Friday, December 28, 2012

Ingat tujuh pesan Rasulullah
Rosdi Long
Seorang sahabat Baginda yang terkenal dengan gelaran ahli suffah, iaitu golongan sufi yang sentiasa mencari peluang untuk berjumpa dengan Baginda SAW bagi mendapatkan nasihat dan tunjuk ajar ialah Abu Zhar r.a.

Berkata Abu Zhar r.a bahawa Baginda SAW telah mewasiatkan kepadanya dengan tujuh perkara.

Pertama, Baginda menyuruh aku mencintai orang miskin dan mendekati mereka. Dalam setiap masyarakat pasti ada golongan yang kurang berkemampuan iaitu fakir dan miskin, kerana itu kita diperintahkan dengan ibadah zakat untuk membantu mereka.

Mengasihi golongan miskin adalah tuntutan agama sebagai tanda syukur kita kepada nikmat ALLAH dan kita membantu sesama insan. Begitulah keindahan hidup bermasyarakat yang dianjurkan oleh Islam atas tanggungjawab saling membantu.
 

Kedua, Baginda menyuruhku agar tidak meminta-minta sesuatu kepada seseorang. Rasulullah SAW mengajar kita untuk berdikari, iaitu berusaha mendapatkan segala nikmat yang datang daripada anugerah-Nya. Budaya meminta-minta tidak disukai oleh manusia tetapi disukai oleh ALLAH. Oleh itu kita disuruh memperbanyakkan berdoa kepada-Nya. Mintaklah hanya pada-Nya yang Maha Berkuasa lagi Maha Kaya.
 

Ketiga, Baginda menyuruhku agar melihat kepada orang yang nasibnya lebih teruk daripada aku, jangan melihat kepada orang yang nasibnya lebih baik daripadaku.
 

Dalam soal kehidupan kita di dunia, kita tidak mampu untuk menandingi kekayaan dan kemewahan hidup yang dimiliki oleh orang lain.
 

Justeru Baginda mengajar bersyukur dan reda dengan apa dikurniakan ALLAH kepada kita. Jika melihat kelebihan yang ada pada orang lain dibimbangi akan mengundang perbuatan yang salah seperti menipu, rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya demi untuk mendapatkan kesenangan seperti orang lain.
 

Keempat, Baginda SAW menyuruhku menghubungkan silaturahim walaupun orang itu membenci aku. Persaudaraan Islam adalah suatu kewajipan yang mesti dilaksanakan oleh umat Islam. ALLAH SWT mengingatkan kita dengan firmanNya bermaksud,
“sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara, maka perelokkanlah persaudaraan antara kamu”.  Hadis Baginda yang lain, menyatakan “tidak akan masuk syurga seseorang itu sehinggalah dia beriman, dan tidak beriman sehingga ia berkasih sayang”

 

Persoalan silaturahim umat Islam terhakis disebabkan ketaksuban fahaman politik sehingga sanggup memutuskan silaturahim dan menyemai kebencian, dendam serta berpuak-puak yang akhirnya merugikan umat Islam. Oleh itu janganlah kepentingan fahaman politik mengatasi tuntutan syariat.
 

Kelima, Baginda menyuruhku berkata benar walaupun pahit. Kebenaran yang mutlak adalah apa didatangkan ALLAH, iaitu al-Quran dan hadis Baginda SAW. Prinsip kebenaran inilah menjadi tonggak bagi umat Islam dalam melaksanakan segala urusan kehidupan mereka. Menyokong atas perkara yang benar, bukan kerana ia datang daripada ahli kumpulan atau jamaah yang sama, bukan kerana lambang atau logonya, tetapi pada benar atau salahnya sesuatu perkara.
 

Keenam, Baginda menyuruhku agar tidak gementar menjalankan apa diperintahkan ALLAH walaupun mendapat cercaan manusia. Memang akan ada manusia yang tidak bersetuju dengan sesuatu tindakan, namun keredaan manusia bukanlah matlamat utama kerana kita adalah hamba ALLAH, bukan hamba manusia.

Oleh itu jangan berasa terhina apabila ada manusia menghina dan mencerca kerana para Nabi dan Rasul juga dihina dan dicerca oleh sebahagian manusia yang memusuhi mereka. Apa diperintahkan ALLAH dan Rasul itulah keutamaan diambil kira. 

Ketujuh, Baginda menyuruhku agar perbanyak ungkapan la haula wala quwwata illa billah. Bergantung haraplah kepada-Nya. Dialah menentukan setiap perkara, baik buruk datang daripada keizinan-Nya. Banyakkan mengucapkan kalimah ini sebagai tanda perhambaan kita hamba yang lemah lagi hina.

Semoga dengan perkongsian ini dapat memperingati diri kita kembali kepada pesanan dan menambah kecintaan kita kepada Baginda bagi mendekatkan kita kepada reda-Nya.


* Penulis ialah Presiden Ikatan Kebajikan dan Dakwah Selangor

Wednesday, December 26, 2012

Pengorbanan bapa suatu sedekah

Tidak sampai tiga minggu lagi, sesi persekolahan 2013 bakal menjelang. Ketika ini, kebanyakan ibu bapa sibuk membeli kelengkapan persekolahan anak sebagai persediaan bagi sesi persekolahan. Jika dilihat dari perspektif Islam setiap sen dibelanjakan bapa untuk keluarga adalah sedekah.

Sedekah menurut Kitab I'aanatul Taalibin juzuk yang ketiga, bererti sesuatu yang diberikan seseorang kepada seseorang lain yang memerlukannya dengan tidak mengharapkan balasan atau pahala akhirat.


Allah SWT mewajibkan bapa memberi nafkah (sedekah wajib) berupa makanan dan pakaian kepada isteri dan anaknya untuk meneruskan kehidupan di dunia ini sekadar kemampuan mereka. Justeru, kaum bapa hendaklah sedaya upaya cuba mengikhlaskan diri dalam setiap pengorbanan sama ada berupa duit mahupun tenaga dalam menguruskan anak mereka.



Perlu diingatkan bahawa, ibu bapa sepatutnya berusaha sedaya upaya mencari sumber pendapatan yang halal dalam memberi nafkah kepada ahli keluarga. Jauhilah dan hindarilah daripada memperoleh sumber pendapatan yang haram dan subahat.


Menjejaki sirah Rasulullah SAW, Baginda tidak pernah mengabaikan tanggungjawab sebagai bapa terhadap anak biarpun yang sudah berumah tangga.
 
Rasulullah SAW sentiasa mengunjungi rumah Fatimah dan bertanya khabar, serta memberi nasihat berguna dalam menjalankan tugas sebagai isteri dan ibu. Malah, Rasulullah SAW sentiasa memberi sambutan mesra setiap kali ketibaan Fatimah mengunjungi baginda. Baginda bangun menyambut ketibaan Fatimah, memberi kucupan dan memimpinnya ke tempat duduk.
 
Contohi kisah Khalifah Umar
Perlu diingatkan bahawa, ibu bapa sepatutnya berusaha sedaya upaya mencari sumber pendapatan yang halal dalam memberi nafkah kepada ahli keluarga. Jauhilah dan hindarilah daripada memperoleh sumber pendapatan yang haram dan subahat. Marilah kita hayati dan contohi kisah Khalifah Umar Abdul Aziz, dalam hal memberi nafkah kepada anggota keluarga.

Pada suatu hari, dua orang anak perempuan Khalifah Umar Abdul Aziz datang bertemunya. Tujuan mereka untuk meminta ayahanda mereka membeli baju raya yang baru.
 
Maka jawab Khalifah Umar: “Wahai anak-anakku, sekiranya ayahanda mempunyai lebihan daripada gaji nanti ayahanda akan belikan. Tetapi sekiranya tiada, usahlah bersedih, pakailah dengan taqwa yang baru itulah yang sebenarnya”.
 
Sesungguhnya perbualan antara bapa dengan anak ini didengari oleh penjaga Baitulmal. Lalu beliau berkata: “Wahai Amirul Mukminin, saya sedia pinjamkan wang Baitulmal untuk khalifah belikan baju raya baru untuk anak tuan.” Maka jawab Khalifah Umar Abdul Aziz: “Apakah jaminan kamu yang aku akan hidup sehingga esok untuk melunaskan hutang ini?” Lalu terdiam penjaga Baitulmal tersebut.
 
Subhanallah, betapa hebatnya ungkapan yang keluar dari bibir mulut seorang khalifah yang menyentuh hati kita semua. Seorang khalifah yang mengutamakan soal halal dan haram dalam memberi nafkah kepada keluarga tercinta. Pemimpin yang menjaga hasil pendapatannya, takut dan bimbang termakan duit rakyat untuk kepentingan diri.
 
Justeru, marilah wahai ibu bapa, bersamalah kita pastikan setiap pendapatan yang kita peroleh adalah daripada sumber yang halal lagi baik.

Penulis ialah pensyarah di Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman
Jihad dalam perkahwinan
  Oleh Prof Madya Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi
 
Suami kena tunai hak keluarga, sabar layan kerenah isteri, anak

Objektif utama perkahwinan dalam Islam adalah ketenangan dan kebahagiaan. ini kerana dua insan berkenaan memenuhi fitrah kemanusiaan dengan menjalin hubungan biologi, fizikal dan rohani bersama pasangan menurut kehendak syarak.
Sabda Rasulullah SAW: “Nikah itu adalah sunnahku, dan sesiapa yang membenci sunnahku bererti dia tidak termasuk dalam golonganku. (Hadis riwayat Muslim).

Imam al-Ghazali pernah berkata: “Sebenarnya perkahwinan itu mempunyai makna jihad dan di antara latihan jihad itu adalah mengawal dan mentadbir, menunaikan hak-hak keluarga, bersabar terhadap kerenah dan budi pekerti isterinya, memimpinnya ke jalan agama, berjuang mencari rezeki yang halal untuk mereka di samping berusaha mendidik anak-anak. Kesemua tugas itu adalah kerja dan tanggungjawab besar.”

