Tuesday, December 25, 2012

Pilihan raya Jepun, pengajaran kepada politik Malaysia
Dr Muhamad Takiyuddin Ismail
24 Disember 2012
KEPUTUSAN pilihan raya Dewan Rendah di Jepun yang menyaksikan parti LDP kembali semula ke tampuk kekuasaan tidaklah sesuatu yang mengejutkan mengambilkira sentimen yang wujud terhadap kepimpinan parti pemerintah sebelumnya DPJ.
 
Seperti yang ditulis oleh seorang sarjana Jepun, Tomohito Shinoda dalam jurnal berpengaruh, Asian Survey yang diterbitkan sebelum berlangsungnya pilihan raya ini, pemerintahan DPJ merupakan ‘eksperimen yang gagal’ bagi rakyat Jepun.

Ia juga dalam konteks yang lebih besar menyarankan bahawa keputusan pengundi yang meletakkan DPJ sebagai pemerintah tiga tahun sebelumnya lebih merupakan satu hukuman kepada LDP dan bukan merupakan manifestasi kepercayaan terhadap parti DPJ.

Setelah tiga tahun memerintah, DPJ kelihatan tidak berupaya memenuhi janji-janji populis yang ditaburkan dan ironinya terjebak dalam beberapa perkara yang menjadi sumber kritikannya terhadap LDP seperti kepimpinan yang lemah, ketidakupayaan melakukan reformasi struktural, pergolakan faksi, skandal dan juga mengambil keputusan yang tidak popular seperti cadangan menaikkan cukai.

Malah, tindakan pengundi Jepun yang ‘tidak kisah’ untuk meletakkan semula bekas Perdana Menteri, Shinzo Abe (2006-2007) sebagai Perdana Menteri jelas mencadangkan yang ketidakpuasan nyata mereka terhadap DPJ biarpun Abe merupakan pemimpin LDP orde lama dan bertanggungjawab dalam memusingkan semula beberapa reformasi yang telah dilakukan oleh reformis ‘berhati singa’ dari LDP, Junichiro Koizumi (2001-2006).

Implikasi keputusan

Apakah pula implikasi keputusan pilihan raya kali ini kepada UMNO, parti dominan di Malaysia? Kembalinya LDP sebagai parti pemerintah di Jepun pastinya akan menarik perhatian Perdana Menteri, Najib Razak yang juga merupakan Presiden Umno.

Ia dijangka akan turut menyuntik lagi semangat Najib untuk membubarkan Parlimen Malaysia bagi membuka jalan terhadap ibu segala pilihan raya dalam Pilihan Raya Umum ke-13. Ada sebab mengapa perkiraan ini boleh dijadikan pertimbangan.

Selepas sahaja kejatuhan LDP pada 2009, Umno merupakan pihak yang agak tersentak dengan perkembangan ini. Hal ini difahami memandangkan hubungan simbiotis antara Umno dan LDP telah lama terjalin kuat khususnya dalam  konteks Dasar Pandang ke Timur yang dilancarkan bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad (1981-2003).

Tidak menghairankan apabila setiap kali kerajaan LDP diletakkan semula sebagai kerajaan memerintah, Malaysia adakalanya tidak dapat menyembunyikan kegembiraan yang ‘begitu jelas’.

Apabila LDP jatuh pertama kali sebagai kerajaan pada 1993, pemimpin-pemimpin Umno telah mula menjadikan LDP sebagai model pembelajaran.

Namun impak dari kekalahan LDP pada 2009 didapati lebih membimbangkan Umno.

Reaksi ini tidak mengejutkan kerana Umno pada ketika itu baru dikejutkan dengan keputusan PRU12 dan sedang berada dalam proses pemulihan.

Daripada Najib sehinggalah ke ahli-ahli Umno peringkat bawahan, pengajaran kejatuhan LDP merupakan ritual yang menjadi begitu popular untuk disebut.

Masing-masing memberikan hipotesis mengenai persamaan antara Umno dan LDP yang menjadi sebab terhadap kemerosotan parti tersebut seperti masalah faksi, keberatan untuk berubah, mengutamakan pihak yang berkepentingan melebihi rakyat, penekanan berlebihan terhadap politik pembangunan, masalah politik dinasti dan sebagainya.

Setelah tiga tahun kejatuhan LDP, persoalan sama ada Umno benar-benar mencontohi pengajaran dari kejatuhan parti sejawatnya itu kelihatan masih belum diterjemahkan secara holistik.

Beberapa pungutan suara yang diadakan jelas menyarankan wujudnya defisit yang jelas antara populariti Najib dan Umno.

Walaupun usaha pembaharuan dan penerusan reformasi dijalankan dengan giat oleh Umno, pendekatan ‘kerajaan tahu yang terbaik’ masih menonjol dengan jelas dalam strategi dan percaturan politik parti tersebut.

Walaupun beberapa perubahan dan beberapa langkah pembetulan telah diambil, situasi ‘tangan kanan memberi, tangan kiri merampas’ terus dirasakan dan seterusnya menyumbang kepada keadaan ‘semakin banyak yang berubah, semakin banyak lagi perasaan bahawa ia masih kelihatan sama’.

