaknya yang pertama dan cucu saya yang pertama dilahirkan ke dunia ini untuk melaksanakan tugas sebagai hamba Allah dan khalifah Allah.

Alhamdulillah, sesungguhnya Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang dan Maha Pemurah. Saya bersyukur dan terasa malu kepada Allah kerana terlalu banyak nikmat dan anugerah yang dikurniakan kepada kami sekeluarga sepanjang hayat kami. Malu kerana berbanding dengan kepatuhan dan ketaatan kami tidak seberapa.Inilah yang dikatakan Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih.

Apa yang terkeluar dari lidah anak sulong kami ialah “Terima kasih umi kerana melahirkannya”. Dan dia insaf kerana sepanjang masa isterinya sakit untuk bersalin dia bersama isterinya melihat dengan mata kepalanya betapa sakit dan susahnya untuk melahirkan anak. Mungkin keinsafan timbul betapa seksanya seorang ibu sewaktu melahirkan anak. Itulah sebabnya anak-anak tak boleh derhaka kepada ibu, syurga terletak di bawah tapak kaki ibu.

Bagus juga ada peraturan baru ini, suami boleh berada  disamping isteri sewaktu hendak bersalin. Sekurang-kurangnya mengajar sisuami betapa susah dan seksanya melahirkan anak. Zaman saya baru-baru kahwin dulu orang lelaki tidak dibenarkan masuk ke bilik bersalin, tapi sekarang dah boleh, malangnya isteri saya dah tak mahu bersalin lagi !!!

Dua hari lepas, saya menerima berita gembira yang ditunggu-tunggu selama ini, anak perempuan saya yang kedua mendapat tawaran sebagai pensyarah UITM. 

Alhamdulillah, inilah yang dikatakan anugerah berganda dalam masa beberapa hari ini. Mudah-mudahan saya tidak lalai dan lupa diri dengan pelbagai anugerah dan nikmat yang dikurniakan. Terima kasih Allah, sesungguhnya hamba bersyukur di atas segala nikmat yang tidak putus-putus dikurniakan sepanjang tahun ini.

1 comment:

  1. Tahniah kami ucapkan kepada Cikgu Syed dan juga Kak Pah serta Syarifah Nafisah, Syed Naquib dan Syarifah Nabilah kerana kehadiran ahli baru.
    Dan kepada Syed Ahmad dan Siti...selamat menjalani kehidupan sebagai seorang ibu dan ayah..
    TAHNIAH SEKALI LAGI...

    ReplyDelete