Dalam al-Quran, jalinan perkahwinan disebut Allah sebagai mithaqan ghaliza yang bermaksud satu perjanjian yang sangat berat tanggungjawabnya dan sangat kuat. Jelas di sini bahawa Allah dan Rasul-Nya melarang umat Islam mempermain-mainkan persoalan nikah kahwin, apatah lagi untuk dijadikan isu atau modal dalam senda gurauan.

Malah, Islam juga melarang pernikahan yang bersifat kontrak atau sementara kerana ikatan pernikahan adalah suatu jalinan perhubungan di antara lelaki dan wanita yang berlangsung sepanjang hayat, bukannya untuk tempoh 15 minit, sebulan, empat bulan dan sebagainya.

Paling menarik ialah mereka yang sudah berkahwin akan diberkati Allah SWT dan diberikan kekayaan melalui limpah kurnia-Nya.

Allah SWT berfirman: “Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang salih dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya kerana Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya), lagi Maha Mengetahui. (Surah al-Nur, ayat 32).
 
Di samping itu, pasangan yang sudah berkahwin bermakna mereka menyempurnakan separuh daripada agamanya kerana memiliki tanggungjawab keluarga, bukan sekadar tanggungjawab dirinya sendiri seperti sebelumnya.

Rumah tangga dalam konteks ini adalah satu komuniti terkecil dalam sebuah masyarakat yang memiliki fungsi penting bagi kehidupan bersama. Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang bernikah, maka sesungguhnya dia telah menyempurnakan separuh imannya. Oleh kerana itu, dia hendaklah bertakwa kepada Allah dalam separuh yang berbaki itu.” (Hadis riwayat Tabrani)

Sehubungan itu, Imam al-Ghazali pernah berkata: “Sebenarnya perkahwinan itu mempunyai makna jihad dan di antara latihan jihad itu adalah mengawal dan mentadbir, menunaikan hak-hak keluarga, bersabar terhadap kerenah dan budi pekerti isterinya, memimpinnya ke jalan agama, berjuang mencari rezeki yang halal untuk mereka di samping berusaha mendidik anak-anak. Kesemua tugas itu adalah kerja dan tanggungjawab besar.”

Namun, mengapa kadangkala perkahwinan yang terjalin hanya mampu bertahan seumur jagung? Mengapa pula kebahagiaan perkahwinan hanya sebatas pada resepsi perkahwinan secara besar-besaran? Mengapa pula perbalahan dan pertengkaran kerap mewarnai kehidupan rumah tangga?

Dalam hal ini, Rasulullah SAW menjelaskan kepada kita empat kriteria yang menjadi sebab dan kecenderungan terciptanya ikatan pernikahan serta memberi panduan kepada umatnya supaya mengutamakan satu daripada empat kriteria itu.

Rasulullah SAW bersabda: Perempuan dinikahi kerana empat perkara: hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah yang memiliki pengetahuan agama yang baik, yang akan memberi keuntungan kepadamu. (Hadis riwayat Muslim)"

Selanjutnya, campur tangan pihak lain, terutama pihak mentua adalah antara punca keretakan rumah tangga. Oleh itu, biarkanlah suami isteri yang melakukan penyesuaian dan penyelesaiannya serta mengatasi masalah dengan caranya sendiri, mengharungi suka dan duka, pahit dan manis nescaya mereka akan menemui penyelesaian baru dalam memecahkan permasalahan yang ada.

Setiap pasangan hendaklah berusaha untuk saling mencintai dan menyayangi, menghormati dan bertolak ansur, menjaga perasaan dan memuji, serta sifat mulia lainnya dalam usaha mengekalkan kelangsungan bahtera melayari ombak kehidupan yang membadai.

Demikianlah, matlamat perkahwinan yang seharusnya berfungsi melahirkan kebahagiaan demi kebahagiaan, bukannya kesedihan demi kesedihan kerana ia bererti berjalan di atas fitrah kemanusiaan dan menjunjung perintah Allah.

Penulis ialah Dekan Fakulti Pengajian Kontemporari Islam UniSZA


Peranan magnesium untuk kesihatan
Herbalis Bahrain Samah, RH (AHG)
25 Disember 2012
Peranan magnesium untuk kesihatan
Peranan magnesium untuk kesihatanPengambilan suplemen kalsium tanpa magnesium dikatakan akan menyebabkan kalsium terkumpul di bahagian tertentu tubuh, bukan dalam tulang.

Ia juga meningkatkan risiko batu karang, artritis, penyakit jantung koronari dan strok! Penghidap penyakit jantung dan diabetes jenis dua yang mengambilnya pula dipercayai akan menyebabkan keadaan mereka tidak berubah atau semakin parah.

Pada 14 April 2011, British Medical Journal telah melaporkan sebuah analisa berskala besar berdasarkan keputusan lima kajian klinikal yang dijalankan di Amerika Syarikat, United Kingdom dan New Zealand.

Kesimpulan analisa yang melibatkan lebih dari 8,000 orang itu menunjukkan suplemen kalsium meningkatkan risiko beberapa jenis masalah kardiovaskular terutama serangan jantung.

Dr Carolyn Dean, MD, ND, pakar magnesium dan juga pengarah perubatan di Nutritional Magnesium Association (http://www.nutritionalmagnesium.org) berkata, kira-kira 30 hingga 40 tahun dahulu, doktor mula mempreskripsikan kalsium secara rutin kepada ramai golongan lelaki dan kebanyakan wanita berusia melebihi 40 bagi mengurangkan kesan osteoporosis berpunca dari proses penuaan.

Ilmu perubatan konvensional memberitahu, punca pereputan tulang ialah kekurangan kalsium. Namun sebuah kajian berjudul ‘Calcium, vitamin D, milk consumption, and hip fractures: a prospective study among postmenopausal women.’ yang diterbitkan dalam
American Journal of Clininal Nutrition (2003) menunjukkan sebaliknya.

“Selepas 40 tahun didapati pengambilan kalsium semata-mata tidak memberhentikan pereputan tulang atau memperlahankannya. Ia tidak berupaya mencegah osteoporosis.”

Amat penting

Sesungguhnya magnesium merupakan unsur amat penting untuk kesihatan tubuh. Setiap organ dalam tubuh manusia terutama jantung, otot dan buah pinggang memerlukan mineral magnesium.
Antara lain ia amat penting dalam menggiatkan aktiviti 300 jenis enzim dan memainkan peranan dalam penjanaan tenaga (pembinaan adenonosin triphosphate). Ia juga diperlukan bagi mengawal paras kalsium selain kuprum, zink, kalium, vitamin D dan pelbagai nutrien penting dalam tubuh.
 

Seperti dinyatakan di atas, mendekripsi suplemen kalsium semata-mata tanpa gandingan mineral magnesium mengundang padah. Kajian demi kajian menunjukkan kalsium dalam bentuk suplemen sepatutnya diambil dengan gandingan magnesium pada kadar 2:1.
 

GreenMedInfo.com melaporkan bahawa penyelidik telah mengesan 3,751 tapak pelabuhan magnesium pada pelbagai protein dalam tubuh manusia. Peranan magnesium kepada kesihatan manusia dan penyakit dikatakan kurang dihiraukan oleh pengamal perubatan moden dan pakar nutrisi konvensional. Kedua-dua golongan menumpukan preskripsi ubatan (sumber pendapatan) dan penggunaan bahan dipelajari di bangku universiti sahaja.
 

Ramai tidak tahu ia adalah mineral penting dalam pengawalan tekanan darah dalam arteri dan merehatkan otot. Paras magnesium dalam sel adalah lebih tinggi berbanding di luar sel ketika tekanan darah normal dan otot dalam keadaan rehat. Pada masa sama paras kalsium lebih tinggi di luar sel berbanding di dalam sel.
 

Apabila kalsium masuk ke dalam sel dan magnesium keluar dari sel maka tekanan darah arteri berkurangan dan otot berada dalam keadaan rehat. Pada keadaan ini paras magnesium di luar sel adalah lebih tinggi di luar sel berbanding di dalam sel. Paras kalsium di dalam sel pula lebih tinggi di dalam sel berbanding di luar sel.
Ubatan penghalang beta (beta-blocker) dan penghalang laluan kalsium (calcium channel blocker) biasa di preskripsi oleh doktor kepada mereka yang menghidap penyakit jantung dan tekanan darah tinggi.

Penghalang beta bertindak menghalang tubuh dari didominasi oleh Sistem Saraf Simpatetik. Ini menyebabkan Sistem Saraf Para Simpatetik mendominasi tubuh dan seterusnya menyebabkan sel otot dan sel arteri mengembang. Keadaan ini menyebabkan otot berehat dan tekanan darah berkurangan.
 

Ubatan penghalang laluan kalsium pula menghalang kemasukan kalsium ke dalam sel arteri dan otot. Ini menyebabkan otot berehat dan tekanan darah berkurangan. Ramai tidak mengetahui pengambilan suplemen magnesium (dalam bentuk sebatian tertentu) berupaya membantu otot jantung berehat dan mengembangkan arteri (mengurangkan tekanan darah).

Ramai juga tidak tahu magnesium berupaya mengawal paras gula darah pada mereka yang mengalami diabetes jenis 2 (type 2 diabetes). Kalsium sendiri ialah bahan digunakan oleh sel beta pankreas untuk merembes insulin.


Sesungguhnya paras kalsium yang tinggi menyemarakkan keadaan hiperinsulinemia. Hiperinsulinemia ialah keadaan di mana paras hormon insulin dalam darah tinggi, iaitu keadaan biasa yang dialami penghidap diabetes jenis 2.


