Wednesday, December 26, 2012

Pengorbanan bapa suatu sedekah

Tidak sampai tiga minggu lagi, sesi persekolahan 2013 bakal menjelang. Ketika ini, kebanyakan ibu bapa sibuk membeli kelengkapan persekolahan anak sebagai persediaan bagi sesi persekolahan. Jika dilihat dari perspektif Islam setiap sen dibelanjakan bapa untuk keluarga adalah sedekah.

Sedekah menurut Kitab I'aanatul Taalibin juzuk yang ketiga, bererti sesuatu yang diberikan seseorang kepada seseorang lain yang memerlukannya dengan tidak mengharapkan balasan atau pahala akhirat.


Allah SWT mewajibkan bapa memberi nafkah (sedekah wajib) berupa makanan dan pakaian kepada isteri dan anaknya untuk meneruskan kehidupan di dunia ini sekadar kemampuan mereka. Justeru, kaum bapa hendaklah sedaya upaya cuba mengikhlaskan diri dalam setiap pengorbanan sama ada berupa duit mahupun tenaga dalam menguruskan anak mereka.



Perlu diingatkan bahawa, ibu bapa sepatutnya berusaha sedaya upaya mencari sumber pendapatan yang halal dalam memberi nafkah kepada ahli keluarga. Jauhilah dan hindarilah daripada memperoleh sumber pendapatan yang haram dan subahat.


Menjejaki sirah Rasulullah SAW, Baginda tidak pernah mengabaikan tanggungjawab sebagai bapa terhadap anak biarpun yang sudah berumah tangga.
 
Rasulullah SAW sentiasa mengunjungi rumah Fatimah dan bertanya khabar, serta memberi nasihat berguna dalam menjalankan tugas sebagai isteri dan ibu. Malah, Rasulullah SAW sentiasa memberi sambutan mesra setiap kali ketibaan Fatimah mengunjungi baginda. Baginda bangun menyambut ketibaan Fatimah, memberi kucupan dan memimpinnya ke tempat duduk.
 
Contohi kisah Khalifah Umar
Perlu diingatkan bahawa, ibu bapa sepatutnya berusaha sedaya upaya mencari sumber pendapatan yang halal dalam memberi nafkah kepada ahli keluarga. Jauhilah dan hindarilah daripada memperoleh sumber pendapatan yang haram dan subahat. Marilah kita hayati dan contohi kisah Khalifah Umar Abdul Aziz, dalam hal memberi nafkah kepada anggota keluarga.

Pada suatu hari, dua orang anak perempuan Khalifah Umar Abdul Aziz datang bertemunya. Tujuan mereka untuk meminta ayahanda mereka membeli baju raya yang baru.
 
Maka jawab Khalifah Umar: “Wahai anak-anakku, sekiranya ayahanda mempunyai lebihan daripada gaji nanti ayahanda akan belikan. Tetapi sekiranya tiada, usahlah bersedih, pakailah dengan taqwa yang baru itulah yang sebenarnya”.
 
Sesungguhnya perbualan antara bapa dengan anak ini didengari oleh penjaga Baitulmal. Lalu beliau berkata: “Wahai Amirul Mukminin, saya sedia pinjamkan wang Baitulmal untuk khalifah belikan baju raya baru untuk anak tuan.” Maka jawab Khalifah Umar Abdul Aziz: “Apakah jaminan kamu yang aku akan hidup sehingga esok untuk melunaskan hutang ini?” Lalu terdiam penjaga Baitulmal tersebut.
 
Subhanallah, betapa hebatnya ungkapan yang keluar dari bibir mulut seorang khalifah yang menyentuh hati kita semua. Seorang khalifah yang mengutamakan soal halal dan haram dalam memberi nafkah kepada keluarga tercinta. Pemimpin yang menjaga hasil pendapatannya, takut dan bimbang termakan duit rakyat untuk kepentingan diri.
 
Justeru, marilah wahai ibu bapa, bersamalah kita pastikan setiap pendapatan yang kita peroleh adalah daripada sumber yang halal lagi baik.

Penulis ialah pensyarah di Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman

No comments:

Post a Comment