Thursday, December 13, 2012

Berdoalah dengan intensif agar sentiasa mendapat keredhoan Tuhan

Isu Deepak nampaknya menjadi isu hangat juga. Kehangatannya agak lebih dari kehangatan isu Musa Hassan dengan kenyataan tentang gangguan politik ke atas urusan Polis. Semuanya melibatkan pimpinan besar kerajaan dan parti pemerintah. Tidak pernah lagi keadaan ini berlaku sebelum ini, maksud saya sebelum pentadbiran Dr Mahathir. Saya pernah berkata keadaan yang tidak menentu hari ini adalah sumbangan besar Dr Mahathir kerana perkara seperti ini hanya mula berlaku semasa pentadbiran beliau.

Kalau kita kaji lebih kurang sahaja, kita boleh mengambil sikap ‘conclusive’ yang sesuatu perundingan dan persetujuan di antara dua pihak untuk melakukan perkara yang tidak baik dan kotor akhirnya akan terbongkar juga, walaupun sesulit mana pun rundingan itu di buat. Bermuafakat untuk kerja yang tidak baik akhirnya pasti akan terbongkar.

Di dalam hal Deepak ini, masyarakat yakin yang akuan bersumpah Bala Subramaniam yang kedua itu merupakan tindakan yang sengaja di buat kerana tekanan. Masyarakat ramai tidak mungkin percaya yang Bala Subramaniam akan menukar akuan bersumpahnya yang pertama itu kalau tidak ada pihak yang membuat tekanan terhadapnya..

Apabila Deepak membongkarkan rahsia sebenarnya, maka ia memudahkan rakyat ramai untuk membuat penilaian yang ‘conclusive’ bahawa penglibatan pimpinan besar dan isteri atau keluarga dalam kerja-kerja jenayah seperti ini adalah mendukacitakan kita semua. Itulah sebabnya para cerdik pandai yang jujur dan ada sedikit keikhlasan selalu berkata yang negara kita ini dipimpin oleh manusia yang tidak sepatutnya berada di sana.

Negara telah memberikan mandat kepada pihak yang tidak selayaknya berada dipesada kepimpinan negara yang rakyatnya inginkan ketulinan nilai kumpulan yang memerintah. Rakyat tidak putus-putus berdoa semasa sembahyang jumaat dan di mana-mana dan setiap masa untuk mendapatkan rahmat Allah dan syufaat Junjungan Besar Muhammad saw untuk negara kita berada di dalam keadaan aman dan mempunyai pentadbiran yang cekap dan bersih.

Bagi diri saya secara peribadinya saya amat bersyukur kerana doa kita selama ini untuk duduk dalam sebuah negara yang aman dan tenteram secara fisikal dan pemikiran beransur-ansur telah di makbulkan Tuhan. Segala yang kotor dan noda kepimpinan secara beransur-ansur tetapi pasti sedang terbongkar dan rakyat boleh membuat apa yang sepatutnya untuk negara apabila kita sudah mendapat sedikit sebanyak petunjuk untuk kita bertindak dan menentukan haluan rakyat dan negara.

Sebagai seorang Islam adalah elok dan molek kalau kita teruskan doa dan bermunajat agar negara kita dijauhi dari kepimpinan yang terlalu sarat dengan noda terhadap rakyat dan negara yang dipimpin mereka.

Sesungguhnya kita telah melakukan segala-gala perancang mengikut zahiriahnya, tetapi kita mesti yakin yang menjadi penentu yang ‘ultimate’ adalah Allah swt semata-mata. PerancanganNya adalah perancang yang Maha baik dan di sebalik segala-gala yang berlaku pasti ada hikmah dariNya.

Walaupun kita sedih dengan apa yang kita dengar, tetapi hikmahnya tetap ada. Mungkin dengan terbongkarnya segala-gala yang kotor ini merupakan kemakbulan doa kita selama ini untuk mendapatkan petunjuk dari yang Maha Esa itu. Kita boleh melakukan tindakan yang kita fikirkan wajar dan memohon segala apa yang kita lakukan itu sentiasa berada di dalam sepenuh keredhoanNya.

Tuntutan kita dari Tuhan yang Maha Esa hanya satu, iaitu kita sentiasa berada di dalam keredhoanNya. Kalau begini keadaan negara dan kepimpinan kita tidak keterlaluan jika kita katakan hanya Tuhan sahaja yang bakal menentukan masa depan negara kita.

Walau bagaimana pun kita tetap berwajib untuk melakukan segala kerja syariat untuk mencapai matlamat membentuk sebuah negara yang kembali baik dan jauh dari segala perlakuan sumbang dan jenayah oleh kepimpinan negara kita.

Semoga segala usaha kita untuk membawa perubahan itu diredhai Tuhan yang Maha Berkuasa dan Mendengar itu.

No comments:

Post a Comment