Ramai saintis percaya hiperinsulinemia berlaku berpunca daripada reseptor (tapak berlabuh) insulin yang terletak pada sel tidak berfungsi untuk membantu insulin berlabuh. Hakikat yang berlaku ialah paras gula sering kali tinggi seperti dialami penghidap diabetes menyebabkan paras magnesium dalam tubuh berkurangan.

 
Hiperinsulinemia dan hiperglisemia


Mengambil suplemen magnesium (dalam bentuk sebatian tertentu) dikatakan menyebabkan kalsium keluar dari sel beta pankreas. Apabila paras magnesium mendominasi sel beta pankreas maka hiperinuslinemia dan hiperglisemia (paras glukos tinggi) berupaya diredakan.


Pada masa sama, reseptor insulin pada membran sel akan berfungsi secara normal dan menerima semula hormon insulin untuk berlabuh.


Ketidakpekaan reseptor insulin berpunca daripada hiperinsulinemia menyebabkan pengangkut glukos dikenali sebagai GLUT4 tidak dibina pada paras sepatunya. Sebaliknya jika reseptor insulin berfungsi sempurna, maka GLUT4 dibina oleh sel pada paras sepatutnya dan akan berada pada membran sel. GLUT4 berfungsi dengan menyambut glukos untuk dibawa ke mitokondria (kilang penjanaan tenaga dalam sel).


Jika orang ramai tahu mengenai peranan dan kegunaan magnesium dalam tubuh, penulis percaya berita mengenai kejadian kesan sampingan negatif seperti penyakit buah pinggang, hepatitis, hati kecut dan serangan jantung berpunca dari pengambilan ubat-ubatan moden untuk merawat penyakit jantung koronari dan diabetes jenis 2 akan berkurangan.


Setakat ini projek pangkalan data GreenMedInfo.com menyenaraikan lebih dari seratus kebaikan magnesium. Ia termasuk kebaikan terapeutik untuk fibromyalgia, denyutan jantung tidak sekata, diabetes jenis 2 dan sindrom premenstruasi.


Terdapat pelbagai faktor yang mengurangkan paras magnesium dalam tubuh seperti antara lain makan berlebihan, tubuh bertoksin, makan ubat-ubatan moden secara berpanjangan, stres emosi kronik, mengambil makanan terproses, mengambil makanan tinggi gula, menghisap rokok, minum arak, mengalami diabetes dan penyakit kronik.


Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai peranan dan kegunaan magnesium bagi mengawal penyakit jantung koronari dan diabetes jenis 2 pembaca dinasihatkan membaca dua buku penulis yang masing-masing berjudul Serangan Jantung dan Diabetes Jenis 2

Tuesday, December 25, 2012


Keuntungan kekal abadi
Tazkirah Remaja
Bersama Mohd.Zawawi Yusoh



BUKAN mudah dalam kehidupan manusia yang penuh dengan cabaran ini untuk mempertahankan serta meningkatkan kualiti iman. Pastinya akan ada sesuatu yang berat dan gangguan daripada kawan, buku, filem dan hiburan yang datang dengan pelbagai tawaran. Baik dan buruk perangai kita akan jadi turun dan naik.


Bermusim umpama musim buah saja, tetapi kepada mereka yang bersungguh-sungguh dan percaya kepada tawaran Allah dan janji-Nya dapat meningkatkan keyakinan untuk terus menjadi baik.
Bagaimana remaja bernama Ammar bin Yaaser sanggup diseksa, diuji dan diazab kerana mempertahankan iman. Begitu juga remaja Ashhabul Kahfi, mereka sanggup bersembunyi dalam gua demi memelihara keimanan.


Mereka menghadapi semua cabaran dan tekanan itu dengan bersungguh-sungguh. Allah memberi janji-Nya kepada orang beriman sebagaimana disebut dalam al-Quran.


Janji itu menjadi pendorong untuk meraih keuntungan yang lebih kekal abadi.
 
Antara janji itu ialah orang beriman dijanjikan Allah pembelaan dan pertolongan.
Maksudnya orang yang beriman dan komited dalam agama Allah akan menjadi pembela kepadanya. Pembela maknanya penjaga, memulihara, penghibur dan pemberi kekuatan.

Allah Maha Kaya, jadi orang Islam yang kuat imannya walaupun miskin, apabila mereka dekat dengan Allah Yang Maha Kaya, dia akan berasa kaya dan diberi kekayaan.

Allah Maha Kaya maknanya, Allah tidak akan membiarkan hamba-Nya miskin. Sebab itulah orang yang dibela Allah walaupun mereka miskin harta, tetapi mereka sesekali tidak menggadai akhlak, peribadi dan maruah.

Mereka diberi kekayaan hati. Biarpun duit banyak, tapi kalau hati miskin mereka akan rosak seperti ‘matinya semut kerana gula’. Bila Allah tidak membela, nikmat bertukar menjadi bala.

Hari ini, umat Islam berdepan dengan pelbagai masalah kerana Allah sudah tidak dijadikan sebagai pembela. Kenapa hal itu berlaku? Semuanya disebabkan kita tidak ambil kisah segala suruhan Allah.

Allah hanya akan terus membela hambanya yang membela agama-Nya. Sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah membela orang beriman dan Allah tidak menyukai orang yang khianat.” (Surah al-Hajj ayat 38).

Janji kedua yang diperoleh orang beriman adalah jaminan keselamatan iman. Inilah jaminan yang paling mahal. Allah akan melindungi mereka daripada perangai buruk, akhlak rosak, godaan syaitan, kekufuran dan kemiskinan.

Tidak bermakna kita hanya perlu duduk saja tanpa berbuat apa-apa. Sebaliknya, mesti belajar merancang dengan beribadat serta menghayati agama dengan bersungguh-sungguh.

Janji ketiga yang diperoleh golongan beriman adalah mereka mendapat petunjuk kehidupan. Kita amat perlukan hidayah petunjuk di dunia yang penuh cabaran.

Kadangkala kita sudah tidak dapat membezakan lagi mana satu madu dan racun.
Lebih parah, jika madu itu bercampur racun. Amat sulit hidup untuk memilih kebenaran apabila kebaikan dikata kejahatan dan kejahatan pula dikatakan kebaikan.

Hanya jaminan Allah saja ang dapat menyelamatkan remaja kini daripada perangkap noda dan dosa. Namun yang penting kita perlu sentiasa berusaha untuk melakukan perubahan dalam hidup iaitu daripada jahat kepada baik atau lebih baik lagi, daripada jahil kepada berilmu.

Allah memberikan penegasan melalui firman-Nya bahawa Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum atau bangsa sehingga mereka sendiri berusaha mengubah apa yang ada pada diri mereka (Surah ar-Ra’d ayat 11).

Yang berubah sifatnya dalam diri manusia ialah hati dan akalnya. Fizikal hanya mengikut saja manakala hati adalah kunci utama membawa perubahan dalam hidup manusia.

Cara pertama untuk berubah ialah memperbaiki diri sendiri serta membersihkan hati daripada sifat keji (mazmumah) kepada sifat terpuji (mahmudah).

Kita perlu berusaha keras mendekatkan diri kepada Allah dengan penuh ketaatan. Seterusnya, perhatikan siapa kawan kita, adakah kawan kita mendorong ke arah kebaikan atau sebaliknya?

Adakah kawan kita berbangga dengan maksiat yang dilakukan hingga kita terdorong sama ke arah maksiat juga? Jadilah seorang yang pandai memilih dan menilai kawan, pilihlah kawan yang dapat memberikan kehidupan positif dalam hidup kita.

Apabila tersilap pilih kawan ia boleh menghancurkan keperibadian kita.
Kemaksiatan, kejahatan, dosa serta kemungkaran yang berpunca daripada sifat keji dalam diri akan mengundang kemurkaan Allah.

Untuk mendapatkan nilaian iman, ia bukan sekadar ‘percaya’ sebab jika hanya percaya, iblis lebih percaya dan berpengalaman.

Pengalaman itulah yang menyebabkan iblis berani ‘membangkang’ Allah.

Untuk tidak menjadikan kita sama dengan iblis, iman mesti diterjemah dengan lebih nyata iaitu melaksanakannya dengan perbuatan.

Rasulullah pernah bersabda yang maksudnya: “Iman itu bukannya angan-angan, tetapi ia tersemat di hati disebut di lidah dan diterjemahkan dengan perbuatan.

Iman laksana bekas manakala badan kita jasad seperti alat dan perbuatan adalah isinya. Sekiranya diletakkan susu maka dikatakan segelas susu.

Jika diletakkan racun, walaupun gelas itu berharga, tetapi ia sangat berbahaya. Begitulah iman jika tidak diisi dengan perangai dan akhlak, iman tidak berfungsi malah menyusahkan.

Ubati marah dengan ilmu dan amal

Tazkirah Remaja
Bersama Mohd.Zawawi Yusoh

BILAKAH kali terakhir anda marah dan kepada siapakah anda tujukan kemarahan itu? Sudah berapa banyak hati yang terluka dengan kemarahan anda itu?


Bukan tidak boleh marah namun kadang-kadang marah itu menjadi wajib. Nabi pun pernah marah apabila agamanya dipermainkan. Bila ada pelanggaran hukum Allah nabi menampakkan kemarahannya. 


Buruk sangat marah dilakukan kerana nafsu. Ja’far bin Muhammad mengatakan, “Marah adalah pintu segala kejelekan.” Dikatakan kepada Ibnu Mubarak, “Kumpulkanlah untuk kami akhlak yang baik dalam satu kata! Beliau menjawab, “Meninggalkan amarah.”

Demikian juga Imam Ahmad dan Ishaq menafsirkan bahawa akhlak yang baik adalah dengan meninggalkan amarah. Orang yang marah tidak tentu pasal tidak perasan ke buruknya muka orang marah.