Rangsangan moral

Namun dengan keputusan yang berlaku di Jepun, ia dijangka memberi rangsangan moral yang tersendiri untuk Najib dan juga Umno-BN. Apabila LDP jatuh pada 2009, pihak pembangkang di Malaysia, Pakatan Rakyat juga merupakan antara pihak yang amat gembira dengan perkembangan tersebut dan turut mengemukakan model pembelajaran tersendiri.

Malah beberapa pemimpin kanan PR menganggap bahawa DPJ adalah cerminan Pakatan Rakyat dalam konteks Malaysia baik dari segi populariti, manifesto ataupun kekentalan perjuangannya. Namun setelah tiga tahun mentadbir Jepun, rakyat Jepun mendapati ‘menu’ yang disajikan oleh DPJ hanya ‘lazat’ di atas kertas tetapi ‘mentah’ apabila dinikmati.

Ironinya, rakyat Jepun yang dahulunya amat menginginkan sistem dua parti untuk faktor semak dan imbang kini berasa keliru kerana baik LDP mahupun DPJ, kedua-duanya ‘sama sahaja’. Namun dalam pilihan raya kali ini, walaupun LDP dilihat penuh dengan kelemahan dan masih teperangkap dalam kerangka politik lama, rakyat Jepun enggan sekali lagi memberikan kepercayaan kepada DPJ khususnya dalam keadaan ekonomi yang masih belum menampakkan pemulihan.

Abe memenangi pilihan raya ini di atas platform untuk melaksanakan pengenduran system kewangan dan juga meningkatkan perbelanjaan awam yang merupakan strategi tradisi LDP yang seringkali mendapat kritikan kerana akan memperluaskan gejala pork-barrel politics.

Biarpun dengan hakikat itu, rakyat Jepun mengambil keputusan memilih 'lesser from two evils' dan tidak mahu berada dalam situasi tidak menentu yang jelas lebih dirasakan di bawah kepimpinan DPJ.

Justeru, apabila berita mengenai kekalahan LDP kedengaran, ahli-ahli politik atau penyokong Pakatan Rakyat tidak berasa begitu ghairah dengan perkembangan ini sepertimana tumbangnya LDP pada 2009.

Hal ini amat difahami kerana dalam takat tertentu, kemenangan LDP membuktikan bahwa pertukaran rejim tidak semestinya menjanjikan hasil yang diharapkan dan wujudnya potensi rejim pengganti boleh melaksanakan kesilapan yang sama seperti sebelumnya.

Malah ahli politik DAP seperti Nga Kor Ming dalam twitternya menyatakan bahawa keputusan tersebut melambangkan bahawa parti pembangkang boleh memenangi pilihan raya umum di Jepun dan meramalkan kemenangan yang sama akan berlaku di Malaysia.

Ulasan ini lebih merupakan spin kerana selepas kemenangan DPJ pada 2009, pemimpin dan penyokong PR merupakan antara mereka yang begitu mengkagumi semangat DPJ.

Namun Umno juga tidak seharusnya melihat bahawa kemenangan LDP merupakan tanda bahawa sesuatu parti dominan akan kekal mendapat tempat.

Rata-rata rakyat Jepun yang ditemui penulis menyatakan bahawa sokongan mereka terhadap LDP tidak dapat dielakkan kerana mereka ‘sudah tidak mempunyai pilihan’ dan jika LDP didapati tidak melaksanakan prestasi mereka dengan baik, mereka tidak akan teragak-agak untuk mengundi semula parti lain.

Di sinilah, Umno harus lebih berhati-hati kerana jika pengundi akan memberikan semula majoriti dua pertiga kepada BN dalam pilihan raya akan datang, ia tidaksemestinya  bermakna bahawa mereka sudah mempercayai semula Umno-BN.

Sokongan seperti ini boleh berubah pada bila-bila masa seperti yang ditunjukkan dalam PRU12 2008 selepas sahaja rakyat memberikan kepercayaan terbesar mereka dalam PRU11 2004.

Justeru, dalam mana Umno berhak berasa gembira dengan perkembangan di Jepun khususnya dalam konteks perkembangan tersebut berjaya memberikan tekanan kepada PR, masih banyak yang perlu dilakukan Umno jika ia ingin mendapatkan semula kepercayaan golongan muda dan kelas menengah yang lebih terdedah dengan isu-isu yang lebih universal.

Memandangkan falsafah Santayana telah banyak diungkap oleh ahli-ahli politik Malaysia, mereka seakan-akan terlupa yang Arthur Schlesinger Jr. turut mengingatkan yang
‘Santayana’s aphorism must be reversed: too often it is those who can remember the past who are condemned to repeat it’.

* Dr Muhamad Takiyuddin Ismail bertugas di Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau baru selesai menjalani Visiting Fellowship di Institute of Developing Economies (IDE-JETRO), Jepun, yang ditaja oleh Sumitomo Foundation Japan dan juga UKM. Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid bertugas di Sekolah Pendidikan Jarak Jauh Universiti Sains Malaysia (USM). Beliau turut merupakan penyelidik bersama untuk kajian perbandingan Umno dan LDP yang ditaja oleh Sumitomo Foundation

No comments:

Post a Comment