Semasa seminggu berada di German baru-baru ini kerana mengikuti Frankfurt Book Fair, ada banyak pengamatan berguna yang saya dapat. Orangnya yang baik, cuaca yang bagus sejuk berangin, kedai makanan halal yang mudah ditemui dan tempat pelancongan yang bagus adalah kenangan manis yang sukar dilupakan.
Selain itu faktor menepati masa yang diamalkan oleh penghuni bandar separuh dingin menghampiri musim dingin itu, amatlah patut untuk dicontohi. Dalam cuaca dingin 10 darjah celcius, kami tidak berpeluh mengejar tren keretapi. Kami juga tidak perlu tunggu lama untuk melintas. Melihat sahaja kita berdiri di tepi jalan untuk menyeberang, kereta akan berhenti. Ya, kereta BMW, Mercedes, Jaguar dan jenis lain yang mewah-mewah akan berhenti menghormati kita pejalan kaki.
Betul kata orang, masa itu emas. Malah kalau dikatakan masa itu intan pun boleh, amat berharga bagi mereka. Ketepatan masa di German juga berlaku pada jadual perjalanan tren atau keretapi yang menjadi kenderaan utama di sini selain kereta dan basikal.
Di Frankfurt kota bersejarah yang cantik dengan senibina lama yang terus dikekalkan ini, ada tiga jenis perkhidmatan keretapi. Pertama sekali ialah keretapi laju. Kedua keretapi yang sederhana laju yang hanya berhenti di stesen tertentu dan yang ketiga keretapi berhenti-henti di setiap stesen.
Pengguna boleh pilih hendak menaiki jenis yang mana dengan kadar tiket yang berbeza. Semua koc berhawa dingin. Kami juga dimaklumkan, bagi keretapi yang berhenti-henti itu, jangan terkejut jika ada yang membawa haiwan peliharaan sekali dalam koc. Basikal pula boleh dibawa masuk untuk kesemua koc.
Jika tren akan bergerak pukul 7.50 pagi maka tepat sahaja waktunya semboyan akan berbunyi dan keretapi akan bergerak. Setiap landasan dengan arah tujuannya yang berbeza. Sama ada berlari perlahan atau berlari laju, itu adalah pemandangan biasa di sini. Tidak kira tua atau muda, serupa. Masing-masing mengejar keretapi yang ingin dinaiki.
Adalah pemandangan biasa dalam koc di Frankfurt dan bandar-bandar lain di sini jika anda melihat seorang makcik, dengan jaket dan boot kulit, berdiri memegang basikalnya sambil tangannya memegang buku, surat khabar atau novel. Sambil berdiri, sambil membaca. Dalam masa sama anak anjing comelnya duduk diam dalam bakul basikal.
Apalagi pada penumpang yang mendapat tempat duduk. Pemandangan ini tidak ada di Malaysia. Namun saya harap dapat melihat situasi ini nanti apabila minat membaca semakin menjadi-jadi di negara kita akhir-akhir ini.
Prasarana dalam negara sudah lengkap, amat kondunsif. Cuma setakat ini kita melihat kebanyakan (tidak semua) yang duduk dalam train aliran laju di ibu kota, hanya bermenung melanguk kosong sambil memerhati sekeliling. Ada juga yang ambil kesempatan main permainan dengan aktiviti sosial di telefon.
Sepanjang berlangsungnya Pesta Buku Frankfurt itu banyak ilmu yang diperoleh dan banyak pengalaman yang dirasai. Ia tidak sama dengan kehebatan Pesta Buku Antarbangsa Kuala Lumpur yang diadakan saban tahun di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Di Frankfurt, sesuai dengan pertemuan dan perbincangan peringkat dunia, terdapat lapan dewan (Hall 1 hingga Hall 8) sebesar PWTC itu untuk dikunjungi.
Dengan jumlah manusia yang beratus ribu orang, kita melihat bagaimana industi buku menjadi satu komoditi perdagangan terpenting. Tidak ada seorang pun yang berjalan tanpa buku dalam tangan. Buku daripada pelbagai bahasa dari seluruh dunia dipamerkan di sini. Pilih saja mahu buku dari Romania, India, Georgia, China, Jepun dan segala ceruk pelosok dunia, semua ada di sini.
Jual beli buku, perbincangan hak cipta dan perlesenan penerbitan menjadi modal utama semua perbincangan.
Perkara-perkara ini sudah diatur sebelum sampai ke sini manakala pertemuan di pesta buku itu adalah untuk menandatangai perjanjian dan pengesahan sahaja.
Saya amat mengharapkan suatu hari nanti pesta hebat sebegini akan berlangsung di Kuala Lumpur dan menobatkan bandaraya kita sebagai sebuah kota buku. Pihak penerbit juga seperti sudah bersedia untuk itu apabila semakin hari semakin ramai orang yang menunjukkan minat membaca. Jumlah cetakan semakin bertambah dan jumlah judul buku-buku juga semakin meningkat.
Paling manis di Asia Hall (Hall 5) yang menempatkan Malaysia Pavilion di Frankfurt Book Fair itu apabila terdapatnya satu sudut untuk menunaikan solat. Ya, berniaga tetap berniaga, tapi solat jangan dilupa. Bak kata seorang petugas dari Dubai yang ditemui di bilik itu, ilmu tanpa solat tidak akan ke mana perginya. Ilmu tidak bermanfaat, katanya.
Ada doa tentang ilmu diamalkan oleh Rasulullah untuk kita ikuti. Salah satunya yang paling baik untuk diamalkan ialah doa yang dibaca sewaktu sujud akhir dalam solat. “Ya Allah, tambahkanlah bagiku rezeki yang banyak lagi halal, iman yang benar, ilmu yang bermanfaat, kesihatan yang elok, kecerdikan yang tinggi, hati yang bersih dan kejayaan yang besar.”
Semoga dengan mengamalkan doa itu kita mendapat manfaat atau sekurang-kurangnya menjadi cita-cita kita dalam mencari keredaan Allah dunia dan akhirat. Sekarang waktu untuk solat apa? Anda sudah solat? Selepas itu mari kita membaca pula |
No comments:
Post a Comment