Raut wajahnya berubah, darahnya meluap, anggota menggeletar, urat-urat lehernya menegang, pergerakannya kelam kabut, percakapannya tidak jelas, lidahnya mudah mengeluarkan kata keji, mengumpat, mengutuk dan kemungkinan mengeluarkan kata haram yang boleh mengeluarkannya daripada Islam seperti lafaz kufur, mencela agama dan seumpamanya.


Selain daripada itu, seorang yang cepat marah akan melakukan tindakan di luar dugaan yang berkemungkinan akan membabitkan kerugian harta dan kesakitan pada tubuh badan.

Yang parah lagi, marah terhadap masyarakat, ia melahirkan perasaan dengki
di dalam diri dan menyembunyikan niat jahatnya terhadap seseorang.

Ia boleh membawa kepada perbuatan menyakiti orang lain dan membenci serta merasa gembira apabila mereka ditimpa musibah. Seterusnya akan mencetuskan permusuhan dan kebencian di antara sesama manusia.

Maka, rosaklah kehidupan dan runtuhlah masyarakat. Ada seperkara lagi yang selalu kita lakukan ketika marah, padahal perkara itu amat membahayakan diri sendiri sebelum ia membahayakan diri orang lain.

Mungkin kita menyedari perbuatan itu salah, tetapi kerana terlalu terpengaruh dengan marah kita tidak dapat menimbang lagi segala kata-kata yang diucapkan oleh lidah.

Kata-kata itu seperti melaknati orang, mencelakakan orang dan sebagainya. Sebab jika kita menyebutkan kata-kata yang tidak senonoh itu kepada orang lain, seolah-olah kita menuduhnya dengan ucapan kita itu.

Andai kata apa yang diucapkan itu memang benar, nescaya kita melanggar perintah menyuruh kita menutup segala keaiban orang lain. Orang yang mendedahkan keaiban saudaranya adalah berdosa besar di sisi Allah sekalipun perkara yang dituduhnya itu memang benar. Apatah lagi jika tidak benar, maka dosanya akan bertimpa-timpa lagi. Ada setengah ulama menganggap ucapan seperti ‘sial’, ‘laknat’, ‘celaka’ dan seumpamanya sebagai doa, kerana ada sebuah hadis daripada Rasulullah yang melarang perbuatan seperti itu, nescaya bencana ucapan itu akan menimpa orang yang ditujukan ucapan itu, kiranya dia memang patut menerima bencana itu pada ukuran Allah.

Tetapi kiranya dia tidak patut menerimanya, maka bencana itu akan kembali menimpa ke atas orang yang memberi ucapan itu.

Diriwayatkan dari Jabir, beliau berkata: “Suatu masa kami bersama-sama Rasulullah sedang menuju ke medan perang, tiba-tiba ada seorang Ansar merasa tidak selesa terhadap binatang kenderaannya, lalu dia menyumpah-nyumpah binatang itu: Jalanlah, laknat! Maka baginda marah kepada orang Ansar itu lalu bersabda: Turunlah dari binatang itu! Jangan engkau biarkan ia ikut bersama-sama kita, kerana ia mendapat laknat. Kemudian Baginda bersabda lagi: Janganlah engkau mendoakan (kecelakaan) ke atas dirimu atau ke atas anak-anakmu atau ke atas harta bendamu, kerana dikhuatiri bertepatan pada saat doa mustajab, di mana setiap hamba yang memohon (berdoa) sesuatu dari Tuhan akan dikabulkan”.

Di sini mari kita berkongsi sedikit tip untuk merawat sifat marah yang berasaskan nafsu atau baran. Sebenarnya penyakit marah yang dicela itu boleh diubati dengan dua perkara iaitu ilmu dan amal.

Mengubati marah dengan ilmu itu ada enam perkara:

·  Bertafakur memikirkan kisah teladan yang menyentuh buruk baiknya bersifat marah, berfikir keutamaan menahan kemarahan, memberi maaf dan berlemah lembut.
Dengan cara itu, akan menjadikannya gemar dan suka kepada pahala yang bakal diperoleh dari menghiasi diri dengan sifat tadi. Seterusnya dapat mencegahnya dari bersifat marah.

·  Seseorang itu menakutkan dirinya kepada seksaan Allah dengan mempercayai bahawa kekuasaan Allah ke atas dirinya lebih besar dari kekuasaannya ke atas manusia lain.

·  Mengingatkan diri akibat permusuhan dan pembalasan dendam.

·  Berfikir mengenai bentuk buruk dirinya ketika dia marah dan berfikir betapa kejinya sifat marah itu.

·  Berfikir sebab yang membawanya kepada kemarahan.

·  Menyedari kemarahannya berpunca dari sikap membanggakan diri sendiri yang tidak sesuai dengan kehendak Allah.

Sementara itu, mengubati marah dengan amal perbuatan pula ialah dengan membaca doa: “Aku berlindung kepada Allah daripada syaitan yang kena rejam.

 

Begitu juga sunat dibaca doa itu ketika marah, ertinya: “Wahai Tuhanku, Tuhan Nabi Muhammad, ampunilah dosaku, hilangkanlah kemarahan hatiku dan lepaskanlah aku dari fitnah-fitnah yang menyesatkan”.
 

Jika kemarahan itu tidak hilang dengan membaca ayat itu , maka hendaklah seseorang itu duduk jika dia marah dalam keadaan dia berdiri, (berdiri sebenarnya keadaan bersedia untuk bertindak sebab itu Rasul suruh duduk sebab duduk kurang sedikit kemahuan bertindak ganas. Begitu juga disuruh baring sebabnya ketika baring sudah tidak ada keupayaan untuk bertindak.
 

Dekatkan diri dengan bumi, yang mana dari bumi itulah dia dijadikan dan supaya dia tahu kehinaan dirinya. Kemudian carilah dengan duduk dan berbaring itu ketenangan.
 

Rasulullah bersabda yang maksudnya, “Ingatlah sesungguhnya marah itu adalah bara api di dalam hati anak Adam. Tidakkah engkau melihat kepada kedua matanya yang merah dan urat-urat lehernya yang membengkak? Apabila salah seorang kamu mengalami yang demikian, maka hendaklah dia melekatkan dirinya ke bumi” 

Selain itu, cara menghilangkan marah juga ialah dengan mendiamkan diri. Rasulullah bersabda yang maksudnya: “Apabila seseorang di antara kamu marah, maka hendaklah dia diam.

 

Oleh kerana kesan tercela yang ditimbulkan sifat marah itu, Rasulullah menganjurkan umat manusia supaya jangan suka marah. Ia tidak akan mendatangkan perkara yang baik kepada diri.
Malah, menyebabkan pelbagai bencana terutama sekali perasaan marah itu diletakkan bukan pada tempatnya. Selain itu, orang yang suka marah sering ditunggangi syaitan yang memaksakan kehendaknya ke atas orang yang marah itu.

 

Manakala orang yang menurut kehendak syaitan tidak akan selamat di dunia dan di akhirat.
Belajarlah Sesuatu Dari Ng Suee Lim

Oleh MSO
Saya tidak mengenali secara mendalam mengenai dirinya dan siapa dia. Sering juga saya konfius apakah dia wakil rakyat atau tidak, dan selalu juga bertukar apakah dia orang PKR ataupun DAP. Yang  saya tahu dia seorang yang mudah mesra dengan sesiapa saja. Wajah familiar dalam program-program besar Pakatan Rakyat.

Papan iklan Ng Swee Lim, ringkas dan tidak menunjukkan lagak. Bila ada demonstrasi besar-besaran di Kuala Lumpur dia sering muncul. Dan selalu pula terserempak dengan saya dan pernah berjalan seiringan bersama demostran Melayu lain sama-sama melaungkan slogan mengubar semangat untuk menjatuhkan UBN. Kadang-kadang berlari sama-sama dari curahan water cannon oleh 'polis cis.' Dia tidak kekok berada dalam kelompok Melayu.

Sehinggalah semalam, baru saya mengenali lebih dekat sosok ini. Mengenali mengenai perjuangan dan kerajinannya dalam perjuangan. Dia yang saya maksudkan oleh Ng Swee Lim, 43 Adun Sekinchan Selangor. Ng begitulah panggil rakan-rakannya, dia merupakan wakil rakyat DAP kawasan Sekinchan. Memenangi kawasan itu dua penggal -  2004 dan 2008.

Menterjemahkan diri Ng dia seorang yang ringkas dan selamba saja. Kalau dia tidak menghulurkan kad namanya atau diberi tahu, orang tidak percaya bahawa dia wakil rakyat. Watak dan cara berbual seperti orang biasa, tidak ada belang dan rupa sebagai wakil rakyat. Wakil rakyat selalunya akan cuba seberapa boleh menunjukkan dirinya adalah wakil rakyat baik menerusi pakaian, gaya bercakap dan juga muncul di khalayak.

Begitu juga melihat kepada iklan-iklannya yang terpacak di sekitar pekan Sekinchan orang tidak menyangka dia wakil rakyat, tetapi akan menganggap dia adalah seorang petani muda yang sedang mempromosikan sawah padi di Sekinchan. Begitulah ringkasnya cara hidup Ng selaku wakil rakyat.

Semalam saya duduk semeja dan berdepan dengan Ng di sebuah meja makan di restoran eksotik di Sekinchan Selangor. Pertemuan itu tidak dirancang ia kebetulan saja. Saya diajak oleh bekas MP Jeli Apandi Mohamad untuk makan tengah hari. Dia bertanya saya, nak makan ikan tawar dengan budu atau makanan eksotik. Tentulah jawab saya masakan eksotik. Tanpa memberi tahu saya Apandi memandu menuju ke Sekinchan.

Sampai di Selayang Apandi menelefon seseorang. "YB.. apa khabar, ini sayalah Apandi Jeli.. bersama MSO, nak ke Sekinchan, dia nak makan rusa, la...," begitulah kata Apandi menjual murah nama saya menyebabkan saya terkejut. Kenapa harus jual nama saya? Saya tidak tahu YB mana dimaksudkan itu. Saya hanya dengar perbualan secara pandir saja walaupun di dalam hati terasa seronok.

Mendengar cara mereka berkomunikasi seakan ada masalah. Semacam YB itu tidak sempat kerana kesibukan tugas berjumpa rakyat. "Ok...ok... nanti saya sampai saya call balik,YB... terima kasih," Apandi mengakhir percakapan. Lepas itu baru saya tahu dengan siapa dia bercakap, rupa-rupanya YB Ng Swee Lim. Ketika itu juga wajah dan sosok Ng terbayang dalam mata saya. Saya cukup arif wajahnya kerana kerajinan dia turun ke KL bila ada acara demonstrasi.

Perjalanan untuk sampai ke Sekinchan menghadapi sedikit masalah, jalan jam. Ng menelefon bertanya kami sudah sampai di mana. Dia sudah sedia menanti di sebuah stesen minyak berhampiran dengan jarit (jalan) untuk menuju ke restoran dimaksudkan. Ruapnya dia membatalkan acaranya untuk berjumpa rakyat semata-mata menanti kedatangan kami. Apandi juga kenal rapat dengan Ng dan pernah membawa Ng berceramah di kawasannya di Jeli.

Menurut Apandi pendengar Melayu seronok mengikut ceramah Ng kerana beliau pandai bergurau dan tentulah juga kerana sesekali beliau menyelitkan perkataan Jawa yang mana orang Melayu sendiri tidak berapa memahaminya. Ada cerita kenapa Ng fasih berbahasa Jawa. Nanti saya ceritakan kemudian.

Ng ketika melayani kami makan di restoran eksotik.
 


Sebaik sampai di restoran Sebaik sampai dimaksudkan, masakan sudah terhidang; wah memang eksotik sungguh. Ada landak goreng, ayam hutan goreng, rusa gulai lemak, ikan baung, ikan puyu, burung wak-wak dan segala macam ulam-ulaman. Tidak sampai lima minit duduk kami menjamu selera. "MSO datang ke kawasan saya, saya kena jaga...," gurau Ng penuh mesra sambil mengakui dia adalah pengikut tegar blog saya. Sambil makan sambil berbual dan di sinilah mendedahkan maklumat kepada saya siapa dia Ng sebenarnya.

Saya teruja dengan YB bertubuh gempal dan dengan ketinggian sedarhana ini. Rupanya dia wakil rakyat DAP yang telah melalui berbagai rintangan sebelum berjaya di tempatnya kini. Ng bukan seorang hebat mana dari segi profesyennya. Dia bukan peguam, guru sekolah atau doktor. Ng hanya seorang rakyat cina berbahasa Cina biasa saja di Selangor. Kehidupan masa kecilnya agak tragis kerana terpaksa menjadi pembungkus air di kedai seorang Jawa untuk hidup.

"Saya orang susah, dan duduk pula dalam masyarakat Jawa di Kapar. Jadi untuk tambah pendapatan keluarga terpaksa membantu seorang pakcik Jawa menjual air. Kerja saya bungkus air saja," ceritanya sambil tidak habis-habis menyuruh saya merasai segala makanan dalam hidangan.

Biasalah keadaan itu beliau diejek dan dihina ataupun dipersendakan, maklumlah anak Cina menjadi pembantu orang Jawa. Namun beliau tidak menghiraukan segala macam penghinaan itu. Bahkan kata dia anggap sebagai cabaran buatnya. Ternyata apa yang berlaku itu ada hikmahnya, dari kerja dan pergaulan serta mengenali budaya orang Jawa itulah menyebabkan dia fasih berbahasa Jawa dan bermanfaat pula untuk kerjayanya hari ini.

Hari ini kalau Ng memasuki ke kampung Jawa dia tidak berbahasa Melayu sebaliknya berbahasa Jawa. Katanya bahasa Jawanya pula sangat baik. 

Ng pertama kali bertanding di kerusi Sekinchan atas tikit DAP pada tahun 1998. Percubaan pertama beliau itu tidak membuahkan hasil. Dia kalah ditangan calon MCA dengan majoriti besar juga. Namun itu tidak menghalang cita-citanya dan menawarkan semangat untuk terus menjadi pemimpin kecil. Mungkin Ng menyedari untuk mencapai cita-citanya menjadi pemimpin, membangunkan masa depannya satu-satu jalan ialah menjadi pemimpin - wakil rakyat. Disebabkan dia sedar beliau tidak mempunyai latar belakang pendidikan profesional, maka dia harus menguasi dari aspek lain.

Tahun 2004 dia mencuba nasib sekali lagi. Percubaan kedua ini berjaya. Ng mengalahkan calon MCA dengan majoriti 344.  Kejayaan Ng tahun 2004 ini menyebabkan namanya mula terukir dan menjadi sebutan. Paling mengejutkan beliau boleh menang dalam keadaan UBN ketika itu kuat. PIlihan raya 2004 hanya dua orang saja calon DAP menang antara beliau.

Mencerita macam mana beliau boleh bangkit tahun 2004 ia resipi yang sangat menarik. Ng mempelajar dan membuat postmortem dari kekalahan itu. Beliau sedar beliau kalah kerana orang Cina tidak mengundi beliau. MCA ada 7,000 ahli di Sekinchan sedangkan partinya tidak mempunyai ramai ahli. Dia juga faham bahawa orang Melayu tidak mudah menyokongnya. Jadi jalan terbaik beliau perlu memberi kesedaran kepada orang Cina.

Orang Cina yang terpengaruh dengan momokan dan propaganda Umno yang memburukkan kerajaan Kelantan agak skeptikal dengannya. Ini mendatangkan masalah buatnya kerana DAP berbaik dengan PAS. Kerajaan PAS Kelantan diberi gambaran buruk. Diceritakan MB Nik Abdul Aziz  hidupnya mewah dan kaya raya. Sedikit sebanyak cerita keburukan Kelantan dan Nik Aziz itu mempengaruhi masyarakat Cina di Sekinchan dan menolak DAP.

Apa yang dilakukan?  Beliau harus memberi maklumat tepat kepada orang Cina. Jalan yang diambil ialah dengan membawa orang Cina melawat Kelantan dan berjumpa dengan Nik Aziz. Dari perjumpaan itu akhirnya memberi maklumat sebenar kepada orang Cina di Sekinchan mengenai kerajaan Kelantan dan gaya hidup Nik Aziz. Mereka mengetahui kehidupan Nik Aziz sebenarnya dan bukan seperti mana yang ditokok tambah oleh Umno dan juga MCA.

Ng dan Apandi dan lain bergambar di tepi sawah.

Ternyata menurut Ng usahanya itu berjaya. Akhirnya masyarakat Cina tahu dan melihat sendiri apa yang dihumbankan kepadanya. Setelah masyarakat Cina tahu akan masalah di Kelantan dan kezuhudan Nik Aziz itu akhirnya menyebabkan orang Cina berubah angin kemudian menyokongnya. Hasilnya dalam pilihan 2008 Ng sekali lagi berjaya mengekalkan kerusi Sekinchan dengan majoriti 190, di mana beliau merupakan wakil rakyat DAP yang mendapat undi paling kecil.


Itu antara strategi yang diaturkan Ng untuk memastikan orang Cina menyokongnya. Selain itu beliau juga tidak pernah meninggalkan kawasan. Katanya semasa dia kalah tahun 1998, beliau tidak tinggal Sekinchan. Walaupun dengan tenaga kewangan kurang namun senantiasa mendekati rakyat dan sesekali mengadakan majlis makan malam dan himpunan kecil.

Bagaimana dengan pilihan raya akan datang? Ng yakin sokongan semakin padu. Kali ini katanya dia ada sedikit kelebihan berbanding dulu kerana DAP bersama PKR dan PAS kini menerajui Selangor. "Dulu kita bersalam tangan kosong dengan rakyat dan setakat melemparkan senyuman tetapi hari ini adalah sikit peruntukan kerana kita sudah jadi kerajaan," balas Ng sambil tersenyum dan membuat kelakar.

Menceritakan pengalaman awalnya untuk mengembangkan DAP di Sekinchan sesuatu yang memeritkan. "Kalau tidak tahan kita akan mengaku kalah, bang. Saya masih ingat ketika saya mengembangkan DAP bersama Pakatan Rakyat, orang Cina mengejek dan menghina saya. Bila saya nak jual tikit untuk adakan dinner, mereka hina, sambil kata tak payah juallah, tak laku..." cerita Ng. Tetapi kita kuatkan semangat juga melawan ejekan mereka.  Namun keadaan itu kini berlainan katanya, kalau dulu nak jual tikit RM25 orang tidak nak, tetapi tikit berharga RM50 pun orang sudah berebut," ujarnya.

Apa yang dapat disimpulkan dengan kejayaan Ng sebagai wakil rakyat ialah kerana kegigihan dan kerajinan beliau mendekati rakyat. Dia tidak mudah berputus asa dan mudah meninggalkan rakyat walaupun kalah. Kekalahan bukan bererti ketewasan buatnya. Dalam pada itu menurut Ng lagi...apa yang menjadi falsfahnya, mesti baik dengan semua orang tidak kira mereka dari parti mana, kaum apa dan bangsa apa. Falsafah ini saya nampak benar-benar diamalkan oleh Ng yang akhirnya menjadikan dia salah seorang wakil rakyat popular.

Semasa dalam restoran itu, Ng berjalan dan bersalaman dengan semua pelangan yang ada sama ada dia kenal atau tidak. Sikap dan sifat dilakukan itulah menyebabkan dia mudah dikenali oleh sesiapa saja. Dan penilaian saya atas kejayaan Ng juga ialah kerana dia adalah benar-benar menjadi wakil rakyat bukannya Yang Berhormat! [wm.kl.5:12 pm 23/12/12]
Belajarlah Sesuatu Dari Ng Suee Lim
Memikirkan tentang pendidikan
NURUL IZZAH ANWAR
25 Disember 2012
 
Hujung minggu lepas menyaksikan saya bersama beberapa ibu, ayah berserta anak-anak yang bakal melangkah masuk ke alam persekolahan di sekitar Lembah Pantai dengan penuh semangat.

Memandangkan ramai akan memulakan kehidupan baru bersekolah, kami anjurkan program santai “Kembali ke sekolah” atau dalam bahasa Inggerisnya, “Back to School” di mana peralatan sekolah serta folder kecil dihadiahkan sekadar pemberi insentif buat anak-anak yang diimpikan akan cemerlang di sekolah oleh setiap ibu dan ayah.

Semuanya mengingatkan saya kepada zaman persekolahan saya sendiri - dari Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara, SMK Sri Hartamas sehinggalah ke SMK Assunta.

Ayah saya mahukan kami adik-beradik menyertai alam persekolahan biasa. Ternyata, pengalaman bersekolah di sekolah kerajaan membantu saya memahami dua perkara:

Pertama, selok-belok kurikulum dan bebanan guru, memberikan gambaran jelas kelebihan serta kekurangan di sekolah-sekolah kita.

Kedua, pendidikan berkualiti itu wajib wujud di sekolah-sekolah kerajaan kerana latar belakang sosial kita - miskin, kaya, pertengahan - tidak harus menghambat peluang kejayaan anak-anak kita.

Tambahan lagi, ibu-ibu serta ayah-ayah yang tidak punyai gaji besar tidak mungkin menghantar anak ke sekolah antarabangsa ataupun swasta.

Justeru, nasib dan masa depan hanya mampu disamaratakan dengan golongan berada sekiranya standard dan kualiti persekolahan itu setara.

Oleh kerana itu, saya amat gusar apabila membaca laporan Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) yang menunjukkan kemerosotan amat membimbangkan dalam mata pelajaran Sains dan Matematik yang menjadi pengukur kualiti pendidikan negara.

Secara terperinci, pada 2007, Malaysia alami kemerosotan purata pencapaian dalam dua subjek teras - Sains dan Matematik (pelajar Gred 8 atau tingkatan 2) dalam kajian Trends in International Mathematics and Science Study 2007 membabitkan 59 negara.

Hasil kajian 2007, skor purata pencapaian pelajar Malaysia dalam Matematik dan Sains merosot dengan ketara. Skor Matematik merosot kepada 474 mata banding 508 mata pada 2003 dan 519 bagi 1999, penurunan 34 mata.

Skor Sains pula merosot kepada 471 mata pada 2007 dari 510 pada 2003 dan 492 bagi 1999. Ini mencatatkan penurunan 39 mata antara 2007 dan 2003.

Di kalangan 59 negara yang ambil bahagian dalam kajian TIMSS 2007, yang dilaksanakan Sekolah Pendidikan Lynch, Boston College, Chestnut Hill, Massachusetts, Amerika Syarikat itu, kemerosotan skor purata pencapaian pelajar Malaysia sebanyak 34 mata bagi Matematik dan 40 mata bagi Sains adalah terbesar di kalangan 59 negara.

Terbaru, laporan TIMSS 2011 yang diterbitkan 11 Disember lalu, Malaysia terus merosot bagi Matematik dan Sains, malah wujud jurang besar dalam pencapaian di antara pelajar lelaki dan perempuan.

Markah purata Matematik bagi Malaysia, iaitu 440, boleh dibahagikan lebih tepat kepada pelajar perempuan (449) dan  lelaki (430), menunjukkan jurang gender 19 markah, meletakkan Malaysia di tangga ke-37 dari 42 negara. Sebagai perbandingan, Finland mempunyai jurang gender sebanyak 4 markah - 516 bagi pelajar perempuan dan 512 bagi pelajar lelaki. Jurang gender ini  lima kali ganda berbanding negara teratas.

Jurang ini menampakkan masalah lebih dasar: pencapaian rendah pelajar lelaki yang jelas dilihat dari kadar keciciran mereka di sekolah-sekolah menengah dan jurang melebar antara pelajar perempuan dan lelaki di IPTA.

Laporan TIMSS 2011 ini menunjukkan hingga kini, kita hanya mendengar pernyataan perancangan pendidikan yang indah khabar dari rupa di mana implikasi untuk masa depan negara amat besar dengan merosotnya kebolehan dan kemampuan modal insan yang menjadi mangsa pendidikan yang dipolitikkan.

Kerajaan mesti ikhlas dan telus untuk menggubal dasar-dasar pendidikan lebih berkesan walhal ada di antara menteri-menteri Kabinet masih menghantar anak-anak mereka ke sekolah antarabangsa, mana mungkin memahami keruncingan yang dihadapi majoriti rakyat yang bergantung kepada sekolah-sekolah kerajaan.

Saya khuatir jika tiada perubahan radikal dan reformasi dalam sistem pendidikan negara melangkaui anjakan-anjakan yang bersifat sederhana, Malaysia seperti yang dinyatakan oleh laporan Merrill Lynch kepada Bank Dunia bukan sahaja menjadi sebuah negara muda dan miskin (young but poor) - tetapi juga rendah pendidikan.

Ini bukan satu janji BN yang rakyat harapkan
Pilihan raya Jepun, pengajaran kepada politik Malaysia
Dr Muhamad Takiyuddin Ismail
24 Disember 2012
KEPUTUSAN pilihan raya Dewan Rendah di Jepun yang menyaksikan parti LDP kembali semula ke tampuk kekuasaan tidaklah sesuatu yang mengejutkan mengambilkira sentimen yang wujud terhadap kepimpinan parti pemerintah sebelumnya DPJ.
 
Seperti yang ditulis oleh seorang sarjana Jepun, Tomohito Shinoda dalam jurnal berpengaruh, Asian Survey yang diterbitkan sebelum berlangsungnya pilihan raya ini, pemerintahan DPJ merupakan ‘eksperimen yang gagal’ bagi rakyat Jepun.

Ia juga dalam konteks yang lebih besar menyarankan bahawa keputusan pengundi yang meletakkan DPJ sebagai pemerintah tiga tahun sebelumnya lebih merupakan satu hukuman kepada LDP dan bukan merupakan manifestasi kepercayaan terhadap parti DPJ.

Setelah tiga tahun memerintah, DPJ kelihatan tidak berupaya memenuhi janji-janji populis yang ditaburkan dan ironinya terjebak dalam beberapa perkara yang menjadi sumber kritikannya terhadap LDP seperti kepimpinan yang lemah, ketidakupayaan melakukan reformasi struktural, pergolakan faksi, skandal dan juga mengambil keputusan yang tidak popular seperti cadangan menaikkan cukai.

Malah, tindakan pengundi Jepun yang ‘tidak kisah’ untuk meletakkan semula bekas Perdana Menteri, Shinzo Abe (2006-2007) sebagai Perdana Menteri jelas mencadangkan yang ketidakpuasan nyata mereka terhadap DPJ biarpun Abe merupakan pemimpin LDP orde lama dan bertanggungjawab dalam memusingkan semula beberapa reformasi yang telah dilakukan oleh reformis ‘berhati singa’ dari LDP, Junichiro Koizumi (2001-2006).

Implikasi keputusan

Apakah pula implikasi keputusan pilihan raya kali ini kepada UMNO, parti dominan di Malaysia? Kembalinya LDP sebagai parti pemerintah di Jepun pastinya akan menarik perhatian Perdana Menteri, Najib Razak yang juga merupakan Presiden Umno.

Ia dijangka akan turut menyuntik lagi semangat Najib untuk membubarkan Parlimen Malaysia bagi membuka jalan terhadap ibu segala pilihan raya dalam Pilihan Raya Umum ke-13. Ada sebab mengapa perkiraan ini boleh dijadikan pertimbangan.

Selepas sahaja kejatuhan LDP pada 2009, Umno merupakan pihak yang agak tersentak dengan perkembangan ini. Hal ini difahami memandangkan hubungan simbiotis antara Umno dan LDP telah lama terjalin kuat khususnya dalam  konteks Dasar Pandang ke Timur yang dilancarkan bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad (1981-2003).

Tidak menghairankan apabila setiap kali kerajaan LDP diletakkan semula sebagai kerajaan memerintah, Malaysia adakalanya tidak dapat menyembunyikan kegembiraan yang ‘begitu jelas’.

Apabila LDP jatuh pertama kali sebagai kerajaan pada 1993, pemimpin-pemimpin Umno telah mula menjadikan LDP sebagai model pembelajaran.

Namun impak dari kekalahan LDP pada 2009 didapati lebih membimbangkan Umno.

Reaksi ini tidak mengejutkan kerana Umno pada ketika itu baru dikejutkan dengan keputusan PRU12 dan sedang berada dalam proses pemulihan.

Daripada Najib sehinggalah ke ahli-ahli Umno peringkat bawahan, pengajaran kejatuhan LDP merupakan ritual yang menjadi begitu popular untuk disebut.

Masing-masing memberikan hipotesis mengenai persamaan antara Umno dan LDP yang menjadi sebab terhadap kemerosotan parti tersebut seperti masalah faksi, keberatan untuk berubah, mengutamakan pihak yang berkepentingan melebihi rakyat, penekanan berlebihan terhadap politik pembangunan, masalah politik dinasti dan sebagainya.

Setelah tiga tahun kejatuhan LDP, persoalan sama ada Umno benar-benar mencontohi pengajaran dari kejatuhan parti sejawatnya itu kelihatan masih belum diterjemahkan secara holistik.

Beberapa pungutan suara yang diadakan jelas menyarankan wujudnya defisit yang jelas antara populariti Najib dan Umno.

Walaupun usaha pembaharuan dan penerusan reformasi dijalankan dengan giat oleh Umno, pendekatan ‘kerajaan tahu yang terbaik’ masih menonjol dengan jelas dalam strategi dan percaturan politik parti tersebut.

Walaupun beberapa perubahan dan beberapa langkah pembetulan telah diambil, situasi ‘tangan kanan memberi, tangan kiri merampas’ terus dirasakan dan seterusnya menyumbang kepada keadaan ‘semakin banyak yang berubah, semakin banyak lagi perasaan bahawa ia masih kelihatan sama’.

Rangsangan moral

Namun dengan keputusan yang berlaku di Jepun, ia dijangka memberi rangsangan moral yang tersendiri untuk Najib dan juga Umno-BN. Apabila LDP jatuh pada 2009, pihak pembangkang di Malaysia, Pakatan Rakyat juga merupakan antara pihak yang amat gembira dengan perkembangan tersebut dan turut mengemukakan model pembelajaran tersendiri.

Malah beberapa pemimpin kanan PR menganggap bahawa DPJ adalah cerminan Pakatan Rakyat dalam konteks Malaysia baik dari segi populariti, manifesto ataupun kekentalan perjuangannya. Namun setelah tiga tahun mentadbir Jepun, rakyat Jepun mendapati ‘menu’ yang disajikan oleh DPJ hanya ‘lazat’ di atas kertas tetapi ‘mentah’ apabila dinikmati.

Ironinya, rakyat Jepun yang dahulunya amat menginginkan sistem dua parti untuk faktor semak dan imbang kini berasa keliru kerana baik LDP mahupun DPJ, kedua-duanya ‘sama sahaja’. Namun dalam pilihan raya kali ini, walaupun LDP dilihat penuh dengan kelemahan dan masih teperangkap dalam kerangka politik lama, rakyat Jepun enggan sekali lagi memberikan kepercayaan kepada DPJ khususnya dalam keadaan ekonomi yang masih belum menampakkan pemulihan.

Abe memenangi pilihan raya ini di atas platform untuk melaksanakan pengenduran system kewangan dan juga meningkatkan perbelanjaan awam yang merupakan strategi tradisi LDP yang seringkali mendapat kritikan kerana akan memperluaskan gejala pork-barrel politics.

Biarpun dengan hakikat itu, rakyat Jepun mengambil keputusan memilih 'lesser from two evils' dan tidak mahu berada dalam situasi tidak menentu yang jelas lebih dirasakan di bawah kepimpinan DPJ.

Justeru, apabila berita mengenai kekalahan LDP kedengaran, ahli-ahli politik atau penyokong Pakatan Rakyat tidak berasa begitu ghairah dengan perkembangan ini sepertimana tumbangnya LDP pada 2009.

Hal ini amat difahami kerana dalam takat tertentu, kemenangan LDP membuktikan bahwa pertukaran rejim tidak semestinya menjanjikan hasil yang diharapkan dan wujudnya potensi rejim pengganti boleh melaksanakan kesilapan yang sama seperti sebelumnya.

Malah ahli politik DAP seperti Nga Kor Ming dalam twitternya menyatakan bahawa keputusan tersebut melambangkan bahawa parti pembangkang boleh memenangi pilihan raya umum di Jepun dan meramalkan kemenangan yang sama akan berlaku di Malaysia.

Ulasan ini lebih merupakan spin kerana selepas kemenangan DPJ pada 2009, pemimpin dan penyokong PR merupakan antara mereka yang begitu mengkagumi semangat DPJ.

Namun Umno juga tidak seharusnya melihat bahawa kemenangan LDP merupakan tanda bahawa sesuatu parti dominan akan kekal mendapat tempat.

Rata-rata rakyat Jepun yang ditemui penulis menyatakan bahawa sokongan mereka terhadap LDP tidak dapat dielakkan kerana mereka ‘sudah tidak mempunyai pilihan’ dan jika LDP didapati tidak melaksanakan prestasi mereka dengan baik, mereka tidak akan teragak-agak untuk mengundi semula parti lain.

Di sinilah, Umno harus lebih berhati-hati kerana jika pengundi akan memberikan semula majoriti dua pertiga kepada BN dalam pilihan raya akan datang, ia tidaksemestinya  bermakna bahawa mereka sudah mempercayai semula Umno-BN.

Sokongan seperti ini boleh berubah pada bila-bila masa seperti yang ditunjukkan dalam PRU12 2008 selepas sahaja rakyat memberikan kepercayaan terbesar mereka dalam PRU11 2004.

Justeru, dalam mana Umno berhak berasa gembira dengan perkembangan di Jepun khususnya dalam konteks perkembangan tersebut berjaya memberikan tekanan kepada PR, masih banyak yang perlu dilakukan Umno jika ia ingin mendapatkan semula kepercayaan golongan muda dan kelas menengah yang lebih terdedah dengan isu-isu yang lebih universal.

Memandangkan falsafah Santayana telah banyak diungkap oleh ahli-ahli politik Malaysia, mereka seakan-akan terlupa yang Arthur Schlesinger Jr. turut mengingatkan yang
‘Santayana’s aphorism must be reversed: too often it is those who can remember the past who are condemned to repeat it’.

* Dr Muhamad Takiyuddin Ismail bertugas di Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau baru selesai menjalani Visiting Fellowship di Institute of Developing Economies (IDE-JETRO), Jepun, yang ditaja oleh Sumitomo Foundation Japan dan juga UKM. Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid bertugas di Sekolah Pendidikan Jarak Jauh Universiti Sains Malaysia (USM). Beliau turut merupakan penyelidik bersama untuk kajian perbandingan Umno dan LDP yang ditaja oleh Sumitomo Foundation

Monday, December 24, 2012



Saat nyawa ditarik keluar
Wartawan Sinar Harian
24 Disember 2012
Saat nyawa ditarik keluar
Setiap yang hidup pasti akan mati. Cuma bila dan di mana malaikat Izrail akan mengambil nyawa kita masih menjadi rahsia yang tidak sesiapa pun ketahui kecuali ALLAH SWT. Namun, kita sering mendengar tentang sakaratulmaut dan husnul khatimah apabila kematian dibahaskan.
 
Apa yang dimaksudkan dengan kalimah tersebut?
 

Jawapan: Sebelum berangkat ke alam barzakh untuk menuju akhirat yang kekal abadi, kita akan mengalami situasi yang disebut sakaratulmaut. Secara harfiah, kalimah ini bermaksud ‘mabuk menghadapi maut’ yang sangat dahsyat. Saat kematian ini berkait rapat dengan proses perpisahan roh dari jasad kita yang membawa kepada kematian. Syeikh Abdul Latif Musytahary (1996), menjelaskan bahawa kematian adalah bercerainya roh dari tubuh seseorang insan.
 

ALLAH SWT menerangkan lagi betapa ngerinya sakaratulmaut bagi mereka yang bergelumang dengan maksiat dan kezaliman dalam firman-NYA: “...alangkah dahsyatnya jika engkau melihat waktu orang zalim berada dalam tekanan sakaratulmaut, sedang malaikat-malaikat pula menghulurkan tangan (memukul dan menyeksa orang itu) sambil berkata (dengan menengking dan mengejek): “Keluarkanlah nyawa kamu (dari tubuh kamu sendiri), pada hari ini kamu dibalas dengan azab seksa yang menghina (kamu) sehina-hinanya, disebabkan apa yang telah kamu katakan terhadap ALLAH dengan tidak benar dan kamu pula (menolak dengan) sombong takbur akan ayat-ayat keterangan-NYA.”  (Surah al-An’am : 93)
 

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya nyawa orang mukmin itu keluar sebagai keringat manakala nyawa orang kafir pula dicabut seperti nyawa keldai. Orang mukmin yang melakukan dosa, lalu dibalas dengan dahsyat sewaktu kematiannya untuk menghapuskan dosa daripadanya. Orang kafir yang melakukan kebaikan akan dimudahkan baginya pada saat menghadapi maut untuk membalasnya.” (Riwayat Abu Na’im)
 

Jika orang itu Muslim yang soleh, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya jenazah itu didatangi oleh malaikat. Sekiranya jenazah itu orang yang soleh, maka mereka berkata, “Silakan keluar, wahai nyawa yang baik dan harum yang berasal dari tubuh yang baik ini. Keluarlah dengan keceriaan dan kepujian, bergembiralah dengan khabar gembira, kenikmatan dan TUHAN yang tidak murka.”
 

Namun, berbeza pula bagi seseorang yang jahat. Sabda baginda yang bermaksud: “Apabila seseorang yang jahat ingin dicabut nyawanya, maka dikatakan: “Keluarlah wahai jiwa yang buruk berasal dari tubuh yang buruk pula. Keluarlah dengan kehinaan dan berilah peringatan dengan air yang mendidih serta nanah yang serupa dengannya.”
 

Sentiasa dikatakan sedemikian hingga keluar roh tersebut keluar. Dibukakan baginya pintu langit lalu dikatakan, “Siapakah ini?” Dikatakan inilah polan.” Lalu diucapkan, “Tidak diterima jiwa yang buruk berasal dari tubuh yang buruk. Kembalilah dengan kehinaan kerana pintu langit tidak akan dibuka bagi mu. Kemudian dihantar dari langit sampai ke dalam kubur.”  (Riwayat Ahmad)
 

Oleh itu, Rasul junjungan mulia ketika berhadapan sakaratulmaut masih sempat berdoa yang bermaksud: “Ya ALLAH, tolonglah Aku daripada sakaratulmaut ini.” (Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)
 
Adab ziarahi orang sakit
 

Amalan ziarah-menziarahi dianjurkan bukan pada masa sakit sahaja tetapi merangkumi semua keadaan tanpa mengira peringkat umur. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Daripada Abu Hurairah RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Hak setiap Muslim kepada Muslim yang lain ada lima.
Pertama, menjawab salam. Kedua, mengunjungi orang sakit. Ketiga, menghantar jenazah. Keempat, memenuhi undangan dan kelima, membaca doa kepada mereka yang bersin.” (Riwayat Bukhari) 


Berdasarkan Muhammad Abdul Hamid (2004), beliau menerangkan antara adab ketika melawat orang sakit seperti berikut:
 

•    Mereka yang sakit menjangkau tiga hari. Ini sejajar dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Adalah Nabi SAW tidak mengunjungi seseorang yang sakit melainkan ia telah berlalu tiga hari.” (Riwayat Ibnu Majah)
•    Tidak duduk terlalu lama kecuali diminta oleh pesakit.

•    Bersikap lemah lembut dan menunjukkan kasih sayang terhadap pesakit.

•    Berdoa untuk kesembuhan, kesempurnaan dan kekuatan pesakit.

•    Jangan makan atau minum di rumah pesakit kerana dibimbangkan akan membebankan keluarga terbabit.

•    Sentiasa memberikan harapan baik kepada pesakit.

 
Adab kendalikan orang nazak
 

Syeikh Abdul Latif al-Musytahary (1996) menyarankan adab bagi mengendalikan seseorang yang sedang sakaratulmaut:
 

•    Disunatkan menghadapkan pesakit ke arah kiblat dan ini merupakan amalan yang mulia agar pemergiannya juga dalam keadaan mulia.
•    Disunatkan membaca dua kalimah syahadah kepada pesakit agar kekal dengan kalimah tersebut sehingga hembusan nafas terakhir. Amalan ini seiring dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang mengakhiri kata-katanya dengan “La ilaha illallah” (Tiada Tuhan yang disembah melainkan ALLAH), maka ia akan masuk syurga.”  (Riwayat Muslim)

•    Disunatkan menghadirkan orang yang soleh agar dapat diharapkan keberkatan golongan tersebut di tempat seseorang yang menghadapi kematian. Amalan sedemikian dilakukan Rasulullah SAW ketika hayat baginda.

•    Disunatkan membaca Surah Yasin di sisi pesakit yang berhadapan dengan sakatulmaut. Sebenarnya ini dapat meringankan tanggungan yang dihadapinya. Amalan yang sejajar dengan sabda Rasulullah SAW daripada Miqdad yang bermaksud: “Yasin adalah jantung al-Quran. Seseorang yang membacanya dengan mengharapkan rahmat ALLAH dan akhirat, maka akan diampuni dosanya. Oleh itu, bacakanlah ia kepada mayat kamu (mereka yang dalam keadaan sakaratulmaut.” (Riwayat Muslim)

 
Mendambakan husnul khatimah
 

Meninggal dunia dalam keadaan husnul khatimah atau kesudahan hidup yang baik menjadi impian setiap orang yang beriman. Rasulullah SAW memberi gambaran awal golongan yang mendapat husnul khatimah melalui sabda baginda yang bermaksud: “Perhatikanlah tiga perkara pada mayat ketika waktu kematiannya.
Keluar peluh di dahinya, berlinang air matanya, melebar kedua hidungnya, maka itu rahmat daripada ALLAH yang diturunkan kepadanya. Jika ia berdengkur seperti unta yang tercekik, pucat warnanya, berbuih mulutnya, maka itu adalah seksaan daripada ALLAH yang telah menimpanya.”  (Riwayat at-Tirmizi dan Hakim)

Hasil ‘pelaburan’ amalan sepanjang hayat kita, ganjarannya akan diperoleh setelah meninggal dunia.

 

Rasulullah SAW di dalam sabda yang bermaksud: “Ada tujuh amalan yang terus memberi pahala bagi seseorang hamba di dalam kubur iaitu orang yang mengajar ilmu, orang yang mengalirkan sungai, orang yang menggali perigi, orang yang menanam pokok yang berbuah, orang yang membina masjid, orang yang mewariskan al-Quran atau orang yang mempunyai anak soleh yang selalu mendoakan ibu bapanya setelah kedua-duanya meninggal dunia.”  (Riwayat al-Bazzar)
Kenapa Di Hadapan Orang Bersolat Ada Objek?
 
Oleh: al-bahanj"

Tuan/puan mungkin pernah atau biasa melihat seseorang yang bersolat berseorangan dan di hadapannya terdapat sebuah objek bukan?

Kadang-kadang objeknya adalah beg, tongkat, kayu rehal, kerusi, bangku, kipas angin atau bakul. Ia sengaja diletakkan di hadapan mereka sebelum bersolat. Perbuatan begini mereka lakukan jika bersolat di ruang yang terbuka.


Jika di sana ada dinding atau tiang, yakni objek yang kukuh dan lebih kekal, nescaya mereka memilih untuk melakukan solat mengadap dinding atau tiang itu.  Itu yang lebih utama berbanding objek-objek di atas.  Yang pastinya, mereka tidak membiarkan di hadapan mereka kosong tanpa objek.  Itu bagi orang yang bersolat seorang diri.

Bagi yang solat berjemaah pula, mungkin tuan/puan biasa melihat hanya imam sahaja yang melakukan perkara di atas, sedangkan makmumnya tidak.

Jika tuan/puan tidak pernah melihatnya atau tidak ingat, berikut beberapa gambar sebagai contoh (klik untuk besarkan saiznya):

Almari 
Tiang 
Peluru kereta kebal 
 
Kerusi 

Kenapa mereka perbuat begitu?

Hal ini berlaku demikian kerana mereka faham akan sunnah Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam!

Sutrah adalah Sunnah Nabi SAW Ketika Bersolat
Meletakkan objek di hadapan sebelum mengerjakan solat adalah sunnah Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam.  Objek ini merupakan pengadang atau pembatas kawasan solat atau istilah yang digunakan oleh Nabi ialah sutrah.

Berikut adalah beberapa hadith Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam mengenai sutrah:

1)
كَانَ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقِفُ قَرِيبًا مِنَ السُّتْرَةِ, فَكَانَ بَيْنَهُ وَ بَيْنَ الْجِدَارِ ثَلَاثَةُ أَذْرُعٍ

“Adalah Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam bersolat dekat dengan sutrah (pembatas), maka adalah di antara Baginda dan dinding tersebut adalah 3 hasta.”

(HR al-Bukhari dan Ahmad)

2)
بَيْنَ مَوْضِعِ سُجُودِهِ وَالْجِدَارِمَمَرُّ شَاةٍ

“Jarak di antara tempat sujud Baginda dengan dinding lebih kurang cukup untuk dilalui seekor anak kambing.”

(HR al-Bukhari dan Muslim)

3)
كَانَ اِذَا صَلَّى (فِي فَضَاءٍ لَيْسَ فِيهِ شَيْءٌ يَسْتَتِرُبِهِ) غَرَزَ بَيْنَ يَدَيْهِ حِرْبَةً فَصَلَّى وَالنَّاسُ وَرَاءَهُ

ِ”Apabila Baginda bersolat (di tempat yang tiada sesuatu pun menutupi yakni tempat terbuka), beliau menancapkan tombak di depannya lalu bersolat, dan para sahabat bersolat di belakangnya.”

(HR al-Bukhari, Muslim dan Ibnu Majah)

4)
وَاَحْيَانًا كَانَ يُعَرِّضُ رَاحِلَتَهُ فَيُصَلِّى اِلَيْهَا

Kadang-kadang Baginda melintangkan haiwan tunggangannya di hadapan Baginda, lalu bersolat mengadap haiwan tersebut.

(HR al-Bukhari dan Ahmad)

5)
صَلَّى – مَرَّةً – اِلَى شَجَرَةٍ

“Baginda pernah bersolat mengadap ke pokok.”

(HR an-Nasa’i dan Ahmad dengan sanad yang sahih)

6)
اِذَا وَضَعَ أَحَدُكُمْ بَيْنَ يَدَيْهِ مِثْلَ مُؤْخِرَةِ الرَّحْلَ فَلْيُصَلِّ وَلَا يُبَالِي مَنْ مَرَّ وَرَءَ ذَلِكَ

“Apabila seseorang di antara kamu telah meletakkan benda atau barang setinggi kayu bahagian belakang pelana, solatlah dengan tidak perlu menghiraukan orang yang melalui di sebelah benda itu.”

(HR Muslim dan Abu Daud)

Itulah beberapa hadith yang sempat dikongsikan di sini untuk kita sama-sama fahami bahawa bersutrah iaitu meletakkan objek pembatas ketika bersolat memang suatu sunnah Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam.  Sayangnya, pengetahuan mengenainya sangat kurang di kalangan masyarakat kita.

Secara Ringkas
Secara ringkas mengenai hukum sutrah ialah seperti berikut:
  • Ulama berbeza pandangan mengenai hukum bersutrah, samada wajib atau sunat.  Yang terbaik dan dekat dengan sunnah Nabi ialah bersutrah ketika solat, iaitu dengan meletakkan objek sebagai pembatas kawasan solat.
  • Apabila bersolat seorang diri, sutrah diadakan oleh orang bersolat sendirian itu.  Apabila bersolat secara berjemaah, sutrah diadakan oleh imam sahaja.  Makmum tidak perlu mendirikan sutrah kerana sutrah makmum ialah sutrah imam yang diikutinya.
  • Jika tiada sutrah, bolehlah dibuat garisan sebagai ganti sutrah.
  • Jarak antara tempat sujud dan sutrah ialah sekadar saiz jarak yang membolehkan anak kambing melaluinya.  (bukan sebab hendak beri orang atau anak kambing melaluinya.  Ia adalah untuk anggaran jarak.)
  • Jika ada orang hendak melalui kawasan antara orang yang bersolat dan sutrah, maka hendaklah orang bersolat itu menahan dan melarang.
Semoga dengan mengetahui hal ini, kita semua dapat menghidupkan sunnah bersutrah ketika melakukan solat, in shaa’ ALLAH, amin.

Allahu A`lam.